Adsense

Jumaat, 5 November 2010

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Aaron, Suhaillah dicabar

Posted:

Aaron, Suhaillah dicabar

Aaron, Suhaillah dicabar



BERLAKON sambil berdialog mungkin mudah bagi seseorang pelakon berpengalaman kerana mereka boleh membuat persediaan dengan menghafal skrip dan berlatih bersama pelakon-pelakon yang lain.

Namun sebaliknya pula yang harus diharungi aktor kelahiran Singapura, Aaron Aziz selaku pemegang watak utama filem 2 Alam.

Menurut Aaron, menerusi filem terbitan syarikat milik Datuk Dr. Che Rozmey Che Din atau Dr. Rozmey itu, dia hanya berdialog untuk kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan babak lakonannya.

"Bagi saya, perbezaan ketika berlakon dalam 2 Alam dan filem lain ialah kerana saya tidak menggunakan kuasa langsung.

"Saya cuma memberi tenaga kepada penonton melalui mood cerita ini kerana saya sebenarnya tidak banyak dialog " beritahunya ketika sesi temu bual bersama Kosmo! di The Curve Damansara baru baru ini.

Tambah Aaron, pada mulanya dia tidak berapa memahami watak yang perlu dilakonkan, namun selepas penggambaran bermula, dia semakin mengerti karakter ustaz yang dipegangnya.


AARON dan Suhaillah diuji kredibiliti lakonan masing-masing untuk menghidupkan watak lakonan mereka dalam filem 2 Alam.


"Apa yang saya buat sebagai persediaan ialah bila sampai di set penggambaran saya sudah tahu apa babak yang akan saya lakonkan dan ketika itulah saya bersedia.

"Jika kita mempunyai dialog mungkin kita boleh membuat persiapan dengan berlatih bersama pelakon lain. Tapi kalau berlakon tanpa dialog, segala persiapan lakonan ada pada diri kita sendiri," katanya.

Menurutnya lagi, cabaran ketika berlakon dalam filem itu ialah dia perlu menghidupkan karakter yang tenang walaupun ketika berhadapan dengan masalah yang sukar.

"Mahu menunjukkan kemarahan dan kegembiraan itu senang tetapi apa yang perlu saya buat adalah menunjukkan kita takut kepada akhirat tetapi jangan tunjukkan kita takut dan jika kita berani tetapi jangan tunjuk berani," jelasnya.

Aaron yang sedang berehat daripada penggambaran projek filem Endless Day arahan seorang pengarah dari Perancis berharap agar 2 Alam mampu mencapai sasarannya.

"Harapan saya supaya jangkaan Dr. Rozmey itu menjadi kenyataan. Sebelum ini Dr. Rozmey pernah meningkatkan sasaran kutipan filem itu daripada RM12 juta ke RM40 juta.


SELAIN Aaron dan Suhaillah, 2 Alam turut dibintangi oleh Adrea Abdullah (dua dari kiri) dan Yank Kassim.


"Dr. Rozmey seorang usahawan dan kalau dia yakin dengan sasaran yang dibuatnya saya turut yakin," katanya.

Suhaillah ingat mati

Jika Aaron dicabar untuk berlakon tanpa dialog, Suhaillah Salam pula menghadapi cabaran kerana diperlukan untuk berlakon sebagai jenazah.

Pengalaman itu boleh dikira agak menggerunkan. Namun bagi pelakon wanita Singapura itu yang membawa watak Adam dan Amy menerusi 2 Alam, pengalaman itu telah membuatkan dirinya sedar akan jangka hayat manusia yang tidak panjang.

Bagi Suhaillah, berlakon sebagai jenazah merupakan suatu pengalaman baru yang tidak mampu dia lupakan.

"Saya sering teringat nenek dan kawan-kawan yang telah meninggal dunia ketika berbaring di dalam keranda.

"Saya banyak berfikir dan muhasabah diri tentang mati. Mulanya, saya bimbang dan takut kalau tiba-tiba saya jadi tidak tentu arah ketika menjadi jenazah," katanya.

Tambah Suhaillah lagi, segala kebimbangan itu berjaya diharunginya kerana watak yang dibawakan itu adalah salah satu cabaran dalam filem itu.

"Sewaktu saya mendapat skrip, saya sudah terbayangkan filem ini sebuah filem yang berat. Tetapi saya menyahut cabaran itu kerana peluang seperti ini tidak akan datang selalu.


FILEM 2 Alam membawa persoalan yang timbul apabila seorang lelaki mati sebagai perempuan.


"Sebagai persediaan sebelum membawa watak sebagai Adam, saya membaca skrip secara berulang-ulang. Ramai yang memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang penggambaran berlangsung," ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan sasaran Dr. Rozmey untuk filem itu yang mencecah RM40 juta, Suhaillah memberitahu , dia yakin dengan sasaran penerbitnya itu.

"Harapan saya pada 2 Alam adalah agar ia akan dapat memberi kesan yang positf seperti mana impaknya yang terkesan kepada saya," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tonton drama lakonan sendiri

Posted:

Tonton drama lakonan sendiri

Tonton drama lakonan sendiri

Oleh HARYATI KARIM


KENCANA bersama rakan artis, Sathiya.


PERAYAAN Deepavali yang jatuh pada hari ini sudah pasti disambut dengan penuh meriah di seluruh negara.

Begitu juga dengan pelakon berketurunan India yang cukup popular di kalangan penonton Melayu, Kenchana Devi yang tidak ketinggalan menyambut Deepavali bersama suami dan tiga anaknya.

Namun, tahun ini sedikit berbeza buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu, katanya, selain memasak untuk keluarga dia tidak akan pulang ke kampung sebaliknya dia akan duduk di depan kaca televisyen sepanjang hari.

Mana tidaknya, sempena Deepavali banyak program terbitan syarikatnya Khancana Shakti Production Sdn. Bhd. akan bersiaran bukan sahaja di RTM tetapi juga di TV3.

Jelasnya, disebabkan kesibukan jadualnya sebagai pelakon, dia tidak sempat menonton drama lakonannya sendiri, tetapi sempena musim perayaan dan cuti umum, dia menggunakan peluang itu untuk menyaksikan sendiri hasil kerjanya.

"Selalunya memang saya tiada masa untuk tonton televisyen apatah lagi menonton drama lakonan saya sendiri. Jadi, bila ada kelapangan seperti ini saya akan duduk depan televisyen untuk menilai hasil kerja saya supaya boleh diperbaiki pada masa depan," ucapnya yang bakal sibuk dengan drama baru 26 episod tidak lama lagi.

Tambahnya, disebabkan semua sanak-saudaranya tinggal di Kuala Lumpur, dia tidak pulang ke kampung seperti orang lain.

"Bagi saya, Deepavali memang satu perayaan yang amat istimewa, bagaimanapun fokus saya kini hanya kerja. Saya hanya akan cuti sehari selebihnya saya akan kerja seperti biasa kerana selain berlakon banyak produk keluaran syarikat saya yang memerlukan perhatian," luahnya.

Sempena Deepavali kali ini, Kenchana Devi menerbitkan dua buah program untuk siaran TV3 iaitu Cahaya Deepavali dan Jodoh Deepavali.

Telefilem Cahaya Deepavali berkisar tentang cerita kekeluargaan dan kasih sayang serta impian seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Devi.

Jelas Kenchana, meskipun telemovie itu diterbitkan sempena Deepavali, penonton bukan Melayu juga boleh memahami jalan ceritanya kerana 60 peratus telefilem itu dituturkan dalam Bahasa Melayu manakala 40 peratus lagi dalam bahasa Tamil yang disertakan dengan sarikata bahasa Melayu.

"Peminat saya kebanyakannya orang Melayu, jadi saya tidak mahu mereka tidak mahu menonton program terbitan saya kerana tidak faham akan bahasa yang dituturkan.

"Jalan ceritanya juga tidak berbelit-belit, sekali gus memudahkan semua peringkat usia untuk memahami cerita itu," katanya.

Selain itu, telefilem tersebut juga diselitkan dengan lima buah lagu baru yang dinyanyikan oleh penyanyi Tamil asal Malaysia.

"Itu uniknya, drama dan telefilem Tamil kerana ada elemen muzikal. Semua lagu yang dimuatkan dalam telemovie ini merupakan lagu-lagu baru yang sedang popular di India," balasnya lagi.

Selain Kenchana yang bertindak sebagai pelakon dan penerbit, pelakon lain yang turut terlibat dalam telefilem itu adalah C. Kumaresen, Sheela Pravina, Kumaresh, Ganthi Ben, Jay Sudha, Louisa Chong, Jason Chong, Nas Adila, Farmi, Tashveta Devi, Abiraman, Govinraj, Jayaletchumi, Sepul dan Nurhasrin.


JODOH DEEPAVALI bercorak muzikal.


Jodoh Deepavali pula merupakan sebuah program muzikal komedi yang menggabungkan ramai artis popular tanah air.

Program muzikal selama satu jam itu dikendalikan oleh Thashumisha Devi dan Papaya Seelan mengisahkan dua orang pengacara yang berperang akibat ego masing-masing sehingga memening kepala pengarah program lakonan pelawak Sathiya.

Tidak hanya sarat dengan komedi, program yang dituturkan dalam bahasa Melayu itu turut menyelitkan lima buah lagu yang dinyanyikan bukan sahaja oleh pelakon berketurunan India tetapi juga tetamu jemputan seperti Rosyam Nor, Louisa Chong dan Maria Tengku Sabri.

Kedua-dua program itu akan bersiaran di TV3, iaitu muzikal komedi akan bertemu penonton pada pukul 6 petang ini, manakala telemovie Cahaya Deepavali bersiaran pada pukul 9 pagi.

Sebelum mengakhiri bicara, Kenchana sempat menuturkan ucapan: "Saya mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia. Memandu dengan berhati-hati."

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.