Nuffnang

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

sumber :-

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


30 tahun minum air sungai

Posted: 10 Jun 2010 08:28 PM PDT

RAHMAN menunjukkan pam yang digunakan untuk menyedut air sungai  yang keruh untuk kegunaan harian kerana tiada bekalan air bersih.
RAHMAN menunjukkan pam yang digunakan untuk menyedut air sungai yang keruh untuk kegunaan harian kerana tiada bekalan air bersih.
Lapan keluarga di Kampung Machang Panching tidak dapat kemudahan asas

KUANTAN: Lapan keluarga di Kampung Machang Panching dekat sini, terpaksa mengambil risiko meminum air sungai yang keruh dan berlumpur kerana bekalan air bersih yang dijanjikan untuk mereka sejak hampir 30 tahun lalu, belum tertunai.
Walaupun kemudahan paling asas itu sudah lama dinikmati penduduk di kawasan berkenaan, namun bagi lapan keluarga itu, mereka terus menanti janji yang tidak pasti bila akan dikotakan. Agak menghairankan, apabila tiga rumah yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka, mendapat kemudahan bekalan air bersih daripada Jabatan Bekalan Air (JBA) sejak lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Rahman Musa, 64, berkata sudah empat kali pihak JBA datang membuat tinjauan dan mengukur jarak paip ke setiap rumah di kawasan berkenaan, namun sehingga kini projek pemasangan paip masih belum bermula.

"Kali terakhir mereka datang mengukur pada November lalu, saya pernah mengemukakan isu ini kepada pihak JBA, namun mereka sendiri tidak pasti bila sambungan itu akan dilaksanakan kerana kosnya dianggarkan RM95,000.

"JBA memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai peruntukan kewangan walaupun jarak sambungan itu hanya 500 meter sedangkan sambungan kepada tiga rumah berhampiran jalan utama, membabitkan jarak empat kilometer, mampu pula dilaksanakan JBA," katanya.
Akibatnya, penduduk terbabit terpaksa bergantung kepada air Sungai Kenau sebagai sumber bekalan air untuk minum dan keperluan harian walaupun kualiti air sungai berkenaan diragui kebersihannya kerana pencemaran.

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan lain, malah terpaksa mengeluarkan kos tambahan membina saluran paip dari sungai ke rumah dan membiayai kos bahan api jentera pengepam air itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Pesar, Datuk Abdul Manan Ismail ketika diminta mengulas isu itu berkata pihaknya akan merujuk masalah itu kepada JBA Pahang sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Status kerja mengorek pasir di tebing Sungai Kenau itu juga akan disiasat bagi memastikan kontraktor terbabit menjalankan kerja berkenaan dengan mematuhi syarat alam sekitar yang ditetapkan Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan.

"Diharap penduduk dapat bersabar sementara saya mendapatkan maklum balas dari semua pihak terbabit kerana isu air paip ini dianggap serius memandangkan bekalan air bersih adalah infrastruktur paling asas bagi setiap penduduk," katanya.

Dengarnya...: Nama Amy Search dimalukan

Posted: 10 Jun 2010 08:25 PM PDT

SEDANG sibuk menaip artikel, Cik Normah menerima satu pesanan daripada seorang teman yang cantik persis model. Sebenarnya tujuan dia hanyalah untuk bertanya khabar, tetapi kebetulan pula terjumpa sesuatu yang tidak kurang menarik juga untuk dikongsi.

Katanya, sewaktu melewati jalan yang sunyi di kawasan Bukit Bintang, di tengah ibu negara, dia ternampak sekeping kertas yang dilekatkan pada tiang lampu. Mula-mula dia nak buat tak tahu saja, tetapi apabila semakin menghampiri tiang berkenaan, dia ternampak gambar rockers nombor satu tanah air, Amy Search terpampang di situ.
Terkejut besar dan hampir tercampak payung yang dipegang apabila membaca tulisan yang ditulis pada kertas itu. Antaranya jangan percaya dengan ini orang, sila bayar hutang orang, ramai yang sudah tertipu serta macam-macam lagilah. Cik Normah tak pasti apakah tujuan orang itu berbuat demikian. Adakah dia saja nak sabotaj dan memalukan Amy Search atau dia sememangnya mempunyai sejarah hitam dengan penyanyi itu. Maklumlah apabila menjadi artis ini, ramai yang cemburu. Jangan kata orang jauh, orang dekat dengan kita pun kadang-kala tak suka nak melihat kita senang.

Kalau ada nombor telefon orang itu, bolehlah Cik Normah bertanyakan perkara sebenar. Ini setakat tampal gambar. Gambar fotostat pula tu. Sesiapa pun boleh buat. Apa pun Cik Normah tak berani nak komen lebih-lebih. Maklumlah zaman sekarang ini, kalau silap cakap saja alamat nanti melayang pula surat saman. Takutlah Cik Normah.

Cik Normah nak cabar orang yang buat onar itu, kalau betul apa yang dia katakan itu, minta hubungi Cik Normah. Jangan nak buat fitnah semata-mata. Kasihan abang Amy. Walaupun betul dia ada buat silap, apa salahnya tegur baik-baik bukan dengan cara yang memalukan macam itu. Amy pun ada maruah dan harga diri. Janganlah nak fitnah dia dengan melulu pula.

Personaliti: Kecantikan seiring kecerdasan

Posted: 10 Jun 2010 08:24 PM PDT

DIA bukan sahaja cantik, tetapi berilmu. Berbual hampir dua jam dengan gadis berdarah kacukan India dan Cina, Jezamine Lim, 27, pasti ramai yang tidak menyangka wanita berkulit sawo matang ini memegang gelaran doktor pada pangkal namanya.

pix_middle
pix_topright
Mungkin dengan kejelitaannya dia lebih sesuai bergelar peragawati sepenuh masa atau sebaris selebriti lain. Dia hanya tersenyum apabila diajukan soalan demikian.

"Memang saya meminati bidang peragaan. Bayangkan pada usia 16 tahun saya sudah bergelar model serta menghiasi majalah dan iklan komersial tempatan. Namun, tidak lama kerana kerjaya ini hanya suka-suka, sekadar mengisi masa terluang," kata anak tunggal dalam keluarga ini.

Lantaran kecantikan serta ilmu dimilikinya, tidak hairan dia diumumkan pemenang Wanita Paling Diidamkan Malaysia Nuvafemme pada Mac lalu.

Pemilihan Jezamine bukan hanya kerana kecantikannya, tetapi sifatnya yang begitu tenang dan kepintarannya mengutarakan pendapat menyebabkan juri sepakat memilihnya. Keunikan ini memberikan Nuvafemme visi untuk membantu wanita mendapatkan kecantikan luaran dan dalaman.

"Anugerah ini mengiktiraf ramai wanita yang kecantikannya bermula dari dalam iaitu kebahagiaan, bertolak ansur dan cara pembawaan di rumah. Tidak dinafikan, wanita cantik terpaksa membuktikan diri mereka bukanlah wanita cantik yang lazimnya dicap sebagai tidak seiring dengan kecerdikan.

"Saya berharap kemenangan saya memecahkan definisi wanita cantik dengan menjadi cantik dan cerdik," katanya yang mengikat kontrak dua tahun dengan Nuvafemme. Selain itu wajahnya akan menghiasi papan tanda, akhbar dan majalah untuk iklan jenama terbabit.

Jika sebelum ini dia tidak pernah menggunakan sebarang produk Nuvafemme, tetapi selepas menggunakan satu kotak, banyak perbezaan dirasainya."Produk ini mengandungi pati kacang soya dan sangat bagus untuk mengembalikan keseimbangan hormon serta mengurangkan tanda penuaan," katanya.

Menurut Jezamine kecantikan bukan hanya boleh dilihat menerusi wajah, apa yang penting penampilan serta cara bercakap serta meluahkan pendapat. Walaupun dilahirkan sebagai anak tunggal, dia bukanlah seperti sesetengah wanita yang masih mengharap bantuan keluarga.

Jezamine tidak pernah mengambil kesempatan atas kemewahan diberikan keluarga kerana dia lebih suka bersederhana.

"Memang saya manja dan menjadi kesayangan keluarga, namun tidak pernah mengambil kesempatan atas kemewahan diberikan mereka. Saya berusaha sendiri jika mahukan sesuatu," katanya yang mendapat pendidikan di Kolej Manipal Melaka yang menjalankan program berkembar dalam bidang perubatan.

Melihat peribadinya yang lemah lembut, ramai tidak menyangka Jezamine meminati aktiviti lasak. Pernah mewakili negeri untuk bola tampar dan malah ketika berusia 15 tahun, pemegang tali pinggang hitam taekwondo ini mewakili Malaysia dalam pertandingan taekwondo dan pernah memenangi pingat perak dan gangsa.

"Memang saya aktif dalam bidang kokurikulum. Semua ini untuk mengisi masa lapang di rumah. Bayangkan saya anak tunggal sudah pasti rasa sunyi dan bosan itu ada, jadi saya babitkan diri dalam sukan," katanya.

Siapa sangka wanita jelita ini juga tunang kepada pelakon dan pelawak Harith Iskander, 43. Menurut Jezamine perkenalan yang terjalin sejak setahun lalu membuahkan rasa cinta dan akhirnya mereka sepakat memilih 14 Februari lalu sebagai tanda mengikat cinta.

Menariknya, perkenalan mereka terjalin menerusi laman sosial facebook apabila Harith melihat wajah Jezamine yang kali pertama menghiasi muka depan majalah FHM. Selepas itu dia cuba mencarinya menerusi facebook. Selepas berjaya menjejaki Jezamine dia terus menghantar pesanan dan e-mel kepada Jezamine.

"Pada mulanya saya langsung tidak mengetahui dia pelakon kerana saya jarang menonton televisyen. Lalu kami menjadi rakan dengan saling bertukar pesanan dan berbual menerusi laman sembang. Malah kami bertukar nombor telefon dan Harith menghantar 200 SMS hampir setiap hari. Memang saya tertunggu-tunggu pesanan ringkas daripada Harith dan setiap kali menerimanya saya berasa sangat gembira dan ceria," katanya.

Suatu hari ketika Harith mengadakan penggambaran di kawasan sekitar rumahnya, Jezamine mengambil peluang bertemu Harith buat kali pertama. Perwatakannya amat berbeza. Namun, Jezamine tidak mampu menipu dirinya yang dia mulai menyukai Harith.

Menurut Jezamine, dia tidak pernah membayangkan akan melalui saat seperti ini, bercinta kemudian bertunang dan merancang mengadakan majlis perkahwinan yang selama ini tidak pernah diimpikannya.

"Ya, perjalanan hidup saya sangat sederhana. Semuanya bagai diatur keluarga dan mengikut kehendak mereka. Apabila soal jodoh ini datang, saya terpaksa membuat pilihan sendiri dan mengetepikan keluarga. Namun, bukan bermakna saya tidak sayangkan mereka, cuma saya mahu membuat pilihan hidup sendiri," katanya yang mula mencintai agama Islam sedikit demi sedikit.

Tidak seperti gadis lain yang sering memberikan jawapan stereotaip mengenai lelaki idaman mereka, tetapi tidak Jezamine. Sejak dulu lagi dia tidak menetapkan sebarang syarat kepada lelaki untuk menawan hatinya.

Apa yang penting, lelaki itu tidak perlu kacak dan mewah. Namun, jika memiliki ciri itu, ia satu bonus.

"Saya tidak pernah menetapkan kriteria tertentu dalam memilih teman hidup. Apa yang penting lelaki itu boleh menjaga saya sehingga ke akhir hayat. Apabila saya sudah membuat pilihan, rupa bukan lagi ukuran, tetapi personaliti dirinya yang membuatkan saya memilihnya sebagai pasangan hidup," ujar Jezamine jujur.

Bakal melangsungkan perkahwinan pada Julai depan, Jezamine tidak pernah mengimpikan sebuah perkahwinan mewah atau berkonsep seperti sesetengah pasangan. Baginya majlis itu tidak penting sebaliknya bagaimana pasangan mengekalkan perhubungan dan menjadikan perkahwinan itu membahagiakan sepanjang masa adalah sangat berharga.

"Setakat ini kami tidak mempunyai masalah. Bersama Harith, saya melalui proses pembelajaran setiap hari. Kami saling memahami, memberi tunjuk ajar antara satu sama lain, bersabar dan tidak cemburu buta. Saya menerima Harith seadanya dan begitu juga dirinya. Pada saya semua ini sangat penting dalam hubungan suami isteri," katanya.

Selain aktif dalam peragaan, Jezamine dan Harith juga kini membuka restoran Samsaara di Sri Hartamas. Restoran ini menyediakan menu istimewa masakan kampung dan barat. Idea untuk membuka restoran ini datangnya daripada Jezamine sendiri yang gemar makan. Sebab itu menu istimewa yang disediakan di Samsaara adalah cita rasa Harith sendiri.

Ketika ditanya perancangannya selepas mendirikan rumah tangga, pantas Jezamine memberitahu ingin menjadi isteri yang baik serta menyambung perkhidmatan sebagai doktor di hospital kerajaan.

"Selain suami, kerjaya berada pada tempat kedua. Sebab itu saya mahu berkongsi kegembiraan dengan semua pesakit saya. Saya mahu menabur bakti kepada mereka yang memerlukan," kata Jezamine yang memilih hospital kerajaan untuk bekerja.

Jual susu badan

Posted: 10 Jun 2010 08:22 PM PDT

LONDON: Jika sesetengah ibu terpaksa berikhtiar untuk meningkatkan kandungan susu bagi bayinya, berlainan pula keadaan Toni Ebdon.

USAHAWAN LUAR BIASA...Toni menggunakan kemudahan Internet untuk  memasarkan susu badannya.
USAHAWAN LUAR BIASA...Toni menggunakan kemudahan Internet untuk memasarkan susu badannya.
Apabila Toni bersalin baru-baru ini, dia mendapati susunya terlalu banyak sehingga mencetuskan idea untuk membotolkannya dan menjual produk itu secara komersial di Internet.


Katanya, dia mendapat ilham memasarkan susu badannya selepas seorang rakan bergurau menyuruhnya membuka pusat penghasilan susu besar-besaran.


"Walaupun ia sekadar gurauan, saya menerimanya dan mula menawarkan susu di Internet," katanya.


Tiga bulan kemudian, Toni menjual 850 gram susunya dengan harga kira RM72.47 bagi botol 237 mililiter.


Kata Toni, 26, walaupun ia tidak begitu lumayan, dia bercadang terus menjual susunya sehingga ia habis.


Toni mengalami fenomena luar biasa itu selepas melahirkan anak lelakinya, David, Mac lalu.


"Selepas bersalin, buah dada saya mengeluarkan terlalu banyak susu sehingga ia menyebabkan rasa sakit dan berat.


"Mula-mula saya gunakan pam untuk mengeluarkan susu berlebihan dan menyimpannya dalam peti sejuk sebelum mengiklankannya di laman web," katanya.


Pada peringkat awal, katanya, dia menjangka hanya golongan ibu yang kekurangan susu berminat kepada susu badannya.


Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila turut menerima e-mel daripada pelanggan lelaki tetapi dia tidak tahu mengapa mereka berminat kepada susunya.

"Saya tak berminat bertanya banyak soalan peribadi dan semua komunikasi berlaku melalui e-mel.


"Apabila bersetuju, saya bertemu mereka untuk menyerahkan susu," katanya.


Dalam keadaan biasa, susu itu boleh diminum terus atau disimpan dalam peti sejuk sehingga sebulan.


Sementara itu, kebanyakan lelaki berkata, mereka meminum susu wanita untuk mengekalkan kecergasan dan menjauhi penyakit.Kajian menunjukkan susu badan boleh menjadi penawar pelbagai penyakit, termasuk kanser dan diabetes Ketika ini, kata Toni, dia sukar memenuhi tempahan kerana sambutan diterima amat menggalakkan.


"Untuk menghasilkan 28 gram susu, saya terpaksa memerahnya selama 15 minit sehingga satu jam," katanya.

Jac tidak fikir dua kali

Posted: 10 Jun 2010 08:20 PM PDT

KEUPAYAAN vokal Jaclyn Victor dalam bidang nyanyian tidak perlu dipertikaikan. Banyak sudah yang diperkatakan mengenai Jac dan vokal hebatnya itu yang berjaya menjulang tuah kepada dirinya.

pix_middle



Sesudah mengorak langkah dengan berlakon filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad tidak lama dulu, Jac akan beraksi pula di pentas teater, membintangi filem baru dan muncul dengan album paduan tiga vokalis.

Dalam pertemuan dengan Rap, baru-baru ini, Jac yang anggun berbaju kebaya dan kurung berkongsi banyak cerita terbarunya itu.


Kata Jac, buat kali pertama kali dia akan berlakon dalam teater Cuci The Muzikal musim kedua dengan memegang watak Farah yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), Julai ini.

Menjejakkan kaki ke pentas teater yang dianggap terlalu baru dalam lembaran seninya membuatkan penyanyi lagu Gemilang dan Bertamu Di Kalbu ini begitu teruja kerana belum pernah berlakon teater sebelum ini.


"Inilah kali pertama saya berlakon teater dan ia cabaran besar bagi saya kerana ia lakonan spontan. Ia tentu sangat menguji kemampuan saya dan akan dapat membayangkan suasana baru yang akan dilalui.


"Walaupun belum berada di pentas latihan atau pementasan muzikal sebenar, saya tidak sabar bergandingan bersama barisan pelakon lain yang cukup berpengalaman.

"Saya akan berusaha melakukannya sebaik mungkin untuk mencapai tahap yang diharapkan pengarah, penonton dan peminat.

Watak asal Farah dalam teater itu dibawakan oleh Adibah Noor dan dia meyakinkan saya boleh menghayati watak dengan baik.

"Ketika mendapat tawaran itu, saya tidak berfikir dua kali untuk menerimanya kerana bagi saya pementasan teater sesuatu yang menarik apatah lagi dapat mempelbagaikan bakat dalam bidang seni," katanya.

Teater Cuci The Muzikal musim kedua diarahkan Datuk Zahim Albakri dan Harith Iskander dengan mengekalkan beberapa pelakon musim pertama. Antaranya Vanidah Imran, Afdlin Shauki, Awie, Hans Isaac dan Harith sendiri serta penampilan istimewa, Ahmad Nabil Ahmad.


Mengenai filem barunya pula, saksikan lakonan Jac dalam filem Tamil, Appalum arahan Afdlin yang akan ditayangkan selepas Aidilfitri ini. Filem itu diadaptasi daripada Papadom menjadi versi Tamil yang diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM-22).


"Saya seronok bekerja dengan Afdlin yang ada visi besar dalam bidang seni. Bukan saja dia pelakon yang hebat pada masa sama dia juga pengarah yang disegani ramai serta sudah banyak menang anugerah.

"Dalam Appalum, saya membawa watak Nalaini iaitu karakter sama dipegang Noorkhiriah dalam Papadom. Nalaini adalah isteri kepada Appalasamy. Filem ini turut menyisipkan budaya masyarakat India. Saya yakin filem ini mampu mengajak penonton datang ke pawagam.

"Sebenarnya saya gementar untuk menantikan tayangan filem ini. Appalum juga menyelitkan banyak unsur lucu dan mencuit hati dan watak dalam filem ini berdialog dalam bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris. Adakalanya saya tersenyum sendiri memikirkan beberapa peristiwa sepanjang penggambaran filem itu.


"Antara pengalaman pahit, saya terjatuh apabila kaki tersandung pada batu ketika penggambaran di Pulau Pinang. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua lutut dan kaki kanan luka sehingga meninggalkan parut," katanya.

Pada waktu terdekat juga, Jac yang memiliki aset vokal jenis 'Sfogato-Leggiore Soprano' dengan 3.2 Octaves, akan melancarkan single terbaru paduan suara bersama Ning Baizura dan Shila One In A Million (OIAM).


"Tiga penyanyi dengan vokal berbeza. Gabungan ini sangat menarik dan istimewa. Apabila satu lagu dinyanyikan lebih daripada satu penyanyi yang kami lakukan sekarang, kami bertiga tidak boleh 'range' suara yang sama kerana lagu akan menjadi bingit dan menyakitkan telinga yang mendengar.


"Sebagai permulaan, kami akan melancarkan satu single dulu sebelum album penuh lapan lagu berada dalam pasaran,"katanya.

Pemenang 'Suara Emas' Shanghai Music Festival, China pada 2005 itu menambah, dia juga akan mencuba bakat mencipta lagu menggunakan pianonya.

PROFIL
NAMA PENUH:Jaclyn A/P Joshua Thanaraj Victor
NAMA KOMERSIAL: Jac
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1978
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur, Malaysia
KERJAYA: Penyanyi dan Pelakon
ARTIS DIMINATI: Aerosmith, Van Halen, Whitesnake, Wolfgang Mozart, Franz Liszt
INSTRUMEN: Piano (Gred 6)
ALBUM:
-Dream (2002)
-Gemilang (2004)
-Inilah Jac (2006)
-Inilah Jac Edisi Terhad (2007)
-Jaclyn Victor III (2009)
LAGU POPULAR: Gemilang, Bertamu Di Kalbu, Cinta (duet dengan Misha Omar)
PENCAPAIAN:
Juara Malaysian Idol 2004, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-22 (Talentime), Anugerah Khas Juri Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009 (Talentime)
FILEM:
-Talentime (2009)
-Appalum (2010)
TEATER: Cuci The Musical 2 (Julai 2010)

Lompat pagar terkam anak

Posted: 10 Jun 2010 08:18 PM PDT

JITRA: "Anjing itu melompat keluar pagar sebuah rumah di taman perumahan ini sebelum menerkam anak saya dan rakannya serta mencakar mereka.

CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan  Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd  Firhan.
CEDERA...Ridzuan (kiri) menunjukkan kesan calar di telinga kanan Syurfa, manakala Mohd Arzamalimi menunjukkan calar di badan Mohd Firhan.
"Mujur ada jiran ternampak kejadian itu lalu memukul anjing itu beberapa kali dengan kayu sebelum haiwan itu melarikan diri," kata Ridzuan Hashim.

Ridzuan, 35, bapa kepada kanak-kanak perempuan Syurfa, 4, berkata anaknya dan anak jiran mereka, Mohd Firhan Mohd Arzamalimi, 4, cedera di belakang badan dan telinga dalam kejadian di Taman Pulasan, di sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, haiwan peliharaan itu terus menerkam anaknya sehingga terguling-guling ke tanah dan menggigit tangan serta telinga anaknya berulang kali.

"Pada masa sama, anjing itu menyerang Mohd Firhan ketika itu berada tidak jauh dari situ sebelum mencakar belakang badannya.

"Kedua-duanya menjerit kesakitan menyebabkan isteri terdengar jeritan mereka dan menjerit meminta tolong jiran berhampiran," katanya ketika ditemui di Hospital Jitra, semalam.

Syurfa mengalami kesan cakar di telinga, manakala Mohd Firhan pula mengalami kesan cakar di belakang badan dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu, semalam.

Menurut Ridzuan, jirannya itu baru berpindah ke kawasan perumahan berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan sejak itu penduduk di kawasan perumahan itu tidak selesa tinggal di situ kerana anjing berkenaan menyalak kuat setiap kali orang melalui kawasan itu.Berikutan itu, dia dan bapa Mohd Firhan, Mohd Arzamalimi Mohd Nawi, 35, kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu tengah hari semalam sebelum membuat aduan di Pejabat Veterinar Kubang Pasu untuk memaklumkan kejadian itu.

"Anak saya sekarang trauma apabila melalui kawasan taman permainan itu dan saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemiliknya kerana tidak mengikat anjing peliharaannya sehingga mengancam keselamatan penduduk di sini.

"Nasib baik anak saya dan jiran hanya luka ringan, jika tiada siapa ketika itu, mungkin mereka diserang lebih teruk lagi," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Veterinar Kubang Pasu ketika dihubungi memaklumkan pemilik anjing terbabit tidak mempunyai lesen dan sudah diberi amaran.

"Jika dia gagal mematuhi peraturan itu, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan," katanya.

Campur aduk babi

Posted: 10 Jun 2010 08:12 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi.

RAMPAS...pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging  babi terbabit.
RAMPAS...pegawai KPDNKK dan Jakim merampas produk bebola daging babi terbabit.
Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

"Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.

"Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

"Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain," katanya.Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan 'pork ball' atau bebola babi.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan 'pork ball' yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar," katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim.

"Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani," katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal.

"Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam," katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam.

"Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi," katanya.

Seniman Sokong TV3 Kurangkan Kontroversi Dalam Rancangan Hiburan

Posted: 10 Jun 2010 08:11 PM PDT

Harun Salim Bachik.

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik langkah Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) untuk membataskan elemen kontroversi dalam semua rancangan berbentuk hiburan terbitan mereka.

Presidennya, Harun Salim Bachik berkata, sesuatu kritikan yang persembahkan dalam sebarang program hiburan itu biarlah sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan.

"Industri ini kecil sahaja. Jika jejaskan imej seseorang artis, ini seolah-olah memperkecilkan industri kita sendiri. Kalau jatuh seseorang artis, lumpuhlah industri kita," katanya kepada mStar Online.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, sempena menyambut ulang tahun TV3 yang ke-26 pada 1 Jun lalu, stesen televisyen itu akan lebih mementingkan sensitiviti penonton dalam program-program hiburan yang diterbitkan.

Sebelum ini, Seniman pernah mengemukakan bantahan terhadap TV3 kerana rancangan Terjah yang diterbitkan oleh Nas Ahmad dianggap memaparkan elemen yang mengetepikan budaya dan adab sopan Melayu.

Rancangan itu bagaimanapun telah ditamatkan siarannya beberapa bulan lalu.

Sambil mengimbau episod bantahan tersebut, Harun yang juga seorang pelakon dan pengarah drama berkata, pihak Seniman ketika itu bukan meminta TV3 menghentikan rancangan Terjah.

Sebaliknya, mereka sekadar meminta format rancangan itu diubah supaya ia tidak keterlaluan.

"Apabila libatkan maruah seseorang, ia adalah perkara yang sensitif terutama kita adalah orang Timur. Kita perlu menjaga sensitiviti apabila ia menyentuh keperibadian seseorang," jelasnya.

Harun turut menggesa setiap rancangan hiburan supaya memuatkan isi kandungan yang menyeru para artis meningkatkan prestasi kerja serta usaha untuk memperbaiki industri hiburan.

Mengenai cadangan TV3 untuk menyiarkan mana-mana segmen kontroversi yang tidak disiarkan di televisyen untuk dimuatkan di internat, Harun berkata, pihaknya tidak membantah tindakan itu.

"Cuma kami berharap ia tidak dieksploitasikan oleh pihak tertentu sehingga mendatangkan keburukan," katanya.

Lagu Palsu Peterpan Tersebar

Posted: 10 Jun 2010 08:10 PM PDT

DUA buah lagu dari band yang memperkenalkan diri mereka New Peterpan tersebar di Internet.

Ramai percaya lagu tersebut adalah karya baru Ariel (gambar) namun penerbit itu menafikannya.

Lagu berjudul Kau yang Kuinginkan dan Perjalanan Cintaku boleh dimuat turun secara percuma di Internet.

Walaupun Ariel menafikannya itu namun yang menghairankan, suara penyanyi kumpulan berkenaan mempunyai mirip Ariel itu.

"Saya sudah mendengar lagu itu dan ia bukan lagu Peterpan. Vokalnya memang mirip vokal Ariel," ujar Capung, gitaris Java Jive sekaligus produser Ariel dalam satu temubual dengan detikhot.com semalam.

Menurut Capung, para peminat Peterpan juga diharapkan bersabar dan tidak terganggu dengan identiti palsu itu. Sekali lagi dia menegaskan bahawa dua buah lagu tersebut bukan milik Ariel.

Jumlah pelayar yang memuat turun lagu tersebut semakin meningkat lebih-lebih lagi setelah Ariel terlibat dengan gosip video pornonya dengan Luna Maya.

Kongsi Kecantikan Bersama Amber & Anna

Posted: 10 Jun 2010 08:09 PM PDT

BAGAI sirih pulang ke gagang apabila dua ikon dalam bidang peragaan, Datuk Anna Lim dan Amber Chia berganding bahu mengadakan bengkel Kecantikan dan Fesyen pada 7 dan 8 Ogos ini di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Anna ialah bekas Ratu Universe Malaysia 1990 dan Mrs Malaysia/World 2004 manakala Amber pula ialah model bertaraf antarabangsa.

Kedua-dua personaliti terkenal itu akan berkongsi dengan para peserta bengkel tersebut tentang cara-cara untuk menemui, menyerlahkan dan memaksimumkan kecantikan dalaman dan luaran mereka.

Segala tips kecantikan dan peragaan adalah hasil pengalaman bertahun-tahun mereka berdua dalam bidang kepakaran masing-masing.

Amber dan Anna.

Amber dan Anna akan membimbing para peserta untuk memahami serta mengaplikasikan teknik-teknik kecantikan.

"Sekarang para peserta dapat mempelajari dengan cepat dan berkesan melalui Beauty @ Fashion Studio!" kata Amber dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Bengkel dua hari itu turut melibatkan pembentang terkenal seperti Daphne Iking (hos televisyen, pengacara dan kolumnis), Dr. Victor Chen (pakar penjagaan kulit dan kesihatan), Ben Ibrahim (hos televisyen, pengacara dan penulis), Shawn Loong (penggaya rambut), Thomas Guldimann (pakar wain) dan Datin Josephine Fonseka (ratu cantik).

Lain-lain pembentang termasuk Kee Hua Chee (wartawan selebriti), Nazimah Ali (perunding industri perhotelan dan perkhidmatan), Melanie Joanne Xavier (pelatih industri perhotelan dan perkhidmatan) dan Charlene Wong (pengacara majlis).

Sementara itu, Anna percaya setiap wanita mempunyai kecantikan semula jadi yang tersendiri.

Berbekalkan teknik yang dipercayai dan terbukti, katanya, seorang wanita boleh menyerlahkan keyakinan diri serta kecantikan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.beautyfashionstudio.info.

Suria FM & Red FM Hargai Media Sempena Piala Dunia

Posted: 10 Jun 2010 08:08 PM PDT

Barisan kru SuriaFM dan RedFM yang menjayakan Demam Bola Bersama Media 2010, semalam.

SURIA FM dan Red FM menganjurkan "Bola Fever Bersama Media 2010" yang bertempat di Pacific Regency Hotel Suites semalam bagi meraikan serta sebagai tanda penghargaan kepada semua para media di Malaysia yang telah banyak memberikan sokongan kepada kedua-dua buah stesen radio tersebut.

Acara itu diadakan sempena Piala Dunia.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM & Red FM, Azrullah Md Nor, pihaknya akan berusaha lebih keras untuk memberikan yang terbaik dengan menghidangkan lebih hiburan kepada pendengar.

Selain itu, katanya, pihaknya akan terus memperbaiki kualiti termasuk dari segi kandungan program yang disiarkan dengan sentuhan inovasi dan kreativiti.

"Semangat yang jitu disamping komitmen yang tinggi merupakan antara faktor yang membantu Suria FM dan Red FM berjaya melangkaui corak penyiaran konvensional sedia ada.

"Kesungguhan stesen dalam menyalurkan konsep interaktif yang lebih dekat dengan pendengar berjaya menghasilkan kombinasi platform media digital, siaran 'infotainment' serta aktiviti luar yang dianjurkan," katanya.

Azrullah Md Nor ketika menyampaikan ucapan.

Tahun 2010 merupakan tirai pembukaan tahun yang cukup bermakna buat Suria FM dan juga Red FM kerana kini kedua-dua stesen radio ini telah bergabung di bawah satu pengurusan.

Perubahan terbesar yang dilakukan dalam konteks kandungan program khasnya dari segi barisan penyampai serta susunan program terbaru, selain strategi promosi berterusan yang lebih agresif, ternyata membawa kepada kejayaan cemerlang yang telah dicatatkan.

Terbaru, Suria FM kembali membuat kejutan dan perubahan yang terbesar dengan menukar tagline kami. Kami tidak lagi menggunakan tagline " Muzik Terbaik Tanpa Henti" tetapi telah menukarnya kepada " Muzik Terbaik 90-an dan Terbaru" yang telah dikuatkuasakan pada 7 Jun yang lalu.

Red FM memperbaharui kandungan programnya supaya menjadi lebih kuat dengan membawakan segmen baru Red FM iaitu Carta 40 dan 104 Minit Marathon. Ini adalah janji Red FM dalam memberikan Muzik Terbaik kepada pendengar setianya.

Sejak mula Suria FM beroperasi secara rasmi pada 24hb November 2007, tahun 2010 ini Suria FM telah berjaya melakar sejarah dengan peningkatan jumlah pendengar tertinggi di Malaysia.

Berdasarkan keputusan terkini Ac Nielsen, Suria FM berada di tangga keempat bagi stesen radio berbahasa Melayu dan kedudukan kelapan bagi stesen keseluruhan.

Manakala Red FM yang berusaha keras untuk menguasai pasaran radio berbahasa Inggeris telah meningkat dengan 15% kenaikan pendengar dari tahun ke setahun.

Warga media, Yani menyepak bola masuk ke gawang.

Pendengar dikalangan golongan profesional, seperti pengurus, eksekutif dan pengusaha telah meningkat sebanyak 59%. Red FM Breakfast Show pula telah mencatatkan peningkatan masa mendengar yang tertinggi diantara semua segmen pagi dengan jumlah 1.6 jam seminggu.

Perolehan hasil pengiklanan bagi bulan Januari dan Februari 2010 telahpun Berjaya melebihi sasaran jualan.

Perolehan suku pertama telah Berjaya mendapat 95% daripada sasaran jualan. Prestasi yang baik meransang lagi kedua-dua buah stesen radio ini untuk lebih giat aktif dalam menjalankan aktiviti untuk mendekatkan lagi kepada pendengar setia khasnya.

Suria FM dan Red FM telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini yang melibatkan pendengar. Antaranya 'siri jelajah Suria FM Rancak Tour' dan yang terdekat ialah pada 26hb Jun di Ipoh dan 27hb Jun pula, di Terminal One Seremban.

Ia akan disusuli dengan Konsert Kemuncak Suria FM yang akan mengenengahkan nama nama besar dalam industri hiburan tanahair. Konsert sehari yang berkonsepkan carnival ini akan berlangsung pada 24hb Julai ini di Presint 2, Putrajaya .

Red FM turut mengatur pelbagai aktiviti istimewa antaranya 'Love Classifieds' dan 'People's Voice Carnivals' yang melibatkan 'krew red ryders'.

Aktiviti berbentuk kemasyarakatan ini akan dijalankan sepanjang tahun. Sambutan sempena pesta 'World Cup 2010' juga akan diraikan sekitar jun ini.

Cinta Terlarang Dalam 'Alisa'

Posted: 10 Jun 2010 08:07 PM PDT

DRAMA-DRAMA dari seberang yang terkenal menerusi slot Sinetron TV3 menyajikan satu lagi drama yang pastinya menggamit emosi berjudul Alisa sempena cuti sekolah ini.

Drama bersiri sebanyak 124 episod ini akan menemui penonton mulai 8 Jun ini, jam 2 petang, setiap hari Isnin hingga Khamis. Drama menampilkan Alyssa Soebandono, bintang muda berbakat besar dari seberang memegang watak Alisa bergandingan dengan Christian Sugiono serta pelakon popular, Nia Ramadhani dan Donna Harun di antara yang membarisi drama ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, "Slot Sinetron mempunyai peminatnya yang tersendiri dan pernah berjaya mencapai rating sebanyak 3 juta penonton.

Drama Alisa mengisahkan percaturan hidup gadis yang gigih berusaha membina kehidupan yang terbaik namun nasibnya berubah apabila tanpa disangka menemui cinta dengan jejaka yang paling dibenci.

"Tetapi kebahagiaan yang dikecapi tidak lama apabila Alisa mendapat tahu mengenai kebenaran yang sangat mengejutkan."

Antara babak dalam Alisa.

Sinopsis ringkas drama ini menceritakan tentang Alisa, seorang gadis yang bijak, bertanggungjawab dan gigih berusaha untuk menyara kehidupan dan membiayai kos perubatan bapanya yang sakit.

Walaupun masih muda, pelbagai jenis kerja dan tugasan telah dilakukan oleh Alisa demi untuk memastikan keselesaan keluarganya. Nasib Alisa berubah apabila bertemu dengan Evan (Christian Soebandono) buat pertama kalinya di dalam satu situasi yang tidak menyenangkan.

Ketika itu, Alisa sedang bertugas sebagai pembantu jualan ,inuman dan secara tidak sengaja telah terlanggar Evan hingga terjatuh. Kebetulan pula Evan sedang mengejar seorang pencuri yang telah mengambil barangnya.

Evan bertambah marah kerana bajunya basah dan dia pula perlu berjumpa dengan klien pada waktu yang sama.

Siapa sangka permainan takdir mempertemukan mereka kembali apabila Alisa menyambung pelajarannya dan Evan merupakan pensyarah di sana. Mereka sering tidak bersependapat.

Alisa tidak selesa dengan sikap Evan yang angkuh dan kaki perempuan. Antara yang begitu menggilai Evan ialah anak perempuan jutawan kaya dan popular, Natasha (Nia Ramadhani) yang juga merupakan majikan Alisa.

Manakala Evan pula merasakan Alisa seperti tidak menghormati dirinya dan tidak suka akan sikap gadis tabah ini yang seolah-olah lebih arif tentang hal dunia dan sebagainya.

Namun hakikatnya, mereka berdua tidak dapat menafikan perasaan antara satu sama lain. Mereka mula keluar bersama dan saling mengenali hati-budi masing-masing hingga bermula bibit-bibit cinta di antara mereka.

Kedua pasangan akhirnya bersetuju untuk memeterai perhubungan dengan ikatan perkahwinan. Namun, saat bahagia yang dikecapi tidak berpanjangan apabila kebenaran lama yang dirahsiakan kini terbongkar!

Rupa-rupanya Alisa dan Evan mempunyai ikatan persaudaraan kerana Alisa adalah anak kandung hasil hubungan sulit di antara ibunya dan Henri, ayah Evan! Dengan hati yang berkecamuk, majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan dan masing-masing perlu menghadapi kenyataan yang pahit ini.

Mampukah Alisa dan Evan menerima hakikat yang pedih ini? Apakah perasaan cinta mereka akan berkubur begitu sahaja? Mungkinkah mereka akan kembali kepada bekas pasangan masing-masing yang sedia menunggu hingga diberi peluang kedua?

Untuk mendapatkan jawapannya jangan lupa saksikan kisah kemelut hidup dan perasaan Alisa yang penuh emosi dan drama di TV3 mulai 8 Jun, setiap Isnin hingga Khamis, jam 2 petang.

Lagu Eminem 'Bocor"

Posted: 10 Jun 2010 08:06 PM PDT

PERMINTAAN peminat terhadap album baru Eminem (gambar) sangat tinggi sehingga tujuh lagu dari album Recovery khabarnya telah tersebar di Internet sebelum diterbitkan.

Menurut NME semalam, album tersebut dijangka akan diterbit secara rasminya pada 21 Jun ini. Namun kini terdapat tujuh buah lagu yang sudah 'bocor'.

Lagu-lagu tersebut termasuklah yang Eminem rakam bersama-sama Rihanna, Pink, Kobe dan rapper Lil Wayne. Dalam album seterusnya berjudul Relapse akan memuatkan 17 lagu barunya.

Lagu Won't Back Down yang berkolaborasi bersama Pink telah dipilih Eminem sebagai single pertama. Eminem akan tampil dalam festival Oxegen pada 9 Julai dan 10 Julai depan di majlis T in the Park.

Dakwaan Putus Cinta - Liyana Masih Berkawan Dengan Aizat

Posted: 10 Jun 2010 08:04 PM PDT

Liyana Jasmay selesa berkawan dengan Aizat mahupun Pasha (Ungu).

AKTRES berbakat besar, Liyana Jasmay masih berkawan dengan penyanyi, Aizat dan menolak desas-desus mengatakan mereka sudah putus cinta dan langsung tidak berkomunikasi lagi.

"Kami masih berkawan sejak dua tahun dulu.. Ia cuma gosip. Tidak ada perkara buruk berlaku antara kami berdua. Kami masih adalah kawan baik. Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.

"Kami bukan lagi kanak-kanak. Kami perlu pentingkan kerjaya masing-masing. Oleh itu, saya tidak faham bagaimana gosip itu timbul," katanya kepada mStar Online.

Akhbar sebelum ini melaporkan hubungan mereka berdua terputus ekoran kehadiran vokalis band Ungu, Pasha.

Liyana berkata dia berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk Pasha (Ungu) yang merupakan kawan baiknya.

Katanya, dia mengenali penyanyi dari seberang itu melalui satu persembahan.

"Kami kawan sahaja. Mungkin dia dari Indonesia, jadi fokus terarah kepadanya. Dia (Pasha) ialah seorang yang baik," jelas Aktres Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22.

Aizat telah mengenali Liyana sejak dua tahun lalu.

Justeru, Liyana menegaskan, dakwaan bahawa Aizat cemburu ekoran saya berkawan dengannya tidak benar sama sekali.

Kedua-dua adalah kawan Liyana. Bagaimanapun, antara Pasha dan Aizat, Liyana yang membintangi filem Tolong Awekku Anak Pontianak mengenali Aizat lebih lama iaitu dua tahun lalu.

Mengenai perkembangan terkininya, Liyana baru habis penggambaran filem Tolong Awekku Anak Pontianak arahan James Lee dan sedang menanti penggambaran untuk dua filem.

Ia akan berlarutan sehingga Hari Raya sebelum dia memulakan penggambaran Papadom 2.

Dalam bidang nyanyian pula, Liyana ingin berkolaborasi dengan penyanyi dari Thailand, Indonesia, dan Filipina untuk menghasilkan lagu bergenre pop rock. Malah dia ingin menghasilkan album kedua pada awal tahun depan.

Disoal sama ada dia akan berduet atau bekerjasama dengan Pasha mahupun Aizat, katanya: "Saya tidak tahu lagi. Tapi saya ingin mevariasikan kerjasama dengan pelbagai artis."

Mengenai dakwaan segelintir bahawa suaranya masih belum mencapai tahap seorang penyanyi, Liyana menyifatkan itu adalah persepsi setiap individu.

"Saya tidak boleh menahan orang lain daripada mengkritik saya. Ia sepatutnya menjadi perangsang kepada saya," ujarnya yang akan tamat pengajian dalam bidang Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College pada tahun depan.

Dia masih dalam perancangan untuk mengikuti kursus jangka pendek serta persembahan muzikal selepas itu.

Lapangan Terbang Sg Besi Akan Ditutup -Zahid

Posted: 10 Jun 2010 08:03 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sungai Besi yang kini dijadikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), akan ditutup tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek pembangunan 'Greater KL' seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Sambil mengesahkan lapangan terbang berusia 54 tahun itu bakal dimajukan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kawasan itu akan dibangunkan semula secara bersama melibatkan kerajaan, swasta dan pelabur asing.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Taman LTAT Bukit Jalil di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa pelabur dari Timur Tengah yang dilihat berpotensi terlibat dalam pembangunan kawasan lapangan itu.

Katanya satu perjanjian telah ditandatangani dua minggu lepas membabitkan kementerian, pemaju iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pelabur dari Timur Tengah.

Beliau yang enggan mendedahkan butiran perjanjian tersebut berkata pelan pembangunan lapangan terbang itu masih dalam peringkat perbincangan semua pihak yang terlibat.

Sambil menafikan penglibatan pihak atau individu tertentu untuk meraih keuntungan dalam pelan itu, beliau berkata projek terbabit adalah perkongsian awam dan swasta bagi menyertai pembangunan projek yang dipimpin syarikat berkait dan kerajaan.

Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau 'Greater KL' akan dijadikan bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Laporan itu turut menyebut antara projek yang akan dibangunkan syarikat GLC seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi dan KL International Financial District.

Ahmad Zahid berkata fasiliti dan infrastruktur yang lebih canggih akan dibangunkan di kawasan terbabit bersesuaian dengan persekitaran lapangan itu yang menuntut sentuhan pembangunan moden.

"Kita tidak boleh menolak pembangunan. Lapangan ini yang terletak di kawasan strategik dan di tengah-tengah pembangunan yang pesat dan ia perlu diubah suai," katanya tanpa mendedahkan butiran pembangunan projek itu termasuk kos dan tarikh ia akan dibangunkan.

Beliau berkata apabila projek pembangunan kawasan lapangan terbang itu dimulakan, operasi pemindahan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di lapangan terbang itu akan dijalankan secara berperingkat.

Aset negara seperti pesawat yang kini berada di pangkalan terbabit akan dipindahkan di Pangkalan TUDM Subang atau pangkalan lain yang bersesuaian, katanya.

Lapangan Terbang Sungai Besi merupakan lapangan terbang pertama di negara ini dan diisytiharkan bertaraf antarabangsa oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia) pada 1 Ogos 1956.

Lapangan terbang itu mula dibina pada tahun 1930 dan diperbesarkan pada tahun 1948. Kapal terbang pertama yang mendarat di lapangan terbang ini ialah sebuah pesawat British, B.O.A.C. pada tahun 30-an.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata LTAT juga akan terlibat dalam projek pembangunan kuarters kerajaan di Jalan Cochrane dan Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh yang akan dipindahkan ke Kem Semenyih.

Terdahulu di majlis itu LTAT menyerahkan 50 kunci kepada pemilik rumah baru projek perumahan Parcel 1 Taman LTAT merangkumi 500 unit pangsapuri kos rendah, 192 unit pangsapuri kos sederhana rendah dan 136 unit pangsapuri kos sederhana.

Pangsapuri ini ditawarkan kepada anggota tentera dengan subsidi sehingga 38.2 peratus untuk 500 unit pangsapuri kos rendah.

PM lancar Chevrolet Cruze RM97,888

Posted: 10 Jun 2010 08:00 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melihat kereta Chevrolet Cruze ketika pelancaran kereta tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, Presiden Operasi General Motors Asia Tenggara Martin Apfel, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif NAZA dan Pengarah Chevrolet Malaysia Sanjeev Grag (kanan).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merasmikan kemunculan pertama Chevrolet Cruze di negara ini dengan tawaran harga pasaran menarik bermula RM97,888.

Perdana Menteri mengumumkan demikian pada majlis pelancaran Chevrolet Cruze di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini petang tadi.

Sedan kompak 1.8 liter (1,796cc) terlaris di pasaran Eropah, Australia, India dan rantau Asia itu dipacu pemanduan tayar hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan terbaru dalam kelasnya tersendiri dengan fungsi shiftronik.

Chevrolet Cruze turut merangkul 35 anugerah termasuk pencapaian keselamatan lima bintang oleh Program Penilaian Kenderaan Baru Eropah dan Australia (Euro-NCAP dan ANCAP).

Chevrolet Cruze

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, kejayaan Cruze di rantau ini mengukuhkan lagi keyakinan pihaknya bergabung tenaga dengan General Motors (GM) Asia Tenggara menerusi syarikat sekutunya, Pavilion Crest Sdn Bhd (Pavilion Crest).

"Kami akan bekerjasama erat dalam usaha menilai kemampuan program pemasangan utomotif di Malaysia di mana meningkatkan kemungkinan sokongan kolabiratif bagi memenuhi permintaan serantau," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Hadir sama, Presiden General Motors Operasi Asia Tenggara, Martin Apfel; Pengarah Chevrolet Malaysia, Sanjeev Garg dan Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Crest Sdn Bhd, Datuk Marwan Mohd Said.

Sementara itu Apfel menegaskan keyakinan pihaknya dalam membawakan produk automotif terbaiknya kepada pasaran tempatan mengikut spesifikasi dan keperluan rakyat.

"Contohnya Cruze mempunyai ciri teknologi dan pacuan kuasa selain reka bentuk struktur yang stabil, selesa dan dinamik untuk pemanduan efisien. Antaranya sistem penyerapan gegaran dan bunyi dari memasuki kabin kenderaan," jelas beliau.

Bagi memantapkan lagi ciri keselamata, Cruze memenuhi Sistem Peningkatan Kestabilan Kenderaan menggunakan brek elektronik untuk ketepatan kawalan pemanduan.

Ain punca Maulana putuskan cinta?

Posted: 10 Jun 2010 07:59 PM PDT



Masih hijau dan masih baru dirinya bertapak di pentas hiburan tanah air bagi Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau lebih dikenali dengan nama Maulana. Belum apa-apa sudah ada kontroversi menjengah dirinya hingga ada yang melabelkan dirinya sebagai 'playboy'.

Pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pelbagai cerita kurang enak menjengah platun lagu RSVP ini. Di antaranya sikap 'bossy' semasa berada di dalam akademi, sombong dan juga mengenai teman wanitanya yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keakrabannya bersama seorang lagi pelajar AF 8 iaitu Ain.

Keakraban Maulana dan Ain membuatkan hubungan cinta di antara Maulana dan teman wanitanya menjadi retak dan akhirnya putus di tengah jalan. Hubungan yang terjalin hampir dua tahun itu putus gara-gara kehadiran Ain di dalam hidup Maulana.

Maulana yang dihubungi Sinar Harian baru-baru ini mengesahkan bahawa hubungannya bersama gadis yang mahu dikenali sebagai Franny itu telah berakhir secara baik, walaupun jauh di sudut hatinya berharap hubungan itu akan terus berkekalan.

"Ya, memang kami sudah tidak ada apa-apa lagi. tapi, kami putus secara baik dan masih berkawan. Malah keputusan ini datang daripada dia sendiri, bukan saya yang buat keputusan ini.

"Walaupun berat untuk menerimanya kerana hati saya masih berharap untuk kami teruskan hubungan ini, tapi nak buat macam mana. Mungkin ini yang terbaik untuknya. Saya rasa jika ini yang terbaik buat kami berdua, saya terima keputusan dari dia," kata Maulana.

Menurut Maulana, segala desas desus mengenai hubungannya dengan Ain adalah palsu semata-mata kerana ketika 12 jam berada di dalam akademi hanya setengah jam yang disiarkan Astro.

"Saya letakkan situasi saya dan Ain berada di dalam sebuah drama yang mempunyai pelbagai watak. Kami adalah watak antagonis di dalam drama tersebut, kerana bila sudah disunting, banyak cerita yang menampakkan kami bercinta sahaja disiarkan sedangkan tidak ada apa-apa pun di antara kami berdua."

"Hakikatnya kami hanyalah kawan biasa. Ini tentunya bertentangan dengan hakikat sebenarnya yang kami hanya kawan rapat,"

"Sebenarnya terlalu jauh bezanya bila kita dikelilingi oleh kamera dan apabila kita berhadapan dengan orang itu sendiri, terlalu banyak yang mahu saya jelaskan pada Franny dan jika ada kesempatan saya mahu berjumpa dengannya bagi menerangkan situasi sebenar kepada Franny," tegas jejaka berusia 22 tahun ini.

Menurut Maulana lagi, berita tentang Franny yang mahu ke akademi bagi mendapatkan penjelasan tentang hubungannya bersama Ain adalah palsu semata-mata malah Franny tidak pernah berbuat begitu.

"Saya tahu Franny tidak akan buat perkara macam tu. Saya rasa perkara ini hanya dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dengki dengan hubungan kami.

Ditanya mengapa dia menyenangi Ain, Maulana mengakui menyenangi Ain yang sekepala dengannya kerana sikap Ain yang kasar dan gemar bermain gitar.

"Bila saya bergurau dengan Ain, kami bergurau kasar tetapi Ain tidak pernah merajuk mahupun melenting, selain itu perangai kami yang suka bermain gitar menyebabkan kami selesa bersama," akui Maulana.



Tidak menyombong diri

Tambah Maulana mengenai sikap sombongnya, kata-kata itu ditujukan oleh orang yang belum mengenali dirinya secara dekat.

"Pernah dalam satu persembahan seorang peminat mendekati saya dan memohon maaf kerana menganggap saya sombong, tetapi bila dia sudah mendekati saya baru mereka tahu saya bukan seorang yang sombong, jadi seharusnya kenali saya dahulu barulah mereka menilai bagaimana saya sebenarnya," katanya.

Jelas Maulana dia mempunyai sasaran lima atau enam tahun lagi untuk menamatkan zaman bujangnya dan mahu mengukuhkan nama dan karier terlebih dahulu di dalam industri.

"Saya baru mahu bertapak di dalam industri, banyak yang ingin saya pelajari, jika saya mahu berkahwin pun saya akan memastikan mempunyai kewangan yang kukuh serta mampu memberi keluarga saya sumber kewangan yang tetap," katanya.

Maulana berkata dia memegang nasihat ayahnya yang mahu dia mengukuhkan kerjayanya dahulu sebelum memikirkan mengenai hubungan cintanya.



Atur perjalanan seni

Bergelar pemenang tempat keempat tentunya sedikit sebanyak mengurangkan publisiti Maulana berbanding juara mahupun naib juaranya.

Bagaimana pun Maulana tidak pernah mengeluh sebaliknya tetap sabar tentang perancangan bersama pihak Astro.

"Sala meletakkan Aizat sebagai contoh untuk saya berjaya, walaupun tidak menyandang gelaran juara, Aizat buktikan dia mampu berdikari mencipta nama di dalam industri,"

"Saya sudah berbincang bersama pengetua Norman dan abang Edry yang banyak memberi nasihat tentang hala tuju saya di dalam industri, mungkin bila masanya sudah tiba saya pasti akan mengeluarkan sebuah album sendiri," katanya.

Franny mahu lupakan segala yang berlaku

Posted: 10 Jun 2010 07:58 PM PDT

Bekas kekasih Maulana yang hanya mahu dikenali sebagai Franny enggan mengulas lanjut mengenai putusnya kisah cinta bersama Maulana. Franny yang dihubungi melalui laman sosial Facebook berkata, apa yang berlaku di antara dirinya dan Maulana bukanlah kehendak sesiapa dan tak mungkin melupakan saat romantis bersama Maulana.

Bercerita detik perkenalan mereka berdua, Franny memberitahu mula mengenali Maulana sejak di universiti sewaktu sama-sama terlibat dengan persembahan nyanyian.

"Dari situlah segala-galanya bermula. Kami banyak berkongsi idea. Saya senang dengan sikapnya yang berfikiran terbuka, mengambil berat dan penyayang. Daripada sekadar kawan biasa, kami mulai akrab dan serius.

"Saya tak pernah menyangka akan berakhir begini. Saya pasrah dengan apa yang berlaku. Sebagai seseorang yang pernah rapat dengannya sentiasa mendoakan kejayaannya dalam bidang seni ini kerana itulah minatnya sejak dulu lagi dan saya tak pernah menyesal mengenalinya.

"Apa yang penting sekarang, saya mahu melupakan apa yang telah terjadi di antara kami. Tiada pertengkaran yang berlaku di antara kami dan kami berpisah pun dengan cara baik. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana apa yang berlaku sememangnya tidak diduga," jelasnya.

Menurutnya, apa yang berlaku ini bukanlah kerana orang ketiga seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya daripada sikap Maulana sendiri melalui satu kenyataannya di dalam diari AF 'saya berbelah bagi dan keliru' mengenai kisah cintanya.

"Saya tak faham apa yang membuatkan dia jadi keliru dan berbelah bagi? Sedangkan kami tidak pernah bermasalah. Mungkin selama tiga bulan berada di dalam akademi dia sudah menemui orang baru yang jauh lebih baik daripada saya. Itu saya tidak pasti.

"Macam-macam yang saya fikirkan waktu itu. Kalau dia sudah ada pengganti membuatkan dia berkata begitu, saya rasa tidak salah dengan keputusan untuk berpisah dengannya. Saya berkecil hati dengan sikapnya itu dan setelah berfikir, perpisahan adalah jalan terbaik untuk kami berdua.

"Siapa di hati Maulana sekarang janganlah ditanya kepada saya kerana hanya dia yang tahu. Masa saya dengar macam tu, saya terkejut dan sedih. Hampir dua tahun kami bersama masih tidak meyakinkan dia mengenai hubungan cinta kami? Tapi seperti saya nyatakan sebelum ini, saya pasrah dengan semua ini. Pada mulanya sedih. Tapi sekarang saya dah ok dan akan teruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Dua jam bergelut tangkap buaya

Posted: 10 Jun 2010 07:57 PM PDT


INILAH buaya tembaga yang ditangkap oleh Azhar (mencangkung dari kiri), Zulfikri dan Sarjuni di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Seorang datuk yang menghabiskan masa melayan cucu-cucunya terutama pada musim cuti sekolah merupakan satu perkara biasa.

Namun bagi seorang warga emas, Sarjuni Katmo, 79, masa lapang bersama dua cucunya pula dijadikan aktiviti menangkap buaya di kawasan parit berhampiran kebun kelapa kira-kira 10 meter dari kediamannya di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir.

Malah mereka berjaya menangkap seekor buaya tembaga betina seberat 80 kilogram dan sepanjang 2.5 meter kira-kira pukul 12 tengah malam semalam.

Sarjuni bersama cucunya, Azhar Jaris, 22, dan Zulfikri Khairudin, 17, bergelut selama dua jam sebelum berjaya menewaskan buaya itu yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang.

Mereka kemudian memikul buaya itu sejauh hampir satu kilometer dari kawasan parit ke rumah.

Menurut Sarjuni, buaya itu dipercayai bertelur di kawasan parit kerana habitat asalnya kini kurang sesuai ekoran kerja-kerja mendalamkan sungai.

"Parit itu dekat dengan sungai dan dinaiki air pada waktu air pasang lalu menjadi tempat buaya bertelur. Beberapa hari lalu saya nampak tapak kaki buaya, menyebabkan kami memasang perangkap kerana bimbang keselamatan penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sarjuni menjelaskan, dia bukan dukun buaya sebaliknya mempunyai sedikit kemahiran mengubati penyakit secara tradisional.

"Saya bukan dukun buaya, sepanjang hidup ini kali pertama saya tangkap buaya. Beberapa minggu lalu, saya pasang perangkap untuk tangkap buaya tetapi tidak berjaya, buaya itu terlepas," katanya.

Menurutnya, walaupun telah masuk perangkap yang diperbuat daripada besi dan tali, namun tali lain perlu diikat pada buaya tersebut.

Kerja mengikat atau digelarnya 'menyembat' buaya itu, selain menuntut keberanian, katanya, faktor kesabaran juga penting kerana ia perlukan masa yang sesuai dan menanti buaya menjadi agak lemah.

Tiru semangat Piala Dunia

Posted: 10 Jun 2010 07:55 PM PDT


NAJIB bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas membentangkan RMK-10 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kehangatan Piala Dunia yang bermula hari ini tidak terlepas daripada mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengajak segenap rakyat negara ini menggunakan semangat berpasukan untuk membawa Malaysia ke arah negara maju.

Ketika membuat kesimpulan pada sesi pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Parlimen semalam, Perdana Menteri menghuraikan dalam bentuk kiasan bagaimana semangat demikian bukan sahaja penting dalam permainan bola sepak tetapi juga untuk negara ini maju ke hadapan.

"Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain dalam satu pasukan.

"Jika tidak, mereka bukan saja tidak mungkin menang malahan kalah teruk, walau hebat mana pun pemain secara individu, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan.

"Jika sekali pun setiap pemain sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah, maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah.

"Maka, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dengan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu," katanya.

Tambah beliau, setiap etnik di negara ini telah menyumbang kepada pembangunan sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur.

"Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti hari ini.

"Namun harus diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif,'' ujar Najib.

Umur 5 tahun mula sekolah

Posted: 10 Jun 2010 07:54 PM PDT


KANAK-KANAK berumur lima tahun akan dapat mengikuti prasekolah secara formal pada akhir RMK-10.


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur murid yang mengikuti prasekolah secara formal daripada enam kepada lima tahun secara sepenuhnya pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini dan akan dimulakan di kawasan luar bandar dan perladangan terutama di sekolah yang kurang murid.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang membentangkan RMK-10 di Parlimen semalam berkata, pendidikan prasekolah telah dijadikan fokus utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang bertujuan untuk meningkatkan kadar enrolmen kepada 87 peratus pada tahun 2012 dan 92 peratus pada tahun 2015.

Dalam pada itu menurut beliau, pendidikan awal kanak-kanak akan menjadi agenda penting nasional melalui program Permata.

Ujar Najib lagi, program Permata adalah satu usaha kerajaan untuk mendidik kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan sistem itu diperluaskan di 457 pusat jagaan kanak-kanak dan sehingga kini berjaya mendidik 17,565 kanak-kanak.

Setakat ini, dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 900 kanak-kanak pintar cerdas di negara ini.

Mengikut kajian pakar, secara amnya akan terdapat seorang yang pintar cerdas dari kalangan 10,000 kanak-kanak dan mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta.

Najib berkata, penyertaan kanak-kanak berumur antara empat dan lima tahun di peringkat prasekolah akan ditingkatkan daripada 67 peratus pada 2010 kepada 87 peratus pada 2012.

Sorok dadah dalam coli

Posted: 10 Jun 2010 07:53 PM PDT


SEORANG pegawai polis menunjukkan coli yang digunakan oleh seorang wanita untuk menyembunyikan dadah di Segamat semalam.


SEGAMAT - Cubaan seorang ibu tunggal menyembunyikan ganja di dalam coli yang dipakainya gagal apabila taktiknya itu dapat dihidu pihak berkuasa yang membuat serbuan di rumahnya di Pekan Jabi di sini Selasa lalu.

Dalam serbuan pukul 4 petang itu, polis menemui ganja seberat satu gram yang disembunyikan di dalam coli kiri berwarna biru yang dipakainya.

Difahamkan, sebelum itu polis hampir berputus asa apabila pemeriksaan menyeluruh di dalam rumah wanita berusia 29 tahun itu langsung tidak menemui sebarang jenis dadah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali bagaimanapun berkata, hasil kecekapan polis yang membuat pemeriksaan pada badan suspek dapat menemui dadah tersebut.

"Sebelum menyerbu rumah suspek, kita telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di Felda Chempelak, Labis di sini pada pukul 2.25 pagi hari yang sama kerana mengedar dadah.

"Pemeriksaan di rumah lelaki itu menemui 144 gram heroin dan dia memberitahu mendapat bekalan daripada wanita tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kembar maut dirempuh kereta

Posted: 10 Jun 2010 07:51 PM PDT


ORANG ramai melihat motosikal dan kereta yang terbabas ke dalam sawah selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Raja Syed Alwi, Kangar kelmarin.


KANGAR - Hasrat pasangan kembar untuk membuat satu hantaran bagi perkahwinan ibu saudara mereka Sabtu ini berkecai apabila kedua-dua mereka maut selepas terseret beberapa meter apabila dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Raja Syed Alwi di sini kelmarin.

Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Fatimah Kamis dan adiknya, Aishah, masing-masing berusia 22 tahun, dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki satu pasangan suami isteri.

Kereta tersebut gagal dikawal ketika hendak keluar dari simpang tiga Bohor Pulai menyebabkannya terus merempuh motosikal mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tok Kaya Kayang, Utan Aji di sini.

Akibat rempuhan tersebut, motosikal dan kedua-dua anak bongsu daripada tujuh beradik itu terseret dan terpelanting beberapa meter manakala kereta pasangan suami isteri terbabit terperosok di petak sawah.

Fatimah yang sedang mengandung tiga bulan mati tiga jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini manakala Aishah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, kedua-dua mangsa baru sahaja membeli beberapa jenis coklat dan gula-gula untuk dibuat sebagai hantaran perkahwinan ibu saudara mereka di pekan Kangar. Barangan itu bertaburan di atas jalan.

Aishah merupakan kakitangan HTF manakala kakaknya, Fatimah bertugas di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, siasatan mendapati motosikal itu ditunggang oleh Fatimah manakala Aishah sebagai pembonceng.

Kura-kura diseludup bersama dadah di KLIA

Posted: 10 Jun 2010 07:50 PM PDT


PEGAWAI Perhilitan menunjukkan kura-kura yang cuba diseludup pada sidang akhbar di Cheras semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota kastam yang memeriksa dua buah bagasi terkejut apabila bukan sahaja menjumpai ganja malah ia turut dimuatkan dengan 300 ekor kura-kura pelbagai spesies di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.

Tembelang itu terbongkar selepas mesin pengimbas di situ mengesan sesuatu yang mencurigakan.

Lebih licik apabila penyeludup turut menampal kaki dan kepala kura-kura tersebut dengan pita pelekat bagi mengelakkan ia bergerak sekali gus menyukarkan ia dikesan oleh mesin pengimbas.

Haiwan tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) manakala dadah itu diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Pengarah I Perhilitan, Misliah Mohamad Basir berkata, pemeriksaan mendapati bagasi tersebut diterbangkan dari Madagascar dan menukar penerbangan di Mauritius sebelum tiba di negara ini.

"Kita percaya pemiliknya meninggalkan bagasi tersebut dan menghilangkan diri sebaik menyedari taktiknya terbongkar. Usaha untuk mengesannya sedang dijalankan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Cheras di sini semalam.

Tambahnya, kebiasaannya kura-kura tersebut dijadikan sebagai haiwan peliharaan selain dijual antara RM500 dan RM1,000 seekor.

Menurut Misliah, pihaknya akan mengenal pasti lokasi asal haiwan tersebut untuk penghantaran semula ke negara asalnya.

"Pada hari sama juga kita merampas dua ekor burung enggang dan seekor ular sawa selepas melakukan serbuan ke atas premis perniagaan di Seri Kembangan, Selangor," katanya.

Bantal busuk ikhtiar akhir

Posted: 10 Jun 2010 07:49 PM PDT


AZMAN membawa bantal busuk anaknya, Asyraf yang hilang semasa mandi untuk dilemparkan ke dalam laut di Pantai Tanjung Gelam di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa melempar bantal busuk anaknya ke laut sebagai usaha terakhir menyelamatkan kanak-kanak itu yang tenggelam hampir dua jam di Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini semalam.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat anaknya, Muhammad Asyraf, 8, kembali dalam keadaan selamat tidak kesampaian apabila mayatnya ditemui pada pukul 6.50 petang.

Menurut bapa mangsa, Azman Ali, 36, dia pergi ke pantai itu bersama isteri, Rubiah Jusoh, 36, dan empat orang anaknya serta dua anak saudara kira-kira pukul 3 petang.

Ujarnya, selepas 30 minit berada di situ, dia dikejutkan dengan jeritan anak saudaranya, Muhammad Kamal Alias, 14, yang mandi bersama anaknya di tepi pantai.

"Ketika itu saya lihat Muhammad Asyraf sedang terkapai-kapai dihanyutkan ke laut. Saya segera terjun dan berjaya memegang lehernya.

"Bagaimanapun, saya terpaksa lepaskan dia apabila saya sendiri hampir lemas kerana tidak pandai berenang. Apabila cuba menyelamatkannya sekali lagi, dia sudah tenggelam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut Azman, dia membuat keputusan melempar bantal busuk milik anaknya ke laut sebagai ikhtiar terakhir selepas dua jam mangsa hilang.

"Bantal itu selalu digunakan oleh anak saya dan sebelum dibaling ke laut, kita sudah lakukan solat hajat dan berdoa supaya ia dapat membantu kami menemuinya," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan