Adsense

Selasa, 1 Februari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Memey lali dengan kontroversi

Posted:

Memey lali dengan kontroversi

Memey lali dengan kontroversi

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my


Memey lebih tumpukan perihal kariernya berbanding kontroversi yang ditimbulkan oleh orang lain.


SEJAK penceraian aktor Norman Hakim dengan Abby Abadi tiga tahun lalu, diari peribadi pelakon drama , Memey Suhaiza, 23, penuh dengan kontroversi.

Susulan dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan pelakon Norman - Abby, satu-persatu Memey menerima tohmahan termasuk daripada peminat yang menyebelahi dan simpati dengan nasib yang menimpa Abby.

Walaupun kisah itu sudah lama berlalu dan sudah mengikat tali pertunangan dengan Norman Hakim, namun hidup Memey tidak pernah tenteram kerana sering dihujani dengan pelbagai cerita panas.

Terbaru, Abby membuat kenyataan di laman sosial Twitternya yang mengatakan Memey bersama bekas suaminya itu tinggal serumah berdasarkan gadis itu menjawab panggilan telefon anaknya di subuh hari.

Lantas, kenyataan Abby itu kembali memanaskan semula perang yang berlarutan antara mereka sehinggakan tiada lagi tanda-tanda yang menunjukkan mereka akan berdamai.

Bahana kontroversi itu, seperti biasa, Memey sudah menduga telefonnya pasti akan berdering tanpa henti kerana mendapat panggilan daripada pihak media yang ingin mengetahui perkara sebenar.

Ternyata Memey semakin matang berhadapan dengan kemelut dan kontroversi yang melanda dirinya dan dilihat lebih bijak menangani situasi tersebut.

Tindakan matang diperlihatkan oleh Memey apabila sejak kebelakangan ini dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas untuk menjawab isu tersebut. Sebaliknya, komen Norman sahaja yang berjaya diperoleh media.

Jawab Norman, ketika panggilan itu dibuat, mereka sedang bersarapan bersama di sebuah restoran.

Kebetulan, dia berada di tandas ketika itu dan telefon bimbitnya ditinggalkan bersama Memey. Apa salahnya jika tunangnya itu menjawab panggilan tersebut.

Begitulah jawapan yang diberikan Norman dalam usahanya untuk menjernihkan situasi panas mengenai persoalan duduk serumah.

Seperti mana rakan media lain, Hits juga tidak mahu ketinggalan mendapatkan kenyataan daripada Memey.

Berkesempatan berjumpa dengan pelakons tersebut di set penggambaran drama bersiri Bola Cinta di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Peluang itu Hits gunakan untuk menyelami hati dan perasaan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berhubung kontroversi terkini tersebut.

Makian, cacian biar pun tohmahan, semua itu telah menjadi sebahagian daripada hidup Memey sebaik sahaja dia memilih untuk menceburi bidang lakonan dan bergelar anak seni.

Meskipun bukan sengaja dicari tetapi pengalaman dihina dan dicemuh pasti akan hinggap dan tertulis dalam rentetan perjalanan seni bukan sahaja Memey tetapi mereka yang mahu menjadi artis.

Itulah pengalaman yang dirasakan Memey sejak dia bergelar pelakon lebih lima tahun lalu.

Namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Memey untuk terus mempertaruhkan bakat lakonan yang anugerah Tuhan.

Jelas Memey, segala bentuk kekangan yang wujud selama ini dijadikan pembakar semangatnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

"Semua yang berlaku, saya jadikan iktibar demi menjadikan diri ini lebih matang dalam menghadapi hidup yang mendatang.

"Saya sudah pun lali dengan segala kontroversi yang hinggap dalam kehidupan peribadi saya. Rasanya, lebih elok jika saya mendiamkan diri daripada terus membuat kenyataan balas.

"Sekurang-kurangnya, ia tidak akan memanjangkan sebarang isu yang timbul. Itulah pendekatan yang saya gunakan sekarang dan alhamdulillah, ia menjadi.

"Keluarga saya pun faham dengan apa jua situasi yang saya alami. Mereka pun dah lali," ujar Memey yang membawa watak Fiza dalam drama rantaian tersebut.

Tambah Memey, biarlah perkembangan kariernya yang menjadi perbualan umum, bukannya kisah peribadi sekali pun menyedari privasi sebagai seorang artis menarik perhatian ramai.

Kisah peribadinya, kalau boleh kata Memey, biarlah dia dan keluarganya sahaja yang tahu.

Dalam pada itu, Memey tidak menafikan kunjungannya ke Bandung, Indonesia baru-baru ini bersama Norman dan ahli keluarga yang lain adalah atas urusan persiapan perkahwinan mereka.

Ceritanya, dia ke sana untuk membeli barang-barang perkahwinan yang belum diputuskan lagi tarikhnya.

"Setakat ini, persiapan kami baru mencapai tahap 40 peratus sahaja. Tarikh untuk bernikah pun masih belum ditetapkan lagi.

"Tetapi persiapan sudah dirancang awal. Insya-Allah, ada jodoh kami akan jemput," katanya dengan harapan topik berkaitan peribadinya itu dapat dinoktahkan dengan segera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Malam gemilang

Posted:

Malam gemilang <i>The King's Speech</i>

Malam gemilang The King's Speech

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


KARYAWAN filem The King's Speech meraikan kejayaan mereka pada Anugerah Screen Actors Guild yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, malam Ahad lalu.


APABILA filem The King's Speech mengungguli Anugerah Screen Actors Guild Ke-17 (SAG) malam Ahad lalu, memang tidak syak lagi potensi filem itu untuk mendominasi Anugerah Academy atau Oscar pada 27 Februari ini.

Apatah lagi kemenangan filem itu untuk dua kategori iaitu Persembahan Barisan Pelakon Filem Terbaik dan juga Pelakon Lelaki Terbaik bagi teraju utamanya, Colin Firth, memang tidak mustahil untuk The King's Speech menjulang kejayaan di pentas Oscar nanti.

Bukan itu sahaja, The King's Speech juga memenangi dua anugerah utama yang tidak kurang pentingnya iaitu Anugerah Director Guild dan Anugerah Producer Guild yang sering kali menjadi indikator untuk sesebuah filem dan pengarahnya dipilih sebagai pemenang Oscar.

Sudah menjadi tradisi dalam musim anugerah di Hollywood untuk mana-mana pemenang yang memenangi Anugerah Golden Globe dan SAG, dengan mudah trofi Oscar akan menjadi milik mereka.

Sebagai contoh, pada tahun 2009, filem Slumdog Millionaire memenangi kategori Persembahan Barisan Pelakon Filem Terbaik pada SAG yang mana kategori itu boleh disamakan dengan kemenangan untuk Filem Terbaik.

Tidak lama selepas itu, Slumdog Millionaire terus membuktikan kehebatan mereka apabila merangkul lapan Oscar termasuk Filem Terbaik.

Justeru, kemenangan The King's Speech pada SAG bagai memberi gambaran jelas bahawa filem itu mampu menyerlah sekali gus berpotensi untuk merangkul kejayaan besar pada malam Oscar kelak.

Nampaknya, filem The Social Network yang sejak awal mengungguli pelbagai acara anugerah perlu menarik nafas panjang kerana The King's Speech pasti akan dapat membenamkan impian filem itu untuk terus mengungguli musim anugerah kali ini.

Bagi Firth, kemenangannya untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik itu setimpal dan berbaloi dengan segala pengorbanan yang telah dicurahkan untuk watak sebagai Raja George VI.

"Saya harus akui membawakan watak ini bukan semudah yang disangka kerana ia benar-benar mencabar saya sebagai seorang aktor.

"Saya mahu memastikan ia mendapat penghormatan yang sebaik-baiknya serta tidak menyinggung perasaan mereka yang berdepan dengan masalah gagap," jelas Firth ketika ditanya tentang kemenangannya untuk watak berkenaan.

Sempat juga Firth mencuri masa sebelum sidang akhbar dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya yang ketika itu berada di London, England.

Selain Firth, aktres jelita Natalie Portman juga mengulangi kejayaannya di Golden Globe apabila memenangi Pelakon Wanita Terbaik sekali gus berpotensi besar untuk menjulang Oscar.

"Saya sudah mula bekerja sejak berusia 11 tahun lagi dan saya bangga kerana dilindungi kesatuan setiap hari sehingga ke hari ini," ucap Portman dalam nada terharu sambil memanjangkan ucapannya untuk kedua ibu bapanya yang tidak pernah henti menyokong kerjayanya.

Tuah SAG juga nampaknya berpihak kepada dua orang pelakon filem The Fighter iaitu Christian Bale dan Melissa Leo yang sekali lagi mengulangi kejayaan masing-masing menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik.

SAG yang mula diperkenalkan pada tahun 1994 itu tidak hanya memberi pengiktirafan kepada karyawan filem tetapi juga kepada mereka yang terlibat dalam dunia televisyen.

Malam bersejarah itu menyaksikan keunggulan drama bersiri Boardwalk Empire memenangi dua kategori iaitu Persembahan Barisan Pelakon Siri Drama Televisyen Terbaik serta Pelakon Lelaki Drama Terbaik untuk aktor Steve Buscemi.

Kemenangan siri terbitan HBO itu telah menghampakan impian siri Mad Men untuk mencipta hatrik dalam kategori itu yang diungguli mereka sejak dua tahun lalu.

Siri komedi popular, Glee pula terpaksa akur dengan pilihan juri apabila siri Modern Family dipilih sebagai pemenang untuk kategori Persembahan Barisan Pelakon Siri Komedi Televisyen Terbaik.

Aktres Julianna Margulies pula terus mencipta kemenangan untuk tahun kedua berturut-turut apabila memenangi Pelakon Wanita Drama Terbaik menerusi drama The Good Wife.

Pelakon veteran, Betty White mengejutkan banyak pihak apabila lakonannya dalam siri komedi terbaru, Hot In Cleveland mengalahkan empat calon lain iaitu Edie Falco untuk Nurse Jackie, Tina Fey (30 Rock), Jane Lynch (Glee) dan Sofia Vergara (Modern Family).

Biarpun dicabar oleh aktor baru, nampaknya kehebatan Alec Baldwin masih belum dapat ditandingi apabila dia mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi SAG untuk lima tahun berturut-turut menerusi siri komedi, 30 Rock.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pula diberikan kepada aktor veteran, Ernest Borgnine selaku penerima yang ke-47 selepas Betty White, James Earl Jones, Shirley Temple, Julie Andrews dan Elizabeth Taylor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.