Adsense

Khamis, 1 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tak jejas tumpuan

Posted: 31 Oct 2012 03:12 PM PDT

Lisa Surihani komited hidupkan watak Tun Dr Siti Hasmah, tak kisah isu pelakon bertukar tangan

Walaupun barisan pelakon Teater Tun Hasmah kerap bertukar ganti, aktres yang diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM), Lisa Surihani, 26, sedikit pun tidak tergugat. Malah dia gigih berlatih untuk pementasan teater sulungnya itu.

Lisa yang ditemui di majlis perlantikan sebagai duta kanta lekap jenama Fresh Look di Petaling Jaya, baru-baru ini, tampak yakin untuk menghidupkan watak isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia muda.

Sebelum ini memang berat badan Lisa naik kira-kira empat hingga lima kilogram, tapi sekarang sudah turun empat kilogram," - Lisa Surihani, Pelakon


Sibuk menjalani latihan teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya selama 10 hari mulai 9 November ini, Lisa mengaku agak penat. Tetapi keletihannya berbaloi kerana watak yang dijayakan bukan calang-calang.

"Saya mengaku agak susah sebab saya perlu menari dan menyanyi dalam masa sama. Tapi kami ada koreografer, dia pun banyak membantu dan memberi semangat. Jadi saya rasa, ia satu latihan yang menyeronokkan biarpun penat.

"Boleh tahan penat tapi ia bukan penat yang kosong sebab Lisa juga dapat belajar benda baru dan sememangnya berlakon teater ini seronok," katanya.

Seronok bekerja dengan Erma
Lisa berkata, dia tidak kisah isu pertukaran peneraju watak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kerana ia tidak mengganggu segmennya dalam pementasan itu.

"Hanya watak Tun Hasmah ketika tua saja yang bertukar. Teater itu ada dua segmen dan pertukaran itu tidak mengganggu segmen saya. Tapi saya lihat, Eja adalah seorang pelakon yang bagus dan profesional.

"Kalau nak dikatakan saya tertekan juga tidak. Ini kerana tekanan dari teater ini banyak kepada yang positif. Saya yakin boleh beri yang terbaik. Secara jujur, saya seronok bekerja di bawah arahan Kak Erma Fatima dan belajar bersama Normah Nordin dalam menjayakan teater mengenai figura yang begitu disayangi dan dihormati ramai," katanya.

Kembali slim

Sebelum ini, Lisa tampak sedikit berisi selepas mendirikan rumah tangga bersama Yusry Abdul Halim, Februari lalu. Bukan itu saja, Lisa juga mengaku seleranya bertambah ketika menjayakan penggambaran filem Istanbul Aku Datang di Istanbul, Turki.

"Sebelum ini memang berat badan Lisa naik kira-kira empat hingga lima kilogram, tapi sekarang sudah turun empat kilogram. Lisa makan banyak sejak lepas kahwin. Ketika berada Istanbul, cuacanya sejuk, jadi Lisa selalu makan malam.

"Sekarang, Lisa sedang mengekalkan berat badan asal. Bukan sebab tidak suka gemuk, tapi Lisa lebih risaukan mengenai kesihatan seperti tahap kolesterol. Yusry juga sedang diet dan kami banyak makan buah-buah dan sayur-sayuran," tambahnya yang akan sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Maskara sejurus berakhirnya Teater Tun Hasmah.

Filem Istanbul Aku Datang, arahan Bernard Chauly akan ditayangkan mulai 8 November ini.

Trofi:

  • Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21)
  • Pelakon Wanita Terbaik FFM23
  • Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010)

Jawablah!: MIG tak pernah halang

Posted: 31 Oct 2012 03:06 PM PDT

David kecewa dikaitkan dalam kes pengunduran Sam, daripada separuh akhir Muzik-Muzik 27

Terkejut David Teo apabila syarikat pengurusan bakat miliknya, MIG, didakwa menghalang pelakon terkenal Shaheizy Sam dan Yana Samsudin menyertai pertandingan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 27, seperti dilaporkan Hip, kelmarin.

Menurut artikel itu, Pengurus Hiburan Primeworks Studios Sdn Bhd, Muhamad Sufian Che Isa, berkata dua penyanyi itu tidak dapat menyanyikan lagu berjudul Begini Caranya disebabkan tidak mendapat pelepasan syarikat pengurusan mereka.

Sebagai ganti, tempat mereka akan diisi komposer dan penulis lagu terbabit, Ajai dan juga penyanyi, Marsha. Mengulas perkara itu, David berkata, sepanjang pengetahuannya, tanggungjawab mereka hanyalah membabitkan soal karier lakonan manakala aktiviti nyanyian kedua-dua artis itu bukan berada di bawah tanggungjawab mereka.

Justeru, apabila timbul dakwaan sebegitu, David yang mengaku kecewa dan terpanggil untuk memberikan kenyataan sekali gus menafikan MIG campur tangan berhubung penyertaan Sam dan Yana dalam pertandingan itu.

Hip: Betulkah pihak MIG tidak memberi pelepasan kepada Sam dan Yana untuk menyertai pertandingan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 27?

David: Sebaik saja mendapat tahu mengenai perkara itu, saya memang terkejut dan kecewa kerana ia tidak benar sama sekali. Syarikat pengurusan kami hanyalah menguruskan karier lakonan mereka dan segala hal yang berkaitan nyanyian, kami tidak akan campur tangan.
Hip: Atau isu ini sebenarnya lebih kepada soal kontrak kerana lagu ini dihasilkan untuk filem yang bukan terbitan MIG?

David: Memang benar filem Aku Ada Kau Ada? bukan terbitan MIG. Sebaliknya, ia diterbitkan Pensil Pictures dan kami hanya bertindak sebagai pengedar. Walaupun begitu, ia tidak bermakna kami mahu lepas tangan soal promosi. Jika mereka bersetuju untuk menyertai pertandingan itu, kami pihak pengurusan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyokong mereka. Tapi apa yang saya tahu, Sam sendiri memang keberatan untuk menyanyikan lagu ini pada awalnya. Malah, ketika mendapat tahu dia perlu menyanyi dalam filem ini, Sam sudah melahirkan perasaan bimbangnya kerana dia bukanlah penyanyi profesional. Namun disebabkan komited dan tanggungjawab, dia teruskan juga. Sebagai syarikat pengurusan, kami menyerahkan keputusan itu kepada mereka sendiri. Jika mereka sendiri yang mahu bertanding, pihak kami tiada sebarang halangan.

Hip: Jika benar tiada sebarang halangan, bagaimana nama MIG boleh terbabit dalam isu ini?

David: Itulah yang menghairankan kerana saya sendiri tidak tahu menahu mengenai pembabitan lagu itu dalam program Muzik-Muzik. Sejak MIG Records tidak lagi aktif seperti dulu, saya sudah tidak ambil serius industri muzik dan hanya menumpukan kepada dunia perfileman. Sebab itulah saya mengharapkan cerita ini segera diperbetulkan kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan imej syarikat saya, dan peminat kedua-dua artis berkenaan.

Hip: Ada tak Sam atau Yana merujuk perkara ini pada David, seperti meminta pandangan atau nasihat, umpamanya?

David: Tidak, mereka tak berbuat begitu kerana lagu ini pun sudah lama dirakamkan dan tak terfikir pula akan timbul isu seperti ini.

Hip: Katalah Sam bersetuju untuk menyertai pertandingan ini, adakah pihak MIG akan memberi kebenaran?

David: Mengapa tidak? Sebagai syarikat pengurusan yang menguruskan karier lakonan mereka, apa saja program berbentuk promosi dan mampu meningkatkan populariti artis naungan kami, kami tetap akan memberi sokongan. Jika populariti mereka meningkat, rezeki akan bertambah dan jika rezeki bertambah, keuntungan juga akan bertambah. Kami juga menggalakkan artis kami menyanyi untuk lagu runut bunyi atau lagu tema filem terbitan kami. Adi Putra pernah menyumbangkan suaranya dalam filem Aku Terima Nikahnya. Yana juga akan menyanyi untuk dua filem lakonannya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, iaitu Cerita Kita dan Strawberi Cinta. Kami tanggung segala kos pembikinan lagu itu. Cuma, soal mahu menyertai atau tidak, kami memang serahkan pada mereka untuk membuat keputusan.