Adsense

Sabtu, 20 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belum sedia berpacaran

Posted: 19 Oct 2012 12:21 PM PDT

MENELITI perilaku dan gaya gadis jelita ini ketika bersembang menerusi Skype yang diaturkan syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia tengah hari Rabu lalu, Shae sudah tampak selesa dengan status yang ada padanya dan tuturnya matang mencerminkan perjuangan muzik yang dijunjung.

Meskipun masih berusia 18 tahun dan bersandarkan album sulung, The First yang belum diketahui sambutannya, Shae atau nama sebenarnya, Sheryl Gething sudah sedia memburu impiannya bergelar penyanyi terkenal.

Mengakui ia tidak semudah dibicara, bagaimanapun gadis yang tidak lekang mengukir senyuman ini yakin ia mampu dikejar jika betul cara dan niatnya.

"Pasaran seni di Indonesia begitu luas dan saya sendiri akui tidak mudah untuk mara ke depan. Jika punya bakat dan wajah, ia bukan jaminan untuk membawa seseorang menjadi popular atau terkenal, sebaliknya industri muzik hari ini menuntut lebih daripada itu.


"Bukan lagi bersandar pada kekuatan vokal dan genre muzik, malah seseorang pendatang baru itu perlu punya pesona luar biasa yang mampu memberikan impak jauh berbeza.


"Cabarannya memang besar untuk menjadi seorang yang terkenal kerana begitu banyak saingan di sini namun apa yang menarik, semua bergerak secara positif pada paksi yang sama," katanya membuka bicara.

Berbual lebih 20 minit dengan penyanyi yang tidak henti-henti bercerita mengenai The First ini, sudah tentu memberikan pengalaman berbeza baik daripada pandangan dan persepsinya mahupun kisah percaturan peribadinya untuk terus kekal menjadi yang terbaik.

Jelasnya yang juga anak sulung daripada dua beradik ini, apa yang penting adalah perjuangannya yang baru hendak bermula.

"Siapa sangka akhirnya apa yang pernah saya mimpikan menjadi kenyataan. Lama saya mengharapkan peluang menjadi artis rakaman ini dan kini pihak Warner Music menaruh kepercayaan kepada saya. Sudah tentu saya tidak akan mempersia-siakannya. Namun ia tidak datang dengan senyuman dan janji manis saja, sebaliknya saya perlu bersedia dengan semangat dan kesungguhan.

"Saya sanggup mengetepikan soal menyambung pelajaran memandangkan saya ingin meletakkan sepenuh tumpuan pada nyanyian. Namun ini tidak bermakna saya lupa pentingnya pelajaran. Mungkin tahun depan saya akan kembali ke kuliah dalam jurusan Perniagaan Fesyen, namun semuanya saya tangguhkan dulu kerana yakin apa yang saya lakukan hari ini akan memberikan imbuhan berbaloi.

"Mujur saya diberikan keluarga, teman dan pihak syarikat rakaman yang begitu yakin dan percaya dengan bakat saya. Lantas, mengapa saya pula tidak memberikan 200 peratus terhadap keyakinan yang sudah mereka berikan itu," katanya lagi.

Shae kini gigih mempromosikan lagu pertamanya, Sayang daripada album The First sebagai pertaruhan awal.

Menyimpan impian untuk terus membawa naskhah itu ke Malaysia, penyanyi yang menyifatkan Britney Spears, Agnes Monica dan Rossa sebagai inspirasi mengharapkan akan ada peluang itu kemudian hari nanti.

"Saya seperti gadis biasa yang lain, meminati ramai penyanyi pop atau balada yang muziknya mudah didengari, punya personaliti dan karakter menarik untuk saya mudah mengikutinya. Lantas semua yang pernah saya minati dan masih dengar hingga kini, ia mempengaruhi muzik dan gaya saya hari ini terutamanya apabila menjadi penyanyi.

"Namun apa yang lebih penting, saya menekankan pada aspek permainan vokal untuk membezakan saya dengan penyanyi yang lain. Memang sejak awal lagi membabitkan diri dalam dunia seni suara, saya mahu ada identiti sendiri tanpa meniru mana-mana penghibur.

"The First misalnya, berbeza kerana semua lapan lagu yang terkandung dalam album ini ada kelainan pada setiap lagunya. Diharap peminat akan menerimanya dengan baik dan mampu menghargai apa yang cuba saya terjemahkan," katanya yang banyak menerima reaksi positif daripada peminat Malaysia menerusi facebook dan laman sosial twitter.

The First turut memuatkan lagu lain seperti Kok Telfon Telfon Sih, Cintaku Tlah Mati Untukmu, Hangat Hangat Kuku, Putus Nyambung, Kupikir Dulu, Tetaplah Senyum dan Aku Belum Pernah.

Memiliki wajah jelita dengan segala kriteria sempurna, bohong jika tiada sesiapa melekat di hatinya.

Namun tatkala persoalan itu diajukan, penyanyi bersuara persis Alanis Morisette dan Alicia Keys ini menepisnya dengan senyuman meleret.

"Jujur saya tiada siapa yang istimewa melainkan teman biasa dan keluarga saja.
Bukan memilih atau sengaja tidak mahu berkongsi, namun itulah hakikatnya. Saya masih sendirian tanpa sesiapa yang 'special' buat masa ini kerana keutamaan saya adalah untuk menumpukan sepenuh fokus pada album dan kerjaya nyanyian yang baru hendak bermula.

"Saya cuma ada tiga teman rapat, dua lelaki dan seorang lagi gadis dan merekalah sahabat yang mendengar segala keluhan dan keseronokan saya dalam dunia seni. Apa yang penting, mereka setia bersama saya untuk memberikan sokongan dan semangat berterusan agar semuanya lancar dan mengikut landasan.

"Namun bohong jika saya katakan tiada siapa yang mendekati, cuma semuanya sekadar teman biasa dan saya belum lagi sedia menjalinkan mana-mana hubungan serius melainkan kerjaya dan tanggungjawab sebagai pendatang baru," katanya yang pernah membintangi beberapa sinetron dan filem di Indonesia termasuk yang popular, Monyet Cantik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Selami dunia fantasi

Posted: 19 Oct 2012 10:31 AM PDT

MALAM kemuncak Anugerah Skrin 2012 (ASK2012) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 9 November ini menggandingkan pengacara popular, Awal Ashaari dengan pelakon jelita, Neelofa.

Neelofa yang sedang mencipta nama dalam arena seni tanah air mengaku berdebar dengan tawaran daripada pihak TV3 selaku penganjur majlis anugerah yang berprestij itu.

"Saya terima tawaran ini pada April lalu dan terus minta pendapat Awal mengenainya. Meskipun cabaran besar menunggu saya tetapi saya perlu mengambil peluang ini sebagai penanda atas kerjaya saya dalam bidang pengacaraan.
Mengendalikan anugerah sebesar ini adalah penghargaan kepada saya yang baru bertatih ini.

"Menariknya penganjuran ASK tahun ini yang bertemakan Selami Dunia Fantasi Kami (Fairy Tale), saya dan Awal akan diberi latihan mulai 1 November ini sehinggalah pada malam akan berlangsungnya anugerah itu. Ia bukanlah pengacaraan biasa kerana ia ada cerita yang akan disampaikan dalam bentuk persembahan lakonan. Saya dan Awal akan berlakon iaitu saya akan menjadi adik kepada Awal.

"Kami akan dibimbing pengarah terkenal, Rosminah Tahir. Latihan itu akan diadakan mulai jam 6 petang hingga 12 malam, setiap hari. Perasaan saya sangat berdebar kerana ia majlis besar, tentunya saya akan menerima dua pandangan iaitu pandangan suka dan tidak suka. Cabaran terbesar ialah untuk membuatkan penonton terhibur dan suka dengan penceritaan kami berdua.

"Skrip sudah dapat, tetapi saya belum buat persediaan. Kami akan melakukan pembacaan skrip bersama-sama pada 29 Oktober ini.

Di pentas nanti bukan saya dan Awal berdua saja, tetapi juga akan berganding bahu dengan pelajar Aswara," katanya.

Dua tiga hari selepas selesai bertugas di ASK2012, Lofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd Nor bersama kru Majalah Nona akan terbang ke Itali untuk melakukan penggambaran di sana.

Awal yang berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan akan berlakon sebagai abang kepada Lofa yang sedang mencari cinta.

"Malam ASK2012 ini bukanlah persembahan biasa, tetapi pementasan yang meraikan karyawan kita. Ia bukan sekadar berceloteh, tetapi saya dan Lofa akan dibawa ke dunia lain (Kingdom) dan semua watak 'fairy tale' akan muncul dalam majlis itu nanti. Kami mengacara dan berlakon pada satu masa," katanya.

Jika Awal dan Lofa beraksi di pentas utama, acara karpet merah pula akan dikendalikan Karl Shafek dan Dynas Mokhtar bersama Juara Pencarian Hos Pantene Anugerah Skrin musim kedua.

Antara artis yang akan menjayakan persembahan ASK2012 ialah Datuk M Nasir, Hazama, Misha Omar, Tomok, Fizz Fairuz, Anas Ridzuan, Hafiz, Adibah Noor dan Dayang Nurfaizah. Saksikan juga penampilan istimewa Datuk Rahim Razali, Datin Paduka Umie Aida, Ella, Rosyam Nor, Aqasha, Adi Putra, Fouziah Gous, Didie Alias dan Scha Al Yahya.

Ramai penggiat seni dan artis serta selebriti hadir memeriahkan acara pelancaran itu. Turut diadakan pertunjukan fesyen oleh Anzalna, Julia Ziegler, Elfira Loy, Fouziah Gous, Tasha Shilla dan Erra Fazira. Kemunculan mereka menggayakan rekaan pereka terkenal tanah air untuk menunjukkan kepada tetamu yang hadir fesyen yang menepati tema ASK2012 kerana sebelum ini ada juga mereka yang hadir gagal menepati tema yang ditetapkan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar serta wakil stesen lain yang bersama-sama memberikan sokongan kepada penganjuran anugerah itu.

Menurut Izham, memasuki musim ke-14, ASK2012 antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan. Konsep yang segar ditampil–kan setiap kali penganjurannya menyerlahkan lagi keunggulan majlis tersohor itu.

"Tahun ini, ASK2012 meng–angkat Selami Dunia Fantasi Kami sebagai konsep malam anugerah itu yang sudah- pun memasuki tempoh usia matang di mana ia dinanti-nantikan karyawan dan artis tanah air untuk menjulang nama mereka.

"Justeru, penganjuran ASK bukan saja memberi ruang kepada penggiat seni untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah ia juga menggalakkan mereka berusaha lebih gigih dan berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi, sekali gus memartabatkan hasil seni negara.

"Tahun ini, kami memilih konsep 'Fairy Tale' di mana penonton akan turut me–nyelami dunia fantasi kami pada malam anugerah nanti. Kebiasaannya, menonton drama dan filem menjadi satu 'escapism' kerana TV dan wayang adalah satu saluran positif untuk hiburan, informasi, berita dan sebagainya.

"Menerusi rancangan dan pelbagai program di TV ataupun wayang, penggiat seni bebas untuk mengekspresi idea dan menggunakan imaginasi dan kreativiti dalam menghasilkan produk yang menarik, bermutu dan relevan dengan cita rasa penonton," katanya.

ASK memberi pengiktirafan kepada drama, filem dan produksi TV tempatan.
Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot drama di semua rangkaian televisyen sepanjang tahun. Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita sempurna, lakonan mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton.

Tegas Izham, ASK bukanlah pertandingan antara stesen televisyen tetapi drama dan terbitan bermutu yang disiarkan melalui stesen ini yang dipertandingkan.

"Kami berharap agar penganjuran ASK2012 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif daripada rakan stesen televisyen yang lain," katanya.

Secara keseluruhan, anugerah itu mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta dua Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene.

Semua kategori yang dipertaruhkan meliputi 10 kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang sudah ditayang–kan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012 dan pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement berdasarkan 'genre' masing-masing.

Untuk kategori drama, 14 drama rantaian dan 4 drama komedi dicalonkan. Untuk kategori filem pula, 34 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan. Antara drama yang layak bertanding, Pelarian, Di Telapak Kaki Bonda, Ku Petik Dosa, Maharku Untukmu, 100 Hari, Sepatu Merah, Bedah Tong Gas, Hilangnya Doa Seorang Ibu, Parut Ashikin, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Pak Ngah Haji Omar.

Filem yang layak bertanding termasuk Bunohan, Mael Lambong, Songlap, Papa I Love U, Chow Kit, Berani Punya Budak, Bini-biniku Gangster, Jiwa Taiko, Hoore! Hoore! dan Jalan Kembali (Bohsia2).

Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2012 menerima pencalonan Tentang Dhia, Tahajjud Cinta, Mahabbah, Bunga Bunga Syurga, Makbul, Maharani, Cinta Shanxi, Karma, Lara Hati, Serapah Darah Bulan Madu, Jangan Ambil Padang Kami, Tanah Kubur Siri 3, Maqam dan Projek Pop. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.

Pantene sekali lagi menjadi penaja utama dan untuk menyemarakkan lagi kemeriahan acara ASK2012, Pantene bersama-sama TV3 sekali lagi menganjurkan Pencarian Hos Pantene Anugerah Skrin, musim kedua. Selain itu, Pantene juga akan menyampaikan anugerah khas - Pantene Shine Award kepada artis yang menerima undian tertinggi daripada orang ramai pada malam ASK2012 di laman web rasmi www.tv3.com.my/ASK2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20