Nuffnang

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

sumber :-

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


kembalikan tenaga Sofa rehat

Posted: 21 Jun 2010 12:55 AM PDT


Mark Kelsey menerangkan mengenai kelebihan dan cara penggunaan sofa Stressless.


Kesibukan menjalani rutin seharian bagi menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya membuatkan seluruh badan berasa letih.

Justeru bagi mengembalikan tenaga dan memastikan mendapat rehat mencukupi terutama ketika di rumah, sebuah syarikat dari Norway, Ekornes memperkenalkan produk terbaru sofa rehat atau Stressless.

Menariknya sofa ini boleh 'dilentur' mengikut kedudukan dan saiz yang bersesuaian dengan tubuh.

Selain itu ia juga memiliki bermacam-macam ciri dan rekaan yang dijamin mampu memberikan keselesaan maksimum serta sokongan badan ketika duduk atau baring di atasnya.

Presiden Ekornes Asia, Mark Kelsey berkata, Stressless adalah produk sofa rehat dengan gaya kontemporari yang dicipta melalui teknologi unik dan hasil kajian seta kepakaran Ekornes.

Menurutnya, kerusi rehat ini akan bertindak balas secara automatik melalui kedudukan atau baringan anda yang 'bertukar' mengikut berat badan.

"Bagi yang gemar menonton televisyen atau membaca buku mereka pasti berasa selesa melakukan aktiviti itu sambil duduk atau baring di atas Stressless kerana sofa rehat ini tidak mempunyai butang atau kedudukan yang perlu diset.

"Kami percaya dalam zaman sekarang yang serba sibuk, amat penting bagi seseorang untuk menggunakan waktu rehat yang ada sebaik mungkin.

"Sebab itu kami menyasarkan Stressless kepada penduduk bandar yang sangat sibuk menjalani kehidupan harian," katanya Pameran Comfort Studio by Macy Stressless Living di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sofa rehat tersebut ditampilkan dalam pelbagai warna asas kulit dan kayu untuk disesuaikan dengan keseluruhan konsep hiasan dalaman sesebuah kediaman.

Antara warna pilihan termasuk hitam, putih krim dan merah.

Gembira tak terkira

Posted: 21 Jun 2010 12:53 AM PDT

pix_gal0
Impian Nana dikurniakan zuriat termakbul

SAAT bergelar isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah atau Brian, bermula 6 Jun 2009, Nana mengakui hati kecilnya terdetik rasa ingin menjadi ibu. Rasa itu normal dan bukan dibuat-buat. Malahan puas juga dia mahu menjawab pertanyaan orang yang asyik bertanyakan pasal dirinya, bila lagi hendak mempunyai anak sendiri.

Pertanyaan seperti ini seolah-olah satu lumrah kepada mereka yang sudah berkahwin, termasuk artis dan selebriti seperti Nana. Sama seperti mereka yang sudah berumahtangga, Nana juga memang menyimpan impian untuk mengandung dan melahirkan anak. Nampaknya, berkat doa dan dengan izin daripada Yang Maha Kuasa, penyampai radio XFM itu kini memaklumkan dirinya sudah berbadan dua. Ia sudah tentu menjadi berita amat menggembirakan kepada si suami. Nana atau Nurul Hana Che Mahazan mengakui betapa dia hampir saja tidak dapat mengawal perasaan gembiranya. Kalau boleh dia mahu menjerit dan melompat keriangan untuk mengumumkan berita itu 'kepada satu dunia'.Bagaimanapun, yang penting ialah dia sangat bersyukur dengan kurniaan Illahi ini. Nana yang genap berusia 27 tahun pada 1 Julai nanti turut berkongsi khabar gembira ini kepada peminatnya menerusi blog XFM.

"Sebagai manusia, Nana dan suami tak terlepas daripada mencuba dan terus mencuba. Kami pun bukan masih muda. Nana sendiri setiap bulan akan membeli alat penguji kehamilan.

"Tetapi yang membezakan bulan sebelumnya ialah Februari lalu. Masa itu badan pun rasa semacam. Tanpa disangka keputusan yang ditunjukkan alat itu sangat positif. Nana kejutkan Brian. Kami tergamam dan memandang sesama sendiri. Apabila hari cerah, kami ke klinik mendapatkan pengesahan lanjut daripada doktor," katanya yang ketika dihubungi usia kandungannya menjangkau 15 minggu.
Nana yang menyertai XFM sejak 16 November 2009 menegaskan, dia dan suami tidak kisah apa sekalipun jantinanya.
"Nana berasakan macam lelaki. Tapi Nana tidak kisah pun lelaki atau perempuan. Tapi kalau dapat anak perempuan pun ok. Bolehlah Nana ajar dia melawa.

"Lagipun baju budak perempuan ini cantik rekaannya. Boleh jadi rabun kalau membeli baju budak perempuan. Cuma buat masa sekarang, Nana dan Brian banyak berhabis duit untuk mengubah suai rumah kami di Puchong," katanya.

Nana menjelaskan dia bernasib baik kerana tidak mengalami alahan yang teruk kecuali selera makan semakin bertambah kebelakangan ini. "Nana rasa perkataan 'melantak' paling sesuai digambarkan terhadap selera makan ini. Semua yang Nana jamah seolah-olah perlu 'ditambah' untuk dua orang makan. Malah, Nana sanggup keluar dari Kuala Lumpur untuk memuaskan nafsu makan ini.

"Nak kata mengidam tak juga. Mungkin juga Nana sudah bosan dengan makanan yang dijual di Kuala Lumpur. Nana sanggup ke Seremban biarpun bekerja pada hari terbabit. Nana hampir nak ke Kelantan tapi selepas dinasihatkan suami, Nana batalkan niat itu," kata Nana yang berat badannya kini sudah mencecah 50 kilogram.

Dalam tempoh hamil ini seolah-olah menjadi masa yang terbaik kepada Nana 'membuli' suami. Katanya, inilah kesempatan untuk dia mendapat lebih kemanjaan suami daripada biasa.

"Tidak selalu pun. Biasalah ibu mengandung ini mungkin mengada-ngada sedikit. Dia (Brian) pun tak nak Nana buat kerja berat dan dia sanggup mengambil tugas kerja itu. Banyak kerja rumah yang Brian buat," katanya.

Menurutnya, Brian juga gemar merapatkan kepalanya ke atas perut Nana seolah-olah dapat bercakap dengan bayi. Perihal yang sama turut dilakukan seorang rakan sekerjanya di Astro.

"Kak Nila Kurnia (penyampai radio Sinar FM) tak menyangka yang saya sudah berbadan dua. Malah ada rakan sekerja yang memberi petua dan kata semangat untuk Nana," katanya yang kini mengacarakan program Wazzup Bolly dan menyampaikan promo slot saluran Mustika.

Khayal, bercumbu

Posted: 21 Jun 2010 12:44 AM PDT

 GELAGAT dua remaja wanita yang tidak segan silu menghidu gam  sambil berjalan di tempat awam di Taman Melaka Raya 1.
GELAGAT dua remaja wanita yang tidak segan silu menghidu gam sambil berjalan di tempat awam di Taman Melaka Raya 1.
MELAKA: Sebahagian remaja bawah umur yang suka berpeleseran di sekitar Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, di sini, dipercayai turut terbabit dalam kegiatan menghidu gam sehingga membimbangkan pelbagai pihak terutama peniaga di kawasan berkenaan.

Selain menghidu gam, ada di antara mereka tanpa segan silu melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berpelukan dan mengganggu ketenteraman awam serta duduk berkumpul di tembok laluan pejalan kaki dengan membuat bising. Tinjauan Berita Harian baru-baru ini, mendapati dua gadis remaja khayal menghidu gam tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekitar mereka, malah kehadiran jurugambar Berita Harian di situ juga tidak diendahkan.Akibat terlalu khayal, dua gadis yang berusia dalam lingkungan belasan tahun itu juga merepek dan membebel tidak tentu arah sehingga masing-masing mengadu kesal terhadap keluarga masing-masing.

Remaja terbabit dikatakan menjadikan gam sebagai alternatif kepada dadah, sebagai alat untuk membuatkan diri mereka asyik dan khayal serta melupakan masalah dihadapi.

Mereka dipercayai membeli gam basikal pada harga RM5 setin di beberapa kedai basikal berhampiran, sebelum memasukkannya ke dalam plastik dan kemudian menghidunya.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 19, berkata dia sering terserempak dengan 'komuniti' penghidu gam itu terutama pada setiap hujung minggu.
Beliau berkata, 'geng lalok' terbabit di kalangan sekumpulan remaja nakal dipercayai dari kawasan berhampiran, menjadikan setiap Sabtu dan Ahad sebagai waktu untuk berkumpul menghidu gam beramai-ramai di laluan kaki lima kedai di Jalan Melaka Raya 1 sebagai 'port' melakukan kegiatan itu.

"Apa yang mengejutkan, kumpulan remaja ini bukan saja lelaki, malah disertai remaja perempuan yang turut menjadi kaki hidu gam.

"Mereka juga dilihat bercumbuan dan berpelukan di kawasan yang dilalui orang ramai tanpa malu, selain sanggup membuang air kecil di tepi premis," katanya ketika ditemui.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 36, berkata lokasi sekitar kawasan itu adalah antara lokasi 'panas' remaja menghidu gam.

Katanya, beberapa lorong dan kaki lima di kawasan premis itu dijadikan lokasi golongan terbabit melepaskan gian tanpa silu atau takut orang ramai memerhati gelagat mereka.

"Remaja yang dipercayai masih bersekolah ini akan berkumpul di sini, kira-kira jam 2 petang hingga malam setiap Sabtu dan Ahad.

"Selain menghidu gam, mereka juga mengganggu orang ramai termasuk pengunjung yang melalui kawasan mereka. Jika wanita atau warga asing lalu di kawasan itu, mereka meminta wang dan jika lelaki pula, mereka minta rokok," katanya.

Ikan pelik

Posted: 21 Jun 2010 12:42 AM PDT

PORT DICKSON: Dua lelaki bersaudara yang memancing ikan pada waktu malam di Pantai Batu 12, Telok Kemang, dekat sini, terkejut apabila seorang daripada mereka berjaya mendapat seekor ikan sembilang berwajah pelik, malam Rabu lalu.

PELIK...sembilang berkepala besar memiliki hidung.
PELIK...sembilang berkepala besar memiliki hidung.
Lebih mengejutkan lagi, ikan sembilang yang berukuran 35 sentimeter panjang itu yang dipancing Ali Mohamad, 37, mirip wajah seekor burung hantu dengan memiliki sepasang mata menghala ke hadapan dan bentuk hidungnya mirip hidung manusia.

Sebelum itu, Ali bersama sepupunya Ibrahim Jalil, 42, yang menetap di Kampung Tanjung Agas, dekat sini, merancang memancing pada sebelah pagi namun berubah fikiran dan mengambil keputusan memancing pada sebelah malam.

Ali berkata, kira-kira jam 8 malam hari kejadian, mereka berdua pergi ke lokasi biasa untuk memancing, tetapi tersilap jangkaan kerana air baru hendak pasang penuh ketika itu dan terpaksa menunggu seketika.

"Biasanya kami pancing di lubuk yang sudah biasa kami pergi, tapi hari itu kami terpaksa mencari tempat lain yang berdekatan kerana tempat itu sudah diambil oleh pemancing lain. Kami tiada pilihan dan beredar di sebelah hujung sedikit.

"Ketika itu ikan galak menyambar umpan dan saya mendapat beberapa ekor ikan termasuk gelama, senangin dan ikan kerapu sebesar tapak tangan. Ketika hendak balik, pancing saya seperti disentap-sentap dengan kuat.

"Saya biarkan seketika sebelum menggulung tali perlahan-lahan, tetapi sentapan ikan itu semakin kuat dan menguatkan adaian saya.

"Selepas beberapa minit bertarung saya berjaya mendaratkan ikan dan selepas diperiksa didapati ia seekor ikan sembilang," katanya.

Ali berkata, ketika hendak membuka mata kail pada mulut ikan sembilang dia terkejut melihat ia memiliki kepala yang besar dan selepas diukur panjangnya hampir 35 sm.

'Saya nak ke syurga'

Posted: 21 Jun 2010 12:40 AM PDT

KANGAR: "Sejak seminggu lalu, dia sering bertanya soalan mengenai syurga. Kali terakhir malam tadi (kelmarin) apabila dia menanyakan soalan sama iaitu bagaimana kita mahu masuk syurga," kata Zamunir Shaapari Putih, 42, yang kematian anak ketiga dalam nahas pada Hari Bapa, semalam.

Dalam kemalangan itu, anaknya, Muhamad Taufiq Asyraf, 11, terbunuh selepas seketul besi seberat lebih dua kilogram terjatuh dari sebuah treler ke jalan raya sebelum terpelanting dan terkena muka dan kepala mangsa yang berada dalam kereta dipandu bapa saudaranya, Muhamad Mustakim Ramjan, 19, di persimpangan Permatang Bongor, Jalan Kangar-Alor Setar, pada jam 2.30 petang.

"Sebelum kemalangan, saya secara berseloroh memberitahu arwah bahawa dia akan ke sana (syurga) kerana belum akil baligh dan layak memasuki syurga jika meninggal dunia pada usia begini," katanya ditemani isteri, Suzita Ramjan, 40, ketika menuntut mayat mangsa di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ketika kejadian, mangsa berada di tempat duduk belakang sambil berbual dengan bapa saudara dan seorang lagi penumpang dengan meletakkan tangan di tengah tempat duduk pemandu sebelum terkena besi penyendal yang jatuh dari treler sebelum memasuki kereta Honda City dipandu Mustakim.

Anak ketiga daripada empat beradik itu yang parah di kepala dan mata kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke HTF.

Bagaimanapun, pemandu dan seorang penumpang lain kereta itu tidak mengalami seberang kecederaan.

Zamunir berkata, anaknya, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, dekat sini, menyatakan itulah kali terakhir dia akan menaiki kereta ketika meminta kebenaran mengikuti bapa saudaranya ke Alor Setar.

"Dia seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba dan sering menanyakan pelbagai persoalan termasuk syurga dan mahu menaiki kenderaan kali terakhir," katanya yang menitis air mata ketika diminta menyiram air mawar di Bilik Mayat HTF.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru, semalam.


Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, berkata pihaknya sudah menahan pemandu treler berusia 44 tahun itu sebaik hadir melaporkan kemalangan terbabit di Balai Polis Simpang Empat, semalam.

Katanya, pemandu itu didapati cuai ketika memandu dan akan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mahkamah hari ini.

"Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut di Lokap Balai Polis Kangar dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk pendakwaan," katanya.

Beliau berkata, ketika kemalangan, treler terbabit dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Kangar manakala mangsa yang menaiki kenderaan dipandu bapa saudaranya dari arah bertentangan sebelum secara tiba-tiba seketul besi seberat lebih dua kilogram dari treler itu jatuh ke jalan raya dan terpelanting terkena muka mangsa.

Ibu rakan paling fahami diri

Posted: 21 Jun 2010 12:39 AM PDT

SELEPAS menunggu lebih dua tahun, baru kini Raja Putri Atilia Haron, 36, menarik nafas lega apabila album keduanya berjudul Indah berjaya disiapkan sepenuhnya.

pix_middle
Ternyata kesabaran dan kerja keras yang dilakukan Atilia membuahkan hasil. Lebih membanggakan album yang memuatkan 10 lagu itu adalah album pertama terbitannya sendiri. Atilia anak kepada penyanyi Salamiah Hassan turut mencipta lirik untuk beberapa lagu menerusi album itu seperti Indah dan Selainnya.

Selain lagu Melayu, album ini turut memuatkan empat lagu Inggeris yang menampilkan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh berduet dengan Atilia menerusi lagu Old Love ciptaan Mike Bloemendal. Kolaborasi bersama kumpulan Indonesia iaitu Maliq and D'Essentials melalui lagu Harus Bagaimana dan kumpulan Sore dengan lagu Silly Little Thing bagaikan impian menjadi kenyataan buat Atilia.

Atilia berkata, dia bersyukur dan berpuas hati apabila album berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam proses menyiapkan album kedua berkenaan.

"Untuk album ini, saya terpaksa mengembara ke beberapa studio untuk merakamkan lagu. Ia termasuk dua lagu yang dirakamkan bersama kumpulan Indonesia di Jakarta. Selebihnya, lagu berkenaan dirakam di sekitar Lembah Klang. Saya harap album yang menampilkan lagu Melayu dan Inggeris termasuk beberapa lagu duet ini dapat diterima ramai dan ke udara di stesen radio.

"Untuk album ini, saya lebih memberi fokus kepada penerbitan. Jadi, saya hanya sempat menulis dua lirik berbanding enam dalam album terdahulu, Sangkar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan di Celebrities Hall of Music di Solaris Mont Kiara, baru-baru ini.

Atilia yakin strategi memuatkan empat lagu Inggeris menerusi album itu mampu melebarkan pasaran di peringkat antarabangsa.

Album yang bakal berada di pasaran pada akhir Julai terbitan Mujik Productions manakala Alibi Music sebagai pengedar dan promosi.

Mengulas cabaran yang dilalui sepanjang menyiapkan album berkenaan tentunya membabitkan kewangan. Mujur dia mendapat bantuan daripada Alibi Music, selain menggunakan wang simpanannya sendiri untuk menyiapkan album berkenaan. Pihak Alibi Music turut membantu menghasilkan klip video, cover album dan promosi.

Bercerita lanjut mengenai judul lagu Indah, Atilia memberi tahu, melodi Indah menggambarkan suasana indah bersama teman, keluarga dan orang sekelilingnya.

"Album ini paling istimewa kerana saya juga dapat bergabung dengan tiga komposer yang ada nama besar seperti Paul Morisson, Tak Khoon dan Mohariz Yaakub.

"Saya juga melancarkan single pertama, Silly Little Thing di Indonesia yang turut mendapat sambutan. Insya-Allah, kami dalam rangka untuk menembusi pasaran di Indonesia selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan lagu Indah, Atilia memaklumkan, ketika itu dia sedang melalui saat indah bersama orang tersayang di sekelilingnya. Biarpun masih memegang status janda, namun dia tidak menafikan masih berkawan dengan seseorang yang istimewa tetapi terlalu awal untuk diperkatakan. Walau bagaimanapun, jika sampai masanya kelak, dia tidak akan merahsiakan saat bahagia itu bersama semua.

"Memang sehingga kini ibu adalah antara rakan paling rapat dan cukup memahami pendirian saya. Pengalaman ibu juga banyak membantu saya berjuang untuk meneruskan hidup ini. Saya juga tidak pernah berdepan masalah dengan bekas suami, malah kami masih berkawan dan berhubung antara satu sama lain.

"Tumpuan saya kini pada karier terlebih dulu. Memang saya mempunyai perancangan untuk berkahwin lagi dan mempunyai anak untuk tempoh terdekat ini memandangkan usia saya sudah menjangkau 36 tahun," katanya.

Mengenai aktiviti seni, Atilia memaklumkan akan meneruskan projek Malam Nada Biru, selain menjayakan persembahan di beberapa Festival Muzik Jazz yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Atilia turut terbabit dalam pementasan teater muzikal arahan Nell Ng iaitu Little Red Riding Hood dengan memegang watak ala puteri.

Lakukan tiga kali seminggu

Posted: 21 Jun 2010 12:38 AM PDT

TUGASAN sebagai ibu terutama dalam membesarkan anak kecil sememangnya memenatkan lalu dijadikan alasan untuk tidak bersenam, sekali gus mengabaikan kesihatan diri.

PERSIAPAN...Williams, Dapne dan peserta Yawa mengadakan sesi  latihan, baru-baru ini.
PERSIAPAN...Williams, Dapne dan peserta Yawa mengadakan sesi latihan, baru-baru ini.
Majoriti ibu di negara ini enggan bersenam, malah tidak sanggup menghabiskan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk menyertai aktiviti larian, tidak kira sama ada di sekitar kawasan perumahan, taman permainan, taman tasik atau gimnasium.
Menurut pelari maraton, Mark Williams, wanita Malaysia memberikan pelbagai alasan untuk melakukan aktiviti senaman mudah seperti berlari dan rata-rata tidak bersemangat melakukannya.
"Berlari adalah aktiviti terbaik untuk kecergasan optimum dan ia mampu membakar lebih banyak kalori.
"Ia juga mengeluarkan endorfin yang dapat memberi kelegaan dan rasa gembira terhadap emosi serta fizikal. Alasan utama yang sering diberikan wanita ialah anak.
"Mereka perlu menjaga anak dan situasi itu menyebabkan mereka tidak boleh keluar rumah untuk berlari walaupun hanya 30 minit.
"Sebenarnya, tidak salah membawa anak berlari bersama. Bagi anak yang sudah boleh berjalan, golongan ibu amat digalakkan membimbing anak perlahan-lahan.
"Jika membawa anak kecil, boleh berlari sambil menolak kereta sorong bayi. Ramai yang mengandaikan tidak boleh tapi tidak salah melakukannya," kata Williams.
Tambah jurulatih rasmi acara Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur pada 27 Jun ini, wanita perlu mengelak berlari sendirian kerana boleh membahayakan diri.
"Seeloknya, dapatkan teman supaya tidak menjadi sasaran penjenayah. Selain tidak bersendirian, berlari bersama rakan juga boleh meningkatkan motivasi.
"Seterusnya, tetapkan sasaran yang ingin dicapai. Mungkin sasaran itu untuk menurunkan berat badan, bersiap menghadapi perlumbaan atau ingin melakukan aktiviti sihat bersama keluarga.

"Kekalkan sasaran itu dan cuba lakukannya melepasi rutin biasa. Sebaiknya tiga kali seminggu. Saya sedar ramai yang sukar melakukannya sekerap itu tapi apabila sudah dimulakan, pasti anda mampu mengharunginya.
"Jika berlari sekali saja, ia belum cukup untuk melepasi rutin biasa. Tapi selepas tiga kali, ia akan terus menjadi rutin mingguan anda," ujarnya.
Guru geografi di sebuah sekolah antarabangsa di Bangi itu turut menggalakkan wanita berjalan terlebih dulu berbanding terus memulakan larian.
"Biasakan diri dengan aktiviti berjalan. Kemudian, tingkatkan kepantasannya sebelum berlari perlahan-lahan sehingga setengah kilometer. Jangan terus berlari kerana badan tidak biasa dengan perubahan itu.

"Biasanya ia mengambil masa enam ke lapan minggu untuk berubah sepenuhnya daripada berjalan ke aktiviti larian. Tambahan dengan cuaca panas dan lembap di negara ini, kita bukan saja bersaing dengan diri sendiri, malah faktor cuaca turut mempengaruhi larian.
"Memakai pakaian dan kasut sukan yang sepatutnya juga penting dalam larian. Gunakan kasut khusus untuk berlari, memakai pakaian berwarna terang dan daripada material yang bukan menyerap peluh.
"Topi juga perlu dan gunakan yang terbuka di atas kepala kerana 30 peratus haba dilepaskan dari atas kepala," katanya selepas sesi senaman dan larian ringan bersama kanak-kanak daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa) dan ikon selebriti mereka, Daphne Iking di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Daphne, yang akan menyertai kategori kebajikan sejauh lima kilometer dalam maraton itu, turut bersetuju dengan saranan Williams dan merasakan wanita tidak sepatutnya bimbang untuk membawa anak berlari bersama-sama.
"Sejak di sekolah, saya aktif dalam olahraga terutama acara larian jarak sederhana. Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga dewasa dan saya masih berlari ketika mengandungkan Isobel.
"Saya berhenti seketika selepas kandungan makin membesar dan kembali berlari selepas bersalin kerana ia antara cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan.
"Walaupun Isobel masih kecil, saya berusaha berlari bersamanya dengan menolak kereta sorong atau mendukungnya," katanya.
Tambah pengacara The Breakfast Show di saluran NTV7 itu, dia berhasrat menyertai maraton berkenaan tahun ini sambil menolak kereta sorong Isobel. Namun, pihak penganjur tidak membenarkannya kerana faktor keselamatan.

100 pemuzik, penari sertai Hari Muzik Sedunia

Posted: 21 Jun 2010 12:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 100 pemuzik dan penari termasuk penuntut institusi pengajian tinggi tempatan menyertai Hari Muzik Sedunia atau 'Fete de la Musique' yang berlangsung semalam di empat lokasi berlainan.

HIBUR...pelajar dari Chong Hwa Independant High School Brass Band  membuat persembahan di Majlis Hari Muzik Sedunia di Plaza Low Yat,  semalam.
HIBUR...pelajar dari Chong Hwa Independant High School Brass Band membuat persembahan di Majlis Hari Muzik Sedunia di Plaza Low Yat, semalam.
Majlis itu yang dianjurkan Kolej Universiti HELP menyaksikan Plaza Low Yat, di sini; The Curve Petaling Jaya; Klang Parade, Klang dan Fort Cornwallis, Penang bergema dengan irama muzik serta kebudayaan tempatan.


Pengurus Besar Bahagian Pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Norazah Yusof, berkata usaha penganjuran majlis bertaraf antarabangsa itu bertepatan hasrat kerajaan menjadikan ibu negara sebagai hab kesenian dan kebudayaan.


"Ini juga satu platform untuk kita menawarkan lagu gubahan pemuzik tempatan dengan seni kebudayaan kita untuk tontonan umum terutama pelancong dari luar negara bermula pagi tadi (semalam) hingga malam.


"Kita juga wajar berbangga apabila majlis sebesar ini membuka peluang kepada pemuzik amatur dan profesional berkongsi pentas selaku menyokong penganjuran Hari Muzik Sedunia.


"Jadi, guna kesempatan ini untuk menonjolkan nilai seni kita dan bersama-sama kita menjayakan festival muzik terbesar ini," katanya mewakili Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail merasmikan penganjuran Hari Muzik Sedunia, semalam.


Hadir sama, Naib Presiden Kolej Universiti HELP, Profesor Datuk Dr Zakaria Ahmad.


Sementara itu, Dr Zakaria berkata Fete de la Musique adalah festival muzik terbesar yang diraikan lebih 300 bandar raya di kira-kira 100 negara sejak 1982 sebagai meraikan seni dan kebudayaan pada 21 Jun setiap tahun.


Bagaimanapun, Malaysia mula meraikan hari muzik sejak 1996 dengan Kolej Universiti HELP menganjurkan majlis besar-besaran lapan tahun lalu bermula dengan kampus di Damansara Heights hingga ke Bukit Bintang dan Bangsar.


"Kami memilih konsep sama seperti dianjurkan dunia, namun tahun ini ia diraikan awal memandangkan hari ini (semalam) adalah Ahad dan sesuai untuk penganjurannya sehingga lewat malam," katanya.

Baling hab pengeluaran udang galah

Posted: 21 Jun 2010 12:36 AM PDT

BALING akan dijadikan daerah penternakan dan pengeluaran udang galah terbesar di Kedah selepas Jabatan Perikanan Negeri diminta mengenal pasti sungai yang tidak tercemar bagi dilepaskan benih udang galah untuk membesar secara semula jadi.

HASIL...Mohd Johari (kiri) menuai udang galah di kolam di Kampung  Luar, Mukim Siong, semalam.
HASIL...Mohd Johari (kiri) menuai udang galah di kolam di Kampung Luar, Mukim Siong, semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata beberapa kawasan ternakan udang galah di daerah itu akan ditambah untuk dimajukan pemilik tanah dan syarikat yang berpotensi.


"Usaha ini akan menjadikan Baling sebagai kawasan ternakan udang galah terbesar di Kedah dalam waktu terdekat," katanya selepas merasmikan majlis penuaian dan memperkasakan ternakan udang galah di Kampung Luar, Siong di sini, semalam.


Pada majlis itu, lebih 30 peserta dari Kampung Luar, Baling dan Kampung Kerawai, Sik menerima wang pajakan tanah dan dividen yang diberikan Syarikat Era Bakti Aquaculture Sdn Bhd dan Syarikat Ventures Aquaculture Sdn Bhd sebagai pengendali projek udang galah itu.


Johari berkata kerajaan akan terus menggalakkan penternakan udang galah dan di kawasan yang terdapat tanah yang luas dimiliki penduduk, kerajaan akan meminta kerjasama syarikat berwibawa membantu pemilik tanah mengusahakan ternakan udang galah secara komersial.


Beliau berkata pengeluaran daripada sektor akuakultur negara berjumlah 333,995 metrik tan dengan nilai RM2.3 bilion berbanding pendaratan hasil laut yang berjumlah 1.38 juta metrik tan bernilai RM5 bilion.


Bagaimanapun katanya, Kedah hanya mampu menyumbang sembilan peratus kepada pengeluaran sektor akuakultur negara berjumlah 4,047 tan metrik bernilai RM43 juta.

Chelsy nekad tinggalkan Harry

Posted: 21 Jun 2010 12:34 AM PDT

LONDON: Putera Harry dan teman wanitanya Chelsy Davy dilapor sudah memutuskan hubungan mereka.

TINGGAL KENANGAN...Chelsy dan Harry.
TINGGAL KENANGAN...Chelsy dan Harry.
Menurut akhbar News of the World, Chelsy akan berlepas ke Afrika Selatan minggu ini untuk memulakan karier dalam bidang guaman.


Dia dikatakan sudah memberitahu putera raja Britain itu bahawa hubungan mereka sudah berakhir.


Pasangan itu mula bercinta enam tahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan ia terputus beberapa kali.


Chelsy, 24, memberitahu beberapa temannya: "Kami sudah memutuskan hubungan. Ini adalah permulaan baru bagi saya. "Saya mahu memulakan karier saya di Afrika Selatan, tempat saya ingin menghabiskan seluruh hidup saya. Saya tidak mahu tinggal di Britain." Chelsy yang berasal dari Zimbabwe kelihatan gembira semalam ketika bersantai dengan rakan karibnya, 'Bubble' Olivia Perry bersama seorang kawan lain di Royal Ascot. Bubble membantu Chelsy menjalani kehidupan hariannya apabila hubungannya dengan Harry, 25, terputus seketika pada 2007.


Hati Chelsy juga hancur tahun lalu apabila dia semakin bosan dengan sikap 'playboy' Harry bertindak meninggalkan putera berkenaan.


Mereka tidak kelihatan bersama di khalayak ramai sejak Harry memperoleh sayap juruterbang helikopter pada 7 Mei lalu.


Seorang rakan rapat mereka berkata: "Ia perpisahan secara berperingkat-peringkat mereka. "Adalah tidak praktikal untuk mereka meneruskan hubungan dengan komitmen Harry terhadap kariernya dalam tentera dan keluarganya sedangkan kekasihnya berada di negara lain. "Ini adalah masa sesuai untuk mereka berpisah secara baik. Cinta mereka sudah pudar." Satu sumber lain berkata: "Chelsy begitu kecewa apabila mereka berpisah tahun lalu. Tetapi, keadaan kali ini amat berbeza. Chelsy sudah melakukan apa saja untuk meneruskan hubungannya dengan Harry tetapi masih gagal." Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka berkata, pasangan itu masih berkawan dan akan kekal sebagai sahabat baik.


Dalam pada itu, Harry dikatakan yakin mendiang ibunya, Diana, gembira dengan kerja kebajikan yang dilakukannya di Afrika.


Beliau memberitahu rangkaian televisyen ITV di Lesotho baru-baru ini: "Saya yakin beliau bangga. " "Saya tidak pernah melupakan ibu saya sepanjang berada di Afrika."

Ubah persepsi masyarakat terhadap MSU

Posted: 21 Jun 2010 12:33 AM PDT

FRASA dunia pendidikan negara menyaksikan pelbagai transformasi diwujudkan bagi menyaingi dan memartabatkan lagi sektor pendidikan negara ke peringkat global.

PRIHATIN...selain akademik, mahasiswa MSU sentiasa diberi  pendedahan mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat tempatan  mahupun antarabangsa.
PRIHATIN...selain akademik, mahasiswa MSU sentiasa diberi pendedahan mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
Meskipun sukar tetapi institusi pendidikan tidak mempunyai pilihan, sekali gus perlu bersedia dengan pelbagai perancangan dan persediaan demi memacu kecemerlangan industri.


Bagi Management and Science University (MSU), perancangan menyahut cabaran itu sudah lama dipraktikkan selain sentiasa bersedia menghadapi perubahan. Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid berkata, persiapan itu sudah bermula sembilan tahun lalu sejak penubuhan Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM).


Ia menerusi penjanaan pelbagai perancangan bagi memastikan institusi itu mampu berdepan cabaran dunia pendidikan.


Antara langkah diambil adalah memastikan program mendapat pengiktirafan tempatan dan antarabangsa serta pemantapan pengalaman pembelajaran.


"Kepantasan perubahan dan kehendak dunia pendidikan menjadikan MSU perlu bersedia serta berani menyahut cabaran.


"Justeru, persediaan dibuat bagi memastikan MSU bukan saja mampu bersaing, malah mengukuhkan lagi jenama institusi ini di mata pelbagai pihak.

"Pengukuhan jenama MSU hari ini bukti institusi ini mampu memenuhi arus perubahan global bukan sekadar melunaskan tanggungjawab melahirkan graduan atau memberi pendidikan," kata Mohd Shukri.


Kualiti, jalinan kerjasama, pengiktirafan serta pengantarabangsaan juga dititikberatkan dalam usaha meneroka dan memperkasakan dunia pendidikan," katanya. Usaha itu diselaraskan dengan mengubah persepsi masyarakat terhadap graduan dan modul pembelajarannya.


Antara pendekatan diamalkan dengan memberi peluang mahasiswa merasai konsep pendidikan menerusi pengalaman komprehensif.


Selain program pengajian relevan memenuhi piawaian industri bersesuaian, keperluan mahasiswa berdepan dengan saingan sengit penting.


"Jika tiada pendekatan itu, mereka tidak mampu bersaing, malah gagal menghadapi cabaran dunia pendidikan mahupun kerjaya selain berisiko apabila tamat pengajian.

"Justeru, MSU melaksanakan pelbagai program sebagai wadah proaktif membantu mereka bersedia selain memperoleh pendedahan awal kerana mahu melahirkan graduan berkualiti, berkapasiti tinggi serta menepati ciri-ciri pasaran kerjaya," katanya.


Mohd Shukri berkata, pendidikan alaf baru mahasiswa bersedia menerima konsep pendidikan berbeza seperti penggunaan teknologi dan sistem pembelajaran dua hala.


"Konsep ini menekankan perlunya berdikari dan tidak bersandarkan material tenaga pengajar semata-mata. Begitu juga pelaksanaan pembelajaran interaktif.


"Ia memerlukan perubahan paradigma kerana tidak boleh dilaksanakan sekelip mata, selain harus mempunyai sasaran dan budaya baru seperti cara berfikir dan perlakuan.

"Bagaimanapun, perubahan itu adalah sebahagian daripada proses pendidikan," katanya.


Mengenai persaingan, mahasiswa secara keseluruhan mampu melakukannya jika sudah mempunyai persiapan dan pendedahan, selain menampilkan sikap positif. Melalui gabungan konsep pendidikan baru, perubahan adalah fokus utama bagi memperkukuhkan lagi ketrampilan dan kemampuan mahasiswa.


"Jangan anggap persaingan sesuatu yang melemahkan semangat, sebaliknya aset melonjakkan lagi ketrampilan serta kemampuan mahasiswa dan institusi.

"Graduan MSU mempunyai kelebihan kerana sering didedahkan dengan persaingan sejak awal, malah diasuh melihatnya sebagai aspek positif membantu melonjakkan kecemerlangan pendidikan serantau.


"Agenda utama MSU adalah melihat kejayaan graduan MSU melebihi standard ditetapkan bagi memudahkan mereka mengharungi cabaran dan kerjaya," katanya. Lebih membanggakan, lebih 95 peratus graduan MSU mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian.

Juara pantun Negeri Sembilan

Posted: 20 Jun 2010 07:14 PM PDT


PASUKAN SMK Dato' Undang Musa Al-Haj gembira dapat mengekalkan kejuaraan untuk kali keenam berturut-turut Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan di Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 20 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang sekali lagi muncul juara Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Negeri Sembilan yang diadakan di SMK Dato' Undang Abdullah, di sini baru-baru ini.

Dalam pertandingan akhir, pemantun sekolah iaitu Nor Habibah Samad, Nur Shahirah Mohd. Fauzi, Ajeerah Russlan, Siti Zubaidah Taharudin dan Hasrul Hanif Hamdan berjaya mengetepikan cabaran musuh tradisi iaitu SMK Batu Kikir Model Khas yang mewakili daerah Jempol.

Pemantun sekolah itu ialah Nor Habibah Samad, Nur Shahirah Mohd. Fauzi, Ajeerah Russlan, Siti Zubaidah Taharudin dan Hasrul Hanif Hamdan.

Mereka yang tampil dengan busana yang lebih menyerlah telah mempamerkan persembahan yang menarik di samping mampu menjawab pantun pasukan lawan dengan tepat dan bernas.

Justeru, kemenangan pasukan itu memang telah dijangkakan oleh para penonton yang membanjiri dewan berdasarkan pantun yang dijual beli jauh lebih berkualiti berbanding pasukan lawan.

Kejayaan tersebut merupakan kali keenam berturut-turut semenjak tahun 2005.

Selain itu, Ajeerah Russlan telah dinobatkan sebagai pemantun terbaik dalam pertandingan akhir.

Sekolah-sekolah lain yang turut mewakili daerah masing-masing ialah SMK Juasseh, SMK Jelai (Felda), SMK Bukit Saujana, SMK King George V, SMK Agama Pedas dan SM Sains Seremban.

SMK Dato' Undang Musa Al-Haj akan mewakili Negeri Sembilan ke Pesta Pantun Kebangsaan yang dijangka diadakan di Kedah.

Teknologi biogas hasil teh serai

Posted: 20 Jun 2010 07:10 PM PDT


Najwa Mohd. Nor menunjukkan sistem biogas yang digunakan untuk memproses serai mentah dan menghasilkan teh.


USAHLAH bertanya kepada sesiapa apakah khasiat dan manfaat Cymbopogon citratus kerana ramai akan terpinga-pinga?

Namun menyebut sahaja serai, ramai akan tersenyum kerana telah maklum bahawa herba tersebut sudah diketahui khasiatnya sejak turun temurun.

Serai biasanya digunakan dalam masakan bukan sahaja kerana khasiatnya tetapi juga aroma yang membuka selera.

Sebab itu, banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memanfaatkan serai sama ada untuk dijadikan masakan atau rempah yang telah ditumbuk untuk kegunaan masakan.

Pada masa sama, penyelidikan untuk mencari khasiat serai terus dijalankan, bagi mencari kemungkinan sebatian aktif dalam serai boleh bertindak dalam melawan penyakit tertentu.

Manfaat serai

Menyedari serai mempunyai pelbagai kegunaan, sebuah syarikat tempatan, Rapat Nusantara Sdn. Bhd. memanfaatkan tanaman herba tersebut untuk menghasilkan minuman herba berkhasiat.

Produk yang mereka hasilkan ialah teh serai berjenama Citralife yang telah mula berada di pasaran sejak tahun lepas.

Syarikat tersebut terlibat dalam penanaman, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran serai sejak 2008 lagi.

Menurut jurutera syarikat yang banyak memainkan peranan penting membangunkan produk mereka, Najwa Mohd. Nor, pihaknya telah terlibat dalam penanaman serai dengan hasrat mempopularkan teh daripada herba tersebut terutama kepada mereka yang mementingkan kesihatan.

Najwa berkata, peluang menceburkan diri dengan industri pemprosesan serai perlu dimanfaatkan selepas Azed Bina Sdn. Bhd. menerima geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi sistem atau mesin biogas.

Azed Bina bekerjasama dengan Rapat Nusantara untuk memproses dan mengeringkan serai dengan teknologi hijau yang mesra alam.

Pada mulanya , ia hanya dimanfaatkan untuk industri biomas atau penjanaan tenaga daripada bahan terbuang.

Pihaknya mendapati, sistem tersebut boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk serai dengan menggunakan pemanasan pada suhu 100 darjah Celsius.

Pada masa sama, mereka menjalankan kajian mengenai manfaat serai dan mendapati kandungan citral yang terkandung dalam herba tersebut boleh membantu dalam penjagaan kesihatan antaranya membantu mengurangkan kolesterol, membantu mengurangkan tekanan darah dan terdapat khasiat lain.

''Berdasarkan kandungan citral tersebut, kami menamakan jenama produk kami sebagai Citralife,'' ujarnya ketika ditemui di pusat pemprosesan serai di Jalan Enam, di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kandungan citral dalam Citrallife agak tinggi iaitu 280 peratus berbanding kandungan semula jadinya dalam pokok serai.

Menurut Najwa, teknologi untuk memproses serai tersebut direka dan dibina sendiri oleh pihak syarikat.

''Sistem ini mampu memproses satu tan serai segar sehari untuk dijadikan minuman herba Citralife.

Serai segar perlu dibersihkan dan dipotong terlebih dahulu sebelum dikeringkan dan dikisar.

Sebanyak tiga tan serai segar diperlukan untuk menghasilkan 500 kilogram, serai kering.

''Pihak kami sendiri telah menjalankan ujian perbezaan antara serai segar dan kering (Citralife) di FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) Kepong, dan hasil ujian mendapati kandungan citral (agen yang mampu membunuh sel kanser) dalam serai kering tiga kali lebih tinggi berbanding serai segar.

''Orang yang minum jus serai segar juga tidak mendapat kesan yang sama sebagaimana mereka meminum Citralife,'' kata Najwa.

Kata Najwa, minuman serai ini merupakan tradisi orang Melayu yang makin dilupakan generasi muda.

Banyak khasiat dan kajian telah dijalankan terutama di negara-negara asing mengenai pengaruh serai dalam kesihatan manusia, terutamanya dalam penyakit kanser, darah tinggi, arthritis dan lain-lain.

Katanya, Citralife dihasilkan dalam dua bentuk produk iaitu uncang yang dijual dalam satu paket mengandungi 15 uncang teh berharga RM16 dan bungkusan 80 gram berharga RM12.

Najwa berkata, sejak berada di pasaran kira-kira setahun lepas, produk tersebut mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna.

Pihaknya juga mendapat banyak respons yang baik daripada pesakit-pesakit darah tinggi, artritis dan beberapa pesakit kanser.

''Tidak disangka serai yang selama ini digunakan sebagai bahan ramuan dalam masakan mempunyai ubat untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kita sedari,'' katanya.

Kini produk berkenaan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil kategori makanan daripada Kementerian Kesihatan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-79872080 atau layari http://lemongrassherbal.blogspot.com.

Biomanis daripada pemanis semula jadi

Posted: 20 Jun 2010 07:09 PM PDT


satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air.


TIDAK ramai yang mengetahui apakah pokok stevia, apatah lagi maklum akan khasiatnya. Namun segelintir daripada kita yang sukakan kemanisan tetapi bencikan kemudaratan mungkin memilih pokok ini sebagai pemanis.

Ini kerana stevia sudah mula dikenali sebagai alternatif kepada gula untuk pemanis dalam minuman.

Ada yang melabelkan 'gula sebagai racun', 'gula lebih bahaya daripada dadah', 'gula pembunuh senyap' dan macam-macam lagi.

Di sinilah stevia memainkan peranan kerana bahaya gula telah menampakkan impak dan kesan sangat positif kepada masyarakat.

Pengambilan makanan manis yang mengandungi tinggi kalori tanpa khasiat dan serat dalam jangka panjang mampu menyingkirkan beberapa vitamin dan zat galian dari dalam badan.

Melihatkan betapa seriusnya peningkatan pesakit diabetes ini, Perintis Dagangan Sdn. Bhd. (Perintis), sebuah syarikat yang telah lama terlibat dalam kajian dan pembangunan hasil pertanian ini telah mengeluarkan produk Biomanis iaitu sejenis pemanis semula jadi yang berasaskan 100 peratus ekstrak daun pokok stevia gred A+ dengan kadar kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula tebu.

Bagaimanapun Biomanis ini tidak mengandungi kalori, lemak, kolestrol, protein, toksik, glukos dan karbohidrat.

Memandangkan Biomanis mempunyai kadar kemanisan yang tinggi berbanding gula, maka sebotol produk tersebut boleh digunakan untuk 400 gelas air. Sekotak Biomanis yang mengandungi lima botol ini boleh digunakan untuk tempoh setahun.

Pembelian sekotak Biomanis dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan sebotol sahaja memandangkan tindak balas gula stevia pada badan mengambil masa untuk menolak segala stok glukos dan kalori yang terdapat pada darah yang telah lama berada di dalam badan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perintis, Norzana Rafie, selain daripada khasiat dan kelebihan semula jadi secara biologi yang terkandung di dalam Biomanis ini proses pembuatan produk ini disulam dengan beberapa khasiat dan kebaikan secara metafizik.

''Ini termasuk bacaan 30 juzuk al-Quran, ayat dan selawat syifa', doa-doa mustajab dan terbaik dari al-Quran dan hadis, Asma al-Husna dan banyak lagi,'' katanya.

Menurut beliau, ia bertujuan menambahkan keberkatan dan keberkesanan penggunaan produk ini sesuai dengan peranan Biomanis sebagai pemanis semula jadi terbaik.

Melalui beberapa ujian kadar gula dalam darah oleh beberapa doktor penasihat, Biomanis menunjukkan kesan yang amat menakjubkan kerana ujian ke atas kadar gula selepas dua jam menunjukkan kadar gula adalah sama seperti sebelum meminumnya.

Ini jelas membuktikan dengan menggunakan Biomanis dalam air, ia tidak menambahkan kadar glukos dan kalori dalam darah.

Semua orang yang mengamalkan Biomanis juga boleh membuat ujian darah sendiri sekiranya ingin mendapatkan pengesahan dan menambah keyakinan.

Biomanis dikatakan pemanis semula jadi paling mesra dengan pesakit diabetes, darah tinggi dan obesiti. Menurut satu kajian mendapati jumlah karbohidrat, kalori dan glukos yang terkandung di dalam gula tebu antara penyumbang kepada kenaikkan paras gula dalam darah.

Dengan menggantikan penggunaan gula tebu kepada Biomanis ini secara amalan yang konsisten dan berpanjangan, kita mampu menghentikan kemasukan kalori, karbohidrat dan glukos yang baru secara berlebihan dalam badan.

Lama-kelamaan lemak dan kalori yang dah lama tersimpan dalam badan akan terbakar untuk bekalan tenaga.

Memandangkan Biomanis tidak menghasilkan glukos maka ekstrak ini mempunyai potensi untuk menjadi agen antihiperglisemik untuk diabetes.

Pengambilan gula stevia yang konsisten dan kerap dalam menggantikan gula tidak akan memudaratkan memandangkan sifat daun stevia yang sifar segalanya.

Produk berkenaan dijual dalam botol dengan harga RM59.90 yang boleh digunakan untuk dua bulan setengah dan satu kotak besar yang mengandungi lima botol dijual pada harga RM200 sekotak boleh digunakan untuk tempoh setahun.

Memandangkan satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air maka pelanggan hanya perlu membelanjakan kira-kira 10 sen sahaja untuk segelas minuman sekali gus berpeluang menikmati hidup yang lebih sihat dan menjauhi kesan bahaya gula.

Selain digunakan dalam minuman seperti teh, kopi atau minuman kegemaran lain, Biomanis juga disarankan penggunaannya ketika mengambil minuman berherba seperti teh misai kucing, mas cotek, tunjuk langit dan lain-lain bagi menambahkan keberkesanan herba tersebut pada badan.

Selain itu, sifat ekstrak daun stevia yang tahan pada suhu yang tinggi, terikat dan tidak terampai ini boleh digunakan di dalam masakan berempah dengan menambah secubit Biomanis ke dalam masakan bagi menambahkan keenakan masakan dan mengelakkan masakan bersantan dari cepat basi.

Kelemumur, rambut gugur merunsingkan

Posted: 20 Jun 2010 07:08 PM PDT


RAMBUT yang gugur berlebihan perlu diberi perhatian serius.


RAMBUT adalah mahkota buat wanita. Menjaganya bukan sukar namun tidak juga mudah. Tidak kena gaya ia mudah rosak, berkelemumur, gugur dan beruban sebelum masanya.

Biar berkerudung, penjagaan rambut tetap diutamakan apatah lagi ia memerlukan lebih perhatian berbanding mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.

Bagi lelaki pula, barisan rambut yang lebat dan mudah digayakan menyerlahkan lagi penampilan. Biar pun mereka mempunyai pilihan untuk bergaya botak, namun bukan semua lelaki kelihatan menarik dengan penampilan begitu.

Apatah lagi andai keguguran rambut berlaku tidak sekata, pasti ia mencacatkan penampilan.

Menurut Dr. Gangaram, dua masalah utama yang sering melanda kebanyakan individu tidak kira lelaki dan wanita adalah kelemumur dan rambut gugur dengan kronik.

"Masalah rambut berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya usia, stres, kurang tidur, pengambilan makanan yang tidak betul, kurang nutrisi, penggunaan produk rambut berlebihan, pengering rambut dan genetik," ujar beliau.

Seperti soal kesihatan yang lain, rambut juga sering diabaikan oleh kebanyakan individu, kata Dr. Gangaram.

"Bila rambut mula gugur baru kita berusaha ingin merawatnya. Sepatutnya ia perlu dijaga seawal usia muda lagi, melainkan faktor genetik yang sukar dirawat," kata beliau.

Rambut bermasalah menjejaskan aktiviti harian setiap individu sekali gus menjadikan mereka kurang berkeyakinan dan malu berada di khalayak.

Jelasnya, setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut.

Kelemumur

Biasanya masalah ini disebabkan beberapa perkara:

  • Seborrheic dermatitis (gatal-gatal, kulit kepala berminyak) - punca biasa menyebabkan kelemumur. Ia kelihatan merah, kulit kepala berminyak diselaputi keruping putih atau kuning. Ia bukan sahaja berlaku pada kulit kepala malah di kawasan kulit yang mengandungi liang minyak, seperti kening, tepi hidung, belakang telinga, tulang dada, celah kangkang dan kadang kala pada bahagian ketiak.

    Seborrheic dermatitis juga boleh berlaku dari usia bayi dilahirkan (ruam lampin) dan beransur hilang pada usia satu tahun.

    Bagi mereka yang dijangkiti HIV, masalah ini lebih serius berbanding biasa. Menurut Dr. Gangaram, biasanya doktor boleh mengenal pasti pesakit yang menghidap HIV berdasarkan keadaan kulit kepala mereka yang mengalami kegatalan serius hingga merebak ke bahagian lain.

    Stres juga boleh mengundang masalah seborrheic dermatitis menjadi lebih teruk.

    Kulit kepala kering, gatal dan berkeruping - disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.

    Kurang mencuci rambut - jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.

  • Psoriasis - Masalah kulit berpunca daripada pengumpulan sel kulit mati yang menghasilkan keruping berwarna perak. Ia biasa berlaku di lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.
  • Ekzema - Jika anda penghidap ekzema, kelemumur adalah masalah biasa.
  • Sensitif pada sesetengah produk - kadangkala sensitif kepada sesetengah jenis produk rambut menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.

  • Jangkitan yis malassezia - Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun kadangkala, ia berkembang tanpa terkawal, merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda.

    Walaubagaimanapun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak mencuci dengan kerap, dan semua masalah menyumbang kepada kelemumur.

    Rawatan kelemumur

    Menurut Dr. Gangaram, masalah kelemumur yang serius boleh diatasi dengan pengambilan syampu anti-fungus. Agen seperti ketoconazole, bifonazole dan ciclopiroxolamine (juga dipanggil ciclopirox) yang terdapat dalam formula berlainan seperti krim, gel, losyen dan syampu boleh membantu mengatasi masalah ini.

  • Rambut gugur (alopesia)
  • Terdapat dua jenis keguguran rambut biasa iaitu diffuse (menyeluruh) dan patchy (bertompok-tompok atau setempat).

    Masalah keguguran menyeluruh disebabkan kegagalan peringkat penghasilan menyebabkan berlaku:

  • Alopesia areata
  • Masalah keguguran rambut setempat pada kepala ini tidak diketahui puncanya. Prognosisnya agak baik tanpa rawatan, bagaimanapun adakalanya ia akan pulih semula dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

  • Telogen effluvium
  • Masalah ini boleh berlaku antara dua hingga empat bulan selepas proses kelahiran, demam panas, penyakit-penyakit akut, tekanan fizikal atau emosi dan diet tidak seimbang (crash diet). Namun, rambut yang gugur ini akan tumbuh semula selepas beberapa bulan, tanpa memerlukan sebarang rawatan.

    Masalah keguguran rambut bertompok pula disebabkan masalah penghasilan seperti:

  • Androgenetik alopesia
  • Ia merupakan masalah keguguran rambut yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki. Namun ia juga boleh berlaku pada wanita. Dikenali sebagai salah satu bentuk botak pada lelaki (male pattern baldness).

    Ia disebabkan oleh kombinasi tiga faktor iaitu hormon testosteron, usia (selepas seseorang berusia lebih 20 tahun) dan keturunan.

    Keguguran rambut serius

    Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rambut gugur dengan serius. Keguguran rambut ini biasanya jelas kelihatan apabila seseorang menyikat rambut terutama selepas bersyampu.

    Keguguran rambut bagi kategori ini biasanya berpunca daripada:

  • Melahirkan anak
  • Selepas seseorang wanita melahirkan anak, pusingan rambut akan memasuki fasa berehat yang agak lama. Dalam masa itu fasa keguguran rambut akan terjadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sesetengah wanita mengalami keguguran rambut yang banyak. Dalam masa satu hingga enam bulan ia akan pulih.

  • Penyakit tiroid
  • Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau pasif juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

  • Demam, jangkitan dan selesema yang serius
  • Selepas empat minggu hingga tiga bulan demam yang serius, seseorang mungkin terkejut melihat rambut gugur dengan banyak. Namun keguguran rambut ini akan pulih seperti sediakala.

  • Protein yang tidak seimbang dalam pemakanan
  • Amalan diet yang tidak seimbang dengan tidak memakan protein atau tabiat pemakanan abnormal.

  • Ubat-ubatan
  • Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan keguguran rambut untuk sementara waktu. Ubat-ubatan terdiri daripada penyakit gout, artritis, kemurungan, masalah jantung, hipertensi dan ubat mencairkan darah . Pengambilan vitamin A secara berlebihan juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

  • Rawatan kanser
  • Sesetengah rawatan kanser akan menyebabkan sel-sel rambut terhenti membahagi yang mengakibatkan rambut menjadi nipis dan mudah terputus apabila ia keluar dari kulit kepala.

    Rawatan alternatif

    Pelbagai rawatan alternatif kini boleh didapati dalam merawat masalah rambut. Antaranya, pakar rambut Neeta Gosalia melalui produknya Neeta's Herbal sudah berjaya membantu ramai pelanggan merawat masalah rambut serius seperti kelemumur dan keguguran rambut serius.

    Bagi Neeta yang berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang itu berpendapat, mereka yang mengalami masalah rambut patut mendapatkan rundingan daripada pakar dan mengubah gaya hidup serta corak pemakanan.

    Katanya, segala masalah kebanyakan berpunca daripada akar rambut yang tidak subur dan rosak. Ia disebabkan banyak faktor.

    Beliau juga tidak menggalakkan mereka yang mengalami masalah rambut terus ke salon biasa kerana bakal mendapat rawatan yang tidak sepatut.

    Neeta's Herbal menggunakan herba semula jadi seperti inai yang terbukti dalam merawat masalah rambut dan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya.

    Maraton buat Kevin tenang

    Posted: 20 Jun 2010 07:04 PM PDT


    Kevin melakukan latihan berlari dan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk menambah staminanya.


    Di tengah kesibukan kota metropolitan, Kevin Wong sempat meluangkan masa berlari selepas sahaja tamat waktu bekerja. Bagi sesetengah orang, waktu petang ini diluangkan untuk berehat.

    Tambahan pula, bulan ini dipenuhi dengan jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia. Tidak menghiraukan apa yang berlaku, Kevin meneruskan lariannya. Dapat berlari sekurang-kurangnya 10 kilometer sudah memadai. Terlibat dalam acara maraton terbesar dan bertaraf dunia, Standard Chartered KL Maraton (SCKLM) 27 Jun ini, Kevin melakukan persiapan awal untuk stamina.

    Sebelum terlibat dalam acara maraton tiga tahun lalu, Kevin terlibat dalam acara sukan seperti futsal. Bekerja keras melawan kolestrol, Kevin memang gemar dengan aktiviti lasak ini. Namun, di sebalik kecergasan Kevin, dia sering tercedera kerana bermain futsal. Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk berhenti bermain futsal dan mencuba aktiviti sukan lain.

    Kebetulan pada tahun 2007, majikannya, Standard Chartered menawarkannya untuk turut serta dalam acara Maraton Standard Chartered di Singapura. Sejak dari itu, Kevin menumpukan latihan untuk acara maraton.

    Di samping menjaga kesihatan, aktiviti seperti ini menggalakkan dia bangun awal setiap pagi.

    "Jika orang lain sedang enak dibuai mimpi, saya pula akan bangun pagi untuk latihan. Saya perlu banyak melakukan senaman untuk mengurangkan tahap kolestrol saya. Keluarga saya memang mempunyai masalah tahap kolestrol. Pada umur lewat 30, saya berpendapat sukan membantu mengatasi masalah ini. Saya beranggapan, berlari adalah yang terbaik," ujarnya.

    Berkongsi masa latihannya, Kevin melakukannya tiga atau empat kali seminggu. Kebanyakan waktu latihan dilakukan pada waktu pagi.

    Bagi memastikan stamina stabil, Kevin akan berlari sekurang-kurangnya enam hingga tujuh kilometer.

    Katanya, pada waktu latihan dia akan mencuba laluan berbukit kerana dia tahu berat badan yang dimilikinya sekarang menyukarkannya.

    Dua minggu sebelum acara maraton sebenar, Kevin akan menjaga pemakanan terutamanya mengurangkan makanan berminyak dan manis.

    Namun, Kevin berlari bukan semata-mata untuk mendapatkan pingat emas. Baginya, dia perlu menamatkan larian separuh maraton sebelum pukul 9 pagi.

    Di sebalik penglibatan Kevin dalam maraton, dia bersyukur kerana keluarganya banyak memberi sokongan.

    Selain isteri dan anak-anak, adik-beradik Kevin turut memberi sokongan kepadanya untuk aktif dalam acara maraton.

    "Kebetulan adik saya turut menyertai maraton ini. Bagi kami, ia bukanlah untuk pingat tetapi kepuasan diri sendiri termasuk memperbaiki kesihatan. Pada awal penglibatan saya dengan maraton, saya banyak buat kajian termasuk cara latihan. Saya mempunyai saiz badan besar, justeru itu saya perlu mengawal pemakanan dengan mengamalkan diet sihat. Dalam badan kita, terdapat kolestrol jahat dan baik. Jika kita menjaga pemakanan dan aktif bersukan, kolestrol baik akan bertambah dan mengawal kolestrol jahat," ujarnya.

    Ditanya kenapa memilih sukan larian, Kevin berkata, aktiviti ini menenangkan dia.

    Dengan berlari, Kevin dapat merehatkan minda. Jika banyak konflik kerja yang perlu difikirkan, berlari dapat membantu dia mengosongkan fikiran. Bahkan, dia mendapat idea baru menyelesaikan konflik tersebut.

    Maraton juga banyak mengubah kehidupannya.

    Kevin kini lebih penyabar dan menjadi lebih positif.

    "Bagi mereka yang baru mencuba sukan ini, jangan paksa diri. Masing-masing perlu tahu had potensi diri yang ada," katanya yang turut mencuba minuman isotonik untuk menambah tenaga.

    Dalam pada itu, SCKLM berjaya menyasarkan lebih kurang 16,500 penyertaan daripada 60 negara bagi mengambil bahagian dalam lima kategori yang dipertandingkan.

    Edisi kedua ini akan berlangsung pada 27 Jun depan dan antara kategori yang dipertandingkan ialah maraton 42.195 kilometer (km), separuh maraton 21km, larian 10km, larian keluarga 5km, larian kanak-kanak 3km dan 80 meter.

    Larian akan bermula di Dataran Merdeka mengikut kategori seawal pukul 5 hingga 8.30 pagi. Sementara itu, terdapat juga gerai-gerai jualan menarik untuk dilawati pengunjung.

    Milo Hidup Bola

    Posted: 20 Jun 2010 07:03 PM PDT


    BAKAT bermain bola sepak perlu diasah sejak peringkat kanak-kanak lagi.


    Musim bola sudah kembali dan bagi sebuah negara yang dipenuhi peminat bola sepak, Milo turut menawarkan ganjaran hebat buat pelanggan setianya dengan sebuah program penebusan dan roadshow concourse yang cukup mencabar.

    Milo akan memberikan edisi terhad bola mini Adidas serta beg selempang eksklusif Milo Hidup Bola. Koleksi-koleksi ini hanya boleh ditebus dengan mengumpulkan mata yang diperlukan bagi sesuatu barangan dalam bulan yang ditetapkan.

    Terdapat sebanyak enam jenis edisi terhad bola mini Adidas dan enam jenis beg selempang eksklusif Milo Hidup Bola yang berbeza-beza semuanya untuk ditebus. Peserta dikehendaki untuk menghantar bukti pembelian bersama-sama dengan borang penebusan. Borang-borang ini boleh didapati di semua pasar hiper, pasar raya dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.

    Roadshow concourse Milo Hidup Bola bermula dengan pelancaran di Sunway Pyramid dan akan beralih pula ke Tempat Letak Kereta Midas Merge, Jalan Tebrau, Johor pada 19 dan 20 Jun 2010; East Coast Mall di Kuantan pada 3 dan 4 Julai 2010 dan akhirnya di Queensbay Mall di Pulau Pinang pada 16 hingga 18 Julai 2010.

    Tahun ini Milo membawa masuk buat pertama kalinya Cegebalx untuk memberikan keseronokan dan cabaran kepada rakyat Malaysia tanpa mengira usia. Cagebalx adalah sebuah cara permainan bola sepak ekstrem yang amat mencabar yang dimainkan di dalam kandang dengan empat buah tempat untuk membuat jaringan gol.

    Bagi rakyat Malaysia yang telah mengasah bakat bola sepak mereka boleh mencuba nasib mereka di stesen cabaran ini. Ini adalah rangkaian cabaran tiga tahap dan selepas berjaya menyelesaikannya, peserta akan dihargai dengan pelbagai premium Milo dan produk.

    Vaksin empat penyakit

    Posted: 20 Jun 2010 07:02 PM PDT


    VAKSIN kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air antara perlindungan berterusan.


    DEMAM campak, beguk, rubela dan cacar air adalah empat penyakit berjangkit yang serius yang menggugat kesihatan berjuta individu di seluruh dunia dan menyebabkan penderitaan yang amat sangat.

    Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 334 kes demam campak di Malaysia dengan anggaran kematian sebanyak 164,000 di seluruh dunia. Walaupun kematian akibat beguk adalah jarang sekali, penyakit itu boleh dikaitkan dengan beberapa komplikasi dan masih berlaku di negara-negara membangun . Menurut WHO dan UNICEF, lebih daripada 830,000 kes rubela dilaporkan di 123 negara pada 2001, manakala 60 juta kes dianggarkan bagi kes cacar air yang berlaku setiap tahun sebelum pelalian cacar air diamalkan secara besar-besaran .

    Menurut Doktor Pakar Kanak-Kanak, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, ramai yang berpendapat bahawa cacar air adalah sejenis penyakit ringan di kalangan kanak-kanak.

    "Ia sebenarnya membebankan iaitu dalam erti kata penderitaan seperti ketinggalan waktu di sekolah bagi seorang kanak-kanak, ketinggalan waktu kerja bagi ibubapa dan kos serta kebimbangan menguruskan kes yang teruk amatlah tinggi," ujar beliau pada majlis pelancaran vaksin kombinasi baru demam campak, beguk, rubela dan cacar air, Priorix Tetra baru baru ini di Hotel One World.

    Priorix Tetra dari GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK), sejenis vaksin baru yang memberikan perlindungan yang lebih mudah terhadap campak, beguk, rubela dan cacar air tanpa kesusahan bagi suntikan tambahan untuk kanak-kanak antara sembilan bulan dan 12 tahun.

    Lebih baik

    Ia menggabungkan vaksin cacar air dengan dua dos mandatori yang diperlukan untuk demam campak, beguk dan rubela (MMR) bagi perlindungan yang lebih baik dan berterusan untuk menentang cacar air.

    Tambah Dr. Musa, vaksin MMR sedia ada adalah vaksin wajib yang tersenarai dalam Program Imunisasi Tambahan Malaysia (EPI) sejak 2002. Ia diberikan kepada kanak-kanak dalam dua dos, sekali pada usia 12 bulan dan yang kedua pada usia tujuh tahun.

    "Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibu bapa dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat penyakit sekali gus," katanya

    Sementara itu, Pakar Perunding Kesihatan Umum serta Pengarah Bahagian Kajian Klinikal dan Pembangunan dan Hal Ehwal Perubatan bagi GSK Biologicals, Singapora, Malaysia dan Brunei, Dr Teoh Yee Leong, berkata Priorix Tetra memberikan kemudahan kepada ibubapa.

    "Dengan pilihan satu suntikan berbanding dua suntikan yang diamalkan sekarang bagi kanak-kanak untuk melindungi mereka secara berkesan terhadap empat jenis penyakit sekali gus. Dengan kurangnya suntikan, seseorang kanak-kanak itu tidak perlu melalui lebih banyak kesakitan dari yang diperlukan dan secara langsung mengurangkan keresahan yang dihadapi ibubapa ketika mendedahkan anak mereka untuk pelalian itu," jelas beliau.

    Cantik dengan limau nipis

    Posted: 20 Jun 2010 06:59 PM PDT

    Mengempiskan perut

    Mungkin anda boleh mengamalkan perahan limau nipis yang dicampur dengan teh tanpa gula dan diminum setiap hari. Sebaik-baiknya biarlah teh yang diminum itu teh panas suam, kesannya lebih cepat. Ia dikatakan dapat mengempiskan dan mengemaskan bentuk perut.

    Pulih kulit wajah

    Ramai yang menghadapi masalah kulit wajah terbakar kerana cuaca yang panas. Mungkin anda boleh bancuh sebati sedikit tepung gandum bersama madu dan putih telur serta air limau nipis. Sapu bancuhan pada seluruh muka kecuali bahagian mata dan mulut. Biar kering baru cuci dengan air bersih.

    Hilangkan Bau Kaki

    Untuk mengatasi bau kaki akibat sering memakai sarung kaki dan kasut bertutup, gunakan limau nipis. Ambil limau nipis, hiris dan gosokkan pad kaki.

    Mewangikan rambut

    Mungkin ramai tidak tahu limau nipis juga boleh mewangikan rambut. Ambil beberapa biji limau nipis dan hiriskan. Kemudian gosokkan ke seluruh kepala. Biarkan beberapa minit, kemudian barulah cuci hingga bersih. Selain mewangikan rambut, limau nipis juga boleh menghilangkan rasa pening serta menyejukkan kepala.

    Panduan atasi artritis

    Posted: 20 Jun 2010 06:58 PM PDT




    Ibu saya seorang penghidap artritis (sakit sendi lutut) sejak beberapa tahun lalu. Keadaan ini agak menjejaskan kualiti kehidupan seharian. Apakah panduan yang boleh diamalkan bagi meringankan bebanan yang di tanggung penghidap artritis?

    Jawapan

    Bagi meringankan simptom-simptom osteoartritis, penghidap seharusnya meminimumkan sebarang aktiviti berat. Tidak ketinggalan juga, penghidap juga boleh membuat senaman yang sesuai bagi mengekal dan memperbaiki pergerakan sendi dengan regim penguatan sendi dan senaman regangan.

    Selain perubahan gaya hidup, amalan pemakanan dan pengambilan suplemen yang sesuai juga penting bagi melegakan penyakit osteoartritis. Pakar-pakar kesihatan menganggap glukosamin dan kondroitin sulfat sebagai suplemen popular untuk artritis. Kajian membuktikan keupayaan glukosamin dalam memperbaiki simptom-simptom osteoartritis serta melambatkan perkembangan osteoartritis.

    Kajian menunjukkan pengambilan sebanyak 1500 miligram glukosamin sehari boleh mengurangkan simptom osteoartritis tahap ringan dan sederhana. Glukosamin berkesan untuk melegakan kesakitan dan keradangan, meningkatkan pergerakan dan membantu dalam memperbaiki serta mengekalkan rawan. Ini adalah kerana glukosamin telah dibuktikan boleh merangsang pembentukan dan pembaikan rawan tulang.

    Manakala, kombinasi glukosamin dan kondroitin sulfat pula didapati lebih berkesan sebagai rawatan osteoartritis pada tahap sederhana dan serius berbanding dengan glukosamin sahaja atau Celecoxib, sejenis ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) yang memberi kelegaan sementara. Penemuan ini adalah hasil kajian GAIT (Glucosamine/chondroitin Artritis Intervention Trial) yang dijalankan di Amerika Syarikat atas tajaan The National Institutes of Health (NIH).

    Cantik dengan laser

    Posted: 20 Jun 2010 06:48 PM PDT




    Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel mengenai faktor yang menyebabkan kita nampak lebih tua daripada usia sebenar.

    Kajian Dr. Bernard Fink, pakar psikologi dari University of Goettingham, Jerman; dan Dr. Paul Matts dari Procter & Gamble menunjukkan ada dua faktor utama menyumbang ke arah itu iaitu:

  • Pigmentasi dan ton kulit tidak sekata.
  • Kedut atau garisan kedut pada muka.
  • Memang tidak dapat dinafikan apabila wanita mahupun lelaki meningkat usia, garis-garis pada wajah menyebabkan mereka nampak lagi berusia. Sepanjang khidmat saya membantu wanita dan lelaki nampak lebih cantik, muda dan bergaya , saya mengesyorkan rawatan bagi mengurangkan kedut-kedut pada wajah dan membantu mereka untuk mendapat ton sekata dan menghilangkan pigmentasi kulit.

    Rawatan bagi mendapatkan ton sekata pada kulit amat mencabar. Apabila wanita semakin berusia, bukan sahaja jisim tulang mereka semakin berkurangan tetapi jumlah kolagen pada lapisan bawah kulit juga menipis menyebabkan kulit semakin berkedut. Kesan kedut akan lebih ketara apabila seseorang wanita menopaus, di mana pengurangan hormon wanita menyumbang pengurangan keanjalan kulit. Bagi lelaki faktor penuaan turut menyumbang kepada masalah kedutan, pigmentasi kulit dan juga tompokan kehitaman pada kulit wajah.

    Sejak kebelakangan ini, masalah ton kulit tidak sekata dan pigmentasi semakin menjadi-jadi. Ia disebabkan pengunaan produk kecantikan yang mengandungi bahan tidak diluluskan kerajaan seperti tretinoin dan hidroquinone serta pemanasan global. Sememangnya cahaya matahari adalah salah satu punca utama pigmentasi dan ton warna muka tidak sekata. Apabila sel-sel kulit didedahkan kepada pancaran matahari cahaya ultra ungu yang terdapat di dalamnya akan merangsang sel-sel kulit yang bertanggungjawab membentuk warna pada kulit kita yang dinamakan malanocyte. Sebenarnya sel malanocyte penting sebagai mekanisme pertahanan kulit. Warna yang dikeluarkan menjadikan kulit lebih kuat dan berdaya tahan melawan kanser dan sakit kulit. Namun apabila ia menjadi terlalu aktif maka ia amatlah menghodohkan kulit disebabkan kesan tompokan hitam.

    Dalam penulisan sebelum ini saya banyak menceritakan hal serdev dan terapi hormon untuk melawan kedutan muka. Saya yakin ramai antara kita telah pun mengetahui mengenai teknik serdev yang amat berkesan bagi mengangkat kembali muka yang telah jatuh. Teknik ini menggunakan benang yang diperbuat daripada protein dan hasilnya boleh bertahan melebihi 10 tahun lamanya. Bioidentical hormon pula merupakan hormon yang baik bagi meningkatkan kecergasan kita.

    Ramai pembaca menghantar e-mel dan menelefon bertanya rawatan yang sesuai bagi kulit berjeragat, pigmentasi dan ton kulit tidak sekata. Mereka ada banyak membaca tentang rawatan terkini menghilangkan pigmentasi dengan menggunakan laser. Oleh kerana terdapat pelbagai jenis laser dan banyak mendengar salon kecantikan menggunakan laser, maka mereka pun ingin mengetahui dengan lebih lanjut kerana keliru dengan pelbagai pilihan yang ada.

    Pada awal bulan lepas saya terserempak dengan kawan lama semasa menghadiri 7th Malaysian Conference and Exhibition on Anti-Aging, Aesthetic and Regenerative Medicine di Kuala Lumpur. Kongres itu dinaungi oleh Persatuan Perubatan Anti Penuaan yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan. Ia bertujuan memberi lebih pendedahan kepada doktor yang mendalami perubatan estetik. Sahabat saya merupakan seorang pengamal perubatan di Kuantan, Pahang yang menggunakan banyak laser untuk merawat masalah kecantikan. Walaupun perjumpaan itu singkat namun saya sempat diberi penerangan mengenai laser .

    Untuk meyakinkan saya lagi, beliau telah berkongsi beberapa gambar pesakit yang menerima rawatan laser untuk pigmentasi. Sungguh menakjubkan dalam masa 10 minggu segala masalah pigmentasi boleh diselesaikan. Saya berterima kasih kepada Dr. Shaharum Sulaiman kerana berkongsi pengalaman merawat pigmentasi menggunakan laser.

    Apakah laser

    Laser terhasil apabila cahaya melalui satu medium yang berupa gas. Oleh kerana terdapat banyak jenis gas maka laser yang terhasil juga akan menjadi pelbagai bergantung kepada jenis gas yang digunakan. Sebagai contoh gas CO2 (karbon dioksida) menghasilkan jenis laser yang dinamakan Laser CO2.

    Manakala gas helium menghasilkan laser yang dinamakan Laser Helium. Dalam dunia perubatan laser turut dikelaskan mengikut gred iaitu kelas 1 dan 2 adalah laser yang tidak kuat. Kelas 3 dan 4 pula laser yang kuat dan memerlukan latihan yang cukup sebelum menggunakannya. Kerana itulah para doktor yang terlibat dengan laser mengikuti kursus dan memperoleh sijil kelayakan. Laser yang sering digunakan dalam perubatan estetik adalah laser lipolisis (Deka) bagi memecahkan lemak pada bahagian tertentu tubuh. Setelah lemak dipecahkan ia akan di sedut keluar. Laser lain terdiri daripada kategori laser Alma laser yang sangat bagus. Di klinik saya saya menggunakan sistem Soprano yang mempunyai banyak kegunaannya. Ia boleh menghapuskan bulu roma secara kekal dan memutihkan kulit dengan bertindak mengurangkan keaktifan melanosit dalam kulit. Satu lagi kegunaannya ialah meningkatkan kolagen dengan stimulasi pada kulit. Ia meningkatkan kolagen dan menjadikan kulit lebih tegang. Ini menjadikan soprano bukan sahaja sesuai untuk membuang bulu roma pada mana-mana bahagian kulit malah turut memutihkan kulit berbanding sistem lain. Ada juga laser daripada Alma yang bertindak menghapuskan bintik hitam pada kulit seperti sahabat saya menggunakan sistem laser dinamakan Medlight iaitu satu sistem yang terbaik bagi menghapuskan pigmentasi kulit.

    Sebenarnya laser sangat sinonim dalam kehidupan kita. Kalau ke pusat membeli-belah misalnya, penggunaan laser yang diguna pakai pada mesin pengimbas menjadikan urusan jual beli berjalan lebih lancar. Bayangkan kalau kita masih menggunakan mesin kira, sudah tentulah urusan menjadi sangat lambat. Begitu juga dalam urusan seharian di rumah, laser digunakan dalam aplikasi alat kawalan jauh.

    Di hospital pula laser memudahkan para doktor membuat pembedahan pada organ yang rumit seperti jantung dan mata. Seorang sahabat saya yang merupakan pakar mata memberitahu dengan adanya laser orang yang kabur penglihatannya boleh melihat dengan jelas semula. Beliau memuji teknik Lasix yang digunakan dengan meluas bagi membentuk semula kanta mata. Hasilnya mata menjadi terang dan kita dapat melihat dengan jelas semula tanpa cermin mata.

    TUDM rangka latihan bersama

    Posted: 20 Jun 2010 06:43 PM PDT


    Rodzali Daud bertanya sesuatu kepada sekumpulan rombongan dari rumah anak-anak yatim sempena Hari Terbuka Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 20 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang giat merangka latihan bersama dengan Amerika Syarikat (AS), negara anggota ASEAN dan Asia yang lain bagi mengukuhkan lagi pasukan itu sejajar dengan perkembangan teknologi dan peredaran masa.

    Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, antara latihan yang dikenal pasti adalah dalam strategi penerbangan yang dilihat mampu memanfaatkan TUDM ke arah meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

    "Negara-negara berkenaan mempunyai kepakaran dan idea baru yang mampu membantu TUDM dalam menyusun strategi penerbangan menggunakan teknologi baru yang lebih canggih dan moden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fasa Kedua dan Hari Terbuka Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Katanya, selain latihan dalam strategi penerbangan, TUDM juga akan menggunakan kepakaran negara terbabit dalam latihan bersama di bidang senjata dan penggunaan pesawat canggih.

    Beliau berkata, latihan tersebut dijalankan secara berperingkat dan akan diteruskan mengikut fasa tertentu mengikut kemampuan dan keperluan TUDM.

    Terdahulu di majlis itu, kira-kira 200 orang tetamu hadir menyaksikan antara lain pameran kapal terbang lama dan baru.

    Tabah hadapi dugaan

    Posted: 20 Jun 2010 06:40 PM PDT


    Shamsiah Suniey


    TIADA siapa yang inginkan kegagalan dalam rumah tangga, apatah lagi mahligai yang dibina adalah atas dasar suka sama suka.

    Namun bagi Shamsiah Suniey, 48, kegagalan yang dilalui dalam rumah tangga tidak dijadikan sebagai penghujung sebuah cerita dalam kehidupannya.

    Biarpun kehidupannya pernah menderita suatu ketika kerana ditinggalkan suami, namun ibu tunggal ini berjaya membuktikan tanpa sokongan dan dorongan dari kaum lelaki, dia juga turut berjaya dalam kehidupan.

    Kini bertindak sebagai pemandu pelancong di sebuah syarikat pelancongan membuatkan dia bersyukur kerana ujian yang diberikan oleh-Nya membuatkan dia berjaya.

    ''Saya tidak pernah menyesal diuji sedemikian rupa, malah dengan ujian seberat ini membuatkan saya semakin tabah menghadapi cabaran,'' ujarnya memulakan cerita.

    Katanya lagi, selepas bercerai kehidupan dia dan anak-anak sangat susah. Kehidupan mereka anak-beranak diibaratkan kais pagi makan pagi. Sebelum berkecimpung dalam bidang pelancongan, dia bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat. Menerusi pendapatan tersebut dia menyara empat orang anak yang masih kecil.

    Jelasnya, semasa dia bercerai, anak sulungnya baru berusia 16 tahun manakala anak bongsu pula berusia empat tahun.

    ''Tiada kata hendak digambarkan pada ketika itu, saya sentiasa kekurangan wang, malah kami terpaksa makan bercatu,'' ujarnya mengenangkan kisah lalu.

    Dia terpaksa bangun awal semata-mata menyediakan bekalan kepada anak-anak bagi mengurangkan kos hidup.

    Kehidupan sebagai ibu tunggal katanya, amatlah perit, malah pandangan orang sekeliling juga mampu melemahkan lagi diri sendiri jika tidak kuat.

    Biarpun kehidupan mereka susah, namun dia tidak pernah meminta-minta daripada orang lain.

    ''Pelbagai dugaan telah saya harungi, namun anak-anak adalah adalah nyawa dan banyak memberi semangat kepada saya.

    ''Pernah kami sekeluarga tidak menyambut hari raya kerana ketiadaan wang. Ketika itu, perasaan kasihan mengenangkan anak-anak, biarlah saya tidak menyambut raya dengan pakaian baru tetapi bukan kepada anak-anak,'' katanya.

    Namun kini selepas menyertai program anjuran di Jabatan Pembangunan Wanita dalam bidang pelancongan, kehidupan semakin berubah.

    ''Kini saya boleh membuktikan saya mampu membesarkan anak-anak sendirian,'' ujarnya bangga.

    Katanya lagi, biarpun memegang status ibu tunggal, namun tidak mengehadkan untuk seseorang itu berjaya.

    Biarpun tugas pemandu pelancong biasanya menjadi tumpuan kepada kaum adam namun ia tidak menghalang untuk golongan wanita mencubanya.

    ''Bidang ini memberikan ketenangan pada saya dan ia juga memberikan peluang kepada saya untuk lebih dekat dengan masyarakat,'' ujarnya.

    Katanya lagi, dia yakin bidang pelancongan ini jika diberikan peluang, mampu mengorak lebih jauh.

    Kini, Shamsiah boleh menarik nafas lega, selepas hampir 10 tahun berjuang membesarkan anak-anak dia berjaya sehingga ke peringkat ini.

    Anak sulungnya kini berusia 26 tahun. Malah dia juga turut menjejaki langkah ibunya menyertai bidang pelancongan.

    ''Menjadi ibu tunggal memerlukan kekuatan dan kesabaran, harus diingat niat kita bekerja hanya untuk mencari rezeki kepada anak-anak,'' ujarnya tenang.

    Ceritanya lagi, dahulu terpaksa menumpang di rumah saudara mara dan berulang-alik menaiki bas, dia kini lega kerana mampu memiliki rumah dan kereta sendiri.

    ''Ini semua hasil titik peluh saya, malah jika diizinkan Tuhan saya akan mengerjakan ibadah Haji penghujung tahun ini,'' katanya lagi.

    Manisnya Liza bertudung

    Posted: 20 Jun 2010 06:39 PM PDT


    Liza Hanim


    BARANGKALI ramai yang menonton rancangan Mentor semalam sudah pun melihat penampilan terbaru penyanyi Liza Hanim.

    Liza dahulu dan sekarang sudah jauh berubah. Pada usia 31 tahun, dia memilih untuk menutup aurat.

    Dengan imej bertudung, Papa dapat lihat Liza semakin anggun dan manis sekali.

    Ketika berbual dengannya beberapa hari lalu, Liza memberitahu, penghijrahan imejnya itu bertitik tolak daripada keinginannya yang tulus tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

    "Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Suatu pagi, sebaik bangun tidur saya terfikir sudah sampai masanya untuk saya berubah dan menutup aurat.

    "Dan apabila saya memaklumkan hal ini kepada suami, dia juga merestui serta mendoakan yang terbaik untuk saya," kata Liza yang juga ibu kepada dua orang anak.

    Biar sudah bertudung, Liza memberitahu, dia akan tetap meneruskan kerjaya seninya tetapi semuanya harus mempunyai batasan.

    Kepada Liza, Papa doakan semoga hidupnya akan lebih tenang serta dikurniakan rezeki yang lebih murah.

    Suka duka Shara Eqkhnor

    Posted: 20 Jun 2010 06:39 PM PDT


    KASIH seorang anak. Putri Qistina Balqish memujuk ibunya, Shara Eqkhnor yang sedih apabila bercerita mengenai ayahnya.


    OLEH kerana namanya begitu unik menyebabkan Shara Eqkhnor dengan pantas dikenali ramai.

    Popularitinya tambah berganda apabila dia dengan bijak menarik perhatian masyarakat menerusi imejnya yang tersendiri iaitu imej Tina Tuner.

    Shara Eqkhnor pernah digelar sebagai Tina Tuner Malaysia hampir dua dekad lalu.

    Sebetulnya, artis yang kini memanjat usia 47 tahun dilahirkan dengan nama Shara Nor Azar Othman.

    Dek kerana tuntutan pentas komersial, namanya menjadi Shara Eqkhnor.

    Biar apa nama sekalipun, suatu hal yang pasti, sejak dari awal perkenalan penulis dengan penyanyi ini, tidak banyak yang berubah padanya.

    Walaupun sudah 18 tahun, penulis dan Shara tidak bersua, dia masih mesra seperti dulu. Kalau berubah sekalipun sosok tubuhnya yang sedikit berisi.

    Bagi ibu tunggal beranak lima ini, iklim kehidupan yang dilaluinya selama ini penuh dengan pelbagai musim.

    Ada masa dia melalui musim-musim yang indah, namun ada ketika pula dia diuji dengan pelbagai dugaan.

    Paling meninggalkan bekas di hati Shara tentu sekali keruntuhan perkahwinan yang dibina selama 17 tahun dengan penyanyi Zamree yang pernah popular dengan lagu Tugu Cinta.

    Sebagai manusia, baik Shara dan Zamree, masing-masing tidak mampu menolak ketentutan takdir apabila mahligai itu musnah.

    Namun, apa yang membuatkan dia ralat dan sangat sedih ialah kemusnahan itu berlaku kerana kesusahan hidup mereka sekeluarga.

    "Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta, sebagai isteri saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya tetapi saya tidak mampu.

    "Pelbagai usaha yang saya lakukan untuk memelihara mahligai bahagia kami tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami hanya setakat itu dan akhirnya kami bercerai pada tahun 2009," cerita Shara sambil memandang sayu anak bongsunya, Putri Qistina Bilqish, 10, yang menemaninya pada pertemuan di Ampang, Selangor baru-baru ini.

    Menurut Shara, sebagai wanita, dia meletakkan kebahagiaan rumah tangga di senarai teratas dalam keutamaan hidupnya.

    Kerana itu, dia tekad meninggalkan dunia seni setelah berkahwin kerana enggan pisang berbuah dua kali.

    Sebelum berkahwin dengan Zamree, Shara pernah berkahwin namun rumah tangganya runtuh setelah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun iaitu Wan Eqbal.

    Perkahwinannya dengan Zamree yang berakhir dengan perceraian tahun lalu selain Putri Qistina Balqish, mereka juga dikurniakan Putri Balqish, 17, Al-Raqfel Adam, 16 dan Al-Rafiqi Adam, 15.

    Menurut Shara, setelah dia dan Zamree berkahwin, mereka sepakat meninggalkan dunia seni dan mengusahakan gerai makan turun temurun milik keluarganya yang terletak di Pulapol, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

    Selain menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, gerai yang terletak berhampiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga menyediakan perkhidmatan fotostat untuk penuntut universiti itu.

    Shara bukan setakat menjadi tauke di gerai itu, malah dia juga kadangkala bertindak sebagai tukang masak apabila chef yang digajikannya bercuti.

    "Jika jadi penyanyi kita mesti mempunyai suara yang lunak didengar, untuk menjadi tauke kedai makan kita mesti pandai memasak.

    "Alhamdulillah kerana sejak kecil saya sudah didedahkan oleh emak dengan pelbagai masakan, apabila mengendalikan gerai itu saya boleh memasak untuk pelanggan.

    "Itulah sebab utama gerai yang diusahakan sejak 30 tahun itu sentiasa menjadi tumpuan para pelanggan menjamu selera dengan pendapatan RM1,500 sehari," cerita Shara mengimbau kejayaannya dan Zamree ketika mengendalikan gerai makan itu.

    Bisnes musnah

    Tahun demi tahun, pendapatan yang lumayan hasil usaha daripada meniaga bukan sahaja membuatkan mereka mampu menyara keluarga malah mampu membeli harta.

    Hasil daripada perniagaan itu, pasangan suami isteri itu mampu membeli sebuah kondominium, kereta, motosikal berkuasa tinggi selain menikmati kehidupan mewah.

    Meskipun, sebilangan besar daripada masa dihabiskan di gerai, baik Shara mahupun Zamree tidak pernah malu atau menyesal membuat keputusan meninggalkan dunia seni kerana pendapatannya memang lumayan.

    Namun, panas yang disangka berpanjangan mengundang hujan di tengah hari.

    Akibat hasad dengki segelintir pihak yang kurang senang dengan perniagaan mereka menyebabkan gerai yang diwarisi oleh keluarga sejak 34 tahun itu dirobohkan.

    "Apabila gerai kami dirobohkan, terkuburlah semua punca pendapatan dan rezeki kami sekeluarga. Kami hilang punca untuk hidup seperti dulu," cerita Shara penuh sedih.

    Sejak gerai itu dirobohkan, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan tapak lain namun semuanya gagal.

    Bayangkan selama 11 tahun Shara dan Zamree berniaga dan hidup mewah dengan cara begitu, tiba-tiba rezeki ditarik oleh orang yang tidak senang melihat orang lain hidup senang.

    Kerana itu, Shara tiada pilihan selain daripada kembali menyanyi sementara Zamree memilih untuk menjaga anak-anak.

    Namun, pendapatan hasil menyanyi kata Shara tidak semewah berniaga apalagi ketika itu mereka sudah mempunyai empat orang anak.

    Kesempitan hidup menyebabkan duit simpanan mereka semakin susut sehinggakan kondominium dan kereta terpaksa dijual.

    Kesukaran hidup selama enam tahun menyebabkan mereka merana dan Zamree orang yang paling kecewa kerana dia kehilangan punca rezeki.

    "Sebagai isteri saya memberi semangat kepadanya untuk berdepan dengan dugaan Allah tetapi bukan sahaja kami kehilangan punca pendapatan malah yang sedih ia menjadi punca kebahagiaan rumah tangga kami goyah," kata Shara berkongsi kemelut rumah tangganya.

    Zamree kini di Perak

    Menurut Shara, keretakan rumah tangga mereka sukar diselamatkan kerana keperitan hidup.

    "Saya tidak pernah salahkan Zamree dengan apa yang terjadi. Dia seorang suami yang baik. Namun takdir Tuhan menentukan segala-galanya.

    "Walaupun cuba menyelamatkan rumah tangga kami, namun takdir sudah menentukan jodoh kami tidak kekal dan pada 2009 kami bercerai dan membawa haluan masing-masing.

    "Setelah bercerai, Zamree tinggal bersama ibunya di Perak dan saya tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur," jelasnya dengan linangan air mata.

    Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Shara tidak pernah kesal apabila rumah tangga dia dan Zamree musnah.

    Cuma apa yang paling menyedihkannya ialah sejak bercerai dia dan anak-anak kehilangan seorang imam.

    "Sejak berkahwin dan mempunyai anak, Zamree tidak pernah abaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Dia bukan sahaja mengajar anak-anak mengaji malah setiap waktu kami solat berjemaah.

    "Kini saya dan anak-anak jarang solat berjemaah sejak kami 'kehilangan' imam. Itulah yang saya paling sedih, sejak itu saya rasakan hidup saya anak beranak begitu kosong dan tidak bermakna," cerita Shara sambil mengesat air matanya apabila menyentuh mengenai perpisahan dengan suaminya itu.

    Menurut Shara, walaupun selepas bercerai hatinya kosong, namun sebagai ibu tunggal dia harus bekerja mencari nafkah untuk anak-anak.

    Walaupun pendapatannya sebagai penyanyi di lounge tidak lumayan namun dia tetap bersyukur kerana masih mampu memberi anak-anak makan dan pelajaran.

    Apabila ditanya apakah kemungkinan dia akan berkahwin lagi atau kembali ke pangkuan bekas suaminya Zamree, sambil membelai rambut anak bongsunya, Shara berkata:

    "Dalam keadaan sekarang saya tidak pernah memikirkan soal kahwin lagi. Apa yang saya fikirkan adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan memberi mereka ilmu yang tinggi.

    "Saya tidak mahu mereka menjadi anak terbiar tanpa kasih sayang dan pelajaran. Insya-Allah jika ada rezeki, saya mahu membuat single agar ia memudahkan saya mencari rezeki dipentas nyanyian," katanya lagi.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan