Harian Metro: Rap |
Posted: 17 Jan 2011 06:33 AM PST ANTARA ribuan remaja yang memasang impian untuk bergelar penyanyi, dia antara yang bertuah kerana diterima masuk sebagai salah seorang pelajar Akademi Fantasia 2 (AF2) pada 2005. Melalui program realiti paling popular itulah, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, berpeluang menimba ilmu, menonjolkan bakatnya serta meraih peminat. Kemenangannya di tempat ketiga juga menarik perhatian KRU untuk bernaung sebagai artis rakaman mereka seterusnya memiliki album sendiri. Tercapai hasrat untuk memiliki album yang pada awalnya dianggap pencapaian besar serta memenuhi kepuasan pada diri sendiri, namun persepsinya kini berubah. Dia kini mengorak langkah menceburi bidang perniagaan dengan memiliki syarikat rakaman sendiri.
"Saya berasa bertuah kerana ditawarkan menjadi artis KRU yang sehingga kini masih lagi artis naungan mereka. KRU yang saya kenal dulu hanyalah sebuah kumpulan namun kini mempunyai empayar perniagaan berstatus Berhad. "Bahkan, menerbitkan produk bertaraf antarabangsa misalnya filem Merong Mahawangsa yang menjadi rebutan pengeluar filem antarabangsa. "Untuk terus kekal dalam bidang ini, saya berasakan tidak cukup sekadar menjadi penyanyi yang memiliki album mahupun dikenali sebagai pelakon saja, sebaliknya dengan memiliki perniagaan sendiri akan menjamin kedudukan seorang artis dan jangka hayat mereka dalam bidang seni," katanya. Kesedaran itu memberanikan Adam untuk mempunyai syarikat rakaman sendiri dinamakan Aico Empire Group. Sebagai percubaan dan permulaan, Adam melalui syarikatnya memperkenal dua artis iaitu artis solo, Shima dan Bad Boys secara berkumpulan. Ia dianggotai Eryandy Sakat (Yandy), 27, Mailin Antikoh @ Maxlon, 23, dan Rayndra Jubidi (Ray'an), 23. "Aico Empire Group ditubuhkan sudah lama kira-kira 3 tahun lalu tetapi sebelum ini saya menggunakan label Aico Entertainment. Namun, dalam merangka perniagaan yang lebih besar, saya menukar statusnya kepada Aico Empire Group. "Terdapat dua artis baru yang diperkenalkan menerusi syarikat ini iaitu Bad Boys dan Shima Ramli atau Shima yang pernah muncul sebagai juara Bintang Idola Berita Harian 2010. "Perancangan awal di sebalik penubuhan syarikat ini sebenarnya adalah untuk menjadi syarikat rakaman yang melahirkan artis-artis dari jalur muzik 'dance' dan kerana itulah saya melamar kumpulan Bad Boys yang pernah dianggotai Chad Mentor. "Manakala Shima pula saya tertarik dengan vokalnya sewaktu membuat persembahan di malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. "Bagaimanapun, saya melihat kekuatan dan kecenderungan Shima lebih terarah kepada muzik balada. Justeru, saya putuskan konsep album EP yang dihasilkan untuk artis naungan Aico mestilah bersesuaian dan menyerlahkan kemampuan mereka," katanya. Bintang kelahiran Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, ini menambah lagi, dia mempunyai strategi sendiri untuk mengawal kos perniagaan di mana kesemua lagu yang dimuatkan dalam EP Bad Boys dan Shima, ditulis sepenuhnya pelantun lagu Joget Lambak ini. Tiga karyanya disumbangkan kepada Bad Boys adalah Macam Pisau Cukur, Sayangku Janji dan Bila Kau Tiada dan untuk Shima pula, Adam menyumbangkan dua lagu, Inikah Namanya Cinta dan Luahan Hati. Apa yang menarik mengenai Luahan Hati, sebuah lagu berentak balada itu ia turut menampilkan Adam sebagai pasangan duet Shima. "Jika tiada aral, album Bad Boys dan Shima akan dipasarkan Februari nanti. Selain sibuk merancangkan album mereka, saya juga kini sedang dalam proses menyiapkan album studio keempat. "Sekiranya album ketiga saya memperkenalkan konsep dance, hip hop yang digabung techno, untuk album keempat ini saya menamakan konsep saya sebagai pop tronic. "Sempena kemunculan album ini nanti, saya juga mencipta tarian baru yang lebih 'garang' berbanding sebelum ini. Kalau konsep sebelumnya dinamakan 'Marshall Art Dance', untuk album keempat aplikasi tarian saya adalah 'Hip Hop Kaaba Modern'," katanya. Album yang hanya menanti untuk dicetak itu menampilkan lagu antaranya Pergilah, Tension, Ellena dan Boleh Bah Kalau Kau. Keterujaan berganda, apabila tahun ini Adam juga bakal muncul dengan filem Apokalips arahan Mamat Khalid. Memegang watak Amachai, ia amat berbeza daripada lakonannya sebelum ini dan jauh daripada sifat dan perwatakannya yang sebenar. Kepada peminat yang mahu berinteraksi dengan Adam dan artis naungannya, Bad Boys dan Shima boleh 'add' mereka di laman Facebook dengan mencari Aico Empire Group. PROFIL NAMA SEBENAR: Mohd Aizam Mat Saman |
Posted: 17 Jan 2011 06:09 AM PST PERCUBAAN pertama pengarah muda, Syamsul Yusof menghasilkan filem seram, membuahkan hasil apabila Khurafat - Perjanjian Syaitan membuka tirai 2011 dengan kutipan membanggakan, RM2.5 juta untuk tempoh empat hari tayangan. Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang turut ditunjangi Syamsul sebagai watak utama bersama Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani dan Latif Borgiba, mendapat perhatian peminat filem Melayu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 13 Januari lalu.
Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan ini cukup membanggakan kerana ia percubaan pertama Syamsul untuk mencuba pelbagai genre selepas dikenali dengan filem aksi. Katanya, sebagai bapa sudah tentu memberi galakan sepenuhnya kepada Syamsul dan turut memberi tunjuk ajar terutama bagi genre seram yang ada kaitan dengan agama.
"Sememangnya sambutan diberikan untuk Khurafat paling meriah berbanding tiga filem arahannya sebelum ini, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2. "Bagaimanapun, dari segi jumlah kutipan untuk empat hari, ia hampir sama dengan KL Drift 2," katanya ketika dihubungi, semalam. Yusof berharap Khurafat turut mencatat kejayaan besar seperti KL Drift 2 yang mencatat lebih RM5 juta. Katanya, berdasarkan kutipan empat hari tayangan, pihaknya yakin Khurafat mampu mengulangi kejayaan KL Drift 2. "Kejayaan awal ini memberi kepuasan dan semangat kepada Syamsul yang begitu berdebar-debar menantikan tayangannya sebelum ini. "Waktu sama, Syamsul kini sibuk di lokasi filem barunya, lanjutan dari filem Bohsia, Jalan Kembali yang memulakan penggambaran di Dataran Merdeka, hari ini (semalam). "Skripnya lebih kemas dan sarat dengan mesej untuk memimpin mereka kembali ke jalan yang benar. "Semangat ini Syamsul dapat selepas menghasilkan Khurafat yang banyak paparkan pengajaran agama," katanya. Mengenai rahsia kejayaan Khurafat, Yusof tidak menolak kejayaan Syamsul di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) untuk Pengarah Terbaik turut membantu kerana mereka ingin melihat sentuhan terbarunya, apatah lagi menerusi genre seram. "Walaupun kejayaannya di FFM23 dipertikaikan, ternyata ada kemanisan apabila Syamsul turut meraih kejayaan di Anugerah Skrin 2010, begitu juga pencalonannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) untuk Pelakon Filem Lelaki Popular," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |