Adsense

Rabu, 7 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Dengarnya: Tanda tanya cincin cinta Fasha

Posted: 06 Jul 2010 07:50 PM PDT

SEBENARNYA Cik Normah sudah malas nak bercakap mengenai Fasha Sandha lagi. Apa tidaknya, ceritanya bukan lakonannya yang boleh dipuji, tetapi kisah peribadinya yang berlebih-lebihan.

Jadi, tak salah kalau Cik Normah katakan Fasha bijak ambil kesempatan untuk mempromosikan dirinya selepas beberapa waktu namanya kelam saja.Tapi ada satu cerita yang membuatkan Cik Normah nak gelak apabila mendengar cerita Fasha Sandha yang merentan, sedih dan menggelabah apabila Kak Pora bersuara di ruangan popularnya, Jeling Kak Pora, Ahad lalu. Bukan bermaksud nak menyebelahi teman sebumbung Cik Normah ini, tapi apa yang diperkatakan Kak Pora ada kebenarannya.Kecoh juga apabila Fasha menyuarakan ketidakpuasan hatinya mengenai tulis Kak Pora di dalam laman sosial, Twitter. Kenapa begitu Fasha? Bukankah terang-terangan Fasha cakap sewaktu sidang media drama Duyung Aridinata yang dia bersedia dengan apa saja kemungkinan dan cakap-cakap orang selepas membuat pengakuan.

Yang paling meloyakan tekak Cik Normah ada pula penulis blog yang tak berapa hebat menyuarakan pandangan supaya Kak Pora menunjukkan wajahnya yang sebenar, lalu disokong Fasha. Bagi Cik Normah, Kak Pora tak perlu melayan hal ini dan merendahkan martabat untuk manusia seperti itu.

Cik Normah rasa kalau setakat Fasha dan penulis blog yang kurang sempurna itu yang menuntut supaya wajah sebenar Kak Pora ditunjukkan, lebih baik Kak Pora abaikan saja. Lainlah, kalau artis yang mencabar Kak Pora itu pernah menang anugerah sampai sedozen, mungkin Cik Normah boleh minta Kak Pora pertimbangkan.

Bukannya apa, nanti kalau Kak Pora tonjolkan diri, takut Fasha pula yang bungkus kain baju. Cik Normah rasa Fasha pun tak perlulah panas punggung sangat dengan Kak Pora, lagi pun kekasih hatinya, Jejai sudah pun membuat pengakuan seperti yang disiarkan di Berita Harian.
Cik Normah tak kisah pun bila kalian berdua mula bercinta. Yang menjadi persoalan Cik Normah kini, cincin bertatahkan berlian yang dipakai Fasha sebagai hadiah cinta daripada Jejai itu diterimanya sejak Mei lalu.

Bukan apa, Cik Normah dengar cerita, cincin itu kononnya sudah lama tersarung di jarinya. Buktinya, Fasha pernah memakai cincin itu ketika menghadiri sidang media drama Spa Qistina, Mac lalu. Tapi macam mana pula, Fasha boleh cakap cincin itu dipakainya Mei. Entahlah.

Jawablah: Bukan perkara baru

Posted: 06 Jul 2010 07:48 PM PDT

pix_gal0
Nora Danish sudah lama tahu hubungan Fasha, Jejai

HANYA kerana mempertahankan hak dan meluahkan rasa benci secara terbuka kerana suaminya dirampas, pelakon kecil molek, Nora Danish pernah dikecam teruk. Malah setiap kali dia membuka mulut, memberikan sedikit kenyataan berhubung kisah rumah tangganya yang didakwa dirobohkan, pelakon sensasi Fasha Sandha.

Namun, dia pula menerima kesan sebaliknya. Seolah-olah dia tidak boleh meluahkan sebarang perasaan. Pantang bersuara, pasti ada peluru yang menanti untuk menembak dirinya semula.Disebabkan itulah, pelakon drama bersiri Puteri dan Arjuna ini lebih senang mendiamkan diri. Seboleh mungkin dia cuba mengelak ditemubual sekiranya perkara yang ingin diajukan itu ada kaitan dengan memori hitam dalam hidupnya.Begitupun, diamnya bukanlah mengalah, sebaliknya tidak mahu menyeret dirinya dalam kontroversi yang menyakitkan hatinya sendiri.

Bagaimanapun, baru saja dia hendak menutup sejarah lama, tak semena-mena namanya kembali panas dan dicari media. Ini berikutan Fasha membuat pengakuan bahawa antara dia dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai adalah pasangan kekasih.

Biarpun berkali-kali dia menyatakan apa yang berlaku itu bukan lagi urusannya, namun reaksinya terhadap cerita panas itu tetap dimahukan pelbagai pihak.

Sebagai bekas isteri dan mangsa kepada masalah keruntuhan rumah tangga, Nora berkata, dia kini menarik nafas lega kerana pengakuan mereka itu sebenarnya ibarat membuka pekung sendiri sekali gus membuktikan apa yang pernah dikatakan dan didakwanya sebelum ini adalah benar belaka.
Hip: Kenapa sejak kebelakangan ini Nora seperti cuba melarikan diri daripada media?
Di sini Nora ingin membuat penjelasan bahawa Nora tidak pernah lari atau memulaukan media. Gosip yang tersiar dalam akhbar hari ini (Isnin) tidak benar sama sekali. Bukannya Nora tidak mahu bekerjasama dengan media, tetapi Nora tahu, setiap kali media menemu bual Nora, pasti akan membangkitkan isu Fasha. Nora rasa sudah cukup dengan kenyataan yang pernah Nora keluarkan sebelum ini. Nora tak mahu setiap kali Nora keluarkan kenyataan, kesudahannya nanti Nora yang dihentam balik. Nora tak mahu bercerita apa-apa lagi pasal Fasha.

Hip: Tapi ada yang mengatakan Nora memilih media. Mana-mana media yang bukan kawan Nora atau berpihak kepada Fasha, Nora tidak layan. Betulkah begitu?
Nora tidak memilih media. Nora juga tidak pernah memberikan alasan sibuk sehingga terkantoi. Nora tahu media banyak mempromosikan kerjaya Nora dan Nora amat menghargainya. Cuma Nora tidak mahu membesarkan perkara yang sudah berlalu. Apabila membaca gosip itu, Nora akui sedikit kecewa dan sedih kerana selama ini Nora cuba memberikan kerjasama yang terbaik kepada semua media. Tidak ada pilih kasih dan Nora melayan media sama rata.

Hip: Walaupun Nora sudah memberi isyarat lebih awal tetapi kami mahu tahu juga reaksi Nora terhadap pengakuan jujur Fasha seperti yang diluahkannya baru-baru ini.
Seperti yang Nora katakan, Nora tidak mahu mengulas apa-apa mengenai perkara itu kerana ia tidak ada kena mengena- dengan hidup Nora lagi. Kalau dia mahu mengaku bercinta sekali pun, itu membabitkan dia dan Jejai. Nora tidak mahu komen kerana tidak mahu perkara ini menjadi lebih besar dan kontroversi seperti yang pernah tercetus sebelum ini.

Hip: Iyalah, sebelum ini bukan main lagi berahsia dan main tarik tali, alih-alih mengaku pula. Takkan Nora tak mahu komen apa-apa sedangkan sebelum ini Nora sendiri sudah tahu cerita di sebaliknya?
Apa yang boleh Nora katakan, pengakuan itu bukanlah perkara baru. Ia sudah cerita lama sebenarnya. Nora sudah lama tahu perkara ini, jadi Nora tidak terkejut dan tak rasa apa-apa pun. Bahkan Nora gembira kerana akhirnya dia sendiri mengaku juga yang dia bercinta dengan Jejai. Sekurang-kurangnya, semua orang tahu perkara sebenar. Tapi Nora melihatnya secara positif iaitu mungkin dia bertindak demikian kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan peminatnya.

Hip: Kalau betul mereka bercinta dan mendirikan rumah tangga. Bagaimana pula dengan anak Nora, Putera Rayqal Ramli?
Seperti yang termaktub dalam perjanjian kami sebelum ini, memang Nora tak mahu anak Nora dibabitkan dengannya secara langsung. Justeru, apabila dia ada menyebut soal Rayqal sewaktu ditemu bual dalam satu program TV baru-baru ini, saya agak terkejut. Untuk masa ini, memang saya tak suka dia jumpa anak saya. Lagi pun, perkara ini ada kena-mengena dengan Rayqal juga, kerana sewaktu saya diceraikan, dia masih di dalam kandungan. Tapi, pada masa akan datang, mungkin ada kelonggaran kerana mungkin pada masa itu saya juga sudah mempunyai keluarga sendiri.

Hip: Apakah Jejai ada menghubungi Nora selepas Fasha membuat pengakuan itu.
Tiada dan tak perlu kerana perkara itu tiada kaitan dengan hidup Nora.

Hip: Sudah boleh menerima Fasha jika digandingkan dalam mana-mana penerbitan?
Selepas apa yang berlaku dan pengalaman di Spa Qistina, saya akui memang tidak boleh untuk bekerjasama dengannya dalam apa juga perkara. Mungkin itu adalah keputusan terbaik buat Nora.

PLUS peroleh kebenaran lebarkan dua lebuh raya

Posted: 06 Jul 2010 07:46 PM PDT

LEBUH RAYA Utara-Selatan menjadi pilihan  utama pengguna setiap  masa.
LEBUH RAYA Utara-Selatan menjadi pilihan utama pengguna setiap masa.
Laluan Ekspres Utara Selatan, NKVE dijadikan 4 lorong

PLUS Expressways Bhd (PLUS Expressways) mendapat kebenaran kerajaan untuk melebarkan lebuh raya Laluan Ekspres Utara Selatan dan Laluan Ekspres Baru Lembah Klang (NKVE) kepada empat lorong dengan anggaran kos RM1.143 bilion.

Pengendali lebuh raya terbesar negara itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, anak syarikat milik penuhnya, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd (PLUS) sudah menerima notis daripada Kementerian Kerjaraya mengenai perkara itu.PLUS sudah menerima notis daripada Kementerian Kerjaraya yang kerajaan sudah bersetuju membenarkan ia melaksanakan projek itu.Ia membabitkan pembinaan lorong keempat di sepanjang laluan tertentu di lebuh raya berkenaan iaitu dari Shah Alam ke Rawang, Shah Alam ke Jalan Duta dan dari Nilai (utara) ke Seremban. Kos bagi pembinaan itu dianggarkan berjumlah RM1.143 bilion, katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, perincian bagi cadangan pemerolehan dana bagi pelaksanaan serta pengaturan lain untuk projek pembesaran lebuh raya itu sedang dinilai dan dibincangkan dengan kerajaan.

Perkara itu (kaedah pemerolehan dana) itu juga bergantung kepada kelulusan kerajaan, pemegang bon, pemberi pinjaman dan Lembaga Pengarah syarikat.

PLUS Expressways akan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia mengenai sebarang perkembangkan lanjut mengenai perkara itu, katanya.
Sementara itu, penganalisis berkata, projek pelebaran lebuh raya itu daripada tiga ke empat lorong itu berupaya membantu menangani masalah kesesakan jalan raya khususnya di sekitar Lembah Klang.

Kesesakan jalan raya adalah isu utama di Lembah Klang dan jumlah kenderaan di sekitar ibu kota juga semakin bertambah setiap hari.

Pelebaran lebuh raya itu antara lain akan menangani sebahagian masalah berkenaan dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna, selain berpotensi mengurangkan kemalangan, katanya.

Beratus-ratus tak tahan gelombang panas maut

Posted: 06 Jul 2010 07:45 PM PDT

DUA ketul ais diletak dalam kelas bagi mengurangkan kepanasan di  sebuah sekolah di Jinan, wilayah Shandong, China, kelmarin.
DUA ketul ais diletak dalam kelas bagi mengurangkan kepanasan di sebuah sekolah di Jinan, wilayah Shandong, China, kelmarin.
Penduduk Asia, Eropah, Amerika jadi mangsa kepanasan

TOKYO: Penduduk di seluruh dunia kini merasai kesan gelombang panas yang dijangka berlarutan.

Malah, cuaca panas dianggap penyebab kebakaran di kota Kanada, Toronto hingga memutuskan bekalan kuasa selain menjejaskan lawatan Ratu Elizabeth.Kesan kepanasan paling teruk dilaporkan di Russia apabila 300 maut dan kematian pada satu hari mencatat 63 orang.Kebanyakan mangsa lemas ketika cuba mencari jalan menyejukkan diri daripada gelombang panas sehingga 37 darjah Celcius yang melanda seluruh negara itu.

Ramai yang melompat ke dalam sungai atau tasik untuk sejuk tetapi menemui ajal kerana tidak menghiraukan amaran supaya mengelak lokasi tertentu yang dalam atau tidak berada dalam keadaan mabuk ketika menyejukkan diri masing-masing.

Seorang pegawai berkata: Minggu lalu, 285 orang maut kerana lemas apabila tidak mengikut arahan melakukannya di tempat yang ada kemudahan atau berada dalam keadaan mabuk.

Di Taiwan, seorang lelaki yang cuba mengelak daripada bahang panas menemui ajal apabila masuk ke dalam bilik ais dan ditemui dalam keadaan beku selepas tertidur.
Suhu dilaporkan mencapai 37 darjah Celcius di Taiwan. Keadaan yang sama juga
dilaporkan di negara lain di Asia termasuk China, India dan Pakistan.

Beberapa kawasan di utara China termasuk Beijing, Hebei dan Shaanxi selain wilayah timur, Shandong province, mencatat suhu 38 hingga 40 darjah Celcius.
Malah, di Perancis, laporan mengatakan bukan saja manusia tetapi juga haiwan cuba mencari jalan mengelak cuaca panas.

Di ibu kota Belgium, Brussels, suhu dilaporkan mencapai tahap tertinggi sejak 1976 ketika penduduk bersedia memulakan percutian musim panas.

Bandar raya itu yang biasa mendung mencatat suhu 40 darjah Celcius. Di Jerman, suhunya juga melepasi 30 darjah Celcius menyebabkan ramai penduduk berehat dekat kolam dan pancutan air di taman seluruh negara itu.

Rantau timur laut Amerika Syarikat tidak terkecuali daripada fenomena gelombang panas apabila mencapai suhu 38 darjah Celcius dan lebih tinggi di bandar utama termasuk New York, dan Washington.

Operasi curi pasir lumpuh

Posted: 06 Jul 2010 07:43 PM PDT

MOHD ROHIB   (dua dari kanan) memantau  operasi memusnahkan lokasi kegiatan mencuri  pasir di Ladang Rasa.
MOHD ROHIB (dua dari kanan) memantau operasi memusnahkan lokasi kegiatan mencuri pasir di Ladang Rasa.
Tindakan bersepadu di Ladang Rasa memusnahkan kabin, alat penapis

KUALA KUBU BHARU: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDHS) berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir dalam operasi bersepadu di Ladang Rasa di sini, kelmarin.

Operasi disertai pegawai penguat kuasa PDHS, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.Ketua Penolong Pegawai Bahagian Tanah PDHS, Mohd Rohib Misnan, berkata dalam operasi itu pihaknya turut memusnahkan sebuah kabin dijadikan alat penapis pasir dan tempat menyedut pasir, selain beberapa bangsal serta stor.Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dilakukan kerana ketika operasi dilakukan, tiada sesiapa di kawasan terbabit.

Ia adalah tindakan susulan diambil PDHS selepas dua bulan melakukan pemantauan di kawasan ini.

Kita mengambil tindakan meroboh bangsal dan stor ini untuk melumpuhkan kegiatan mencuri pasir dilakukan pihak tidak mendapat kebenaran daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri untuk mengorek dan mengeluarkan pasir secara sah di negeri ini, katanya kepada Sentral di sini, semalam.

Mohd Rohib berkata, pemantauan dilakukan di kawasan itu berjaya menyekat kegiatan mengorek dan mengeluar pasir oleh pihak tidak bertanggungjawab terbabit.
Selepas ini, kami akan memastikan tiada lagi kegiatan sama berlaku di daerah ini dan memastikan stok pasir yang dilonggokkan di kawasan ini tidak dibawa keluar, katanya.

Katanya, ada dua longgokan pasir di kawasan itu dipercayai mahu dibawa keluar secara haram yang harganya dianggarkan kira-kira RM38,000.

Operasi penguatkuasaan itu adalah susulan laporan media beberapa bulan lalu berhubung dakwaan wujudnya kegiatan mencuri pasir di kawasan berkenaan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, PDHS menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan kegiatan dimaksudkan berlaku di dua kawasan yang sememangnya sudah mendapat kebenaran daripada KSSB.

Mohd Rohib berkata, pihaknya memberi jaminan akan sentiasa membuat serbuan dan intipan bagi memastikan kegiatan mencuri pasir di Hulu Selangor dapat dibanteras sepenuhnya.

Kami menghargai kerjasama orang ramai yang sentiasa melihat pergerakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang rakus mengeluarkan pasir lombong di daerah ini, katanya.

Arja Lee Mohon Maaf : LPFM Lulus Adegan Bogel

Posted: 06 Jul 2010 07:42 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon baru Azharudin Ramli,25, atau Arja Lee (gambar) yang mengaku berbogel dalam filem pertamanya ...Dalam Botol memohon maaf di atas perbuatannya itu.

Arja yang dihubungi berkata, dia tidak menyangka pengakuan jujurnya dalam beberapa akhbar Ahad lalu mengundang kontroversi dan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

"Saya hanya mahu memohon maaf di atas apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Menurut pelakon itu dia sekadar mahu bersikap jujur dan berharap masyarakat dapat menerima kejujuran tersebut selain menganggap tindakan itu adalah semata-mata untuk mendapatkan hasil yang menarik.

Arja Lee bersama Vanidah Imran dalam teater Mahsuri tahun lalu.

Lagipun menurut Arja, adegan di dalam bilik air itu kelihatan kabur dan penonton tidak akan melihat "benda yang tidak sepatutnya" apabila menonton filem itu kelak.

"Saya tetap mempertahankan apa yang dilakukan adalah atas dasar kerja dan ia bukan sengaja untuk mencari sensasi," katanya.

Walau bagaimanapun Arja tetap memohon maaf jika pihak-pihak yang berkenaan tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.

Arja yang pernah berlakon dalam teater Mahsuri yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu itu juga tidak pernah bermimpi untuk dihimpit kontroversi sehingga ditegur oleh menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin lalu menegur tindakan Arja yang mengaku berbogel dalam filem terbaru terbitan Penerbitan JAS milik produser Raja Azmi Raja Sulaiman itu.

Jamil Khir berkata perbuatan Arja adalah satu kesalahan bukan sahaja melibatkan agama sebaliknya undang-undang.

Beliau turut meminta pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau dan mengambil tindakan yang bersesuaian sama ada dalam bentuk peringatan atau dalam bentuk lain kepada pihak terbabit.

Pelakon itu memegang watak Ruby, seorang lelaki yang menukar jantina kerana terlibat dengan cinta sejenis.

Arja yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Lakonan dan Pengarahan Teater di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang memberitahu turut dihubungi oleh pihak universiti yang mahu mendapatkan penjelasannya.

"Saya akan memberi penjelasan kepada pihak universiti pada hari Isnin akan datang," katanya yang sebelum ini menganggap tindakan berbogel itu sebahagian daripada seni dalam filem.

Sementara itu Raja Azmi yang dihubungi mStar Online Selasa, menarik nafas lega apabila adegan berkenaan tidak dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) selepas dihantar untuk dinilai kira-kira dua minggu lalu.

Katanya daripada keseluruhan adegan, hanya babak yang menampakkan salah seorang pelakonnya memakai seluar dalam turun dari katil sahaja dipotong.

"Saya berasa lega apabila LPFM hanya memotong sedikit sahaja adegan dalam filem ini walaupun macam-macam kontroversi mula timbul," katanya.

Ditanya mengenai teguran Jamil Khir, kata Raja Azmi, isu berbogel itu adalah kenyataan jujur Arja Lee tetapi adegan yang dipilih untuk disiarkan itu tidaklah menjolok mata seperti yang digambarkan.

"Kalau LPFM pun meluluskan adegan itu, ia bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan," katanya.

Dalam masa yang sama Raja Azmi turut meminta pihak-pihak berkenaan supaya menonton filem ...Dalam Botol terlebih dahulu agar mereka mendapat gambaran sebenar sebelum memberi pandangan.

Bekas Isteri AC Mizal Menangis Kenangkan Nasib Anak

Posted: 06 Jul 2010 07:42 PM PDT

KAJANG: Bekas isteri pelakon dan pengacara, AC Mizal, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan nasib dua anaknya pada masa depan sekiranya sesuatu berlaku terhadap dirinya ketika mereka masih kecil.

Esakan Shafnie Zainudin (gambar) yang semakin kuat semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes ubah tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah Rendah di sini Selasa, menyebabkan dia terpaksa ditenangkan oleh peguam syarienya, Azmi Tan Sri Rais.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah kemudiannya menangguhkan prosiding selama 10 minit untuk Shafnie selaku plaintif menenangkan diri.

Tangisan Shafnie, 35, bermula selepas dia disoal berhubung bayaran insurans sebanyak RM1,000 dan dana amanah pendidikan yang dituntutnya daripada defenfan, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini.

"Itu adalah tuntutan yang saya mahu untuk anak-anak. Saya tidak mampu, jadi saya dapatkan sebut harga.

"Insurans pendidikan adalah jika anak-anak ingin lanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Jika apa-apa berlaku pada saya, kos pendidikan anak akan ditanggung insurans," katanya.

Selain itu, bekas model itu menjelaskan bahawa jumlah perbelanjaan persekolahan yang dituntutnya sebanyak RM300 untuk dua orang anak setahun sememangnya tidak mencukupi.

"AC Mizal pernah beritahu kepada saya bahawa dia tidak akan menanggung sekiranya anak dihantar ke sekolah swasta. Anak sulung bersekolah swasta," katanya sambil menambah anak bongsu pula bersekolah kerajaan.

Selain itu, Shafnie juga menuntut bayaran bulanan yang terdiri daripada makanan (RM400), pengangkutan (RM240), pengajian Al-Quran (RM280), sewa rumah (RM650) dan pembantu rumah sebanyak RM200.

Dia juga menuntut bayaran pakaian sebanyak RM3,000 setahun yang meliputi pakaian sekolah, aktiviti ko-kurikulum kerana anaknya aktif bersukan dan menganggotai pengakap serta untuk kegunaan hari raya.

Turut dituntut ialah perubatan RM1,500 dan RM3,000 sebagai hiburan dan pelancongan.

"Saya membawa anak-anak berjalan di dalam negara seperti di Pulau Redang. AC Mizal tidak pernah menawarkan atau membawa anak-anak ke luar negara," ujarnya.

Perbicaraan berjalan tanpa kehadiran AC Mizal, 39, yang diwakili peguam syarie Siti Aishah Din kerana mempunyai urusan di saat akhir.

Abdul Halim menetapkan 13 Julai ini untuk sambung bicara.

AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.

Maya Karin & Suami Ke Mahkamah Syariah Hari Ini

Posted: 06 Jul 2010 07:41 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin,31, dan suaminya Steven David Shorthose,40, atau Muhammad Ali dijadual akan hadir untuk kali kedua ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua pasangan itu dikatakan mahu mengetahui status pendaftaran pernikahan mereka selepas mendaftarkannya pada 24 Jun lalu.

Portal The Malaysian Insider menerusi satu sumber mahkamah menyebut, pasangan itu berkemungkinan akan dikenakan denda berhubung kesalahan lewat mendaftarkan pernikahan.

"Kalau status perkahwinan mereka tidak sah, mereka terpaksa bernikah semula. Sekiranya sah, mereka juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan lewat mendaftar perkahwinan yang berlangsung di Itali dua tahun lalu," kata seorang pegawai mahkamah kepada portal itu.

Maya dan Muhammad Ali sebelum ini merahsiakan prosiding yang berlaku dalam kamar hakim di Mahkamah Rendah Syariah ketika hadir pada 24 Jun lalu.

Bagaimanapun sumber memberitahu pasangan berkenaan dalam proses untuk bercerai tetapi perlu mendaftarkan perkahwinan terlebih dahulu sebelum boleh melakukan prosedur seterusnya.

Maya dan Muhammad Ali diijabkabulkan di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008.

Majlis resepsi kedua mempelai diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) beberapa minggu selepas itu.

Selepas dua tahun bernikah, hubungan Maya dengan guru Matematik di sebuah sekolah antara bangsa itu dikatakan menghadapi krisis.

Kisah Cinta Tragis Gandingan Vanidah & Rosyam

Posted: 06 Jul 2010 07:41 PM PDT

KISAH cinta tragis penuh konflik iaitu Isabella berpotensi menjadi drama pilihan ramai di Astro Prima menerusi saluran 105 bermula 13 Julai ini kerana ia menggandingkan dua pelakon hebat Vanidah Imran dan Rosyam Nor.

Vanidah yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 menerusi filem The Red Kebaya, membawa watak Isabella.

Rosyam yang diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM ke 16 menerusi filem KL Menjerit dan kategori sama pada FFM ke-22 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang pula memegang watak Nazman selaku teraju utama.

Drama cinta penuh tragis 26 episod arahan Amie Maziah ini turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Izreen Azminda, Raja Norbaizura dan Yuswaisar.

Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, kehebatan dua pelakon hebat tanah air itu dan disokong barisan pelakon lain yang mantap serta jalan cerita menarik mampu meletakkan Isabella sebagai sebuah drama yang paling ditunggu-tunggu penggemar dan peminat drama-drama Melayu.

Katanya, drama itu juga menyajikan pemandangan indah kota London dan Paris kerana sebahagian rakaman penggambaran dijalankan di sana.

"Kami berharap gabungan semua elemen ini mampu menjadikan Isabella sebagai sebuah drama yang paling dinantikan penggemar dan peminat drama-drama Melayu sekaligus mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri," kata Nizam pada tayangan perdana drama Isabella di Cathay Cineplexes, The Curve, Mutiara Damansara, Selasa.

Drama Isabella ini menyingkap kisah cinta Isabella (lakonan Vanidah) yang mengalami tekanan dan emosinya menjadi tidak stabil apabila kehilangan kekasihnya, Benjamin (lakonan Saufi Serbawi) akibat mengalami kecederaan teruk kerana kemalangan.

Isabella yang terlalu sedih dengan pemergian kekasihnya itu menjadi separuh gila.

Dia dibawa pulang oleh keluarganya dari luar negara dalam keadaan sedang mengalami tekanan perasaan dan emosi yang tidak stabil.

Ibu bapanya, Borhan (Datuk Rahim Razali) dan Kasmah (Raja Norbaizura) membawa Isabella berjumpa seorang pakar jiwa untuk mendapatkan rawatan.

Selepas beberapa bulan dirawat, Isabella dilihat memberi respon yang positif dan hampir pulih serta mula melupakan kesedihannya.

Ketika dirawat di sebuah hospital, Isabella berkenalan dengan Nazman (lakonan Rosyam), salah seorang pesakit Dr Rahim. Nazman turut mengalami trauma dan gangguan emosi selepas kematian isterinya yang mengandung dalam satu kemalangan.

Pertemuan yang bermula dengan hanya berkongsi masalah yang hampir sama dan saling bertukar nasihat itu kemudiannya membibitkan perasaan cinta antara mereka.

Setelah kedua-duanya pulih dan menjalani kehidupan biasa, satu persatu masalah timbul yang mana antaranya Nazman disaman oleh bapa Sharmila, Datuk Khalil (lakonan Omar Abdullah) apabila dihasut adik tiri Sharmila iaitu Shasha (lakonan Izreen Azminda).

Shasha cemburu dengan Nazman apabila cintanya ditolak Nazman. Sekali lagi masalah timbul apabila Isabella didatangi seorang gadis bernama Vivian (lakonan Corrine Adrienne) yang mengaku kenalan lama Benjamin.

Vivian memperkenalkan diri kepada Isbella sebagai seorang yang diamanahkan oleh Benjamin untuk menjaga Isabella.

Siapakah Vivian yang sebenarnya dan apakah pengakhiran drama tragis penuh konflik antara Nazman dan Isabella ini? Saksikan Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai ini, pukul 9.30 malam di Astro Prima, saluran 105.

Aizat Cipta Lagu Demi Palestin

Posted: 06 Jul 2010 07:40 PM PDT

Aizat sewaktu beraksi dalam Konsert Cornetto's Take A Chance, Show Your Love di Bukit Bintang Plaza.

JUARA Anugerah Juara Lagu ke-24, Aizat Amdan menyumbangkan sebuah lagu bertajuk Erti Hari Ini bersempena kempen Bebaskan Bumi Palestin.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Susun Silang Kata itu terpanggil untuk turut sama berbakti dan menyumbang tenaga dalam memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis, Israel.

Walaupun ianya tidak berbentuk wang ringgit, namun usaha dan cetusan idea yang hadir dalam dirinya diharapkan membuka mata rakyat Malaysia mengenai kempen Bebaskan Bumi Palestin.

Lirik lagu tersebut menyentuh tentang kehidupan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Melalui lagu ini juga, Aizat akan menghasilkan sebuah muzik video yang memaparkan beberapa babak-babak tragis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Muzik Video ini akan memperlihatkan Aizat beraksi bersama abangnya, Anas.

Video muzik itu akan dihasilkan oleh Douglas Khoo, pengarah yang berjaya memenangi beberapa anugerah ternama sebelum ini.

Primeworks Studio pula akan bertanggungjawab dalam penghasilan muzik video ini yang akan membuat penggambaran melalui 'chroma key' atau 'green screen'.

Dalam perkembangan lain, Aizat akan melancarkan album keduanya hari ini pukul 2 petang di Saloma Bistro, Jalan Ampang.

Idea dan konsep untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin dicetuskan melalui kolaborasi di antara Faizal Tahir yang diangkat sebagai duta kempen dan pihak TV3 selaku penaung dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS).

Ia bermula apabila mereka masing-masing tersentuh dengan peristiwa pertumpahan darah yang melibatkan kru dan penumpang yang terdiri daripada sukarelawan di atas kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu.

Persembahan Bertenaga Usher Malam Ini

Posted: 06 Jul 2010 07:39 PM PDT

Usher yang pertama kali berkunjung ke Malaysia menjanjikan sebuah persembahan yang akan diingati oleh peminatnya.

KUALA LUMPUR: BINTANG R&B terkenal Usher yang kini berada di ibu negara bersempena konsert sulungnya - Usher Live in Malaysia 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.30 malam ini menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga buat peminatnya.

Bercakap pada sidang media yang diadakan Selasa, Usher berkata, dia bakal menampilkan sebuah persembahan yang pasti diingati oleh para peminatnya yang sudah 16 tahun menantikan kemunculannya di sini.

"Persembahan pada konsert itu nanti adalah berbeza dan penuh bertenaga. Ia sebagai tanda penghargaan saya kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya selama ini.

"Apa yang pasti saya akan cuba menghiburkan peminat dengan lagu-lagu dan gerak tari yang istimewa. Selain itu, beberapa rakaman video istimewa juga akan disiarkan pada malam konsert itu nanti khas untuk peminat," katanya.

Memandangkan ini adalah kunjungan pertamanya ke Malaysia dan rantau ini, Usher telah bersiap-sedia dengan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah akan terus dikenang.

"Ini adalah pertama kali saya tiba di Malaysia, sudah tentu saya akan tampilkan kelainan dan sesuatu yang berbeza pada malam konsert itu nanti.

"Saya berharap konsert itu bukan sahaja akan menghiburkan, malah mendekatkan lagi saya dengan peminat dan menjadi kenangan terindah buat semua," katanya.

Konsert yang dibawakan oleh Galaxy dan Telekom Malaysia berhad (TM) itu bakal menyaksikan Usher tampil dengan lagu-lagu hit yang pernah menjulang namanya di seluruh dunia, selain melayakkannya memenangi anugerah Grammy sebanyak beberapa kali.

Penyanyi dan komposer yang berasal dari Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat itu memulakan karier nyanyiannya pada tahun 1990-an selepas mendapat khidmat Puffy Combs selaku penerbit album. Album pertamanya iaitu Usher (1994) berjaya melonjakkan namanya sebagai bintang kontemporari soul di era 90-an.

Usher terkenal menerusi lagu-lagu hit termasuklah Nice & Slow, You Make Me Wanna, U Remind Me, U Don't Have To Call, Yeah! dan Burn yang mencatatkan jualan album mencecah jutaan unit di seluruh dunia.

Kunjungannya ke sini adalah bersempena siri promosi album keenamnya, Raymond v Raymond yang mula dipasarkan sejak Mac lalu.

Sentuhan Usher dalam album terbarunya ini mempertaruhkan lagu-lagu bergenre pop rancak/RnB seperti Papers, Hey Daddy dan OMG yang memperlihatkan sisi kematangan dalam muzik.

Polis Kenal Pasti Penyebar Video Lucah Ariel

Posted: 06 Jul 2010 07:39 PM PDT

JAKARTA: Selepas mengenalpastikan lapan suspek utama penyebar video lucah Ariel (gambar), polis telah berjaya mengetahui kaedah penyebaran video tersebut hasil siasatan yang dijalankan.

"Semuanya ada bukti. Misalnya, dari internet, telefon mudah alih ke telefon mudah alih melalui bluetooth dan sebagainya," kata pakar teknologi maklumat (IT), Ruby Alamsyah yang menjadi saksi polis ketika dihubungi wartawan, Isnin lalu.

Sehingga kini, Ruby memberitahu, polis belum mengenalpastikan siapakah orang pertama yang dipercayai memuatnaikkan kandungan video lucah itu ke Internet.

Ruby menambah, polis masih meneruskan siasatan untuk mengetahui dalang di sebaliknya.

Lady Gaga Sanggup Susah Tanpa Bantuan Keluarga

Posted: 06 Jul 2010 07:38 PM PDT

SEWAKTU memulakan kerjayanya sebagai penyanyi, bintang pop, Lady Gaga (gambar) enggan menerima wang pemberian ibu bapanya kerana dia nekad untuk berjaya atas daya usahanya sendiri.

Gaga mengaku dia kesempitan wang semasa permulaan kariernya tetapi enggan menerima bantuan ahli-ahli keluarga.

"Apabila saya bertekad untuk menjadi seorang penyanyi, saya tahu ia adalah satu laluan yang saya kena buat. Kerjaya pilihan saya bukan merupakan pilihan ibu bapa saya. Namun, mereka masih menyokong saya.

"Saya tidak mengambil sebarang wang daripada mereka. Saya keluar dari rumah dan berpindah ke sebuah apartmen yang sempit. Saya bekerja sebagai seorang pelayan di kelab dan bar. Kehidupan amatlah sukar dan saya bekerja berterusan. Ia adalah perjalanan hidup yang saya aturkan," katanya.

Gaga berkata, dia belajar etika kerja yang baik menerusi kehidupan sukar yang dilaluinya.

Sebelum bergelar penyanyi, pelantun lagu Poker Face itu menikmati kehidupan berkeluarga yang selesa di New York malah menghadiri persekolahan persendirian yang eksklusif sebelum pindah keluar dari rumahnya.

Gaga kemudian mencuba nasib sebagai seorang penyanyi di kelab-kelab di bandar raya tersebut.

Tunang Megan Fox Bakal Bintangi 'Desperate Housewives'

Posted: 06 Jul 2010 07:37 PM PDT

Brian Austin Green (kiri) dan Megan Fox.

PELAKON Brian Austin Green yang baru-baru ini bertunang dengan selebriti Megan Fox bakal membintangi siri rancangan televisyen Desperate Housewives.

Bintang berusia 37 tahun itu akan memegang watak Keith, seorang lelaki 30-an yang suka berfoya-foya dan menyebabkan ramai wanita jatuh cinta kepadanya.

Penerbit rancangan televisyen popular itu, Marc Cherry ingin menjadikan Keith kelihatan lebih muda.

Ini kerana dia berpotensi untuk berlakon sebagai kekasih watak Gabrielle Solis lakonan Eva Longoria Parker atau Bree Hodge (Marcia Cross).

Keith bukanlah watak baru yang diwujudkan dalam Desperate Housewives musim ketujuh.

Aktres Vanessa Williams turut dijangka berlakon dalam Desperate Housewives sebagai Renee Filmore-Jones.

Kangin Super Junior Bakal Jadi Tentera

Posted: 06 Jul 2010 07:37 PM PDT

Wajah terbaru Kangin yang berkepala botak sebelum melaporkan diri di pusat latihan tentera, Isnin lalu.

KANGIN, salah seorang anggota kumpulan Super Junior dilaporkan telah mendaftarkan diri sebagai tentera pada 5 Julai lalu.

Penyanyi berusia 25 tahun itu melapor diri sebagai rekrut, di mana dia bakal memulakan latihan asas ketenteraan selama lima minggu di pusat latihan ketenteraan di Nonsan, Korea Selatan sebelum dipindahkan ke unit lain untuk berkhidmat sebagai tentera selama dua tahun.

Kesemua ahli kumpulan Super Junior dan lebih 400 peminat dari Korea, Jepun, Thailand dan China turut dilihat berkumpul di pagar utama pusat latihan tentera itu untuk menghantar Kangin dan memberi sokongan kepadanya sebelum melapor diri.

Kangin sememangnya pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai tentera sejak dulu lagi dan keputusan besar itu diumumkan pada satu sesi bertemu peminat sekitar Mei yang lalu.

Pada pertemuan itu, dia juga berjanji untuk kembali aktif dalam bidang seni sebagai individu yang lebih baik dan matang daripada sebelum ini. Kangin dijangka kembali pada tahun 2012.

Cheryl Cole Dijangkiti Malaria

Posted: 06 Jul 2010 07:04 PM PDT

Penyanyi, Cheryl Cole hadir ke tayangan filem Hors La Loi (Outside the Law) di Pesta Filem Cannes ke-63, Perancis pada 21 Mei, 2010.

ARTIS Cheryl Cole dijangkiti penyakit malaria yang boleh membawa maut ketika melancong ke Tanzania bersama kenalannya Derek Hough yang juga penari.

Cheryl, 27, bersiar-siar sambil melepaskan tekanan di pantai timur Afrika untuk melepaskan tekanan.

Selepas terjatuh semasa penggambaran foto untuk albumnya, dia dinasihatkan untuk berehat kerana dikhuatiri mengalami radang perut dan usus.

Bagaimanapun, dia akhirnya dimasukkan ke hospital Surrey apabila kerap pengsan selepas itu. Di situlah doktor mengenalpastikan Cheryl dijangkiti penyakit malaria.

Sumber memberitahu, bintang The X Factor itu akan dimasukkan ke hospital untuk satu malam lagi dan menerima pemantauan rapi selama dua minggu.

Pemandu bebal punca kemalangan

Posted: 06 Jul 2010 07:03 PM PDT


SIKAP bebal pemandu yang mementingkan diri sendiri merupakan punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.


KUALA TERENGGANU - Sikap bebal pemandu yang sengaja melanggar pelbagai peraturan jalan raya dikenal pasti menjadi punca utama peningkatan kadar kemalangan di negara ini.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, golongan itu sering memandu sesuka hati tanpa menghiraukan keselamatan orang lain sekali gus menghalang usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

"Orang yang layak dikategorikan sebagai pemandu bebal ialah mereka yang melanggar peraturan jalan raya sesuka hati.

"Golongan ini tidak menggunakan lampu isyarat ketika menukar laluan dan memandu tanpa mengikut had laju yang ditetapkan," kata beliau.

Beliau ditemui selepas program Seminar Keselamatan Respect Your Limits anjuran PLUS Expressways Berhad dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini semalam.

Pelajar sekolah dilacurkan

Posted: 06 Jul 2010 07:02 PM PDT


SALAH satu lorong belakang sebuah rumah kedai yang menjadi lokasi pelacuran di Jalan Tun Ali, Melaka.


MELAKA - Banyak sindiket pelacuran yang dibongkar oleh polis lazimnya melibatkan wanita warga China, Thailand dan Filipina tetapi di negeri ini lain pula ceritanya apabila pihak berkuasa menumpaskan sindiket persundalan membabitkan pelajar sekolah menengah.

Difahamkan, pelacur muda berusia belasan tahun tersebut dipaksa melayan sekurang-kurangnya seorang lelaki sehari dengan bayaran antara RM60 dan RM80.

Ketiga-tiga pelacur berkenaan merupakan remaja yang lari dari rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal bersama seorang ibu ayam di sebuah rumah di Duyong di sini.

Dua daripada mereka tidak lagi menghadirkan diri ke sekolah manakala seorang lagi telah berhenti belajar beberapa tahun lalu.

Sejak beroperasi dua bulan lalu, mereka dipercayai telah melayan tidak kurang 130 lelaki.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu tiba ke penghujungnya kelmarin apabila polis negeri ini menahan tiga pelacur berkenaan, seorang ibu ayam dan dua pembantunya yang mana salah seorang daripada mereka merupakan anggota tentera berusia dalam lingkungan 20-an.

Peranan anggota tentera tersebut ialah membantu ibu ayam berkenaan mencari pelanggan dan menghantar pelacur-pelacur itu ke dua buah hotel murah di Jalan Tun Ali di sini untuk melakukan hubungan seks.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah di Duyong di sini selepas polis mendapat maklumat daripada seorang remaja yang mendakwa dipaksa oleh ibu ayam itu untuk melacur.

Awang Afrika perdaya andartu

Posted: 06 Jul 2010 07:01 PM PDT


WARGA Afrika kini boleh dilihat di mana-mana sahaja di negara ini dan sebahagiannya licik memperdayakan wanita tempatan.


KUALA LUMPUR - Kegiatan jahat dua lelaki Afrika yang giat memperdayakan wanita berusia terutama andartu dengan berpura-pura ingin menghantar bungkusan mengandungi barangan berharga sebagai tanda cinta terbongkar apabila kedua-duanya ditahan di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Kedua-dua suspek warga Nigeria dan Ivory Coast berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan pukul 11 malam 24 Jun lalu selepas terpedaya dengan perangkap dipasang polis yang menjadikan seorang wanita berusia 50 tahun sebagai umpan.

Difahamkan, wanita yang merupakan seorang kerani itu telah kerugian RM109,000 selepas diperdaya dua lelaki tersebut sejak September tahun lalu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Lebih malang apabila lelaki Nigeria tersebut cedera di mukanya apabila dilanggar oleh sebuah motosikal ketika hendak melarikan diri dari sebuah hotel dalam operasi yang diketuai Inspektor Joel Teo Tan Yam bersama lapan anggota dan pegawai.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, pemeriksaan mendapati dua suspek tersebut memasuki negara ini dengan menggunakan pas pelajar dan menjalankan kegiatan penipuan itu sebagai kerja sampingan.

Curi di Melaka, tangkap di PD

Posted: 06 Jul 2010 07:00 PM PDT


ANGGOTA polis menunjukkan kereta Proton Waja yang dipandu suspek sebelum terbabas di Pasir Panjang, Port Dickson kelmarin.


MELAKA - Bukan calang-calang wanita apabila dia sekali lagi telah mencetuskan suasana panik dengan melarikan sebuah kereta jenis Proton Waja milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kejadian di Batu Berendam di sini kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun tersebut sebelum ini terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta jenis Toyota Avanza milik seorang pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika dia ditahan di pejabat pegawai tersebut pada pukul 5.30 pagi 14 Mei lalu.

Dia ditahan semula pada pukul 9 pagi keesokan hari oleh sepasukan polis di rumahnya di Kampung Gadek, Alor Gajah ketika sedang mencuci kereta itu.

Bagaimanapun, semalam lain pula ceritanya. Wanita yang masih bujang itu telah membuat onar dengan memandu kereta Proton Waja tersebut hingga ke Port Dickson secara berbahaya hingga memaksa enam buah kereta peronda mengejarnya.

Selain itu, suspek turut merempuh dua operasi sekatan jalan raya di Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru di sini.

Kejadian berlaku apabila suspek dikatakan telah mencuri kereta tersebut pada pukul 9 malam ketika pemandunya pulang sebentar ke rumah untuk menukar baju tanpa mematikan enjinnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pemandu itu kemudian ternampak seseorang melarikan kereta tersebut yang diletakkan di luar rumah.

Mayat ditemui berkecai atas rel

Posted: 06 Jul 2010 06:59 PM PDT


ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki yang hancur di atas rel kereta api di Stesen Komuter, Teluk Pulai, Klang semalam.


KLANG - Sama ada mabuk atau bunuh diri, polis kini sedang menyiasat penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui berkecai di landasan Stesen Komuter, Teluk Pulai di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang ramai kira-kira pukul 9.30 pagi.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kejadian itu mungkin berlaku sama ada awal pagi semalam atau lewat malam kelmarin.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai seorang lelaki tempatan namun identitinya masih belum dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah berkecai.

"Pihak polis masih menyiasat sama ada mangsa membunuh diri atau mabuk dan tertidur di atas landasan sebelum digilis kereta api," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kereta curi dieksport ke Dubai

Posted: 06 Jul 2010 06:58 PM PDT


mohd. BAKRI (kanan) menyerahkan kunci 24 kereta curi kepada Kamaruddin di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis berjaya membawa pulang 24 kenderaan curi bernilai hampir RM1.26 juta yang diterima daripada pihak kastam Dubai untuk diserahkan kepada pemilik asal di negara ini atau pihak insurans terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, semua kenderaan curi itu tiba di Pelabuhan Klang pada 23 Jun lalu dari Pelabuhan Jabel Ali, Dubai.

Katanya, antara kereta yang dibawa pulang itu ialah Toyota Hilux sebanyak 15 buah, empat buah Toyota Fortuner, tiga buah Toyota RAV 4 dan dua buah Daihatsu Delta.

"Semua kereta ini dilaporkan hilang sejak 2007 dan dipercayai dibawa keluar dari negara ini melalui Pelabuhan Klang.

"Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian kumpulan yang besar," katanya sewaktu penyerahan kunci 24 kereta terbabit kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Supritendan Kamaruddin Ismail di Seksyen 17, Shah Alam semalam.

Penjelasan belum diterima

Posted: 06 Jul 2010 06:57 PM PDT


KHABAR angin mengenai kononnya pasar raya besar Carrefour bakal menutup
operasinya di Malaysia menjadi isu di kalangan pengguna.


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan belum menerima sebarang penjelasan daripada pengurusan pasar raya Carrefour ekoran laporan media mengenai rangkaian pasar raya Perancis itu akan menutup operasi di Malaysia, Thailand dan Singapura.

"Saya pun ada dengar khabar angin. Jadi, sebelum dapat perkembangan, saya anggap khabar angin. Tetapi, adalah tidak betul kalau kita kata pelaburan-pelaburan di Malaysia ini tidak tarik minat para pengusaha antarabangsa," kata Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Myvi edisi khas untuk wanita

Posted: 06 Jul 2010 06:56 PM PDT


Model terbaru edisi khas Myvi bersesuaian untuk pemandu wanita yang memiliki ciri-ciri yang disenangi kumpulan itu mula berada di pasaran mulai hari ini.


KUALA LUMPUR - Memiliki kereta yang sinonim dengan perwatakan wanita menjadi impian pemandu wanita di negara ini, tetapi tidak banyak syarikat pengeluar kereta yang memberi tumpuan untuk memperkenalkan model kereta bersesuaian untuk kumpulan berkenaan.

Kini, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan model terbaru 1.3L Myvi (Mvvi LE) edisi terhad yang memiliki ciri-ciri sporty tetapi bergaya bersesuaian untuk pemandu wanita.

Pengarah Urusan Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, model itu dikeluarkan khas untuk memenuhi permintaan dan cita rasa golongan muda dan wanita bandar.

Selain warna yang menarik, ia turut menampilkan beberapa ciri yang bersesuaian dengan keperluan kumpulan berkenaan.

"Kami memahami keperluan dan pentingnya bagi mereka (wanita muda dan wanita bandar) untuk mempunyai cermin solek dalam kereta.

"Oleh itu, kami menyediakan sekali cermin itu di bahagian sisi bahagian pemandu dalam model kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tidak timbul soal Pasha

Posted: 06 Jul 2010 06:56 PM PDT




MEMANG selama ini mereka tidak pernah membuat sebarang pengakuan secara rasmi. Tidak ada sebarang komen atau penjelasan apabila salah seorang daripada mereka ditanya mengenai status hubungan mesra itu.

Aizat Amdan dan Liyana Jasmay lebih selesa mengunci mulut. Tindakan itu membuatkan ramai orang meneka dan tidak kurang yang berpendapat mereka sebenarnya sedang bercinta. Rapat, Aizat dan Liyana juga sering dilihat bersama tidak kira pada acara hiburan skala kecil atau besar.

Jadi, walaupun tiada pengakuan, mereka secara tidak rasmi sudah dilabelkan sebagai pasangan kekasih. Sama padan dari ukuran usia, karier dan status keluarga, mereka dilihat amat serasi.

Namun, sebelum mereka sempat mengumumkan atau mengesahkan status mereka, ada khabar angin yang menyatakan mereka sudah berpisah.

Jika mereka tidak pernah bersama, bagaimana pula khabar angin itu boleh timbul? Mengapa pula ada pihak yang menimbulkan isu perpisahan mereka? Aizat yang ditemui semasa menjalankan penggambaran klip video lagu Erti Hari Ini di studio ntv7, Glenmarie membuka cerita.

"Orang ramai sudah salah anggap mengenai hubungan kami. Seperti yang diketahui ramai, kami tidak pernah mengumumkan secara rasmi mengenai status hubungan kami menerusi mana-mana medium media.

"Jadi semua berita mengenai percintaan dan perpisahan ini adalah satu salah faham. Jauh sekali jika ada orang mengaitkan Pasha Ungu sebagai pihak ketiga," jelas Aizat.

Aizat sedar ramai orang yang menganggap mereka merupakan pasangan kekasih kerana keakraban mereka sering menjadi laporan media. "Rasanya saya dan Liyana mula rapat semasa saya terlibat dalam pembikinan albumnya.

"Selepas itu, kami sering lepak bersama dan menjadi kawan baik. Dari situ juga orang melihat kami rapat dan salah faham. Sekarang kami masih berhubung seperti biasa dan tidak ada timbul sebarang masalah seperti yang dikatakan orang."

Jelas Aizat lagi, dia sendiri tidak tahu bagaimana berita perpisahan itu boleh timbul. Dia dan Liyana juga tidak memandang berita itu satu masalah kerana hanya mengambilnya sebagai salah satu lagi gosip.

Malah Aizat berasa pelik mengapa khabar angin itu turut melibatkan ahli keluarga mereka. "Ramai orang buat cerita selepas melihat kami rapat. Seperti status yang ditulis dalam laman sosial Facebook, ada kalanya kita mahu menyampaikan mesej berlainan.

"Tapi ia memberikan mesej berlainan kepada orang berbeza. Jadi apabila ada berita mengenai kemesraan kami ditulis, ramai orang mula mempunyai tanggapan tersendiri. Keluarga kami berdua juga tidak mempunyai sebarang masalah."

Berasa gembira dengan hidupnya sekarang apabila mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakannya, ayah Aizat sebelum ini ada menyatakan bahawa dia tidak boleh berkahwin sehingga usianya mencecah 30 tahun.


TIADA perubahan. Aizat dan Liyana masih meneruskan hubungan seperti sediakala.


Tahu ayahnya menyalurkan maksud tersirat, Aizat mengaku dirinya ada mencari teman wanita. Cuma agenda itu bukan keutamaan dia sekarang. "Memang saya ada mencari teman wanita tetapi tidaklah terlalu terdesak.

"Seperti apa yang dikatakan oleh ayah, dia mahu saya berkahwin hanya pada usia 30 tahun. saya faham ayah bukannya bermaksud dari segi nombor. Dia mahu saya stabil dari segi mental serta kewangan dahulu. Namun, soal jodoh itu sukar untuk diramal," tambahnya lagi.

Album baru

Bakal melancarkan album terbarunya, Urusan Aizat Amdan pada 7 Julai ini, Aizat memberitahu, album itu lebih matang. Menyampaikan mesej dan lebih serius, album yang mengandungi tujuh buah lagu itu merupakan produksi 100 peratus Aizat.

Cuba untuk menerbitkan album untuk penyanyi lain dalam masa dua tahun ini, Aizat juga berharap dia dapat mempromosikan album terbarunya itu di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.

"Sasaran pertama adalah mengadakan promosi jelajah selepas sambutan hari raya nanti. Selain daripada itu, saya berharap album ini dapat menembusi pasaran Indonesia. Ditambah dengan dua lagu Inggeris, diharap ia dapat pergi lebih jauh dari negara serantau," kata Aizat.

Masih mempunyai niat untuk menyambung pelajaran, lagu Erti Hari Ini yang turut dimuatkan dalam album keduanya telah dipilih sebagai lagu untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin. Mahu menyumbang tenaga dalam memaparkan kekejaman rejim Zionis, Aizat menyalurkan menerusi lagunya.

"Sama seperti manusia lain, saya amat prihatin dengan hidup rakyat Palestin. Kita sebagai manusia perlu bersatu untuk membantu mereka. Saya bukannya ahli politik atau penceramah tetapi saya menyalurkan mesej menerusi muzik. Semua orang ada cara tersendiri untuk menunjukkan keprihatinan mereka," jelas Aizat.

Disebabkan lagu itu disasarkan untuk kempen kesedaran itu, maka klip videonya dibikin bagi memaparkan mesej yang sama. Dalam mendapat konsep itu, Aizat telah mendapatkan khidmat pengarah, Douglas Khoo.


ALBUM baru bukti kesinambungan karier muzik Aizat.


"Saya akan berganding dengan abang saya, Anas. Selepas berbincang dengan Douglas, klip ini akan dirakamkan dalam studio dengan skrin hijau. Kami sukakan idea Douglas yang sesuai dengan penyampaian mesej lagu ini," tambah Aizat.

Bagi Douglas, dia menerima tugas itu kerana berpendapat lagu Aizat amat berbeza dan dapat menyentuh emosinya. Selain daripada itu, pembikinan klip itu juga bertujuan untuk kerja amal dan Douglas sendiri prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.

"Lagu Aizat telah menyentuh perasaan saya. Itu yang membuatkan saya bersetuju untuk terlibat dalam pembikinan videonya. Saya bukannya berharap video ini akan menggubah apa-apa tetapi boleh menyokong kempen ini. Diharap hasil kerja saya dapat menyalurkan mesej ini setepatnya," ujar Douglas.

Pernah mengarah klip video untuk Faizal Tahir, Shila OIAM, dan Ayu OIAM, menariknya Douglas akan menggunakan visual asal serangan yang berlaku di Palestin. "Saya telah mendapat visual asal serangan di Palestin. Seorang pelajar filem telah menghasilkan video mengenai serangan di kampung halamannya.

"Apabila kami menyatakan hasrat untuk menggunakan visualnya, dia terus bersetuju kerana ia untuk tujuan baik. Dia mahu kami memberitahu dunia apa yang berlaku di negaranya. Jadi anda akan menyaksikan klip ini dengan lebih realiti," jelas Douglas.