Adsense

Khamis, 3 Februari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Kutip RM7 Juta, Syamsul Boleh Tidur Lena

Posted: 02 Feb 2011 03:48 PM PST


PETALING JAYA: Kutipan filem Khurafat – Perjanjian Syaitan yang mencecah RM7 juta sehingga Selasa membuatkan pengarah Syamsul Yusof merancang untuk mengarah filem Khurafat 2 pada tahun ini.

Dengan kejayaan sambutan filem tersebut sejak ditayangkan di pawagam pada 13 Januari lalu, Syamsul sudah dapat menarik nafas lega dan mula lena tidur.

Kutipan filem tersebut telah melepasi kos produksi sebanyak RM1.7 juta.

Selain Syamsul sendiri, Khurafat – Perjanjian Syaitan turut dilakonkan oleh Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Fauziah Nawi, Salina Saibi, Ezendy Aziz dan seniwati Mariani.

Menyentuh tentang filem Khurafat 2, anak kepada penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam itu berkata ia bukanlah sekuel kepada Khurafat – Perjanjian Syaitan.

"Filem tersebut 100 peratus berlainan dan tiada kaitan dengan Khurafat. Saya cuma mengekalkan tajuk Khurafat itu lagi pun perkara khurafat meliputi pelbagai jenis," katanya yang sedang dalam proses menyiapkan filem terbaru arahannya, Bohsia 2 – Jalan Kembali.

Selepas itu, pada bulan April dia akan mengarah filem komedi pertamanya yang buat pertama kali menggandingkan pelawak Johan dan Zizan (Raja Lawak) dalam sebuah filem.

Berbalik kepada kejayaan Khurafat – Perjanjian Syaitan yang masih ditayangkan di pawagam dalam tempoh dua minggu ini, Syamsul akui gembira dan bersyukur namun bagaimanapun tidak bermakna dia sudah boleh mendabik dada sebagai tanda berpuas hati dengan kerjanya.

"Saya menganggap semua ini seperti suatu kejutan demi kejutan sejak memenangi beberapa anugerah baru-baru ini.

"Semuanya berlaku dengan pantas dan saya seperti tidak percaya dengan kejayaan ini. Lagipun, saya perhatikan penonton lebih menggemari filem komedi berbanding seram sejak akhir-akhir ini.

"Tetapi mungkin penonton sudah bijak berfikir dan memilih filem yang menepati cita rasa dan memberi kepuasan kepada mereka," ujarnya.

Tambahnya: "Apabila sambutan bagus, ia sekali gus memberikan cabaran kepada saya untuk mengekalkan kejayaan untuk filem seterusnya.

"Saya tidak akan leka dengan kejayaan sebaliknya lebih berhati-hati untuk mengatur langkah selepas ini."

Malah Syamsul juga tidak menolak kemungkinan dan percaya filem Khurafat – Perjanjian Syaitan mampu diketengahkan ke luar negara seperti Thailand dan negara Asia lain.

Namun segalanya bergantung kepada keputusan bapanya yang bertindak selaku penerbit filem tersebut.

Menduga Syamsul yang didakwa telah berjaya mengatasi kutipan filem arahan bapanya, Sembilu iaitu sebanyak RM6.2 juta, dengan merendah diri dia belum berasa "sudah menang".

"Saya rasa masih belum boleh mengalahkan kejayaan filem ayah saya kerana jika dibandingkan harga tiket dulu dengan sekarang sangat jauh berbeza. Pada waktu filem Sembilu ditayangkan, saya agak tiket dijual pada harga RM5 hingga RM6.

"Jadi, kalau kira jumlah penonton, pasti saya kalah kerana tiket sekarang dijual pada harga RM8 hingga RM11 yang membuatkan mudah untuk saya dapat capai sasaran," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syamsul sedang menantikan kemunculan filem arahannya berjudul KL Gangster di pawagam pada bulan Jun ini dan seterusnya filem Aku Bukan Tomboi.

Kejadian Seram Selubungi Krew Klip Video Aril

Posted: 02 Feb 2011 03:48 PM PST


PETALING JAYA: Sebuah kejadian misteri berlaku semasa penggambaran klip video Hanya, iaitu sebuah lagu tema untuk filem Tolong! Awekku Hantu.

Pengarah klip video tersebut, Shuhaimi Lua Abdullah memberitahu bahawa seluruh warga krew produksi sangat terkejut dengan kejadian pelik yang berlaku itu di sebuah chalet dalam hutan di kawasan Kemesah, Hulu Klang.

"Bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan sebuah pokok besar tiba-tiba tumbang di hadapan kami," kata Suhaimi ketika dihubungi Rabu.

Menurut pengarah itu, kejadian berlaku sejurus selepas seorang krew produksi menegur tentang persekitaran lokasi yang agak menyeramkan.


Shuhaimi Lua Abdullah
"Pokok itu hampir mengenai salah seorang krew kami dan sebuah lampu yang telah pun dipasang." tambah Shuhaimi.

Manakala Aril yang merupakan penyanyi dan pelakon utama klip video Hanya itu menyatakan ia adalah pengalaman pertamanya berhadapan perkara misteri yang sedemikian di lokasi penggambaran.

"Pokok sebesar empat pemeluk itu tumbang dan telah menghalang laluan ke kawasan lokasi. Krew telah memotong pokok yang tumbang dan kami meneruskan penggambaran," kata penyanyi dan pengacara itu.

Tiada sebarang kemalangan yang berlaku dan pengarah juga krew-krew di situ berjaya memasang semula bekalan elektrik di atas bantuan pihak penyelenggaraan chalet.

Shuhaimi, krew-krew dan para pelakon berada di chalet itu pada malam Isnin lepas dan menghabiskan masa semalaman untuk menyiapkan klip video yang berunsurkan komedi seram itu.

Klip Video arahan pengarah filem pendek Cukang itu mengisahkan tentang seorang lelaki lakonan Aril yang mengesyaki bahawa teman wanitanya adalah hantu yang menjelma menjadi manusia.

MonoloQue & Altimet Bakal Beraksi Di UK

Posted: 02 Feb 2011 03:47 PM PST


PETALING JAYA: Kumpulan MonoloQue dan penyanyi rap Altimet akan membuat persembahan di sekitar United Kingdom dan Ireland dalam siri jelajah yang dinamakan UK And Eire Tour bermula 18 Febuari depan.

Siri jelajah ini akan diadakan di empat lokasi utama bermula di Warwick, diikuti Nottingham dan Dublin. London pula akan menjadi lokasi penutup persembahan mereka pada 25 Februari.

Altimet yang sedang mencipta nama melalui lagu hit, Syukur, menyatakan bahawa dia sangat berbesar hati untuk turut serta di dalam siri persembahan itu dan akan menjanjikan persembahan yang terbaik untuk audiens di sana.

"Saya akan mempersembahkan sepuluh hingga dua belas lagu malah DJ Fuzz akan turut serta di dalam persembahan saya nanti," jelas Altimet apablia ditemui pada sidang akhbar yang berlangsung di The Bee, Jaya One, di sini, Rabu.

"Agak terkejut dan saya tertanya-tanya kepada diri sendiri kenapa mereka memilih saya untuk membuat persembahan di sana?

"Peluang seperti ini jarang datang kepada artis tempatan dan saya tidak mahu melepaskannya," jawab Altimet apabila ditanya tentang reaksi mengenai jemputan membuat persembahan di kota-kota negara Inggeris itu.

Bagi Loque dari kugiran MonoloQue pula, ini merupakan pengalaman baru bagi kumpulannya yang popular dengan lagu Jika Aku Seorang Robot dan Kekanda Adinda itu.

"Walaupun dijangkakan kebanyakan penonton adalah terdiri daripada pelajar dan warga Malaysia di sana, kami tetap optimis dan memandang siri gig ini sebagai satu titik permulaan untuk mengembangkan bakat dan karya kami di negara luar," kata Loque yang merupakan vokalis kumpulan itu.

"Kami sangat teruja untuk membuat persembahan di sana dan kami akan membawa satu elemen baru di dalam persembahan-persembahan kami," jelas MonoloQue yang akan membawa 12 lagu hit dan lagu baru mereka.

Kumpulan Negara ke United Kingdom (KNUKE) adalah organisasi yang menjadi tulang belakang di dalam siri jelajah ini.

KNUKE telah berjaya membawa kumpulan-kumpulan indie seperti Hujan, Estrella, Seven Collar t-Shirt, dan Couple membuat persembahan di negara itu sejak 2008.

"Matlamat kami adalah untuk meneruskan usaha menonjolkan bakat-bakat muzik indie tempatan di luar negara dan langkah membawa Altimet untuk turut serta membuat persembahan di UK adalah untuk menambahkan variasi di dalam siri jelajah ini," kata Rashdan Harith, salah seorang pengasas KNUKE.

"KNUKE bekerjasama dengan dua pertubuhan masyarakat Malaysia di United Kingdom iaitu Warwick Malaysian Society dan UCL Msoc untuk menjayakan persembahan MonoloQue dan Altimet di sana.

"Selain itu, kami juga telah membuat promosi melalui temu ramah di beberapa stesen radio dan media cetak di United Kingdom," tambah Harith.

Shila, Nabil Rakam Album Dengan Artis Luar Negara

Posted: 02 Feb 2011 03:46 PM PST


KUALA LUMPUR: Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) bakal menerbitkan album gabungan penyanyi tempatan dan luar negara.

Bagaimanapun, projek tersebut masih lagi dalam perbincangan. Prism telah memikirkan penyanyi tempatan yang akan terbabit dalam projek tersebut iaitu Shila Amzah dan Nabil Zamanhuri (Mentor).

Mengikut perancangan kedua-dua penyanyi itu akan merakamkan album dengan artis dari Filipina dan Kazakhstan.


Nabil Zamanhuri.
"Kami sedang merancang untuk merakamkan sebuah album melibatkan artis dari negara kita dan luar negara. Kami telah membuat beberapa pemilihan artis dan mencadangkan Shila dan Nabil.

"Kami mengharapkan projek ini dapat membantu mempromosikan kepelbagaian budaya dalam negara kita," kata Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu.

Kata Ong, dia melihat album Shila mempunyai peluang untuk dipasarkan di China.

"Kita mahu menonjolkan bagaimana artis Melayu menyanyikan lagu Cina untuk dibawa ke sana atau lagu Melayu diberikan kepada artis luar negara untuk dinyanyikan dalam bahasa mereka," ujarnya.

Raja Azrey Arah Teater Bangsawan 'Siti Zulaikha'

Posted: 02 Feb 2011 03:45 PM PST


PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia akan mementaskan teater bangsawan Siti Zulaikha pada 26 dan 27 Februari ini pukul 8.30 malam di Auditorium Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka.

Teater adaptasi dari naskhah asal srikandi Siti Zulaikha ini bakal diarahkan oleh pelakon dan pengarah Raja Azrey dan turut melibatkan artis-artis terkenal tanah air.

Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia, Datuk Kamarul Airi Arifin, objektif utama pementasan teater ini adalah untuk mengembalikan kegemilangan sekali gus mengangkat seni teater bangsawan yang suatu ketika dulu pernah menjadi acara hiburan masyarakat.

"Sebelum adanya medium elektronik seperti televisyen dan radio, pementasan teater bangsawan termasuk wayang kulit menjadi program hiburan penonton yang berkumpul bagai suasana di panggung wayang.


Raja Azrey sedang memerhatikan sesi latihan teater Siti Zulaikha
"Justeru, sebagai badan yang bertanggungjawab Pertubuhan Kebajikan1Malaysia bersama Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Persatuan Rumpun Seni dan Teater Shah Alam (RESAM) mengadakan pementasan ini untuk mengembalikan kegemilangannya.

"Dalam masa sama memperkenalkannya kepada generasi muda yang tidak pernah mengetahui kewujudan bangsawan," katanya.

Antaranya pelakon yang terlibat adalah Ani Mayuni dan DJ Pool (KL FM) yang mendukung watak utama selain turut dibantu oleh artis seperti Azza AF, Khaty Azean, Eida Moin, Syukor Yon dan Shah Farid. Produksi ini membabitkan 80 orang yang terdiri daripada pelakon, penari, pemuzik dan krew teknikal.