Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta dan cita Bront

Posted:

Cinta dan cita Bront

Cinta dan cita Bront

CUKUP terkenal sebagai seorang aktor berkaliber, Bront Palarae memulakan langkah amatur sebagai pengarah apabila muncul dengan filem pendek arahannya, Kolumpo.


JIKA disebut nama Nasrul Suhaimin sudah tentu peminat seni tanah air akan terfikir dia mungkin seorang pelakon baharu.

Namun, jika disebut Bront Palarae, 34, sudah tentu ramai yang mengingati wataknya dalam filem Ombak Rindu sebagai Mail yang mana cintanya tidak kesampaian terhadap Izzah.

Terkini, Bront mungkin diingati pula sebagai Hisyam, lelaki gila talak yang penuh psiko dalam filem terbaharu lakonannya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina.

Bront yang telah bertapak dalam industri seni sejak tahun 2003 ketika muncul buat pertama kali dalam filem Lang Buana nampaknya telah berjaya melakonkan watak Hisyam dengan cukup berkesan sekali seperti yang diceritakan dalam novel karya Ahadiat Akashah itu.

Perkara itu diakui oleh Ahadiat selaku penulis novel Lagenda Budak Setak 2 - Katerina yang berpuas hati dengan semua pelakon filem berkenaan termasuk Bront.

Kata Ahadiat, filem tersebut mempunyai 80 peratus persamaan seperti yang tertulis dalam novel yang dihasilkannya pada 1985 itu dan barisan pelakon telah memberikan persembahan lakonan yang cukup berkesan.

"Hanya linangan air mata sahaja yang boleh menghuraikan perasaan saya. Saya sangat berpuas hati terhadap persembahan semua pelakon," ujarnya ketika tayangan media filem itu baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Dalam filem berkenaan, Hisyam merupakan bekas kekasih Katerina lakonan Maya Karin yang masih dahagakan cinta wanita itu sehingga sanggup mencederakan dirinya sendiri.

Hisyam sanggup melalukan pelbagai perkara yang menjengkelkan dan watak psiko yang dilakonkannya itu akan membuatkan penonton teringat terhadap watak Que Haidar dalam filem pertama Lagenda Budak Setan pada 2010.

Mengulas hal tersebut, Bront memberitahu: "Saya risau sebenarnya, takut tidak dapat memenuhi watak Hisyam seperti yang ditulis Ahadiat, tapi jika dia puas hati, itu satu bonus untuk saya."

Tambahnya, watak Que sebagai Azmi dalam filem pertama tidak sama dengan apa yang dilakonkannya tetapi dia mengakui turut mengkaji, watak yang dibawa oleh Que supaya tidak timbul perbandingan sewaktu ia ditayangkan.

"Saya menonton bagaimana persembahan yang dibawa Que supaya penonton boleh lihat kekuatan kami masing-masing," jelasnya yang telah berlakon lebih 20 buah filem setakat ini.

Kata Bront, watak Hisyam telah memberi impak kepada emosinya kerana dia sering membawa watak seseorang yang mempunyai masalah jiwa.

"Ramai peminat rindukan watak santai saya seperti dalam drama Rona Roni Macaroni dan Sinderella, saya juga begitu. Sebenarnya, kalau saya banyak sangat memainkan watak psiko, ia ganggu emosi saya.

"Watak Hisyam memang berat, tetapi pengarah filem itu, Sharad Sharan telah banyak bantu saya," katanya yang akan memulakan penggambaran filem cinta komedi pada Disember ini.

Tambah anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, selepas ini dia mahu lebih banyak mencuba lakonan yang tidak terlalu serius supaya peminatnya tidak melabelkannya sebagai pelakon sebegitu.

"Kalau banyak sangat berlakon macam orang sakit jiwa nanti lain pula jadinya. Jadi lepas ini saya mahu cuba watak romantis atau lebih santai agar tidak terbawa-bawa di luar set penggambaran," jelasnya yang mengaku personalitinya kelakar di luar set penggambaran, tetapi serius apabila bekerja.


BRONT mengaku masih solo dan Cristina Suzzane hanya seorang teman, bukan kekasih seperti yang didakwa segelintir pihak.


Kolumpo

Jika Bront membawa apa-apa watak sekali pun, pastinya tidak ada sesiapa akan mempertikaikan keberkesanan penghayatan yang diterjemahkan dengan cukup berkesan oleh aktor tinggi lampai ini.

Campaklah apa sahaja jenis watak, daripada watak cinta, gengster, sakit jiwa dan sebagainya, Bront membawakan dengan cukup berkesan sekali. Maka tidak hairan dia telah berjaya menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia 23 menerusi filem Belukar.

Disebabkan sudah mencuba pelbagai jenis watak dan versatil dalam lakonannya, Bront telah membuat peralihan terhadap kerjaya seninya apabila mencuba nasib mengarahkan sebuah filem pendek bertajuk Kolumpo yang akan ditayangkan pertengahan tahun depan.

Dalam filem tersebut, terdapat tiga cerita yang berbeza dan salah satunya diarahkan oleh Bront sendiri selain Sheikh Munasar dan Rozi Izma Abdul Karim yang diterbitkan oleh OTTO Films.

Filem berkenaan dilakonkan oleh Sharifah Amani, Azad Jasmin, Ruminah Sidek, Soffi Jikan, Mano Maniam, Sabri Yunos, Nell Ng, Amerul Affendi, Azhan Rani, Along Eyzendy dan Amirul Ariff.

Kata Bront, filem itu dihasilkan dengan kerjasama pelakon-pelakon yang juga merupakan sahabatnya sendiri seperti Sharifah Amani.

Akuinya, dia hanya melakukan kerja pengarahan secara suka-suka dan mahu menambah ilmu pengarahan selain memberi variasi kepada industri.

"Jujurnya, saya bukan mahu menjadi seorang pengarah secara serius kerana saya masih mencintai bidang lakonan. Sebaliknya, saya mengarah hanya untuk memberi satu corak pengarahan daripada perspektif saya," ujarnya.

Bercakap lebih lanjut tentang filem yang berdurasi setengah jam tersebut, Bront memilih Azad untuk membawa karakter seorang pekerja India yang datang ke Malaysia untuk bekerja, tetapi telah ditipu oleh pihak agensi pekerjaan.

Ditanya tentang persediaannya dikritik sebagai pengarah amatur setelah ia ditayangkan kelak, jawap Bront: "Saya sedia dikritik kerana kritikan itu satu perkara yang normal. Sebagai seorang pelakon juga saya dikritik, jadi saya tidak melihat ia sebagai satu isu besar."

Cristina Suzanne

Selain ingin berjaya sebagai pelakon yang berkaliber dan bakal mencipta nama sebagai pengarah, Bront tidak boleh lari dengan kisah cintanya bersama pelakon baharu kacukan Melayu-Jerman, Cristina Suzanne Stockstill.

Mereka dipertemukan dalam penggambaran filem Jwanita dan berganding sebagai suami isteri dalam filem berkenaan.

Hubungan istimewa itu dapat dihidu apabila mereka saling berbalas komen di Twitter beberapa bulan lalu, tetapi mereka menafikan sedang menjalinkan hubungan cinta. Sebaliknya Bront dan Cristina mengaku mereka sedang mengenali hati budi masing-masing dan hanya berkawan baik.

Terbaharu pada hujung minggu lalu, Bront dan Cristina telah dilihat bersama ke festival Urbanscapes di Petaling Jaya, Selangor. Kehadiran mereka menggamit perhatian apabila Bront dilihat memeluk Cristina sambil berjalan, sekali gus menimbulkan persoalan adakah ia hanya sekadar pelukan seorang teman atau ia bersifat istimewa.

Saat soalan tersebut dilontarkan kepadanya, Bront hanya ketawa sebelum memberi penjelasan.

Tidak menafikan dia ada memeluk bahu pelakon cantik tersebut, namun kata Bront, itu bukan satu tanda bahawa mereka mempunyai hubungan cinta.

"Saya ke festival tersebut bukan berduaan dengan Cristina, sebaliknya turut ditemani rakan pelakon lain seperti Sharifah Amani dan Nell Ng.

"Seingat saya, saya memeluk bahu semua rakan-rakan yang lain juga, tapi mungkin kebetulan pada waktu itu, orang melihat saya memeluk bahu Cristina," jelasnya.

Tegas Bront lagi, buat masa ini mereka memang tidak bercinta dan dia masih solo.

Secara berjenaka, Bront berkata: "Saya masih solo dan tunggu orang masuk meminang saya."

Miera ganti Lisa

Posted:

Miera ganti Lisa

Miera ganti Lisa


MIERA akan menggantikan tempat Lisa selama tiga hari pementasan sahaja.


ATAS sambutan memberangsangkan, pementasan semula teater biografi Tun Dr. Siti Hasmah yang bermula kelmarin membawa satu lagi wajah segar ke arena teater.

Pementasan semula teater Tun Siti Hasmah: Dari Hati Seorang Wanita yang juga direncanakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 bakal menguji keupayaan pelakon muda, Miera Liyana untuk beraksi buat kali pertama di Panggung Sari, Istana Budaya.

Miera tampil menyahut cabaran pengarah teater berkenaan, Erma Fatima bagi menjiwai watak dan semangat bekas wanita pertama negara itu dalam tempoh yang singkat.

"Saya hanya diberi masa dua hari untuk berlatih. Memang ia terlalu berisiko. Saya berusaha sebaik mungkin untuk tawaran yang datang sekali seumur hidup itu," jelas Miera yang menggantikan tempat kosong yang ditinggalkan Lisa Surihani yang sudah terikat komitmen lain.

Untuk pementasan semula yang bermula 28 November hingga 3 Disember ini, Miera bagaimanapun hanya akan melakonkan watak Tun Siti Hasmah ketika muda selama tiga hari, manakala selebihnya masih digalas Lisa.

Teater terbitan World Islamic Network Television Sdn. Bhd. yang diterajui Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan disokong isterinya, Datin Paduka Umie Aida masih mengekalkan barisan pelakon sama antaranya Eja, Esma Daniel dan Nazim Othman.

Bagi persembahan matinee pada pukul 3 petang, Sabtu ini, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. akan menyumbang sepenuhnya kutipan jualan tiket bagi membantu umat Islam di Palestin.

"Kita dengar dan lihat kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas penduduk Palestin. Jadi tak salah untuk pihak kami tampil menghulurkan sumbangan. Biarpun kecil berbanding hebatnya penderitaan yang mereka alami, sumbangan yang sedikit itu nanti setidak-tidaknya menjadi tanda keprihatinan kami terhadap nasib umat Islam sejagat," jelas Umie Aida.

Untuk urusan tiket, hubungi Box-Office (03-4026 5558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my. Lokasi pementasan masih sama di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bunohan, Ombak Rindu antara pertaruhan di APFF 55

Posted:

Bunohan, Ombak Rindu antara pertaruhan di APFF 55

Bunohan, Ombak Rindu antara pertaruhan di APFF 55

Oleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI


ANTARA barisan karyawan daripada lima buah filem yang bakal dipertandingkan dalam Festival Filem Asia Pasifik 55 (APFF 55) bergambar pada sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).


HIKAYAT Merong Mahawangsa, Ombak Rindu, Bunohan, Nur Kasih The Movie dan Songlap merupakan lima filem yang terpilih mewakili Malaysia untuk dipertandingkan dalam Festival Filem Asia Pasifik 55 (APFF 55) yang bakal berlangsung di Macau, China, pada 14 dan 15 Disember ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Panchaharam Nalliah atau Pansha, kelima-lima filem tersebut telah dipilih sendiri oleh jawatankuasa pemilihan berdasarkan keunikan dan kekuatan yang ada pada setiap filem berkenaan.

"Pihak kami telah menyenarai pendek kelima-lima filem itu kerana beranggapan setiap satu daripadanya mempunyai keunikan dan berpotensi untuk meraih perhatian barisan juri antarabangsa.

"Kriteria pemilihan untuk filem berkenaan tidak sama dengan pemilihan untuk pertandingan filem tempatan, oleh itu kami juga telah menjemput juri antarabangsa. Filem-filem berkenaan dinilai berdasarkan artistik, nilai-nilai seni dan lakonan yang hebat serta berkualiti," jelasnya.

Tambah Pansha, kesemua filem tersebut dipilih kerana ia mewakili genre filem yang berbeza, selain dipercayai mampu menarik perhatian juri profesional yang terlibat nanti.

"Memang kami akui ada di antara filem yang terpilih tidak mendapat sambutan hangat di pawagam seperti Songlap, tetapi filem ini telah mendapat perhatian antarabangsa sebelumnya.

"Saya yakin kita dapat meraih sekurang-kurangnya dua anugerah, Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik. Kedua-dua kategori ini bukan mustahil untuk dimenangi, namun semuanya bergantung kepada keputusan juri," katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menegaskan setiap negara dibenarkan untuk mencalonkan lima filem terbaik sahaja untuk dipertandingkan di festival itu.

"Pihak penganjur telah menetapkan syarat minimum memandangkan festival itu disertai oleh 23 buah negara dari seluruh dunia," ujar Pansha ketika ditemui pada sidang akhbar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak mengakui pemilihan lima filem untuk dibawa ke festival tersebut yang dijalankan mereka sangat menarik kerana setiap filem mempunyai kepelbagaian tersendiri.

"Bunohan dan Songlap sudah diterima baik serta berjaya pada peringkat antarabangsa selain telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan. Hikayat Merong Mahawangsa pula agak unik kerana tidak ramai yang mampu membuat filem epik.

"Pada masa sama, kita juga mempunyai filem drama dan cinta iaitu Nur Kasih dan Ombak Rindu yang tidak boleh diperlekehkan kerana filem ini amat penting di rantau ini," jelasnya.

Naguib juga menjelaskan, pihak Finas sentiasa menyokong PFM dalam usaha untuk mengangkat martabat industri perfileman tempatan ke peringkat tertinggi.

"Finas sentiasa memberi sokongan kepada penggiat filem untuk pergi lebih jauh dan kami mahu filem-filem tempatan mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Sementara itu, Ummi Nazeera, Syafie Naswip, Maya Karin dan Shaheizy Sam merupakan barisan pelakon yang akan turut serta dalam delegasi Malaysia ke APFF 55 selain disertai oleh pengarah Ombak Rindu, Osman Ali.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat dalam pertandingan APFF 55 ialah China, Rusia New Zealand, Thailand, Jepun, Vietnam, Australia, dan Iran.

Kali terakhir Malaysia memenangi anugerah di APFF pada APFF 54 menerusi Allahyarham Yasmin Ahmad, sebagai Pengarah Terbaik melalui filem Muallaf.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan