Adsense

Selasa, 1 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Karier seni buah hati Anis

Posted: 31 Jan 2011 08:00 AM PST

KEINGINAN untuk melebarkan sayap seni di rantau orang tidak pernah terpadam buat penyanyi, Anis Aneesa, 24. Biarpun belum layak dikategorikan dalam kelompok artis popular tanah air, Anis atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi terus berusaha mengukuhkan nama dalam dunia seni.

Ikut pada perancangan, Anis yang baru melancarkan album mengambil judul namanya sekitar Ogos tahun lalu mahu mencuba nasib di Indonesia.


Penyanyi yang mempertaruhkan single pertama, Qasidah Cinta berkonsep 'world music' menaruh harapan tinggi dan menyerahkan segala urusan kepada pihak pengurusan di bawah syarikatnya sendiri, Anis Sya MD Production dengan kerjasama Wake The Baby Record dan pihak Warner Music untuk tujuan itu.

Menurut Anis jika tiada aral pihak pengurusannya akan berlepas ke Jakarta tidak lama lagi untuk mengenal pasti tawaran menjayakan persembahan di sana selain meneruskan usaha mempromosikan album barunya di sana.


"Bukan mudah untuk menembusi pasaran di sana. Di sebabkan itu melalui perbincangan pihak pengurusan kami bersetuju melantik wakil di sana untuk mengendalikan urusan seperti persembahan, promosi dan beberapa sesi temu bual. Jika tiada aral saya mungkin mengadakan kolaborasi bersama Wali Band yang popular dengan lagu Cari Jodoh. Wali dilihat agak sesuai dengan konsep muzik yang saya nyanyikan.

"Saya juga mahu mengintai peluang untuk bekerjasama dengan beberapa komposer di sana. Jika tiada aral pembikinan video klip Qasidah Cinta juga mungkin diadakan di Jakarta. Semuanya bergantung kepada perbincangan dengan pihak di sana.


"Tidak dinafikan mungkin penerimaan peminat terhadap lagu ini sukar dijangka memandangkan setiap daripada kita mempunyai selera muzik masing-masing. Begitupun pada saya jika tidak cuba kita belum tahu. Soal berjaya atau tidak adalah faktor kedua. Yang penting saya mahu mencuba," katanya.

Selain Qasidah Cinta, Anis mempertaruhkan single kedua, Selamatkan Cinta, lirik dan lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai. Dia menaruh keyakinan tinggi kepada lagu berkenaan yang disifatkan mesra pendengar dan catchy.

Anis bersyukur kerana mendapat maklum balas positif daripada peminat terhadap lagu yang dinyanyikan. Dia juga sering mempromosi lagunya setiap kali diundang menjayakan persembahan. Malah rezeki menjayakan persembahan ternyata tidak pernah putus buatnya.


Selepas Indonesia, Anis merancang melebarkan sayap seni di Kota Singa seterusnya Brunei dan tidak terkecuali India disebabkan sering menyanyikan lagu Hindustan dan pernah menyertai program Bollywood Astro menerusi Zeetelevision (saluran 108), Saregamapa Challenge Asia Pasifik 2008 beberapa tahun lalu.

Bagi Anis sendiri 2011 adalah tahun bekerja keras untuk memantapkan karier seni. Gadis yang pernah tampil dengan album mini berjudul Kau Tetap Di Hati yang diterbitkan Adnan Abu Hassan pada 2008 serta album kompilasi Anugerah menerusi lagu Abadi Selamanya sekitar 2009.

Ditanya mengenai insan istimewa yang bertakhta di hati ketika ini, Anis memberitahu setakat ini karier seni adalah 'buah hatinya'. Memandangkan masih baru dalam dunia seni, dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada karier berbanding kisah peribadi. Dia meletakkan impian untuk meraih populariti sebaris dengan artis ternama tanah air.

"Memang sukar untuk popular memandangkan saingan dalam dunia seni agak sengit. Saingan daripada kemunculan artis baru dan program realiti tidak dapat dinafikan. Artis realiti mempunyai platform tersendiri yang memberi laluan yang lebih mudah buat mereka untuk mengecapi populariti.

"Begitupun ada segelintir daripada artis yang tidak lahir daripada program realiti, tetapi berjaya memacu populariti dengan cara tersendiri," kata Anis yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan selepas membuat penampilan sebagai cameo dalam filem Hello arahan AR Badul. Walaupun mula terbabit dalam bidang lakonan namun keutamaan masih dalam nyanyian.

>PROFIL
NAMA PENUH: Nuranishazwani Mushidi
NAMA KOMERSIAL: Anis Aneesa
TARIKH LAHIR: 14 Julai 1986
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak pertama daripada dua beradik
HOBI: Menyanyi, membaca, membeli-belah
KARIER : Penyanyi dan pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
JUDUL ALBUM: Kompilasi - Lagenda Cinta, Dang Dang Dut 3, Solo - Anis Aneesa
FILEM : Hello arahan AR Badul (cameo)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

PMF capai matlamat

Posted: 31 Jan 2011 07:57 AM PST

LIMA tahun penganjurannya, Program Merakyatkan Filem (PMF) di pawagam Coliseum, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, nyata membawa impak yang baik dalam kalangan masyarakat. Ini kerana sambutan diterima daripada penonton sangat menggalakkan.

Dalam tempoh itu, lebih 30,000 penonton hadir menyaksikan tayangan percuma kira-kira 45 filem klasik tempatan sekitar era 1960-an hingga 1990-an yang secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada penonton mengimbau kenangan dan nostalgia.


Timbalan Ketua Setiausaha (kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Mohamed Mohd Daud berkata, beliau sangat berpuas hati dengan penerimaan penonton. Ia sekali gus membuktikan program PMF ini berjaya seperti diharapkan.

"Tujuan program PMF ini dianjurkan ialah sebagai antara agenda pembangunan seni budaya dan warisan di negara ini. Bahkan, ia turut membantu usaha kementerian untuk menjayakan gagasan 1Malaysia yang diterjemahkan menerusi kehadiran pelbagaikan kaum, lapisan umur dan agama.


"Selain itu, menyemai dan menyemarakkan minat penonton supaya lebih akrab antara sama lain serta mencintai filem tempatan. Justeru, boleh dikatakan, ini juga strategi jangka panjang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk generasi pelapis penonton.


"Apapun, memang tak dinafikan betapa besar pengaruh filem kepada pemikiran seseorang penonton. Sehubungan itu, filem bukan saja menjadi medan untuk karyawan dan penggiat seni, malah ia turut diakui berperanan dalam proses sosialisasi atau pembentukan kendiri.

"Melihatkan pencapaian yang baik ini, program PMF turut dirancang penganjurannya di seluruh negara. Namun, semua itu masih dalam perbincangan dan harap ia dapat dilaksanakan di seluruh negeri. Saya yakin, ia pasti mendapat sambutan yang baik juga," katanya.


Beliau yang ditemui ketika sesi sidang media diadakan berkata, kerajaan juga serius mahu membangunkan industri kreatif negara dengan menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta. Selain itu, kementerian juga sudah mengemukakan kertas cadangan Dasar Kandungan Kreatif Negara.

Turut berkongsi rekod kejayaan industri perfileman negara tahun lalu, Mohamed berkata, seramai 9 juta penonton ke pawagam menyaksikan penayangan 29 filem cakera tempatan sepanjang 2010. Berdasarkan jumlah itu, kutipan diraih industri meningkat sebanyak RM76 juta.


"Saya melihat penonton sekarang sudah kembali berminat menyaksikan filem tempatan. Jadi, bagi memastikan sambutan ini terus meningkat dari semasa ke semasa, Finas turut membantu mempergiatkan program promosi dan publisiti yang kukuh," katanya sangat berpuas hati. Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim. Beliau berkata, pemilihan pawagam Coliseum di Jalan TAR ini sangat unik kerana pawagam berkenaan masih mengekalkan seni warisan lama. Selain itu, katanya pihak pawagam turut memberi kerjasama baik.


"Selain filem Azura lakonan Ogy Ahmad Daud dan Jamal Abdillah yang ditayangkan pada hari ini (kelmarin), karya lain sudah ditayangkan kepada penonton seperti Jogho, Kaki Bakar, Kolej 56, Matinya Seorang Patriot, Mat Som, Kisah Seorang Biduan dan banyak lagi.


"Memandangkan tayangan satu filem diadakan hanya setiap Sabtu pada akhir bulan, boleh dikatakan sambutan diterima daripada penonton ke pawagam ini membanggakan. Selalunya, sebanyak 1,000 tempat duduk disediakan dalam pawagam ini penuh diisi penonton yang hadir," katanya.


Sehubungan itu, filem klasik yang menemui penonton dan ditayangkan sepanjang 2011 ini ialah Rozana Cinta 87 pada 28 Februari. Diikuti, Perjanjian Syaitan (28 Mac), Adik Manja (30 April), Madu Tiga (29 Mei), Rentak Desa (25 Jun), Dendam dari Pusara (24 September), Fantasi (29 Oktober), Guru Badul (26 November) dan Balik Kampung (31 Disember).


Bintang utama Azura, Ogy berkata, dia sangat gembira kerana filem yang dilakonkannya pada usia 24 tahun ini masih mendapat sambutan hangat penonton. Katanya dia juga tidak menyangka filem itu berjaya menjadi antara filem klasik yang masih menarik perhatian.


"Saya memang tidak menduga filem Azura akan dikenang lagi dan masih mendapat pengiktirafan hingga kini. Saya harap sokongan ini akan diberikan secara berterusan. Apapun, kejayaan filem Azura bukan terletak pada saya dan Jamal, tetapi M Nasir dan juga Deddy M Borhan" katanya.


Pada majlis itu, penonton turut dihiburkan dengan sorotan jalan cerita Azura diganggu Zack ketika balik dari sekolah. Diikuti, penonton dipersembahkan dengan dua lagu iaitu Azura dendangan Lan (Kristal) dan Sandarkan Pada Kenangan (duet Lan dan Ogy).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.