Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Sepakat ambil anak angkat

Posted: 29 Nov 2012 06:02 AM PST

KARAKTER Seth Tan lakonannya dalam drama Nora Elena, tahun lalu nyata cukup diminati ramai. Menerusi drama itu juga, Aaron Aziz berjaya memenangi trofi Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) dan turut mengangkatnya sebagai Bintang Paling Popular.

Kini bagi mengisi pencalonan untuk edisi ABPBH2012, sekali lagi Aaron muncul mempertaruhkan lakonan hebat menerusi drama Adam & Hawa terbitan Global Station Sdn Bhd. Disiarkan di saluran berbayar Astro Mustika HD, Aaron melakonkan watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang kacak dan diminati ramai.

Justeru, masih mampukah Aaron mempertahankan kemenangannya untuk dua kategori trofi berprestij itu?

Selesa menyerahkan segala keputusan undian di tangan peminatnya, ayah kepada tiga anak ini sudah cukup bersyukur dan berterima kasih di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.


Bersua Aaron yang ditemani isteri tersayang, Diyana Halik ketika mengikuti rombongan percutian eksklusif tiga pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bersama pembaca bertuah Berita Harian (BH) ke kota Ho Chi Minh, Vietnam pada 23 hingga 26 November lalu, aura aktor ini masih kuat.


Apatah lagi, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga tiba di Vietnam, peminat sentiasa mencari ruang dan mengambil peluang untuk mendekati Aaron. Tidak ketinggalan, bagi merakamkan foto istimewa serta mendapat tandatangan eksklusif daripada pelakon berusia 36 tahun ini.

Tatkala berbicara mengenai perkembangan kariernya, Aaron berkata, selain dalam proses mempertimbangkan dua skrip filem yang akan dibintanginya pada 2013 nanti, dia juga kembali duduk di kerusi sutradara untuk mengarahkan drama lapan episod, Dol & Minah (bahagian dua) terbitan produksi miliknya.

"Bergandingan dengan pelakon Jasmin Hamid, drama ini diterbitkan untuk siaran TV di Singapura. Malah saya tidak sangka ia mendapat sambutan yang baik sehingga bahagian dua dihasilkan. Sebagai peneraju utama iaitu mengarah dan berlakon sekali gus, ia tidaklah sesukar mana kerana karya ini berkonsepkan info drama.

"Agak senang mengendalikannya dan saya juga seronok bekerja dengan Jasmin.
Gandingan kami nampaknya serasi sehingga mendapat permintaan untuk sambungan bahagian dua pula. Apapun, saya sentiasa memastikan memberi yang terbaik lebih-lebih lagi drama ini terbitan produksi sendiri," katanya.

Bersimpati dengan penderitaan yang pernah dialami penduduk Vietnam selepas melawat ke Terowong Cu Chi, Muzium Peringatan Perang hingga menyusuri Sungai Mekong, Aaron berkata, dia sangat bersyukur kerana lahir dan dibesarkan di negara maju. Pun begitu, yang pasti banyak pengajaran diperolehnya.

"Hasil daripada lawatan ini, saya dapati penduduk Vietnam sentiasa gigih berjuang untuk kehidupan. Justeru, mereka sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan negara tercinta serta menyara hidup. Kesusahan serta keperitan hidup yang dialami nyata menguatkan semangat mereka untuk terus berani dan gigih berjuang.

"Malah, saya juga sangat kagum pada mereka dengan terbinanya Terowong Cu Chi ketika zaman peperangan Vietnam dan Amerika dulu. Bayangkan, kegigihan lelaki dan wanita berganding bahu dalam kesusahan serta demi menyelamatkan diri sendiri, keluarga dan anak-anak, mereka bersatu dan saling membantu.

"Hasilnya, walaupun selama 21 tahun terpaksa duduk di dalam tanah menyelamatkan diri tetapi yang penting mereka berjaya menewaskan tentera Amerika. Jerangkap samar dihasilkan daripada bahan kitar semula daripada serpihan bom dijatuhkan berjaya membunuh jutaan tentera Amerika dalam peperangan itu. Ia sangat menakjubkan," katanya.

Menurut Aaron lagi, pengalaman bercuti bersama peminat di Vietnam itu juga cukup berharga baginya.

Katanya, terlalu banyak pengajaran berkaitan kehidupan dipelajari. Terutama, pengalaman memasuki Terowong Cu Chi yang sempit dan gelap itu. Ujar Aaron, sukar membayangkan bagaimana untuk terus hidup.

Sehubungan itu, Aaron juga memaklumkan atas keprihatinannya terhadap golongan yang kesempitan hidup ini terutama kanak-kanak, dia dan isteri mengambil inisiatif menyertai skim anak angkat di bawah Penajaan Kanak-Kanak World Vision sejak tiga bulan lalu dengan sumbangan RM65 sebulan.

"Menerusi skim ini, saya mengambil seorang kanak-kanak lelaki dari Laos dan Diyana pula memilih kanak-kanak perempuan (Indonesia) sebagai anak angkat kami.
Walaupun tidak pernah bertemu dengan dua kanak-kanak itu sehingga kini, namun sumbangan daripada kami amat membantu mereka.

"Menerusi RM65 yang didermakan setiap bulan itu, kami berupaya membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik seperti mendapat bekalan air bersih, makanan berkhasiat, tempat tinggal yang selamat serta peluang pendidikan. Justeru, saya berharap masyarakat Malaysia berminat menyertai program amal itu," katanya.

Ditanya apa yang menarik minatnya terhadap program itu, Aaron berkata, semua itu bermula atas pendedahan minat dan sokongan daripada isterinya terhadap anak angkat.

Ujarnya, kasih sayang yang menebal terhadap anak-anak kecil yang hidup dalam kesusahan juga mendorong mereka untuk tampil membantu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Pencarian Ikon Zapin

Posted: 29 Nov 2012 05:50 AM PST

PERSATUAN Belia Kota Gagasan (Noraniza Idris) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi serta Persatuan Kebajikan Pembangunan Prihatin Kuala Lumpur, akan menganjurkan pertandingan, Akar Kita..Zapin 2012.

Program mendapat sokongan Pergerakan Puteri Umno Malaysia itu adalah pertandingan berkonsepkan 'battle' zapin berkumpulan peringkat separuh akhir dan kebangsaan bagi merebut Piala Pusingan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada 29 Disember ini dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Akademi Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan Sekretariat Masyhur 1Malaysia selaku penyelaras acara keseluruhan tidak terkecuali mengambil bahagian bersama agensi lain yang dilantik untuk bekerjasama dan dipertanggungjawabkan bagi menyelaraskan program yang julung kali dianjurkan itu.

"Program ini kali pertama dianjurkan dan dijadikan sebagai acara tahunan untuk peringkat zon dan kebangsaan bagi merebut gelaran Ikon Akar Kita - Zapin bermula tahun 2012 serta Piala Pusingan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


"Acara yang terbesar ini mengalu-alukan pembabitan lebih 32 kumpulan kesenian dan kebudayaan dari seluruh negara untuk mengambil bahagian bagi memilih 16 kumpulan terbaik mara ke peringkat Kebangsaan.


"Sasaran peserta setiap kumpulan adalah seramai 10 orang termasuk seorang kareografer dan seorang jurulatih. Kumpulan terdiri daripada lelaki dan wanita, lelaki saja atau perempuan saja. Mereka mestilah warganegara Malaysia berusia 18 hingga 40 tahun daripada pelbagai kaum," katanya.

Kriteria peserta, mereka mestilah mempunyai pelbagai asas tarian tradisional zapin. Perlu membawa dua lagu zapin pilihan sendiri untuk slot persembahan selama tiga minit.

Pendaftaran adalah percuma. Pembabitan peserta adalah di bawah tanggungan sendiri. Tarikh tutup penyertaan pada 10 Disember 2012.

Juara dan naib juara layak mengikuti Jelajah Masyhur 1Malaysia 2013 anjuran Persatuan Belia Kota Gagasan. Kategori pemenang adalah juara, naib juara, tempat ketiga, anugerah khas juri, kareografer terbaik, individu wanita terbaik, individu lelaki terbaik dan pakaian terbaik.

Masing-masing akan membawa pulang piala iringan, wang tunai berserta sijil penghargaan. Sebarang pertanyaan untuk mengetahui dan mengambil bahagian dalam acara ini sila hubungi kami di talian & "like" aktiviti di fanpage: sekretariat masyhur 1malaysia serta layari website www.masyhur1malaysia.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan