Nuffnang

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

sumber :-

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


UnisZA secara rasmi nama baru UDM

Posted: 22 Jun 2010 09:13 AM PDT

Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang ditubuhkan pada 2006 kini ditukar nama kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) berkuat kuasa 14 Mei lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penukaran nama UDM kepada UnisZA adalah mengambil kira sejarah UDM yang pada asalnya adalah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebelum dinaik taraf kepada sebuah universiti.

"Pertukaran nama UDM telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 13 April 2010 dan telah diwartakan pada 13 Mei 2010," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, UnisZA menjadi harapan kepada rakyat Malaysia agar dapat melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berkarisma.

"Penubuhan UnisZA diharap dapat melahir dan membentuk pemimpin yang pemikirannya diasuh dengan ilmu, budaya tinggi, akhlak luhur serta berwajah antarabangsa selaras dengan visi UnisZA itu sendiri," ujarnya.

UDM telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan merupakan universiti awam yang ke-18 di negara ini.

Hasrat penubuhannya adalah untuk menjadi institusi pendidikan berstatus universiti penuh yang menawarkan pelbagai program akademik di Terengganu.

Universiti ini mula beroperasi di kampus Kolej Sultan Zainal Abidin, sebuah institusi pendidikan agama yang bersejarah di Terengganu dan langkah ini diwujudkan bagi membolehkan beberapa program yang ditawarkan oleh KUSZA sebelum ini dinaik taraf kepada program ijazah.

- UTUSAN

World Cup FIFA 2010 Result - 22 June 2010

Posted: 22 Jun 2010 09:03 AM PDT

Game 1 - Mexico 0 - 1 Uruguay (43' L. Suarez)

Game 2 - (70' F. Malouda) France 1 - 2 South Africa (20' B. Khumalo, 37' K. Mphela)

Game 3 - (12' K. Uche, 69' A. Yakubu (penalty) Nigeria 2 - 2 Korea Republic (38' J. Lee, 49' C. Park)

Game 4 - Greece 0 - 2 Argentina (77' M. Demichelis, 89' M. Palermo)

Lesen runcit ayam, besi, simen mansuh 15 Julai

Posted: 22 Jun 2010 08:55 AM PDT

Mulai 15 Julai ini, lesen runcit bagi tiga barangan iaitu ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen akan dimansuh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berikutan itu, ketiga-tiga barangan itu bukan lagi di bawah kawalan harga, sebaliknya harga ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, antara tujuan langkah itu diambil ialah supaya tidak berlaku ketirisan ke sempadan memandangkan jurang perbezaan harga dengan negara Asean bagi simen dan keluli tidak ketara dan bekalan ayam yang semakin stabil sejak kawalan harga dikeluarkan.

Selain itu, ia untuk membolehkan kementerian memberi fokus kepada tiga barangan keperluan asas iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak yang masih dikawal bagi harga dan bekalan oleh kerajaan, katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

"Pada tahun 2008, kementerian mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan kawalan harga terhadap ayam, besi dan simen. Bagaimananpun, kawalan bekalan masih diteruskan dan selain itu, melalui perlesenan, bekalan ayam dalam negara juga semakin stabil," katanya.

Beliau berkata jumlah lesen runcit ayam yang dikeluarkan dari Januari hingga hari ini (22 Jun) ialah 2,676 dan 3,000 untuk simen serta 2,356 untuk besi.

Ismail Sabri juga berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dijangka dibentang pada sesi Parlimen kali ini bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.

"Kabinet dah luluskan. Saya berharap ia dapat di baca untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada minggu hadapan," katanya.

Beliau berkata akta ini jika diluluskan, lesen di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan dimansuh.

"Ini bermakna lesen di bawah skim itu tidak akan dikenakan terhadap peruncit pada musim perayaan akan datang," tambahnya.

- Bernama

Pasport boleh dipohon di kaunter JPN

Posted: 22 Jun 2010 08:50 AM PDT

Kaunter di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lama lagi akan dijadikan sebagai kaunter guna-sama bagi membolehkan orang ramai membuat permohonan pasport dengan Jabatan Imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata projek perintis kaunter itu akan dilakukan di pejabat cawangan JPN di Puchong, Kepong dan Gombak.

Katanya, langkah itu antara usaha penambahbaikan proses dan prosedur kerja agensi dan jabatan dalam kementerian yang sedang dilakukan bagi memastikan mutu perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Di samping itu, ia bagi mengelak berlakunya penyelewengan dan kelemahan tertentu," katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Katanya, usaha sedang diambil untuk menambah sistem online bagi semua jabatan dan agensi kementerian.

"Dalam hal ini, jabatan dan agensi berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan sistem sedia ada ditambah baik dan dipertingkatkan," katanya.

Lee berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kementerian untuk mengurangkan jenayah termasuk mengaktifkan semula bandar selamat yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan panas.

Katanya, pelancaran "Balai League Table" akan dilakukan di KLCC dalam masa terdekat.

"Inisiatif ini bertujuan menilai prestasi balai polis berdasarkan kriteria ditetapkan seperti kejayaan pengurangan kadar jenayah di bawah jagaan balai tersebut," katanya.

- Bernama

Calon lulus kursus perguruan terus dilantik guru tetap: Muhyiddin

Posted: 22 Jun 2010 08:49 AM PDT

Calon yang telah lulus kursus perguruan akan terus dilantik sebagai guru tetap dan bukan lagi sebagai Guru Sandaran Terlatih, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam pengambilan yang akan datang, yang bukan sahaja akan menjimatkan kos dan masa, tetapi memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.

"Kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.

"Apa yang penting, kita mahukan guru yang cukup baik dan terpilih, diberikan jawatan yang tetap selepas proses tapisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Datuk Kusaini Hasbullah.

Terdahulu, i dalam ucapannya, Muhyiddin berkata dalam melaksanakan tindakan itu, perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.
"Buat masa ini, pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi.

"Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan lima syor yang dihasilkan oleh makmal khas yang ditubuhkan bagi membincang kaedah dan cara untuk meningkatkan kualiti guru.

"Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon guru terbaik untuk mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam; memastikan guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.

"Selain itu, meningkatkan akauntabiliti IPG melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing; merekrut guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya.

- BERNAMA

Sikap Pengundi Melayu membimbangkan

Posted: 22 Jun 2010 08:46 AM PDT

Seorang menteri kanan hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung sikap sebilangan besar orang Melayu yang tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, padahal mendaftar sebagai pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menarik perhatian bahawa sekitar 500,000 ahli parti itu sendiri belum dipastikan sebagai pengundi berdaftar pada masa ini.

Sedangkan, kata beliau, realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.

''Secara keseluruhannya orang Melayu tidak ambil pusing sangat. Dalam Pas keadaannya lebih baik kerana anggotanya menunjukkan menambah pengundi di kawasan masing-masing.

''Bilangan orang Melayu sudah melebihi 54 peratus tetapi malangnya mereka berpecah kepada UMNO, Pas dan PKR. Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara lantas kalau terus mahu mengepalai pimpinan kerajaan di negara ini," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera.

Ketika ini sejumlah 11 juta pemilih pendaftar telah disahkan oleh SPR.

Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2007 pernah mengingatkan bahawa kegagalan kira-kira 4 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi negara.

Perkara itu, tegas Najib, tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya.

Justeru, kata beliau, sesuatu tindakan perlu dilakukan dengan segera supaya golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan datang.

- UTUSAN

Komuter setiap 7.5 minit

Posted: 22 Jun 2010 08:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kekerapan perkhidmatan tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan ditingkatkan kepada sekali bagi setiap 7.5 minit menjelang 2012 berbanding sekali setiap 30 minit sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, tahap kekerapan tren yang lebih baik ini dapat dicapai dengan pemilikan 38 set unit elektrik pelbagai oleh KTMB dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ini merupakan antara projek yang akan membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan yang lebih baik apabila masa perjalanan dapat disingkatkan sementara keselesaan ditingkatkan.

"Kerajaan juga menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan berasaskan rel sebagai tulang belakang pengangkutan awam darat secara bersepadu di bawah projek transit aliran sederhana (MRT).

"Projek MRT yang akan menelan belanja berjumlah RM36 bilion ini akan dikendalikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan bakal dilaksanakan pada awal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-125 KTMB di sini hari ini.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima wang syiling emas dan perak khas keluaran Bank Negara serta setem khas keluaran Pos Malaysia sempena sambutan ulang tahun KTMB itu.

Timbalan Perdana Menteri juga menyaksikan perarakan beberapa lokomotif lama yang pernah digunakan KTMB serta melawat set kereta api elektrik (ETS) berkelajuan 160 kilometer sejam yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi KTMB, Datuk Seri Ir. Mohd, Zin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, anggota Kesatuan KTMB dan warga kerja KTMB.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan SPAD yang ditubuhkan pada 3 Jun lalu dijangka dilaksanakan September ini selepas pindaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

"Suruhanjaya ini akan bertindak sebagai badan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan, mengawal selia dan menyatupadukan perancangan pengangkutan awam," ujarnya.

- UTUSAN

Ali bin Abu Talib yang suka bertoleransi

Posted: 22 Jun 2010 08:43 AM PDT

Ali bin Abi Talib adalah khalifah keempat yang dilantik selepas mendapat sokongan majoriti. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah. Beliau dilahirkan pada tahun 602 Masihi.

Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy.

Beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad. Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga pemuda pertama yang memeluk Islam.

Nabi Muhammad menggelarkannya Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Beliau juga mendapat gelaran Asad Allah yang bermaksud Singa Allah.

Ali meninggal dunia pada 40 Hijrah kerana ditikam oleh Abdullah bin Maljam iaitu salah seorang daripada golongan Khawarij.

Menurut cerita, Khalifah Ali kehilangan sepasang pakaian perang. Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak jumpa pakaian perang tersebut. Pada suatu hari, Khalifah Ali ternampak seorang lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu. Ali dapat mengecam pakaian perang itu benar-benar kepunyaannya.

"Tahukah kamu, pakaian perang yang kamu pakai itu adalah milik saya," kata Ali kepada orang Nasrani itu.

"Pakaian perang itu milik saya," ulang Ali lagi.

"Tidak. Pakaian perang ini adalah milik saya," jawab orang Nasrani itu.

Ali tidak berputus asa lalu berkata, "Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya. Sudah lama saya mencari pakaian perang itu".

"Tidak. Saya tidak mahu serahkan pakaian perang ini kepada kamu," kata lelaki Nasrani itu.

Lelaki Nasrani itu tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu walaupun sudah berkali-kali di minta oleh Ali.

"Sekiranya begitu kata kamu, mari kita pergi ke mahkamah. Di sana, pihak pengadilan dapat menentukannya," kata Ali.

"Baik, saya setuju. Mari kita pergi berjumpa dengan tuan hakim," jawab lelaki Nasrani itu.

Kemudian, mereka berjumpa dengan hakim yang bernama Kadi Syuraih. Beliau adalah seorang hakim yang adil dan bijaksana. Sampai sahaja di mahkamah itu, Ali berkata kepada tuan hakim, "Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu kepada orang lain. Saya rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu adalah milik saya. Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut".

Mendengar penjelasan Ali, hakim menyoal pula orang Nasrani itu, "Adakah benar seperti yang dikatakan oleh Ali tadi".

Lelaki Nasrani itu menjawab, "Pakaian perang itu milik saya". Lelaki Nasrani itu masih tetap dengan pendiriannya menyatakan pakaian perang itu miliknya.

Tuan hakim menjalankan tugasnya dengan adil. Bagi mendapatkan kepastian, tuan hakim bertanya pula kepada Ali, "Bolehkah kamu berikan bukti? Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang itu milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu".

Tuan hakim itu memang seorang yang adil dan bijaksana. Ali berkata, "Saya tidak mempunyai sebarang bukti".

Keputusan mahkamah dibuat. Orang Nasrani itu tidak bersalah. "Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu adalah milik orang Nasrani dan bukan milik Ali," kata tuan hakim.

Keputusan mahkamah adalah muktamad. Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah. Di luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.

"Keputusan yang dijatuhkan oleh tuan hakim adalah muktamad. Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan seadil-adilnya. Kamu memang seorang yang jujur dan sabar. Mulai pada hari ini, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah," kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.

Ali mendengar dengan teliti. Kemudian, lelaki Nasrani itu menceritakan kisah sebenar mengenai pakaian perang yang dipakainya itu.

"Pakaian perang ini saya terjumpa ketika kamu pergi ke Perang Siffin. Pakaian perang ini terjatuh daripada kenderaan yang kamu naiki. Lalu saya mengambil pakaian perang itu.

"Saya pakai pakaian perang ini dan menjadi milik saya. Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya lagi. Pakaian perang ini adalah milik kamu. Ambillah," kata lelaki Nasrani itu.

Mendengar penerangan lelaki Nasrani itu, Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.

Kemudian Ali berkata kepada lelaki Nasrani itu, "Kamu memang seorang yang jujur. Sekarang kamu sah menjadi orang Islam. Ambillah pakaian perang ini.

"Saya beri pakaian perang ini kepada kamu. Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu".

Demikianlah sikap jujur, amanah dan suka bertoleransi di antara satu sama lain. Sikap bertoleransi, jujur dan amanah terhadap orang lain akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di kalangan manusia sejagat.

- UTUSAN

Sektor perkhidmatan tumbuh 4.9 peratus

Posted: 22 Jun 2010 08:40 AM PDT

Sektor perkhidmatan akan terus meneraju pertumbuhan ekonomi dengan jangkaan pertumbuhan 4.9 peratus pada tahun 2010 ini.

Ia akan meningkatkan paras sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 57.5 peratus, kerana di dorong oleh unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dan perdagangan dunia yang memberangsangkan.

Perdagangan sektor perkhidmatan dijangka terus mencatatkan lebihan dagangan pada tahun ini dengan memulakan trend untuk tiga tahun bermula 2007.

Pemulihan berunsur ekonomi dunia dijangka menyumbang kepada peningkatan prestasi sub sektor perkhidmatan seperti pelancongan, pengangkutan, penyimpan dan utiliti.

Pelancongan merupakan penyumbang terbesar hasil eksport negara dan ianya dijangka terus meningkat pada 2010 dengan sokongan aktiviti promosi lebih mantap, pelbagai pakej percutian menarik dan sosio-politik negara yang terus stabil.

Tahun ini pelaburan tempatan dijangka terus menyumbang secara signifikan kepada pelaburan sektor perkhidmatan.

Pelaburan asing juga dijangka meningkat didorong oleh pelbagai inisiatif pembukaan pasaran yang diambil oleh kerajaan ekoran pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan liberalisasi Rangka Kerja Perjanjian ASEAN dalam Perkhidmatan (AFAS).

Sub sektor pengangkutan, utiliti, perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi dijangka menjadi penerima pelaburan utama pada 2010.

Pada tahun 2009, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama KDNK dengan sumbangan meningkat 57.6 peratus berbanding 55.2 peratus pada 2008.

Sementara itu, perdagangan borong dan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK di bawah sektor perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 13.3 peratus, diikuti dengan kewangan dan insurans 11.7 peratus, perkhidmatan kerajaan 7.6 peratus dan perkhidmatan lain 6.1 peratus.

''Sub-sektor komunikasi mencatatkan peningkatan nilai ditambah tertinggi iaitu sebanyak enam peratus, diikuti oleh kewangan dan insurans 5.1 peratus dan perkhidmatan lain 4.3 peratus.

''Perdagangan sektor perkhidmatan bagi tahun 2009 mencatatkan jumlah lebihan yang lebih tinggi iaitu RM3.8 bilion berbanding RM738.5 juta pada 2008,'' katanya.

Eksport sektor perkhidmatan berjumlah RM98.9 bilion pada 2009, manakala import jumlah RM95.1 bilion.

Pelan Induk Industri 3 (IMP3) telah mengenalpasti beberapa sub sektor strategik untuk terus dimajukan bagi memperkukuhkan pertumbuhan sektor perkhidmatan.

Sub sektor ini termasuk sub sektor perdagangan pengedaran, pembinaan, pendidikan dan latihan, penjagaan kesihatan, pelancongan, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta logistik.

- UTUSAN

Nasihat sebelum melangkah ke universiti

Posted: 22 Jun 2010 08:38 AM PDT

Sekalung tahniah ditujukan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki untuk memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pada sesi pengajian Julai 2010.

Tawaran menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS tentunya berita yang sangat menggembirakan pelajar dan seluruh keluarga. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup berhabis menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung semata-mata untuk menghantar anak masuk ke universiti. Kegembiraan itu ditambah lagi dengan majlis kenduri kesyukuran yang diadakan.

Namun lebih daripada itu, setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia Ilahi kerana terpilih masuk ke universiti. Mana tidaknya, antara ratusan ribu pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebilangan kecil ditawarkan ke IPTA/IPTS yang menyediakan tempat terhad kepada mereka yang benar-benar layak.

Seterusnya kejayaan itu hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap 'hangat-hangat tahi ayam' di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti, mereka mula lalai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara.

Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasiswa juga perlu mengikhlaskan niat sejak hari pertama melangkah kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap segulung sijil dan gaji lumayan apabila bergraduat nanti.

Dewasa ini, terdapat golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas.

Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk itu. Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda: "Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah".

Selain itu, para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan memohon pertolongan-Nya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Ini kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan Pencipta-Nya, seseorang itu tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan holistik, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan tidak mengabaikan tanggungjawab utama iaitu melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadan.

Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Ini kerana sebagai individu Muslim, ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain. Menurut Waqi, guru kepada Imam Shafie, ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pelaku maksiat.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti seperti menganggotai pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

Ia bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru, sebelum melakukan sesuatu, berfikirlah dengan matang dan bijaksana.

Golongan pelajar juga perlu bersedia untuk berkorban sepenuh masa dan sekuat tenaga untuk berjaya mengharungi liku-liku perjalanan sebagai pelajar universiti. Ia tak ubah seperti tentera yang bersabung nyawa berjihad di jalan Allah SWT. Malahan jika diperhalusi, ia adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.

Nama-nama tersohor seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kegemilangan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda: "Barang siapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barang siapa yang ingin kedua-duanya (dunia dan akhirat) juga hendaklah dengan ilmu."

Justeru peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti. Begitu juga diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya.

- UTUSAN

Hipertensi - Mampu membunuh dalam senyap

Posted: 22 Jun 2010 07:55 AM PDT

Kira-kira 20 tahun lalu, Daniel Chong dikejutkan dengan berita bahawa rakan baiknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kehilangan banyak darah.

Atas semangat setiakawan, dia bergegas ke hospital berkenaan untuk mendermakan darah bagi menyelamatkan nyawa rakannya. Namun niat murninya itu berakhir tanpa dilunaskan apabila dia sendiri terpaksa ditahan di hospital yang sama gara-gara menunjukkan petanda hipertensi.

"Alangkah terkejutnya saya ketika itu kerana saya langsung tidak mengalami sebarang simptom yang berkaitan dengan hipertensi sebelumnya. Doktor memberitahu dengan bacaan tekanan darah 190, saya berisiko mendapat serangan strok minor.

"Cuma saya perasan, imej yang saya pandang kelihatan semakin mengecil dan mengalami pening-pening biasa. Keadaan itu kemudian hilang apabila saya berjalan-jalan dan berehat sebentar," katanya yang kini berusia 52 tahun.

Tambahnya, penyakit darah tingginya itu diwarisi daripada ibunya yang menghidap hipertensi selain faktor penyumbang lain seperti tekanan kerja dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi Zubaidah Omar, 56, yang merupakan seorang guru, dia tidak menyedari bahawa dirinya mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sehinggalah dia berjumpa dengan doktor kerana mengalami kebas di bahagian kepala.

"Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah tinggi dengan kadar tekanan 190 berbanding tekanan normal 120 dan mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.

"Saya diberikan ubat, tetapi apabila tekanan darah sudah normal saya jarang mengambil ubat. Sehinggalah pada satu masa ia kembali naik," katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu dua tahun lalu.

Hipertensi atau darah tinggi yang merupakan pembunuh senyap merujuk kepada tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg semasa keadaan rehat dijangka mempunyai keadaan darah tinggi.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman memberitahu, hipertensi merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan tekanan darah melebihi tekanan normal.

"Tekanan darah memang penting untuk menyalurkan darah kepada otot dan kepada organ-organ penting terutamanya otak, jantung dan buah pinggang.

"Tetapi kalau darah terlalu tinggi, lama-kelamaan keadaan tersebut boleh merosakkan organ-organ penting, yang paling ketara sekali ia boleh merosakkan pembuluh darah itu sendiri," katanya.

Tambahnya, paras kolestrol yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan pembuluh darah menjadi keras akibat penebalan kolestrol (arteriosklerosis) yang menyumbang kepada kerosakan organ.

"Hipertensi pada awalnya memang tiada sebarang gejala. Kalau kita tidak rawat dari awal, insiden kali pertama boleh terjadi dalam bentuk komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang.

"Keadaan tersebut boleh berlaku seberapa cepat bergantung kepada berapa tinggi tahap hipertensi dan berapa lama seseorang pesakit itu mengalaminya. Komplikasi tersebut akan berlaku dengan cepat apabila seseorang pesakit itu mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing manis dan merokok," jelasnya.

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada hipertensi iaitu keturunan, berat badan, tahap stres dan gaya hidup.

Menurutnya, hipertensi bukan seperti selesema. Hipertensi sudah bertapak lama dalam diri seseorang pesakit tanpa disedari. Jika hipertensi berada di peringkat awal, boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup seperti senaman 120 minit seminggu, kurangkan makanan bergaram dan berkolesterol.

"Kerosakan sudah mula berlaku tetapi tidak semestinya ia akan menimbulkan strok kecuali apabila umur meningkat. Hanya sebahagian kecil penghidap hipertensi menunjukkan gejala yang tidak beberapa ketara seperti pening kepala, mabuk dan kabur mata.

"Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa periksa tekanan darah lebih-lebih lagi mereka yang menjangkau usia 30 tahun terutamanya kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga supaya hipertensi boleh dikesan dan dicegah pada awal lagi," ujarnya.

Azhari memberitahu penyakit ini tidak akan hilang dan dalam kebanyakan kes ia boleh diklasifikasikan sebagai penyakit seumur hidup kerana seseorang penghidap hipertensi itu perlu bergantung pada ubat bagi mengawal tekanan darahnya.

"Penyakit ini bukan seperti selesema, hari ini dapat minggu depan sudah baik dan boleh berhenti ubat. Ini penyakit seumur hidup, sentiasa kena jumpa doktor, makan ubat, amalkan gaya hidup sihat.

"Jika ada di antara penghidap hipertensi mahu mengamalkan ubat tradisional seperti herba hempedu bumi, tunjuk langit, misai kucing dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Jangan sesekali berhenti mengambil ubat," pesannya.

Beliau mempamerkan kebimbangannya berhubung peningkatan penghidap hipertensi saban tahun memandangkan amalan hidup dan pemakanan yang tidak sihat diterapkan oleh ibu bapa kini terhadap anak masing-masing.

Katanya, kemungkinan pada masa akan datang risiko untuk mendapat hipertensi lebih awal.

"Kini, rakyat Malaysia belum merasai impak penyakit ini sepenuhnya. Kita akan merasai impaknya 15 tahun akan datang memandangkan kumpulan sekarang yang melalui cara hidup kurang sihat

"Dalam jangka masa 10 tahun akan datang, lebih ramai kelompok orang muda menghidapi penyakit ini dan terdedah kepada risiko strok, sakit jantung serta kegagalan buah pinggang.

"Hipertensi bukan lagi sakit yang menyerang orang tua, malah orang muda juga berpotensi untuk mengalaminya jika gaya hidup sihat tidak diamalkan," katanya.

- KOSMO!

Kelantan perkenal pelancongan agama

Posted: 22 Jun 2010 06:56 AM PDT

Kelantan akan perkenalkan pelancongan agama, satu produk pelancongan yang berasaskan ilmu keagamaan melalui sistem tradisional pengajian Islam atau lebih dikenali sebagai 'pengajian pondok'.

Cadangan bagi Kelantan mempunyai produk pelancongan baru sebagai daya penarik kepada industri itu di negeri berkenaan dibuat oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan berkata berikutan cadangan itu, pihaknya telah mencari tapak yang sesuai untuk tujuan itu.

"Kami bersetuju untuk membina sebuah apartment di Kandis, Bachok. Projek pelancongan agama itu akan dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhamad Mustafa (PAS-Demit) mengenai langkah kerajaan dalam menjadikan negeri itu sebagai warisan ilmiah.

Takiyuddin berkata melalui pelancongan agama, pelancong sama ada dari dalam dan luar negara akan disediakan tempat penginapan bagi mengikuti kursus agama yang ditawarkan dalam pakej pelancongan itu.

"Pakej ilmu agama akan ditawarkan kepada pelancong yang berminat mungkin dua atau tiga hari dalam mengenali program ilmu agama di Kelantan," katanya.

Menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) mengenai warisan seni ukir kayu, Takiyuddin berkata kerajaan negeri telah mewartakan seni ukir kayu Kelantan sebagai warisan kebangsaan.

"Kita juga akan bawa seni warisan ukir kayu itu di peringkat antarabangsa," katanya.

- Bernama

Panduan Temuduga Kastam Diraja Malaysia (KDRM)

Posted: 21 Jun 2010 11:31 AM PDT

Oleh MOHD ASFIYAK @ EPI

Di sini saya nak kongsi pengalaman dengan rakan-rakan di luar yang telah mengikuti temuduga Kastam Di Raja Malaysia sama ada jawatan Pembantu Penguatkuasa Kastam, Penolong Pegawai Kastam mahu pun Penguasa Kastam.

Kini Kastam Di Raja Malaysia memperkenalkan sistem baru iaitu Pemeriksaan Fizikal sebelum di temuduga oleh Pegawai Kastam. Sistem atau kaedah ini di gunakan merupakan salah satu untuk melakukan penapisan calon yang ramai memohon jawatan ini di samping untuk melahirkan Pegawai Kastam yang cergas dan cerdas.Tentu calon atau pelawat yang telah melawat ke blog saya ini berkata dalam hati. Apahal lah Kastam buat pemeriksaan fizikal. Apa jadah nye? Ini adalah jawapan Pegawai Kastam yang melakukan pemeriksaan pada hari itu setelah saya bertanya kepada mereka.

Fizikal yang ideal amat di perlukan tambahan pula kerjaya Kastam sering berhadapan dengan penyeludup dan penyangak. Kalau badan gemuk macam mana nak larat kejar penyeludup. Badan yang fit dan sihat tubuh badan amat penting dalam untuk kerjaya ini.

Oleh itu marilah ikuti pengalaman saya dalam mengikuti temuduga ini.

Saya telah mengikuti temuduga ini di Kastam Diraja Malaysia di Pulau Pinang. Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih atas ketelusan dan ketelitian yang di buat oleh pegawai-pegawai kastam yang melakukan pemeriksaan fizikal. Pendek kata there are "friendly" Officer. Di sini saya sertakan:

PANDUAN PEMERIKSAAN FIZIKAL DAN PANCAINDERA

ARAHAN KEPADA CALON

1. Pada hari ujian calon hendaklah membawa perkara berikut:-
i) Surat Penggilan Pemeriksaan Fizikal Dan Pancaindera.
ii) Dokumen Pengenalan Diri.
iii)Kemeja T.
iv) Kasut Sukan
vi) Seluar Sukan (Track Suit).

2. Calon mestilah mematuhi arahan ketua penguji

Calon hendaklah berada di pusat pemeriksaan fizikal 15 minit sebelum pemeriksaan di mulakan.

KANDUNGAN PEMERIKSAAN FIZIKAL DAN PANCAINDERA

1.Perkara-perkara yang diuji:-

a) Pemeriksaan Ukuran Badan

i)Ketinggian
Minima
Lelaki = 1.57 meter/157 cm ke atas
Perempuan = 1.53 meter / 153 cm ke atas

ii) Berat Badan
Minima
Lelaki = 48kg
Perempuan = 46kg

iii) Body Mass Index (BMI) 19-26 (Calon KPSL BMI 19-29.9)

iv) Ukuran Dada (biasa & tarik nafas) ( Calon wanita dikecualikan)
Berkeadaan Baik = 79
Semasa Tarik Nafas = 84

b) Pemeriksaan Penglihatan (calon KPSL di kecualikan)

i) Jarak Penglihatan "Visual Acuity" 6/9 ( Tanpa memakai cermin mata atau kanta lenkap (contact lense")
ii) Pengecaman Warna.


c) Pemeriksaan Tubuh Badan dan Gaya Berjalan

i) Jari,tangan,kaki dan lain-lain anggota berkeadaan baik
ii) Berkawad

Okay dah abis baca bahagian di atas,kini saya akan huraikan satu persatu pada bahagian berkenaan agar ianya jelas bagi calon yang mungkin esok,hari ini atau lusa yang akan mengikuti temuduga kastam ini. Saya akan huraikan pada bahagian pemeriksaan fizikal ini.

1) Pada hari temuduga tersebut, Saya sarankan lelaki dan perempuan memakai pakaian sukan daripada memakai pakaian formal. Ini kerana calon akan menjalankan sesi pemeriksaan fizikal terlebih dahulu sebelum menjalankan sesi temuduga oleh Pegawai-Pegawai Kastam. Apabila calon lulus ujian pemeriksaan fizikal barulah calon di kehendaki memakai pakaian formal. Jangan lupa membawa pakaian formal calon juga ketika pergi temuduga pada hari tersebut.

Ketinggian

Jika Ketinggian calon lelaki di bawah 1.57 meter or 157 cm dan 1.53 meter or 153 cm bagi perempuan. Terus terang saya katakan, baik calon tak payah pergi untuk menghadiri temuduga tersebut. Ini kerana walaupun tinggi calon contohnya 1.56 meter ke, 156.99 ke, 152.99 ke tetap juga akan di tolak. Jika calon mempunyai tahap ketinggian ini,maka sia-sia sajalah pergi temuduga tersebut. Calon mesti sewajibnya mempunyai ketinggian adalah 157 cm atau 1.57 meter ke atas bagi lelaki dan begitu juga 153 cm atau 1.53 meter bagi perempuan. Jika calon lulus melepasi tahap pemeriksaan ini calon akan pergi ke peringkat pemeriksaan Berat Badan.

Berat Badan
Berat minimum yang di perlukan untuk lelaki adalah 48 kg dan 46 kg bagi perempuan. Setelah nilai berat dan tinggi calon di catatkan. Maka proses pengiraan BMI akan di buat.
Untuk Kiraan BMI Klik Sini

*Jika berat minimum lelaki yang ditetapkan kurang dari 48kg pun akan di tolak begitu juga berat minimum bagi perempuan.

BMI yang di tetapkan adalah 19-26 sama ada lelaki mahu pun perempuan.

Jika BMI calon mendapat seperti 18.99 ke, 26.12 ke, 26.01 ke calon tetap akan di tolak. Di sini tiada kompromi untuk nilai ini.Calon mesti berada dalam kalangan BMI 19-26. Jika calon dah tau nilai BMI so saya sarankan tak usahlah pergi temuduga buang masa sahaja. Jika nak pengalaman saya galakan pergi tetapi calon tetap akan tersingkir pada masa pemeriksaan tersebut. Tak lepas pemeriksaan "NO Temuduga". Jika calon lulus bahagian ini calon akan pergi ke peringkat ukuran dada. Syabas saya ucapkan kerana anda pandai berdiet dan menjaga badan.

Ukuran Dada
Pada bahagian ini calon wanita di kecualikan.Hanya untuk lelaki sahaja.Nilai untuk ukuran dada yang di tetapkan adalah:

Berkeadaan Baik = 79
Semasa Tarik Nafas = 84

Jika calon lelaki mempunyai ukuran dada dalam berkeadaan biasa adalah 78.99 ke, 78.90 ke dan semasa menarik nafas 84.99 ke, 84.90 ke tetap akan di tolak. Nilai yang di perlukan mestilah atas 79 dalam berkeadaan baik dan 84 ke atas semasa menarik nafas. Jika calon lulus bahagian ini calon akan di periksa pada bahagian penglihatan mata. Wah calon memang punya ukuran yang ideal syabas!!!!!.

Pemeriksaan Mata
Jika calon menggunakan kanta lengkap or contact lense atau bercermin mata tak usahlah pergi mengikuti temuduga itu kerana sudah di ketahui jika dah memakai cermin mata or contact lense mesti kes rabun punya. Ini Gerenti 200% reject. Jika calon mempunyai penglihatan mata yang normal dan menyebut huruf yang salah berkali-kali pun akan di reject kerana di anggap calon mempunyai mata yang rabun. Jika mata dah tahu rabun tak usahlah menghadiri temuduga. Buang masa saje. Begitu juga dengan pengencaman warna di jalankan setelah selesai jarak penglihatan diperiksa. Jika calon lulus pada bahagian ini calon akan pergi ke peringkat pemeriksaan tubuh badan dan gaya berjalan.

Pemeriksaan Tubuh Badan dan Gaya Berjalan
Jika calon rasa jari,tangan,kaki cacat,bengkok ke atau kaki ada besi ke lebih baik calon maklumkan kepada pegawai pemeriksa terlebih dahulu.Pada bahagian ini calon akan dilihat dari segala aspek seperti jari jangan bengkok,tangan tu jangan kelihatan bengkok dan sebagainya. Jika pemeriksaan ini lulus calon akan di kehendaki melakukan Kawad. Jika kawad di buat dengan betul calon akan berjaya jika tak di buat dengan betul calon akan di tolak juga.

Jika calon lulus pada semua peringkat ini TAHNIAH SAYA UCAPKAN calon akan pergi ke peringkat temuduga oleh Pegawai-Pegawai Kastam. Oleh itu bersedialah anda dengan pakaian formal setelah tadi memakai pakaian sukan untuk melakukan pemeriksaan fizikal.

Di sini saya harap carilah info tentang Kastam ini dan soalan yang di tanya bergantung kepada pegawai penemuduga tersebut. Kekadang mereka tak bertanya tentang Kastam tetapi perkara lain seperti :

Bagaimana meningkatkan ekonomi negara?
Bagaimana membenteras penyeludupan?
dan banyak lagi.

Oleh itu siapkan diri calon dengan pelbagai info.

SELAMAT BERJAYA DAN TAHNIAH SAYA UCAPKAN KEPADA CALON YANG MENGHADIRI TEMUDUGA INI.


Aktivis bantah rancangan roboh Penjara Pudu bersejarah

Posted: 21 Jun 2010 10:37 AM PDT


Pelan kontroversi untuk merobohkan sebahagian daripada penjara yang berusia 115 tahun malam ini untuk melaksanakan pembangunan komersil, mendapat kecaman hebat para penyokong warisan.

Mereka berkata, Penjara Pudu, yang terletak di kawasan utama bandaraya Kuala Lumpur, harus dipulihara kerana nilai warisan dan pelancongan.

Lewat hari ini, sebahagian besar daripada 394 meter dinding penjara era Victoria itu, akan dirobohkan untuk peluasan jalan.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menggunakan penjara tersebut untuk menahan tentera Bersekutu, di mana ramai daripada mereka diseksa dan dibunuh, tetapi kerajaan berkata Penjara Pudu tidak memenuhi syarat status warisan.

"Kerajaan telah mengkaji perkara itu dan memutuskan bahawa tapak tersebut bukan tapak warisan dan tidak akan dijadikan sebagai tapak warisan," kata Timbalan Menteri Kewangan, Awang Datuk Adek Hussin di Dewan Rakyat hari ini.

"Kerajaan berpendapat ia bukan sesuatu yang dapat kita banggakan, mungkin ada banyak benda (lain) yang dapat kita banggakan berbanding dengan sebuah penjara," tambah Awang.

Katanya, syarikat hartanah berkaitan kerajaan, UDA Holdings akan membangunkan tapak tersebut, dengan hotel dan pangsapuri yang akan dibina dalam tempoh 10 tahun mulai tahun 2011.

Para sejarawan juga marah, dengan berkata sekurang-kurangnya sebahagian daripada penjara itu harus dipulihara.

"Ada banyak tempat lain di Kuala Lumpur yang boleh dimaju semula untuk tujuan komersial dan kediaman, tetapi hanya ada sebuah penjara bersejarah seumpama itu," kata sejarawan yang berpejabat di Singapura, Brian Farrell kepada AFP.

Pengerusi lembaga warasan Malaysian Tan Sri Ahmad Sarji memberitahu AFP sebahagian daripada penjara tersebut harus dikekalkan walaupun seluruh bangunannya hendak dirobohkan.

- MALAYSIAKINI

World Cup FIFA 2010 Result - 21 June 2010

Posted: 21 Jun 2010 10:36 AM PDT

(29'R. Meireles, 53'Simao, 56' 70' H. Almeida, 81' Liedson, 88'C. Ronaldo, 89'Tiago) Portugal 7 - 0 North Korea

(75' M.Gonzalez) Chile 1 - 0 Switzerland

(17' 51' D. Villa) Spain 2 - 0 Honduras

KDN mohon RM8.5 billion dalam RMK-10

Posted: 21 Jun 2010 08:30 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memohon peruntukan kira-kira RM8.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian telah menerima permohonan sebanyak 552 projek daripada jabatan dan agensinya, iaitu 119 projek bernilai RM1.1 bilion adalah projek sambungan manakala 433 projek bernilai RM7.3 bilion adalah projek baru.

"Semua projek sambungan adalah daripada projek RMK-9 yang masih dalam pelaksanaan dan tempoh pelaksanaannya menjangkau RMK-9 atau dalam proses memuktamadkan bayaran akhir," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sebanyak RM230 bilion diperuntukkan untuk keseluruhan RMK-10 di mana RM92 bilion atau 40 peratus daripada peruntukan RMK-10 disalurkan bagi pembangunan bukan fizikal manakala RM138 bilion atau 60 peratus diperuntukkan bagi pembangunan fizikal.

Hishammuddin berkata daripada jumlah peruntukan yang dipohon itu, 46 peratus bagi membiayai projek Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (24), Jabatan Penjara (7), Agensi Antidadah Kebangsaan (6), Jabatan Pendaftaran Negara (5) dan bakinya adalah untuk Agensi/Jabatan Rela, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan ibu pejabat KDN.

Katanya pelaksanaan projek-projek itu kelak adalah selari dengan apa yang digariskan di bawah konsep 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan yang antara lain akan turut memberi penekanan terhadap pewujudan pusat-pusat latihan, kuarters, balai-balai baru dan sebagainya.

"Projek-projek KDN yang telah dikenal pasti ini juga adalah selaras dengan usaha untuk memastikan bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, berteraskan hasrat agar kita dapat memastikan pelabur asing yang ingin melabur di Malaysia tidak mempunyai kemusykilan atau risau dari aspek keselamatan kerana KDN akan memastikan keselamatan negara terjamin," katanya.

Katanya satu mesyuarat berhubung RMK-10 yang melibatkan pegawai-pegawai di peringkat kementerian telah diadakan petang ini bagi membincangkan dan memperhalusi kaedah dan strategi untuk memastikan daripada segi kaedah bagi KDN menyegerakan pelaksanaan projek selepas ia diluluskan.

"Saya telah mengarahkan agar selepas dari mesyuarat peringkat tertinggi di peringkat kementerian ini diadakan, mesyuarat yang seumpamanya perlu diadakan di peringkat negeri dan daerah.

"Untuk memastikan segala pelaksanaannya kelak berjalan dengan lancar, saya akan turun sendiri, bergerak dari satu negeri ke satu negeri dan daerah-daerah untuk mendapatkan maklum balas daripada para pegawai," katanya.

- Bernama

Akta Akuan Sumpah 1960 akan dipinda

Posted: 21 Jun 2010 08:26 AM PDT

Pesuruhjaya Sumpah (CO) akan dikehendaki menjadikan libel pada Akuan Bersumpah (SD) yang disediakan oleh deponen bagi memastikan mereka menyedari dan mengetahui kandungan akuan itu sebelum memperakui dokumen berkenaan.

Langkah itu bagi mengelakkan Akuan Bersumpah mudah diperoleh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menipu seperti dalam urusan berkaitan tanah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V K Liew berkata Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang yang diketuai beliau kini mengkaji untuk meminda Akta Akuan Bersumpah 1960 bagi menjadikan ia mandatori kepada CO membaca kandungan akuan itu dan hanya memperakuinya setelah berpuas hati dengan kandungan yang tidak akan menimbulkan pertikaian atau tidak ada unsur-unsur pembohongan.

"Mengikut Akta Akuan Bersumpah sekarang, CO hanya diperlukan menandatangani untuk memperakui bahawa seseorang itu telah menandatangani dokumen berkenaan di hadapan beliau.

"Kini kita mahu pastikan CO membaca kandungan SD dan beliau berpuas hati bahawa kandungan SD tidak akan menimbulkan pertikaian dan tidak ada unsur-unsur pembohongan kepada orang lain," katanya kepada Bernama.

Liew berkata pindaan itu juga bagi mengelakkan SD disalahgunakan untuk tujuan memfitnah, penipuan dan pemalsuan.

Beliau berkata banyak kes di mana pihak tidak bertanggungjawab menggunakan SD untuk menipu pemilik tanah dengan tipu muslihat dalam urusan pemindahan hakmilik tanah.

"Mereka menggunakan SD untuk mengatakan bahawa seseorang pemilik tanah adalah pemilik sesuatu bidang tanah dan kemudian menggunakan kuasa wakil untuk mengatakan pemilik tanah telah memindahkan kuasa itu kepada orang berkenaan untuk melakukan urusan tanah. Kemudia mereka akan mengatakan seseorang itu telah diberi kuasa bagi menandatangani semua dokumen," katanya.

Liew, berkelulusan undang-undang, mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kes seperti itu di mana pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan tandatangan pemilik tanah dalam SD.

"Kita terpaksa mengetatkan undang-undang untuk melindungi pemilik tanah yang sah daripada kehilangan tanah dan kes terkenal dalam isu ini ialah Adorna Properties lawan Boonsom Bonyanit," kata beliau.

Kes ini melibatkan penjualan dua lot tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, milik seorang rakyat Thailand, Boonsom Boonyanit.

Seorang yang menyamar dan mendakwa bahawa Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit telah memperakui satu SD pada 18 Jun, 1988 di mana geran asal tanah beliau telah hilang. Penyamar kemudian mendapatkan satu salinan geran itu daripada Pejabat Tanah yang telah diperakui.

Pada 6 April, 1989, penyamar memperakui SD kedua dengan menyatakan bahawa nama-nama Puan Boonsom Boonyanit dan Puan Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit pada geran itu adalah orang yang sama, iaitu Puan Boonsom Boonyanit (penyamar) dengan nombor pasport Thailand yang berbeza.

Dengan akuan itu, penyamar berjaya mendaftarkan memorandum pendaftaran bagi Adorna Properties.

Kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Adorna Properties telah mendapatkan satu geran yang tidak boleh dipertikaikan tetapi bukan tujuan untuk pemalsuan kerana ia adalah pembeli bona fide.

Keputusan penghakiman itu yang banyak menerima kritikan bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada awal tahun ini, yang memberikan keputusan bahawa keputusan sebelum ini adalah "terang-terang salah".

- Bernama

Tian Chua Masih Ahli Parlimen Batu: Pandikar Amin

Posted: 21 Jun 2010 03:32 AM PDT

Tian Chua masih lagi seorang Ahli Parlimen Batu yang sah sehingga satu usul diluluskan di Dewan Rakyat untuk membatalkan statusnya, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.

Bagaimanapun Pandikar memberitahu, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan semua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Ia termasuklah tempoh membuat rayuan dalam 14 hari seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Sehingga beliau membayangkan enggan membuat rayuan atas alasan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha Khamis lalu sangat jelas membolehkannya mengekalkan kerusi tersebut.

Chua juga telah bertemu Pandikar di kamarnya bagi menjelaskan kedudukannya.

Hakim Ghazali hari ini yang memutuskan tidak ada keperluan untuk menyemak semula penghakimannya untuk mengurangkan hukuman denda RM2,000 ke atas Tian Chua.

Beliau memaklumkan kepada peguam yang mewakili Ahli Parlimen Batu itu, Ranjit Singh bahawa beliau mahu mengelakkan pilihan raya kecil diadakan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan mendenda Tian Chua RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis tiga tahun lalu.

Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara jika antara lain beliau dikenakan penjara oleh mahkamah tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Peguam Chua, Ranjit Singh memberitahu wartawan, Hakim Ghazali kini telah tiada bidang kuasa mengenai perkara itu sebagai penghakiman telah pun dibuat.

"Sebaik sahaja penghakiman telah dihantar, tidak apa boleh dilakukan lagi," katanya selepas bermesyuarat selama 15 minit dengan hakim itu.

Bagaimanapun, Ranjit berkata, sesiapa yang mempunyai pandangan berbeza mengenai kes itu, mereka boleh memulakan tindakan dan mencabar keputusan itu.

"Tetapi dia (Tian Chua) tidak dibatalkan sebagai berdasarkan satu penghakiman Mahkamah Agong 1993. Kedudukan Tian Chua adalah sekeras 'batu'," katanya penghakiman ditafsir sebagai "tidak kurang daripada lima tahun" untuk bermakna lebih daripada lima tahun.

Ranjit menambah bahawa walaupun seorang peguam dihormati dan veteran mempunyai satu pandangan bertentangan, Perkara 48 memang benar ada "bukan sejelas seperti sepatutnya".

Sementara itu, ketika ditemui media, Tian Chua berkata beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu.

"Setakat ini tiada siapa yang mencabar keputusan mahkamah," katanya, menambah bahawa tiada sesiapa juga memberitahunya untuk mengosongkan kerusi itu.

"Pendapat yang sah di sisi undang-undang mengenai perkara itu telah diberikan oleh banyak pihak tetapi semua orang adalah berhak dengan idea mereka sendiri," katanya yang diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Razlan Hadri dan Jason Tay.

Turut hadir adalah Timbalan Pendakwa Rayan Mohd Hanafiah Zakaria dan Lee Keng Fatt semasa pendakwaan.

Terdahulu, pada 22 Oktober tahun lepas, Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 46, telah dijatuhkan hukuman penjara sehingga enam bulan dan didenda RM3,000 oleh majistret Mohd Faizi Che Abu kerana kesalahan mengigit seorang anggota polis.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan satu penggantungan pelaksanaan hukuman ke atasnya dilakukan sementara menunggu rayuan.

- MSTAR

China lubuk judi Piala Dunia

Posted: 20 Jun 2010 10:18 PM PDT


PERTARUHAN dalam perlawanan bola sepak adalah sebuah aktiviti perdagangan yang besar. Di sebahagian tempat di Asia, aktiviti itu bagaimanapun diharamkan dan pihak polis negara terbabit bersiap sedia memeranginya ketika perlawanan Piala Dunia sedang berlangsung.

Berbilion dolar dianggarkan dipertaruhkan sepanjang perayaan bulan pesta bola sepak terbesar dunia itu yang berlangsung di Afrika Selatan. Pertaruhannya adalah pelbagai, daripada siapa yang akan menang kepada siapa yang akan menjaringkan gol sehinggalah keputusan jaringan.

Sebahagian besar aktiviti itu akan bertukar tangan di gerai-gerai di pasar, pasaran gelap judi, sindiket jenayah terancang serta laman-laman perjudian online yang sedang meningkat popular.

Di Malaysia contohnya pada bulan ini pertaruhan yang mendapat tentangan daripada penduduk Islam itu 'dihalalkan' oleh sebahagian masyarakat. Bagaimanapun lesen mengenainya tidak dikeluarkan ketika musim Piala Dunia.

Dengan pertaruhan sukan yang diharamkan dianggarkan sebanyak RM20 bilion (AS$6.2 billion) setahun, jumlah pertaruhan untuk Piala Dunia dijangka lebih besar.

Pihak polis turut bersiap sedia dengan sekumpulan pasukan khas untuk mengawal aktiviti perjudian di Internet.

"Kami akan mengadakan serbuan di tempat-tempat yang menawarkan pertaruhan secara dalam talian. Serbuan itu akan dilakukan dengan lebih kerap lagi," kata Zainuddin Yaakob, Ketua Polis Negeri Johor.

Menurut Zainuddin, bermula Januari hingga awal April lalu, sebanyak 1,700 buah komputer sudah disita dan 32 orang telah pun ditangkap dalam serbuan di sekitar ibu negeri, Johor Bahru.

Pemegang lesen tunggal

Di Korea Selatan pula, hanya pusat Sports Toto yang menjadi pemegang lesen sah untuk aktiviti pertaruhan berkaitan sukan termasuklah Piala Dunia. Ia turut menyumbangkan lebih 25 peratus hasilnya kepada kerajaan.

Tetapi aktiviti itu masih dijalankan secara haram terutamanya menerusi online.

"Pertaruhan secara haram dijalankan melalui laman web peribadi dan banyak nilai wang telah bertukar tangan," kata jurucakap Kementerian Kebudayaan dan Sukan tanpa memberi nilai anggaran yang sebenar.

"Melalui kerjasama dengan pihak polis, kerajaan telah menumpaskan laman web yang berkaitan perjudian, tetapi ia amat sukar untuk dibanteras kerana terdapat pelbagai masalah teknikal. Sebahagiannya menggunakan pelayar dari luar negara," ujarnya.

Bagaimanapun, negara yang mengamalkan aktiviti judi yang terbesar di Asia sudah tentunya, China.

Menurut laporan Titan Sports Weekly, negara itu membelanjakan lebih 500 bilion yuan (RM238 bilion) untuk perjudian online sahaja pada tahun 2006 iaitu ketika perlawanan Piala Dunia lalu di Jerman.

Nilai itu adalah lebih kurang dua peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK) negara China.

Tetapi dalam tempoh enam bulan lalu, pihak polis China telah memulakan tindakan lebih keras memerangi rasuah dalam perlawanan bola sepak termasuk berjaya memberkas Ketua Pertubuhan Bola Sepak China, Nan Yong.

Nan Yong dikatakan antara individu bertanggungjawab mengatur keputusan permainan bola di negara itu.

Perjudian sebenarnya turut diharamkan di India, kecuali judi lumba kuda.

India mungkin tidak tersenarai untuk perlawanan Piala Dunia, tetapi pasaran perjudian akan sentiasa wujud di negara itu.

Rajan Bhagat, seorang pegawai polis di Delhi menjelaskan bahawa mereka sering melakukan serbuan, namun beliau mengakui bahawa perjudian tidak pernah berhenti.

"Kami turut memantau aktiviti besar seperti Piala Dunia dan akan melakukan perkara yang sama," katanya tetapi menolak untuk mendedahkan langkah-langkah yang diambil untuk menghentikan pertaruhan haram.

"Tidak mudah untuk menghapuskan ancaman itu."

Di Hong Kong sejak tahun 2003, kaki judi dibenarkan untuk bertaruh dalam perlawanan bola sepak melalui Kelab Jockey Hong Kong.

Sebuah lagi negara yang membenarkan pertaruhan dan perjudian adalah Australia. Malah, dengan pasukan kebangsaannya memberi keyakinan untuk layak ke suku akhir dalam perlawanan Piala Dunia kali ini sudah tentu pertaruhan kaki judi Australia juga sangat besar.

- AFP

Mati pucuk dengan sakit jantung ada kaitan?

Posted: 20 Jun 2010 10:18 PM PDT

KUALA LUMPUR - Tujuh daripada 10 pesakit lelaki yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini untuk rawatan sakit jantung, didapati mengalami mati pucuk (ED).

Menurut pakar kardiologi hospital berkenaan, Dr. Ramesh Singh Veeriah, dalam kajian yang dilakukan tahun lepas ke atas 111 pesakit lelaki yang pada mulanya aktif seks dan apabila dimasukkan ke PPUM untuk rawatan sakit jantung, 75.7 peratus daripada mereka didapati sudah mengalami ED.

"ED ini dikesan berlaku enam bulan sebelum mereka dimasukkan ke PPUM," katanya kepada Bernama.

Data berkenaan dimuatkan dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan pada Kongres Kardiologi Sedunia di Beijing, China semalam.

- KOSMO!

SUKMA XIII catat kejayaan

Posted: 20 Jun 2010 10:11 PM PDT

Dengan 14 rekod kebangsaan dan 81 rekod kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XIII di Melaka yang berakhir kelmarin di anggap satu kejayaan besar dari segi kualiti, kemunculan bakat muda dan persaingan di antara kontinjen negeri.

Ketiadaan satu negeri yang mendominasi pungutan pingat emas berbanding temasya Sukma sebelum ini, persaingan lebih sengit dengan kedudukan keseluruhan dengan dipisahkan dengan kelebihan dua atau tiga pingat emas, ia pastinya memberi keceriaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), yang menganggap temasya XIII menepati objektifnya.

"Berdasarkan kepada catatan rekod kebangsaan dan kejohanan, dan juga mencungkil bakat baru, saya berpendapat temasya kali ini sudah mencapai objektif utamanya," kata Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN merangkap Ketua Urusetia Tetap Sukma, Jalil Abdullah, semalam.

"Malah dalam pungutan emas, tidak ada satu negeri yang mendominasi dan kemenangan hanya ditentukan perbezaan pingat yang kecil.

"Ini menunjukkan persatuan dan majlis sukan negara bersama-sama dengan MSN menggerakkan program pembangunan bakat untuk menghasilkan barisan pelapis berwibawa. Saya berharap kerjasama dan usaha itu akan diteruskan.

"Pada masa yang sama juga, ada beberapa sukan yang perlu dipertingkatkan pengurusan dan program pembangunan terutama dalam melahirkan pegawai teknikal dan atlit dan MSN akan memantau persatuan terbabit bagi memastikan mereka tidak tercicir," katanya.

Dua tahun lalu, pada Temasya XXII hanya tujuh rekod kebangsaan dan 53 rekod kejohanan dipecahkan. Dengan lebih banyak kontinjen negara yang bersaing untuk pingat, adalah menjadi harapan lebih banyak bakat baru dapat dilahirkan daripada temasya itu.

- BERITA HARIAN

Pendidikan awal perlu kajian rapi

Posted: 20 Jun 2010 10:07 PM PDT

Oleh M JASNI MAJED

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan pendidikan formal seawal usia lima tahun menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) nanti terhadap kanak-kanak dan bukannya enam tahun seperti sekarang.

Dalam hal ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan sistem ini akan diadakan secara berperingkat kerana pelbagai kemudahan dan prasarana perlu disediakan terlebih dulu terutama bilik darjah dan persediaan guru bertauliah.

Kita tidak pasti apakah jumlah masa belajar bagi kanak-kanak yang memasuki sekolah lebih awal ini akan ditambah menjadi tujuh tahun ataupun kekal enam tahun seperti sekarang.

Jika dikurangkan menjadi enam tahun, bermakna murid ini akan memasuki sekolah menengah lebih awal dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika masih dikekalkan pada usia 16 tahun.

Usaha membawa kanak-kanak ke arah kecemerlangan dicadangkan sejak lama dulu berdasarkan pelbagai kajian pelbagai pihak.

Pada 2006, pernah disuarakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan konsep pendidikan seawal usia dua tahun setengah hingga peringkat prasekolah. Kita tidak tahu sejauh mana cadangan ini sudah dilaksanakan kerana sudah hampir lima tahun.

Adalah sesuai jika kanak-kanak seawal usia didedahkan dengan pendidikan formal, tetapi kajian dari pelbagai aspek lain perlu diambil kira supaya apa yang dilakukan tidak hanya bergerak separuh jalan atau menemui jalan buntu. Kematangan anak sekarang jauh bezanya dengan anak zaman dulu.
Kementerian Pelajaran juga mesti memikirkan persediaan sebelum sesuatu cadangan dilaksanakan supaya setiap yang dilakukan berjalan dengan lancar dan menepati sasarannya.

Begitu juga dengan hasrat atau cadangan kementerian agar setiap murid membabitkan diri dalam satu sukan, ia turut bergantung kepada kemudahan yang disediakan.

Ramai yang berpendapat cadangan ini juga tidak akan sampai ke mana-mana jika masih ada sekolah yang tiada padang bola dan dewan untuk bersukan.

- BERITA HARIAN

Siti Nurhaliza antara pembida plat KCT 1

Posted: 20 Jun 2010 09:59 PM PDT

ALOR SETAR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, dikatakan antara pembida utama nombor pendaftaran kenderaan KCT 1 yang akan diumumkan siapa pemiliknya oleh Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, di sini, tengah hari ini.

Menurut sumber, Siti Nurhaliza berminat memiliki nombor berkenaan kerana ia mempunyai gabungan nama beliau dan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Katanya, penyanyi terkenal itu dikatakan sanggup membayar nilai bidaan yang dikenakan asalkan beliau dapat memiliki nombor berkenaan.

"Saya diberitahu bidaan untuk mendapatkan nombor itu sudah dibuat kira-kira dua minggu lalu, namun mereka yang dipilih memilikinya bakal diumumkan tengah hari esok (hari ini)," katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, selain artis, nombor KCT 1 turut menarik minat ramai ahli perniagaan dan syarikat korporat malah mereka berusaha mendapatkannya sebelum tempoh 21 hari yang disyaratkan.

"Saya diberitahu banyak permohonan diterima bagi mendapatkan nombor itu. Bagaimanapun ia bergantung kepada bidaan yang paling tinggi.

"Buat masa ini saya tidak mempunyai maklumat mengenai pemilik sebenar nombor pendaftaran itu sehingga keputusan rasmi dibuat tengah hari esok (hari ini)," katanya.

Difahamkan, penggemar nombor emas itu sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk memilikinya walaupun harga minimum yang ditawarkan hanyalah RM10,000.

- BERITA HARIAN

Maklum balas diperlukan sebelum mansuh UPSR, PMR

Posted: 20 Jun 2010 09:53 PM PDT

Memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan kini diperkatakan semula.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan ada kewajaran untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan peringkat sekolah itu kerana melihat aspek pembelajaran sekarang lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Kementerian Pelajaran sejak tahun lalu telah membangkitkan perkara ini. Sekarang, perkara yang sama dilontarkan.

Muhyiddin yang melontarkan cadangan itu menyatakan mungkin peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Dari satu aspek, UPSR diperlukan untuk proses pemilihan dan penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh, manakala PMR untuk proses penentuan aliran tertentu di sekolah.

Kerajaan tidak akan gopoh dan tergesa-gesa membuat perubahan dalam sistem persekolahan negara ini.

Sebab itu ibu bapa masyarakat dan badan bukan kerajaan digalakkan memberi pandangan atau buah fikiran sama ada patut atau tidak dua peperiksaan ini dikekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam seperti di peringkat SPM sahaja?

Hujah Muhyiddin, dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan. Jika difikirkan, cadangan itu ada asas yang patut disokong.

Sejak merdeka, corak dan sistem peperiksaan telah menghantui pelajar kita daripada sekolah rendah hingga sekolah menengah.

Percambahan pusat-pusat tiusyen atau kelas-kelas tambahan di sekolah-sekolah termasuk pada musim cuti adalah kerana semua pelajar, guru dan ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya dalam akademik.

Akibat terlalu fokus kepada akademik, aspek pelajaran dan pengajaran pembetukan sahsiah diri dengan nilai-nilai moral yang baik telah terpinggir.

Kita sudah lihat kesan apabila ibu bapa, pelajar dan sekolah berlumba-lumba mahu pelajar menjadi yang terbaik dalam kurikulum. Tetapi ada aspek yang menjadi korban.

Apabila orientasi peperiksaan diagung-agungkan, banyak pelajar cemerlang kurang aktif dan arif dalam kepemimpinan dan aktiviti kokurikulum.

Jika cadangan memansuhkan UPSR dan PMR disokong oleh semua pihak maka bolehlah tumpuan untuk mengembangkan bakat dalam kepemimpinan dan aktiviti kokurikulum sekolah dijalankan.

Zaman sudah berubah. Sejak tiga dekad lalu UPSR dan PMR bukan lagi tiket untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atau ke tingkatan empat - semua pelajar layak.

Malah untuk mendapatkan pekerjaan sekarang pun sekurang-kurangnya seseorang pemohon perlu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sijil UPSR dan PMR kurang diberi keutamaan.

Tetapi, kerajaan juga perlu fikirkan sejauh mana pemansuhan ini boleh menjamin mutu pendidikan negara ditingkatkan jika sistem pengajaran masih di takuk lama?

Sebab itu, kerajaan amat memerlukan maklum balas daripada guru, ibu bapa dan badan bukan kerajaan dalam melakukan perubahan besar terhadap sistem pelajaran kebangsaan.

- UTUSAN

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan