Adsense

Sabtu, 9 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Hijrah Maher Zain

Posted: 08 Oct 2010 03:47 PM PDT

Hip

Penyanyi lagu Thank You Allah cuba lupakan kisah kejahilan

SUATU ketika dulu dia pernah lalai dan hanyut dalam arus dosa dan noda. Leka dengan godaan dunia sehingga lupa pada agamanya sendiri. Itulah pengakuan penyanyi popular, Maher Zain, saat mendedahkan kisah silam sewaktu zaman kejahilannya tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, dia terlalu asyik mengejar keduniaan dan banyak menghabiskan masa dengan berhibur, membuatkan dia semakin lupa pada yang Esa.

Ditambah hakikat dia sering dikelilingi sahabat yang tunggang langgang perjalanan hidupnya membuatkan Maher tersasar dalam mencari arah tuju. Mujurlah dalam keadaan terumbang-ambing begitu, Tuhan cepat memberikan kesedaran. Lantas, dia bangkit dan mencari jalan memperbetulkan diri. "Tiga tahun lalu, hidup saya penuh dengan noda dan dosa. Macam-macam perkara jahat yang saya lakukan. Mencari hiburan di kelab malam, bersosial hingga lupa diri. Tapi mujurlah kesedaran itu datang dengan cepat dan saya tidak sempat untuk terjebak dalam gejala sosial yang lebih dahsyat seperti penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.

"Dari situ saya sedar, Tuhan sentiasa ada di sisi saya untuk memberi panduan dan tidak mahu terus membiarkan saya terus sesat dan terumbang-ambing dalam menjalani kehidupan yang fana ini," ujar Maher ketika ditemui pada majlis pelancaran album perdananya, Thank You Allah, di Menara Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Maher turut menerima anugerah Platinum apabila album yang mula berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu itu berjaya dijual sebanyak 30,000 unit. Satu angka yang cukup hebat untuk penyanyi baru sepertinya.

Penghijrahannya itu dilakukan dengan rela hati, tanpa sebarang paksaan dari sesiapa. Cerita penyanyi Insha Allah ini, sampai satu tahap, ada getar di hati menyatakan apa yang dilakukannya itu adalah salah.
"Ada ketika saya sendiri sampai tahap bertegang urat dengan kawan-kawan dan mempertikaikan apa yang kami sudah lakukan sebelum ini. Dari situ, saya secara berdikit-dikit meninggalkan semua tabiat buruk. Perkenalan dengan komposer terkenal Red One menjadi titik tolak saya mengembangkan bakat sebagai seorang penulis lagu.

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui, saya cuba menyampaikan mesej bahawa walaupun kita sudah tersesat jauh, namun Allah sentiasa ada di sisi dan tetap menunjukkan jalan kebenaran," tutur pemuda berusia 28 tahun ini.

Apabila dia menghasilkan album sulungnya, apa yang berlegar di fikiran adalah sekadar berkongsi bakat serta menyalurkan amanat berguna untuk semua penggemar muziknya. Namun tidak pula dia menyangka sambutan luar dugaan yang terbentang di depan mata.

"Saya tak tahu nak kata apa. Apabila album ini berjaya menarik perhatian peminat dari pelbagai negara, itu sudah cukup menggembirakan saya. Sekurang-kurangnya saya tahu mereka suka dengan apa yang saya hasilkan. Dan lebih mengujakan, golongan bukan Islam juga menyukai album ini," cerita Maher lagi.

Ditanya apakah pandangannya terhadap sikap sesetengah pihak yang begitu fobia dengan Islam serta sering melabelkan agama suci ini dengan perkara tidak baik, Maher berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menunjukkan sifat terpuji seperti yang dikehendaki Islam supaya mereka di luar sana tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan musuh agama.

Cinta sumber inspirasi

LAGU nyanyiannya penuh dengan rasa cinta. Walaupun secara zahirnya album ini jelas menyatakan perasaan cintanya terhadap Allah, namun jelas pemuda yang berasal dari Lubnan ini, mesejnya lebih dari apa yang tersurat.

"Memang kebanyakan lagu saya memperlihatkan rasa cinta pada Allah, tetapi pada masa sama, lagu ini juga boleh ditujukan kepada ibu dan bapa, isteri, anak dan ibu serta kekasih. Terpulang pada pendengar untuk menterjemahkannya. Namun apa yang saya boleh katakan, semua lagu yang dihasilkan mengambil frasa cinta sebagai sumber inspirasi.

"Apabila dalam hati kita penuh dengan perasaan cinta, maka semuanya akan menjadi mudah," ujar Maher yang turut popular dengan lagu cinta berhantu berjudul For the Rest of My Life.

Biarpun bersikap terbuka dan ramah kala temubual ini dilangsungkan, Maher bagaimanapun agak berahsia orangnya.

"Terus terang, saya memang tidak selesa apabila ditanyakan soal peribadi. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Jika tidak, biarlah pertanyaan lebih tertumpu pada kerjaya saya saja," tegasnya yang hadir ke Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert solo Save the Soul di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 14 dan 15 Oktober ini.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.

@Sinepleks: Robot Rajinikanth menjadi

Posted: 08 Oct 2010 03:41 PM PDT

Hip

pix_gal0
HUJUNG minggu lalu, filem Tamil lakonan raja dunia perfileman India Selatan, Rajinikanth, Endhiran, nampaknya berjaya mengetepikan saingan beberapa filem besar Hollywood, Hong Kong dan tempatan untuk menguasai takhta filem paling digemari peminat di Malaysia.

Ditulis dan diarahkan oleh S Shankar, filem fiksyen sains terbabit turut diperkuatkan oleh bintang Bollywood, Aishwarya Rai dan Danny Denzongpa. Manakala watak pembantu dijayakan oleh Santhanam, Karunas, Kalabhavan Mani, Devadarshini, dan Cochin Haneefa.

Filem yang dianggarkan paling mahal di Asia, dengan perbelanjaan melebihi 150 krorer itu menampilkan Rajinikanth dalam dua watak. Pertama, dia beraksi sebagai seorang profesor sains, manakala watak kedua menyaksikannya berlakon sebagai robot yang mempunyai kepintaran amat tinggi. Bukan saja bersifat futuristik, malah filem berkenaan mengambil masa cukup lama untuk disudahkan. Kerja pra-produksinya saja memakan masa hampir sedekad, manakala penggambarannya pula mengambil masa hampir dua tahun, bermula awal 2008.

Filem ini mengetengahkan kisah seorang saintis, Dr Vasi (Rajinikanth) berjaya menghasilkan sebuah robot android selepas bertahun-tahun mencuba. Dia menamakan robot terbabit sebagai Chitti.

Mempunyai kekuatan 100 lelaki, Chitti mendapat latihan lengkap dalam segenap segi. Vasi mahu menawarkan robot terbabit kepada pihak tentera, tetapi ditolak oleh Dr Vohra (Danny), bekas mentornya. Hakikatnya, Vohra mempunyai perancangannya sendiri.

Kononnya, Chitti dikatakan mempunyai kekurangan dari aspek perasaan dan keadaan itu boleh menyebabkan timbulnya pelbagai masalah. Lalu, Vasi mengubah suai struktur Chitti dan menambah emosi manusia kepadanya.
Keadaan menjadi rumit apabila Chitti mula memiliki perasaan kasih sayang, seterusnya menyukai wanita yang juga tunangan Vasi, Sana (Aishwarya Rai). Dia jatuh cinta pada wanita terbabit dan mula mengingkari arahan Vasi. Sana pula sekadar menganggapnya sebagai permainan yang boleh dijadikan rakan.

Keadaan makin buruk apabila Vasi yang dilanda kemarahan meleraikan Chitti. Robot itu kemudian jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab. Ketaksubannya kepada Sana juga semakin hebat.

Filem ini mula ditayangkan di seluruh dunia pada 1 Oktober bersama-sama dengan versi alih suaranya, iaitu Robot dalam bahasa Hindi dan Robo dalam Telugu. Ia turut mendapat kritikan positif, selain menjana pulangan yang hebat buat penerbit.

Di Malaysia, peminat mula berbaris seawal pagi pada hari pembukaan demi memastikan mereka tidak terlepas menjadi penonton pertama menikmati lakonan terkini bintang tersohor berkenaan. Selain Malaysia, filem terbabit turut ditayangkan di Singapura, United Kingdom, China dan Amerika Syarikat.

Sehingga tiga tahu lalu, di India, filem Rajinikanth cuma mampu mengecap kejayaan hebat di bahagia selatan. Namun keadaan agak berubah apabila dia muncul bersama filem Sivaji The Boss. Pada ketika versi Tamilnya cukup popular di Mumbai, versi alih suaranya dalam Hindi pula mencatat kejayaan lebih baik lagi.

Endhiran dikatakan mampu muncul filem India paling berjaya dalam sedikit masa lagi, berdasarkan persembahan awal yang kini ditunjukkan di serata dunia. Di benua kecil itu sendiri, walaupun dikatakan bermula sedikit perlahan, tetapi filem ini sedang mengorak langkah dengan mengatasi filem popular lakonan Ranbir Kapoor dan Priyanka Chopra, Anjaana Anjaani.

Carta pecah panggung:
1 - Endhiran
2 - Legend Of The Fist: The Return Of Chen Zhen
3 - Detective Dee
4 - Magika
5 - Legend of the Guardians: The Owls of Ga'Hoole
6 - Eat, Pray, Love
7 - Wall Street: Money Never Sleeps
8 - Resident Evil: Afterlife
9 - Alpha and Omega
10 - Charlie St Cloud


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.