Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 07 Jul 2013 05:15 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

Siti unggul di DFP

Posted: 07 Jul 2013 05:14 PM PDT

Kekuatan vokal, komunikasi baik pada konsert solo pertama catat memori indah buat peminat

Sedekad lalu, dia hanyalah penyanyi undangan kepada bintang legenda, Tan Sri SM Salim, sewaktu penyanyi malar segar itu menjayakan konsertnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia atau MPO. Kehadiran Datuk Siti Nurhaliza waktu itu sekadar menyampaikan dua lagu, iaitu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Mohon Kasih.

Bermula saat itu, penyanyi jelita ini mula menyimpan hasrat untuk beraksi secara solo di pentas berprestij terbabit. Ternyata Tuhan menjawab doa Siti apabila impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

Tanggal 5 Julai lalu, selama tiga malam berturut-turut, penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang, ini mencatat sejarah peribadi apabila diberi mandat mengadakan persembahan secara solo dengan diiringi kumpulan orkestra ternama itu.

Sebuah persembahan yang bukan saja dinanti-nantikan peminat tegar Siti, tetapi juga oleh si empunya diri. Selepas mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, tujuh tahun lalu, Dewan Filharmonik Petronas ialah lokasi impian Siti demi memantapkan lagi portfolionya dalam bidang seni.

Bertemankan pemuzik berpengalaman yang hampir memenuhi ruang pentas, berserta seorang konduktor, Kevin Field, Siti memulakan tugasnya dengan menyampaikan lagu Kau Kekasihku. Ibarat cinta pandang pertama, lagu ciptaan Ajai dengan pantas meresap ke dalam jiwa penonton, sekali gus menjanjikan persembahan memakan masa selama dua jam itu amat berbaloi untuk ditonton.

Rasa bagai nak demam

Cabaran utama yang harus dilalui mana-mana penyanyi yang pernah beraksi di pentas DFP adalah bagaimana mahu terus membuat penonton teruja dan terpana dengan persembahan mereka. Berbeza dengan lokasi lain, menyanyi di pentas terbabit tidak memerlukan sebarang gimik. Malah, ruang pentas yang amat terhad juga membataskan pergerakan si artis. Justeru, tiada apa yang mampu ditawarkan selain vokal ampuh.
Ternyata, Siti 'lulus' ujian itu apabila suaranya diadun dengan begitu baik sekali bersama susunan muzik kebanyakan lagu yang didendangkan pada konsert itu.

"Beberapa hari sebelum persembahan, Siti akui gementar dan rasa nak demam. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan yang Siti perlu menyanyi lagu yang mencabar vokal, seperti rangkaian lagu balada," ujar Siti ketika berceloteh di atas pentas.

Walaupun mungkin ada yang menganggap, menyanyi bagi Siti umpama memakan kacang, namun bagi empunya badan, untuk mendapatkan nada yang sesuai apatah lagi diiringi orkestra, kesilapan boleh berlaku pada bila-bila masa jika tidak berhati-hati.

"Siti teringat pesanan Tan Sri SM Salim, menyanyi dengan orkestra ini bukan mudah. Ada kala mereka mengikut tempo kita, ada ketika kita pula terpaksa mengejar mereka. Seperkara yang Siti belajar, susunan muzik semalam, tak akan sama dengan hari ini. Jadi kita kena peka dan sentiasa bersedia," kata Siti lagi.

Penghargaan buat legenda negara

Untuk segmen pertama, selain Kau Kekasihku, Siti memilih untuk menyampaikan lagu Badarsila, medley balada seperti Jerat Pecintaan, Bukan Cinta Biasa, Diari Hatimu dan Percayalah.

Turut didendangkan ialah lagu Hanya Dia, Di Taman Teman, Seindah Biasa dan Biarlah Rahsia, iaitu lagu yang bukan saja menyerlahkan vokal buluh perindu penyanyi ini, tetapi juga susunan muziknya yang menjadi. Saat Siti mendendangkan lagu berkenaan, penonton seperti terpaku dek kelunakan serta rasa yang diserlahkan olehnya.

Seperti yang dijanjikannya sebelum ini, Siti turut menyanyikan lagu penyanyi legenda lain seperti Tan Sri P Ramlee, iaitu Malam Bulan Di Pagar Bintang dan Tiada Kata Secantik Bahasa.

Sewaktu menyanyikan lagu Cindai pada segmen kedua pula, sempat Siti menunjukkan kemahirannya memukul gendang Arab atau Darbuka.

"Idea untuk memukul gendang ini memang sudah lama Siti fikirkan. Lucunya, disebabkan Siti sibuk dengan latihan nyanyian dan tarian, Siti terpaksa berlatih memukul Darbuka ini sewaktu hendak tidur. Mahu tak mahu, suami Siti (Datuk K) terpaksalah mendengarnya," cerita Siti ketika ditemui pada sidang media kemudiannya.

Anggun mengenakan gaun berenda rekaan Cosry serta tatarias oleh Nurul Shukor, ketika menghiburkan peminat pada malam kedua, Siti juga semakin menunjukkan kematangan ketika berkomunikasi. Ada ketika dia berjenaka sekali gus membuatkan keheningan dewan itu dipecahkan dengan deraian ketawa hadirin.

Persembahan eksklusif

Jika pada segmen pertama Siti menyanyikan lagu P Ramlee, untuk segmen kedua, Siti memilih lagu yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sudirman Arshad dan Jamal Abdillah, iaitu Terasing serta Senandung Semalam.

"Siti memang sengaja memilih lagu penyanyi lelaki kerana ini juga satu cara untuk Siti menguji vokal kerana nada suara lelaki berbeza dengan perempuan," jelasnya.

Puas menyanyikan lagu perlahan, Siti mengubah atmosfera dengan menyanyikan lagu rancak iaitu rangkaian lagu Ku Mahu, Ya Maulai dan Balqis, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada penonton menerusi lagu Muara Hati yang disampaikan secara solo, kali ini.

Persembahan selama tiga malam itu turut disifatkan Siti sebagai sangat eksklusif. Bukan bercakap kosong kerana konsert Siti Nurhaliza In Symphony itu tidak dirakam dalam bentuk audio mahupun visual.

"Ini memang kehendak Siti dan moga ia menjadi kenangan terindah buat penonton untuk sepuluh, dua puluh tahun akan datang," katanya yang turut memperdengarkan lagu terbaru, yang ditujukan khas buat suami tersayang, berjudul Lebih Indah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan