Berita Harian: Hip |
Posted: 27 Jan 2011 12:40 PM PST Hip Adam mahu fokus kembali bidang nyanyian supaya tidak dilupakan peminatSEJAK kehadiran Shahir, Akim, Hafiz dan ramai lagi penyanyi lelaki lebih muda daripada program realiti Akademi Fantasia (AF), nama Adam AF2 yang satu ketika dulu menjadi sebutan ramai peminat, terutama gadis remaja, seperti semakin dilupakan. Kelibatnya dalam dunia muzik seakan-akan kian tenggelam, hinggakan namanya tercicir daripada senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), walhal satu ketika dulu, penyanyi yang popular dengan lagu Benar-Benar dan Joget Lambak ini antara yang terkuat di kalangan calon Penyanyi Lelaki Popular. Ketika berkunjung ke Balai Berita dengan ditemani dua artis naungannya, kumpulan Bad Boys dan penyanyi solo wanita Shima, baru-baru ini, jejaka berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu tidak langsung menunjukkan riak terkejut dengan keciciran namanya daripada senarai calon akhir ABPBH 2010. Lagi pun katanya, ia bukanlah kali pertama dirinya berdepan situasi sedemikian."Sepanjang enam tahun bergelar artis rakaman, tiga kali juga nama saya tercicir daripada senarai pencalonan. Jadi saya tidaklah begitu terkejut apabila gagal menempatkan diri dalam senarai anugerah itu sekali lagi pada tahun ini. "Bagi saya anugerah seperti ini 'bermusim'. Maksud saya, apabila munculnya nama-nama baru, biasanya mereka inilah yang akan menjadi perhatian. Saya perhatikan, lazimnya wajah baru yang dilahirkan daripada AF pasti tidak akan ketinggalan daripada dicalonkan, contohnya seperti Shahir. "Mungkin salah saya juga kerana terlalu memberikan fokus kepada bidang lakonan pada tahun lalu, sehingga kurang mengambil berat pasal nyanyian. Sedangkan, semua orang tahu minat utama saya masih lagi bidang muzik. Memandangkan tiada lagu baru, stesen radio hanya memutarkan lagu lama saya. Apabila tiadanya produk baru, secara automatik nama saya tiada dalam senarai pencalonan. Jadi tahun ini, rancangan saya mahu kembali aktif dalam dunia nyanyian," katanya yang akan melancarkan album baru pada Februari ini. Biarpun namanya mungkin sedikit sepi sejak kebelakangan ini, namun anak sulung daripada empat adik-beradik ini mempunyai visi yang jelas dalam kerjaya seninya. Kejayaan idolanya, trio adik beradik KRU - Norman, Yusry dan Edry - dalam bidang hiburan dan perniagaan memberi inspirasi buat Adam untuk memiliki syarikatnya sendiri, seterusnya mencipta kejayaan seperti artis pujaannya. "Selepas empat tahun menjadi penyanyi, saya mula terfikir perlu memiliki jenama sendiri. Maka tertubuh syarikat ini, Aico Empire Group. Bagi saya, seseorang itu tidak perlu menunggu sehingga sudah lanjut usia untuk mereka miliki syarikat. Ketika kudrat kita masih kuat, saat itulah yang terbaik untuk kita mengejar impian. "Saya sememangnya menjadikan adik-beradik KRU sebagai inspirasi. Walaupun mereka masih muda, KRU berjaya memiliki syarikat sendiri, malah berjaya mengetengahkan ramai artis baru yang dikenali ramai di bawah jenama mereka," katanya. Sementara itu, ketika ditanya apakah dia cuba membela nasib artis senegeri, apabila mengambil Bad Boys yang juga berasal dari Sabah, sebagai artis naungannya, jejaka yang lebih terarah kepada muzik pop dan tarian ini menafikan tanggapan sedemikian. Kata Adam, dia menawarkan kumpulan itu untuk bernaung di bawah labelnya mengenangkan industri muzik tanah air ketika ini yang ketandusan 'boy band'. Apatah lagi dia sudah pun mengenali kumpulan yang ditubuhkan sejak 2008 itu ketika di Sabah lagi. "Saya tertarik untuk mengambil mereka kerana kebolehan Bad Boys menari dan menyanyi dengan baik," jelas Adam mengenai kumpulan yang kini hanya mempunyai tiga anggota, Rayndra Jubidi, 22; Eryande Sahat, 26 dan Mailin Antikoh, 22. Anjur konsert di Sabah SELAIN memiliki syarikat sendiri, Adam nampaknya mengorak setapak lagi langkah ke depan apabila berani menanggung risiko menganjurkan konsert dengan menggunakan bajet sendiri. Konsert solo pertamanya yang dinamakan Adam Borneo Tour itu akan diadakan sekitar Mac ini dengan lokasi pertamanya di Semporna, Sabah. Di samping konsert sulung itu, Adam turut merencanakan persembahan di 13 lokasi lain di negeri berkenaan. Penyanyi itu memilih negeri kelahirannya sebagai destinasi persinggahan konsertnya kerana ramai penyokongnya datang dari negeri terbabit. Namun katanya, sebagai permulaan, konsert berkenaan tidaklah diadakan pada skala besar-besaran. Sebaliknya ia akan dianjurkan dalam dewan yang mampu memuatkan antara dua hingga tiga ribu penonton saja. "Saya mengambil inisiatif menganjurkan konsert sendiri bukan untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi, ia lebih kepada tanda penghargaan buat peminat yang selama ini menyokong kerjaya seni saya. Konsert ini memang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat saya tetapi jika ada yang berminat untuk menaja, tentu sekali amat saya alu-alukan," ujarnya. Kata Adam, pada konsert terbabit, dia akan menyanyikan kira-kira 20 lagu daripada empat albumnya, termasuk album terbaru yang dihasilkan sendiri olehnya. "Konsert itu nanti juga akan menampilkan dua artis naungan saya, Bad Boys dan Shima. Inilah masanya untuk saya memperkenalkan dua artis baru ini kepada peminat. Tiket untuk menyaksikan konsert saya juga dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM 10 hingga RM 100. "Insya-Allah jika konsert ini turut mendapat permintaan daripada penganjur atau peminat di Semenanjung, saya pasti mempertimbangkannya," kata Adam. |
Posted: 27 Jan 2011 12:34 PM PST Hip AHMAD ZAHID ( berdiri enam dari kiri ) bersama penerbit dan pelakon drama Beret Hijau. Turut kelihatan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin (berdiri lima dari kiri). Gambar bawah, PELAKON yang membintangi drama Bersiri Beret Hijau pada majlis pelancarannya di Bidor Kopitiam, Cheras. TANPA disangka-sangka, drama bersiri 13 episod Beret Hijau mendapat permintaan istimewa daripada VIP yang menawarkan diri untuk membuat penampilan khas sebagai barisan pelakonnya. Tawaran yang dibuat menerusi panggilan telefon daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin (KJ) untuk sama-sama terbabit dalam drama ini sudah tentu mengejutkan penerbitnya, Den Wahab. Drama terbitan terbitan Global Network Entertainment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan itu kini sedang dalam penggambaran di Kem Sungai Udang, Melaka sehingga penghujung Mac depan.Ketika mengesahkan perkara ini, Den berkata, dia memang sangat berbesar hati apabila Khairy menunjukkan minat mendalam untuk terbabit dalam drama Beret Hijau. "Agak mengejutkan apabila saya diberitahu oleh seseorang beliau (Khairy) menyatakan minat untuk terbabit dalam drama ini. Saya terus menghubungi beliau untuk mendengar sendiri daripada mulutnya dan dia memang mengakui berminat untuk berlakon dalam Beret Hijau. "Tanpa berlengah saya terus mendapatkan penulis skrip untuk melihat watak yang sesuai bakal dibawa nanti. Beliau (Khairy) akan membawakan watak sebagai Kapten yang berpangkalan di Markas Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan sekurang-kurangnya empat babak.
Mengulas lanjut mengenai Beret Hijau, Den berkata, drama terbitannya itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Pertahanan, lebih-lebih kerana ia memerlukan penggunaan pelbagai peralatan canggih dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM). "Alhamdulillah saya lega apabila drama yang biasanya memakan belanja yang besar ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ATM. Tanpa kerjasama ini sudah tentu kami berhadapan kesukaran untuk menjalani penggambaran ini. Apa saya keperluan yang diperlukan di dalam penggambaran ini sedia mendapat kerjasama daripada ATM jadi ia memudahkan perjalanan kerja kami. "Kita dibekalkan dengan pelbagai peralatan canggih tentera seperti M16, Pump Gun Auto, trak tentera, helikopter, pesawat tentera, bot tempur, land rover grenade louncher, pisau komando, sniper, bom asap dan ambulan perisai. "Drama yang banyak memaparkan imej ketenteraan ini diharap menjadi usaha meningkatkan minat orang ramai menyertai ATM," katanya. Hadir sama pada majlis pelancaran drama Beret Hijau, Menteri Pertahanan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifli Mohd Zin. Bantuan percuma tapi bersyarat Kementerian Pertahanan sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat penerbitan dalam usaha menerbitkan lebih banyak drama atau filem bercorak ketenteraan bertujuan membantu meningkatkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ahmad Zahid berkata, bantuan yang diberikan bukan saja dalam aspek khidmat nasihat, malah membabitkan aspek teknikal seperti penggunaan aset ketenteraan termasuk lokasi bagi tujuan penggambaran. "Aset yang digunakan dalam penggambaran drama ini sama ada aset boleh nampak dan tidak boleh nampak memang sukar untuk diperoleh dan tentu memerlukan bayaran yang banyak untuk menampungnya. "Buat masa ini belum ada ada mana-mana angkatan tentera di negara lain yang akan memberikan secara percuma untuk penerbitan filem atau drama, atas sebab ATM bermurah hati, aset ini diberikan dengan percuma tetapi bersyarat, ia harus memberikan gambaran terbaik kepada ATM. "Salah satu usaha penjenamaan semula ialah melalui ATM ke mata rakyat melalui media massa seperti iklan, dokumentari, drama dan filem. Pendedahan aktiviti profesional yang ada dalam ATM melalui olahan, penceritaan dan penggunaan peralatan canggih yang ada di dalam tentera seperti kereta kebal, kereta perisai, kapal terbang dan helikopter dapat membantu mencapai matlamat ini," katanya. Ahmad Zahid juga berharap dengan pendedahan kisah komando yang bakal dipaparkan menerusi drama terbitan Global Network Entertainment Sdn Bhd, Beret Hijau ini, generasi muda lebih berminat untuk menganggotai ATM. "Sebelum ini industri perfileman dan penerbitan drama tidak ketinggalan menyajikan pelbagai pengisian cerita ketenteraan dengan membentuk episod darurat. Jarang sekali pengisiannya menggambarkan kehidupan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman," katanya yang turut menyatakan ATM akan memantau kualiti drama ini dari masa ke semasa. Drama Beret Hijau turut dibintangi barisan pelakon seperti Iqbal Mazlan (Pilih Kasih) sebagai Haziq, Azie Yahya (Sarjan Aishah), Chomell Fana (Amirah), Hasnul Rahmat (Soleh), Aman Graseka (Abu Farsi) dan Kuswadinata (Pak Ali).
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |