Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Nak bercinta pun tak sempat!

Posted: 23 Nov 2012 06:10 AM PST

WATAK Maya Karin sebagai Izzah dalam filem Ombak Rindu begitu menggetarkan perasaan penonton sehingga filem itu berjaya mencapai kutipan pecah panggung, sekali gus berjaya menutup segala kritikan terhadap lakonannya yang sebelum ini dikatakan kaku.

Dek kerana keberkesanan lakonannya itu, Maya menang trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) serta Anugerah Skrin (ASK), baru-baru ini.

Apakah Maya akan mengulangi kejayaan sama dalam filem lakonan terbarunya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina (LBS2), arahan Sharad Sharan? Filem melankolik itu bakal menemui penonton mulai 29 November ini.

Sekali lagi menerusi syarikat sama yang menerbitkan filem Ombak Rindu, Tarantella Pictures dan Astro Shaw, Maya diberi watak sarat dengan emosi dalam memburu cinta abadi bersama Kasyah, lakonan Farid Kamil. Pada masa sama, dia berusaha melarikan diri daripada 'cinta psiko' Hisyam (Bront Palarae).


Cabaran Maya menerusi LBS2, kali pertama dia bekerja dengan Sharad dan langkah pertama mereka terpaksa melalui proses suai kenal untuk mencari kesefahaman dan keserasian.


"Untuk LBS2, kami berdua mencari keserasian dalam watak kami manakala dalam LBS3 - Kasyah yang akan ditayangkan tahun depan, kami sudah cukup saling memahami.

"Bagaimanapun, agak malang dalam LBS2 kerana saya dapat skrip lagi seminggu penggambaran akan dimulakan kerana penulis skrip sakit dan dimasukkan ke hospital sedangkan jadual produksi sudahpun siap.

"Saya sebenarnya lebih suka dapat skrip awal untuk menghayati jalan cerita dan mengenali watak. Apabila dapat skrip lambat, sukar untuk saya membuat persediaan. Apabila skrip sudah berada di tangan, masih ada babak yang tidak lengkap kerana penulisnya masih tak sihat. Dalam situasi sebegitu, saya masih cuba juga melakukan yang terbaik," katanya.

Maya akui tiada masalah langsung berlakon dengan Farid kerana mereka pernah berlakon bersama dalam filem Anak Halal pada 2007.

"Kami sudah lama berkawan baik, jadi saya memang suka apabila dapat berlakon bersama dalam Anak Halal. Untuk filem Cun! pilihan pertama untuk watak hero adalah Farid tetapi ketika itu dia sedang sibuk dengan projek lain lalu digantikan dengan Remy Ishak. Lama saya tunggu filem yang sesuai untuk kami berlakon bersama semula.

"Bront pula antara kawan saya yang paling rapat dalam industri. Kalau tiada penggambaran pun, kami selalu berjumpa dan apabila Sharad mahu ambil Bront berlakon dalam LBS2, saya suka sangat! Terus saya pujuk Bront supaya terima tawaran itu.

"Sebelum ini kami berdua pernah berlakon dalam filem Anak Halal, Hati Malaya, Ombak Rindu dan paling terbaru, LBS3 - Kasyah serta Jwanita. Saya suka berlakon dengan Bront kerana dia bukan saja kawan baik saya, tetapi dia adalah pelakon yang hebat, katanya.

Sebagai Katerina, Maya berasakan watak itu sangat menarik. Masih berlegar dalam kehidupan wanita moden seperti yang pernah dibawakan dalam filem Pisau Cukur tetapi watak Katerina dan Bella sebenarnya berbeza.

"Watak saya sebagai Bella dalam Pisau Cukur mengada-ngada dan gedik tetapi Katerina watak wanita moden dalam genre drama yang lebih banyak bermain dengan emosi apabila cintanya dengan Kasyah mendapat halangan Hisyam yang begitu obses dengannya dan juga ibu bapa Katerina yang ada muslihat tersendiri.

"Saya menerima tawaran Sharad kerana kelainan yang terdapat pada watak Katerina iaitu wanita moden yang derita. Untuk setiap tawaran, saya akan pastikan ia bukanlah karakter yang sama. Saya sudah berusaha yang terbaik untuk Katerina, namun tidak berani mengharapkan apa-apa. Kita tunggu saja reaksi penonton nanti," katanya.

Dalam sekuel LBS3, jelas Maya, Katerina dan Kasyah berkahwin tetapi Hisyam tetap tidak mahu 'melepaskan' Katerina.

"Ada watak lain yang akan muncul dan LBS3 lebih dramatik. Jangan lupa tengok" pintanya.

Pada Disember ini, Maya akan berlakon dalam filem baru tetapi ia dia belum boleh menceritakannya dengan lebih lanjut.

"Saya sangat sibuk sekarang, banyak tawaran seperti berlakon filem, duta produk, menyanyi dan sebagainya. Kalau filem baru itu tak jadi, mungkin saya akan mengisi masa lapang itu pergi bercuti dengan kawan-kawan ke Finland atau Jepun," katanya.

Menyentuh persoalan cinta, menurut Maya, belum ada cinta baru yang singgah di hatinya. Digosip rapat semula dengan Remy Ishak, jelasnya, usah percaya semua itu kerana ia sekadar gosip.

"Remy itu kawan saya. Saya masih solo sejak berpisah dan tidak tergesa-gesa mencari pasangan hidup. Jadual saya semakin sibuk, nak bercinta pun tak sempat!" katanya yang baru pulang bercuti dengan ayahnya di Nepal, baru-baru ini.

Sinopsis Lagenda Budak Setan2 - Katerina

ENAM bulan berlalu selepas kematian Ayu, Kasyah masih murung kerana kehilangan isterinya itu. Dia mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak mereka, Athirah yang menjadi lambang cinta abadi terhadap Ayu.

Katerina yang kecewa apabila Kasyah berkahwin dengan Ayu semakin pulih kekuatannya untuk berdepan semula dengan Kasyah. Ketabahan dan ketenangan Kasyah yang masih menyerlahkan senyuman di bibir meskipun kehilangan orang tersayang, membuatkan Katerina kagum.

Kemesraan mulai terjalin semula antara mereka. Katerina sentiasa berada di samping Kasyah sehingga membibitkan semula rasa cinta. Katerina memperkenalkan Kasyah kepada orang tuanya dan mereka merancang untuk bertunang, namun ditentang ibu Kate, Sofea kerana dia berasakan Kasyah adalah punca yang menyebabkan Kate kecewa sehingga hampir membunuh diri.

Akhirnya, ayah dan ibu Kate bersetuju mereka berkahwin tetapi mereka sebenarnya ada muslihat. Pada masa sama, Hisyam, bekas kekasih Kate begitu obses terhadap dirinya. Namun Kate sangat kecewa kerana Hisyam juga berselera terhadap kaum sejenisnya.

Untuk merapatkan hubungan Kasyah dengan ibu bapanya, Katerina meminta Kasyah menerima tawaran bekerja di syarikat ayahnya dan Katerina pula terpaksa ke Afrika Selatan untuk menguruskan cawangan syarikat baru.

Ketika inilah ayah Kate memasang strategi sehingga situasi menjadi begitu tegang dengan satu skandal terbaru. Mampukah cinta Kate dan Kasyah bersatu dan benarkan semua orang yang Kasyah sayangi akan mati gara-gara 'sumpahan'?

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Buku kenangan ABPBH diterbitkan

Posted: 23 Nov 2012 05:57 AM PST

ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), buat pertama kalinya memperkenalkan Coffee Table Book yang boleh dimiliki peminat dengan harga RM150.

Mengapa ia harus dimiliki? Antara lain, buku ini memiliki pelbagai keistimewaan kerana merakam, mengenang dan menghayati semula detik permulaan, liku perjalanan dan rentetan pencapaian yang dicapai generasi artis sejak 1987 hingga 2012.

Penaung ABPBH merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid berkata, sebelum anugerah itu diiktiraf sebagai sebuah majlis penghargaan berprestij, proses melaksanakannya melalui pelbagai peringkat serta pengorbanan yang bukan sedikit.

"ABPBH begitu bermakna kepada Berita Harian kerana terpahat pelbagai memori indah, suka duka dan penuh nostalgia dalam merentasi zaman 1980-an hingga sekarang.


"Bermula 1987, penganjuran ABPBH edisi pertama dengan nama Anugerah Penyanyi & Pelakon Popular dan kemudian menjadi Anugerah Bintang-Bintang Popular menempuh zaman menarik dan seterusnya dengan nama Anugerah Bintang Popular, menjadikan ia sebagai ruang yang terbaik untuk menguji pencapaian artis dalam kategori masing-masing.


"Buku ini mampu menjadi rujukan khususnya kepada artis dan masyarakat untuk melihat sendiri sejarah menarik yang dicipta dan tercipta atas nama ABPBH dengan latar zaman berbeza-beza dan kelompok anak seni berbeza-beza mengikut zaman masing-masing," katanya.

Barangkali ramai kurang ingat, tempoh 25 tahun mencerminkan kematangan ABPBH yang menempuh dimensi kejayaan daripada satu majlis kecil-kecilan di sebuah restoran hingga berkembang menjadi majlis tahunan paling berprestij dalam kalendar hiburan di Malaysia.

Kehebatannya menjadi sebutan sehingga diperkatakan sebagai yang terbaik merangkumi semua bidang dunia hiburan daripada muzik, lakonan, perfileman serta penyiaran.

Coffee Table Book yang dilancarkan di Holiday Villa Hotel & Suite, di sini, Rabu lalu, mengandungi 10 bahagian dimulakan dengan Sejarah ABPBH, kemudian ABPBH Era 1987-1991, ABPBH Era 1992-1996/97, ABPBH 1997/98-2001, ABPBH Era 2002-2006, ABPBH Era 2007-2010, Gaya ABPBH, Malam Kemuncak, Khidmat Masyarakat dan ABPBH Jubli Perak.

Pada majlis yang sama, Berita Harian turut mengumumkan lokasi baru penganjuran ABPBH2012. Jika sejak 10 tahun lalu ia diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, pelaksanaan edisi ke-26 ini mencipta kelainan pula apabila bertukar lokasi ke Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2012 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamsul Azree Samshir berkata, perpindahan lokasi itu satu perubahan segar dan dinanti-nantikan peminat setia anugerah berkenaan.

"Perpindahan lokasi ini juga sebagai tanda penganjur begitu menghormati pandangan yang sudah diusulkan ramai pihak sekian lama untuk mengadakan majlis ini di Kuala Lumpur. Kapasiti Stadium Putra yang luas bererti ramai peminat dan selebriti boleh datang memeriahkan malam kemuncak.

"Apa yang pasti, penganjur akan cuba mewujudkan suasana eksklusif dan prestij seperti lokasi sebelumnya. Di sinilah terletaknya cabaran kami untuk mengubah suasana stadium kepada acara pesta," katanya.

Hadir sama pada sidang media pertama ABPBH2012 itu, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH/Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH, Hanizam Abdullah.

Sementara barisan artis yang memeriahkan majlis itu antaranya Aaron Aziz, Zizan Razak, Fizz Fairuz, Fasha Sandha, Hanez Suraya, Yana Shamsudin, Kaka, Emma Maembong, Didie Alias, Wana, Klangit, Hyper Act dan Along Cham.

ABPBH Edisi ke-26 turut memperkenalkan tema 'Ledakan Geometri' yang membawa matlamat menyumbang semula kepada peminat dan pengundi ABPBH.

Majlis berkenaan turut mengumumkan seramai 383 calon membabitkan pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio disenaraikan bagi merebut lima tempat popular dalam 15 kategori dipertandingkan pada pusingan terawal.

Senarai calon berserta borang pencalonan awal kempen undian ABPBH 2012 ini disiarkan menerusi Berita Harian dan BH Ahad bermula hari ini hingga 25 Disember nanti bagi membolehkan peminat serta pembaca memilih lima finalis bagi setiap kategori selain calon Bintang Paling Popular.

Undian juga boleh dilakukan secara online untuk kategori Penyanyi Lelaki, Penyanyi Wanita, Artis Berkumpulan/Duo, Pelakon Filem Lelaki, Pelakon Filem Wanita, Pelakon TV Lelaki, Pelakon TV Wanita, Artis Komedi Lelaki, Artis Komedi Wanita, Pengacara TV Lelaki, Pengacara TV Wanita, Penyampai Radio Lelaki, Penyampai Radio Wanita, Artis Baru Lelaki dan Artis Baru Wanita.

Satu lagi pembaharuan yang dilakukan khusus untuk Edisi ke-26 apabila penganjur mengadakan pertandingan kategori undian online menerusi http://www.facebook.com/abpbh bermula November 2012 untuk enam kategori iaitu Gandingan Serasi Di Layar, Artis Lelaki Stailo, Artis Wanita Stailo, Watak Animasi Tempatan, Artis Berpengaruh di Laman Sosial serta Watak Jahat dalam Drama dan Filem.

Seperkara yang tidak seharusnya dilepaskan, ABPBH kali ini menawarkan ganjaran termahal bagi Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah, masing-masing bernilai RM370,000 serta RM81,000.

Pemenang Bintang Paling Popular berpeluang membawa pulang kereta mewah Nissan 370Z Coupe berserta hadiah iringan manakala pemenang kategori pembaca dijanjikan ganjaran Nissan Almera VL 1.5L tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan