Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Usah kejar glamor

Posted: 03 Mar 2013 02:46 PM PST

Piee, L Ramlie kongsi kisah hidup sebagai anak seni

"Jangan terlalu mengejar dan mengharapkan kemewahan dalam bidang seni kerana ia tidak menjamin masa depan," pesan pelakon dan pelawak terkenal, Shafiee Jaafar atau lebih dikenali dengan panggilan Piee, 82, kepada pelapis muda dalam industri hiburan.

Bukan hanya menjadikan dirinya dan artis seangkatan sebagai contoh, malah Piee berkata, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri tidak memiliki kekayaan ketika hayatnya.
"Pesan saya kepada generasi muda, elakkan perbuatan ditegah agama, jangan tinggal solat dan jangan terlalu berbangga dengan apa yang dimiliki atau terlampau mengejar populariti kerana ia hanyalah sementara," Piee

Sedih memikirkan nasib insan seni sepertinya, yang tidak mampu memiliki harta jutaan dolar hasil lakonan dan nyanyian seperti artis antarabangsa, dia menasihati generasi muda agar berfikir panjang demi masa depan mereka dan tidak memfokuskan kepada dunia seni semata-mata.

Pernah tidur di jeti

Mengambil kisah hidupnya sendiri yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan demi bergelar anak seni, Piee pernah tidur di Pangkalan Jeti Pulau Pinang kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk pulang ke rumah selepas membuat persembahan boria di Sungai Petani, Kedah, ketika era 50-an.

"Masa itu hanya ada 50 sen saja dan nak balik pun sudah larut malam, jadi terpaksa tidur di jeti. Melihat kesusahan saya dulu, saya melarang anak-anak untuk terbabit dalam bidang ini walaupun ada anak saya yang meminatinya. Saya cakap padanya, buatlah kerja apa saja, yang penting halal dan bukan dalam bidang seni kerana ia tak menjamin apa-apa termasuk kemewahan.
"Tengok P Ramlee, tiada orang sehebat dia sehingga kini walaupun di Amerika, tetapi dia hanya hebat dalam bidang seni bukan dari segi harta. Di Amerika, sekali berlakon filem dapat jutaan dolar, tetapi di sini hanya RM20,000 ke RM30,000. Itu pun habis beli kereta mewah dan barang berjenama. Saya dulu pergi kerja ulang-alik dengan basikal buruk saja," katanya.

Lupakan bidang seni

Piee yang mempunyai enam cicit memberitahu, dia sudah melupakan bidang seni. Walaupun masih ada tawaran berlakon, dia terpaksa menolak dek faktor usia.

Bersyukur dengan kesihatan diberikan, bintang Sifu & Tonga dan Alamak Toyol ini sudah puas menikmati kehidupan sebagai insan seni. Kini, dia lebih gembira menumpukan kepada ibadat dan keluarga.

Berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang bergelar anak seni dengan artis muda yang mengikuti siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 bagi zon utara, antaranya Jimmy Palikat, Shah Iskandar, DJ Lin, Along Cham, Stellar Band dan bekas juara Bintang Idola BH 2012, Liawanis, di rumahnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang, ia memberi pendedahan kepada mereka di samping mengeratkan hubungan antara artis baru dengan lama.

"Saya tidak menumpukan kepada bidang lakonan saja kerana saya juga bekerja di sebuah syarikat lori dan baru saja berhenti pada Disember lalu sebab sudah tidak larat. Macam itu juga dengan dunia lakonan, sampai bila pun tak kaya.

"Pesan saya kepada generasi muda, elakkan perbuatan ditegah agama, jangan tinggal solat dan jangan terlalu berbangga dengan apa yang dimiliki atau terlampau mengejar populariti kerana ia hanyalah sementara," katanya yang banyak membintangi filem arahan Prof Razak Mohaideen.

Sedih dan terharu dengan kehadiran rombongan jelajah ABPBH, Piee bersyukur kerana masih ada insan yang sudi menjenguknya walaupun sudah tidak lagi aktif berlakon.

Biarlah ada pendapatan tetap

Dalam kunjungan ke utara, rombongan ABPBH turut melawat penyanyi era 60-an, Datuk L Ramlie di Kepala Batas, Pulau Pinang. Tidak seperti Piee, L Ramlie mengalami masalah kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit jantung, buah pinggang dan paru-paru sejak 25 Disember tahun lalu. Kini dia dinasihatkan berehat selama empat bulan di rumah.

Bergerak menggunakan tongkat, penyanyi Dara Pujaan berusia 71 tahun ini turut sudi berkongsi cerita dan kisah hidupnya sebagai anak seni.

"Saya masih lagi menyanyi dan mendapat tawaran persembahan sehingga di Kuala Lumpur, tetapi disebabkan faktor kesihatan sekarang tidak mengizinkan, saya terpaksa berhenti sekejap. Doktor nasihatkan saya agar tidak berjalan jauh, menaiki pesawat dan bas. Jika nak memandu, tidak boleh lebih daripada dua jam.

"Saya tidak pernah melarang anak-anak bermain muzik, malah tiga anak lelaki boleh bermain muzik, cuma mereka tidak pandai menyanyi. Bagi saya, jika itu keinginan mereka, saya izinkan tetapi kena ada sumber pendapatan tetap dan jadikan muzik sebagai kerjaya kedua. Bidang ini bukan penentu masa depan," katanya.

Jangan terlalu ego

Tidak mahu melihat artis muda kini hanyut dibuai keasyikan mengejar bidang seni, dia mengingatkan mereka supaya tidak sombong dan menghormati artis senior. Malah, jangan terlalu mengejar glamor serta terlalu ego kerana ia hanya membuatkan mereka lupa tanggungjawab sebagai anak seni.

"Jadikan artis senior sebagai contoh dan dapatkan petua daripada mereka untuk terus kekal lama dalam industri. Dengan cara itu, bukan saja ilmu yang kita dapat, bahkan ia mengeratkan hubungan antara yang lama dan baru," katanya yang mempunyai empat anak serta 13 cucu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen