Adsense

Jumaat, 28 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Zul Huzaimy tak dapat watak jahat

Posted: 27 Jan 2011 06:17 AM PST

SEAWAL promosi filem Haq terbitan KasihDia Pictures tahun lalu, ramai sudah memperkatakan mengenai watak Bad, lakonan Adi Putra yang beraksi panas dengan Zahra (Nanu Baharudin).

Fakta menarik pada majlis previu filem itu malam kelmarin, watak Bad juga sebenarnya turut menjadi idaman Zul Huzaimy yang memegang watak Haq. Namun, sebaik saja produksi memulakan sesi latihan, watak Bad diserahkan kepada Adi Putra.

Kata Zul Huzaimy, sebaik saja mendapat skrip filem itu, dia begitu inginkan karakter Bad yang berdengki dengan saudara lelakinya sendiri kerana memiliki kuasa luar biasa. Cemburu dan berasakan dirinya tidak disayangi keluarga, Bad kemudian melarikan diri. Kepulangannya, bagaimanapun menimbulkan seribu satu persoalan apabila dia juga memiliki kuasa luar biasa.

"Saya sukakan perjalanan cerita Haq. Awalnya saya minta produser untuk melakonkan watak antagonis itu, namun dia tidak setuju. Mungkin mereka rasa saya selalu membawakan watak sedemikian dan ada baiknya saya menjadi Haq. Sebagai pelakon, sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat melakonkan watak yang begitu kuat pada pandangan saya," katanya.


Begitupun, apabila latihan dilakukan sehinggalah selesai penggambaran, pandangan Zul Huzaimy terhadap watak Haq tiba-tiba berubah.


"Selepas menjayakan watak Haq, barulah saya nampak pandangan produser terhadap penampilan saya bagi watak itu. Watak Haq adalah seorang yang jujur," katanya.

Menyaksikan persembahan Zul Huzaimy, dapatlah dikatakan ia sama sekali tidak mengecewakan, malah dia mampu membawakan wataknya dengan berkesan terutama dalam babak pertarungan. Aksinya nampak kemas dan meyakinkan.

Jelas Zul Huzaimy, pengalaman membabitkan diri dalam filem aksi sebelum ini antaranya Anak Halal dan Kl Gangster, banyak membantu. Bagaimanapun, latihan masih perlu sebelum penggambaran agar semuanya nampak lebih hidup.

Zul Huzaimy juga tidak menghadapi masalah untuk bergandingan dengan pelakon lain terutama Adi Putra kerana mereka sebelum ini pernah bertemu dalam filem Anak Halal. Menariknya, dalam kedua-dua filem itu, mereka masih lagi menjadi seteru.

Sebelum ini sewaktu sedutan filem Haq ditayangkan menerusi laman web bagi mempromosikannya, ramai memperkatakan gaya maskulin Adi Putra yang asyik menayangkan susuk tubuhnya itu.

Melalui previu itu, aksi panas yang hangat diperkatakan sebelum ini bagaimanapun tidaklah sehangat mana. Cuma penampilan Adi yang kerap tidak berbaju menyebabkan banyak suara nakal menggelarkan dia sebagai simbol seks.

Secara keseluruhan, Adi mempunyai pandangan tersendiri mengenai Haq. Katanya, apa yang dipaparkan dalam Haq adalah fakta dan kenyataan. Ia memaparkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat masa kini.

"Contohnya, kalau kita tengok sekarang, banyak masalah sosial berlaku dalam masyarakat kita dan antara paling banyak berlaku sekarang adalah pembuangan bayi. Kita kena lihat perkara ini dengan lebih mendalam. Jadi, aksi saya dalam Haq adalah hendak menunjukkan bagaimana kejahatan Bad dan bagi menghidupkan lagi jalan cerita," katanya.

Mengulas aksinya yang berani, jelas Adi Putra, pada peringkat awal dia rasa gemuruh, namun atas rasa tanggungjawab bagi menjayakan watak itu membuatkan dia nekad melakukan yang terbaik.

Menyentuh mengenai kebanyakan babaknya yang tidak berbaju pula, Adi Putra akui pada peringkat awal dia rasa segan kerana harus menayangkan badan di depan kamera dan kru di lokasi.

"Namun mereka yang berlakon dalam Haq semuanya profesional, jadi lama-kelamaan perasaan segan itu hilang dengan sendirinya. Saya cuba memberikan yang terbaik untuk Haq," katanya.

Bercerita mengenai babak aksi , jelas Adi Putra, pernah satu ketika kerana ia menuntut begitu banyak tenaga, dia pernah hampir pengsan.

"Saya tidak tahu mengapa kerana sedang menjayakan babak itu kepala tiba-tiba berpusing dan rasa hendak pengsan. Mungkin waktu itu badan kurang gula. Tapi mujur ia berlaku seketika dan kerja penggambaran dapat dilakukan semula selepas berehat buat seketika," katanya yang harus melakukan latihan hampir setiap hari bagi adegan pertarungan.

Selain Zul Huzaimy, Adi Putra dan Nanu, turut membintangi filem ini, Raja Farah, Fatimah Abu Bakar, Zulkifli Ismail, Ammar Adli Mohamed Norin dan Airul Adli Mohamed Norin.

PROFIL

NAMA PENUH: Zul Huzaimy Marzuki
PANGGILAN: Zul Huzaimy
TARIKH LAHIR: 12 Disember 1978
USIA: 33 Tahun
TEMPAT LAHIR: Grik, Perak
KELULUSAN: Diploma Seni Persembahan, Akademi Seni Kebangsaan (ASK)
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Haq, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Wayang, Senario The Movie: Episode 1, Anak Halal, Impak Maksima, Cinta Yang Satu, Syaitan, Remp-It, KL Menjerit, Lang Buana
DRAMA: Antaranya Ombak Laut Cina Selatan, Salam Sakaratul Maut, Kelab Wayang Gambar, Pantang, Salam Terakhir, Cinta Sang Gembala, Semanis Buah Ceri, Pusaraku Pelamin Ayah, 3 Dara, Kau Laksana Bulan, Lembrata Pak Lang Husin, Mentari Jingga, Bukan Aku Tak Cinta, Denai Berbisik
TEATER: Hamlet, Alang Rentak Seribu, Tengku Anum, Gedebe
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-21

PROFIL

NAMA PENUH: Mohamed Hadi Putera Halim
PANGGILAN: Adi Putra
TARIKH LAHIR: 26 Februari 1981
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Singapura
KELULUSAN: Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura
KERJAYA: Pelakon, penyanyi
DRAMA: Haryati 2, Aku Cinta Padamu, Kelahiran Teristimewa, Akukah Tanggang, Mat Jenin, Mya Zara, Kala Hati, Na O Mei, Air Mata Salina, Emily, Cinta, Dakapan Senja, Kasih Relaku Pujuk
FILEM: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Hanyut, KL Gangster
TEATER: Rubiah, Sri Mersing.
ALBUM: Kelahiran (2008)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kenangan Shamrin Fotograf

Posted: 27 Jan 2011 06:09 AM PST

TANGGAL 11 November tahun lalu, industri seni tanah air dikejutkan dengan berita kematian vokalis kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad atau Shamrin, 46, yang rebah tiba-tiba ketika bermain bola sepak bersama rakan artis lain.

Sebelum kematiannya Allahyarham ada merakamkan satu single baru, Sekali Rindu Datang untuk peminatnya selepas sekian lama Fotograf menyepi diri. Single istimewa itu kini dimuatkan dalam album kompilasi The Best Of Shamrin And Fotograf.

Edaran Warner Music (M) Sdn Bhd, album pengubat rindu yang ditinggalkan Shamrin itu sudah berada di pasaran sejak 19 Januari lalu. Sebanyak 24 lagu dimuatkan dalam album itu dan pastinya ia menggamit memori lalu yang kini tinggal kenangan.

Penulis lagu terakhir yang sempat bekerjasama dengan Allahyarham, Nik Nizam Jaafar, 41, yang hadir pada sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini berkata, ia adalah kerjasama pertama antaranya dengan arwah yang disifatkan mesra orangnya.


Menurut Nik Nizam, lagu Sekali Rindu Datang diciptanya khusus untuk Allahyarham Shamrin kerana ia sesuai dengan vokal arwah yang lunak dan lantang. Malah, lagu itu akan mengingatkan peminat pada zaman era kegemilangan kumpulan Fotograf .


"Single bergenre balada ini ada persamaan dengan lagu dalam album terdahulu Fotograf seperti Di Alam Fana Cintamu dan Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal yang menjadi siulan ramai sehingga sekarang. Ia nyata cukup dekat dengan jiwa peminat.

"Arwah merakamkan single ini pada November 2009 dan saya sebenarnya tak sangka Shamrin sudi menyanyikannya. Namun, dia turut meminta elemen muzik 90-an dimuatkan dalam lagu ini kerana bersesuaian dengan cita rasa peminat Fotograf.

"Malah, Shamrin juga berpuas hati dengan lagu Sekali Rindu Datang ini. Cuma, saya sangat sedih kerana pada saat album kemunculan semula Shamrin berada di pasaran, arwah sudah dijemput Ilahi. Segala kerja keras kami selama ini tidak dapat dikongsi bersama.

"Apapun, itu sudah ketentuan hidup arwah dan saya doakan rohnya dicucuri rahmat di sisi Yang Maha Esa. Selain itu, saya turut berharap album kompilasi ini akan mendapat sambutan baik dan menggalakkan di pasaran daripada peminat Fotograf," katanya.

Ditanya apakah lagu itu memang diciptanya khusus untuk arwah, Nik Nizam berkata, sebaik melodi Sekali Rindu Datang diperoleh, dia terus membayangkan vokal Shamrin. Katanya, dia pun menemui Shamrin untuk berbincang dan memperdengarkan lagu itu.

Menyentuh pertemuan terakhir dengan arwah, ujar Nik Nizam, dia bertemu Shamrin sebulan sebelum Allahyarham meninggal dunia. Jelasnya, ketika itu memang tidak nampak sebarang perubahan ke atas diri arwah dan dia juga sihat.

"Saya tidak pernah tahu atau melihat arwah sakit sepanjang kami bekerjasama merakamkan album ini. Malah, kami pernah berbincang untuk membuat aktiviti promosi dan publisiti bersama berikutan bergerak sendiri dan tiada syarikat rakaman.

"Banyak yang sudah kami rancang, tetapi kini semuanya saya harus teruskan sendiri. Saya sangat berterima kasih kepada Warner Music kerana menjadi pengedar album ini. Klip video lagu Sekali Rindu Datang juga sudah dihasilkan pada Mac 2010," katanya.

Bertugas sebagai pemuzik orkestra di Istana Budaya, Nik Nizam berkata, dia sudah lama terbabit dalam penciptaan lagu.

Katanya, selain mencipta lagu untuk penyanyi arus perdana, dia juga menghasilkan lagu patriotik seperti Malaysiaku Gemilang.

Antara lagu dimuatkan dalam album kompilasi istimewa ini, Janji Kekasih, Keliru Dalam Rindu, Kalimah Cinta, Nyata Kasihku, Pelangi, Di Alam Fana Cinta (duet dengan Datuk Sharifah Aini), Ke Pintu Kasihmu, Terlena Dalam Jaga dan Nafas Kekasih.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.