Adsense

Khamis, 25 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jiwa terseksa

Posted: 24 Oct 2012 04:03 PM PDT

Tasha teringin bertemu Datuk J jika lelaki dikaitkan itu benar-benar wujud

Bukan sekali dua, malah hampir setiap kali gosip mengenai Tasha Shilla tersiar, pasti nama lelaki yang hanya dikenali sebagai Datuk J terkait sama. Tidak kisah sama ada cerita Tasha ditaja atau keluar berhibur di kelab malam, nama lelaki itu tetap disebut.

Semakin kerap pelakon ini membuat penafian, semakin banyak pula cerita dia dan lelaki berkenaan disiarkan. Terbaru, nama pelakon yang mempunyai wajah persis Krisdayanti ini kembali hangat apabila didakwa berhibur sakan di kelab bersama lelaki yang didakwa sebagai 'sugar daddynya' itu.

Lebih panas, kereta mewah Audi A5 Cabriolet yang dipandunya ketika ini turut disensasikan, apabila ia dikatakan pemberian lelaki itu kepadanya.
Begitulah sinonimnya pemilik nama penuh Natasha Sheila Abd Razak dengan VIP terbabit. Namun persoalannya, siapakah Datuk J sehingga acap benar dia dikaitkan dengan Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 ini? Wujudkah lelaki itu dalam diri pelakon drama Gemilang ini?

Saat diajukan pertanyaan itu kepadanya, Tasha tidak dapat menjelaskan apa-apa kerana sehingga kini, dakwanya, dia sendiri belum bertemu lelaki yang sering digosipkan dengannya itu.

"Kalau betul Datuk J wujud, saya teringin bertemu dengannya dan mahu mengucapkan terima kasih kerana menaja kehidupan saya seperti sering dicanang orang. Masalahnya, Datuk yang dikatakan itu tidak wujud. Saya sendiri tiada hubungan dengan sesiapa, termasuk Datuk terbabit. Saya masih single dan available.

Tak mahu lukakan hati sesiapa
"Tak mahulah gosip seperti itu akan melukakan hati isteri Datuk berkenaan, kalau betul dia wujud. Susahlah nanti kalau ada lelaki yang mahu dekati saya, andai gosip ini berterusan," tegasnya ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai wajah kempen I Love Malaysian Designers di Mutiara Damansara, kelmarin.

Walau letih dan rimas apabila sering diajukan soalan sama, pemenang kategori Heroin Terhebat Anugerah Blokbuster ini tetap tenang berdepan situasi itu.

"Bohonglah kalau saya kata tak sedih apabila tak henti-henti dilanda gosip sebegini. Ada ketika saya menangis juga. Paling kasihan tentunya ayah saya apabila terpaksa berdepan pertanyaan demi pertanyaan daripada kawannya, yang mahukan pengesahan mengenai gosip itu. Saya tak mahu buat dia bersedih.

"Seboleh-bolehnya, saya tak nak marah atau melenting apabila terus menjadi bahan gosip. Tapi sebagai manusia biasa, tak mustahil satu hari saya meletus juga kerana kesabaran ada batasnya," kata Tasha yang akan ke Abu Dhabi, bulan depan, untuk penggambaran sebuah drama bersiri.

Wajah kempen amal

Mengulas pembabitan dalam kempen itu pula, Tasha, 25, berkata, hubungan baik yang terjalin bersama pengasasnya serta pereka fesyen yang bernaung di dalamnya membuatkan dia terpanggil memberikan khidmat, selain situasi menang-menang.

"Saya tahu dan ada dengar kononnya saya dipilih kerana acara ini ada kaitan dengan Datuk J. Ia tidak benar. Saya terpilih kerana saya kenal penganjur dan juga pereka fesyen. Sebelum ini pun saya banyak membantu pereka fesyen. Selain objektifnya ke arah kebajikan, pengurus yang menggalakkan saya menerima tawaran ini kerana ia turut membantu dari segi tajaan pakaian," ujarnya.

Tugas pertama digalas Tasha sebagai wajah kempen, dia akan memperagakan koleksi pereka fesyen Nurul Wardrobe dan Syahrir Nurdin pada acara lelongan amal di Pavilion, jam 8.30 malam 30 Oktober ini.

10 naskhah untuk Seniman Agung

Posted: 24 Oct 2012 04:00 PM PDT

RTM, Suhan Movies kenang jasa Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam cara unik dan kreatif

Selama ini, usaha mengenang Allahyarham Tan Sri P Ramlee sering dilakukan dalam bentuk program muzikal - baik konsert mahupun persembahan teater.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mengambil langkah berbeza dengan menghimpunkan 10 karya pengarah terkemuka tanah air untuk mengisi slot Tribute to P Ramlee yang bakal menemui penonton mulai 4 November depan selama 10 minggu di TV1.

Melalui program ini, 10 pengarah yang terpilih merealisasikan projek cetusan Suhan Movies itu dikehendaki menghasilkan sebuah telefilem dengan menggunakan satu daripada lagu ciptaan penyanyi serta pelakon lagenda tanah air itu.
Lagu yang digunakan setiap pengarah harus diselit dalam telefilem sebagai salah satu syarat wajib menyertai projek Tribute to P Ramlee. Semua telefilem yang disiarkan sehingga 6 Januari depan akan dipertandingkan pada malam Anugerah P Ramlee yang dijadual berlangsung pada 24 Februari depan di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor berkata, sebanyak sembilan kategori akan menjadi rebutan pada malam itu.

Menurutnya, projek itu bukan mudah direalisasikan terutama dalam mendapatkan kepercayaan pengarah serta penaja.

"Penggambaran sudah pun siap sejak setahun lalu, tetapi kita sukar meyakinkan penaja menyebabkan projek ini mengambil masa yang lama untuk dilancarkan.
"Begitu juga ketika mahu mendapatkan kepercayaan pengarah. Kebanyakan daripada mereka samar-samar dengan usaha yang cuba diketengahkan. Namun kami yakin, selepas berjaya dilaksanakan, kesukaran yang dilalui dapat ditangani dengan lebih mudah," katanya pada sidang media mengumumkan projek itu.

Turut hadir di majlis itu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail.

Jadi acara tahunan

Norhyati berkata, RTM tertarik menjalinkan kerjasama selepas melihat kertas cadangan yang dikemukakan Suhan Movies.

Menurutnya, inisiatif ini perlu dijadikan acara tahunan supaya sumbangan Tan Sri P Ramlee tidak dilupakan terutama generasi muda.

Norhyati berkata, apa yang diusulkan oleh Suhan Movies adalah satu kandungan produk baru yang tidak pernah difikirkan RTM. Justeru dengan tercetusnya projek ini, RTM terfikir menjadikan projek Tribute to P Ramlee itu sebagai jenama baru bagi stesen televisyen itu.

"Selama ini, RTM tidak pernah memikirkan perkongsian pintar begini. Bagi kami, ini adalah satu kelainan yang tidak seharusnya kami lepaskan.

"Lagipun P Ramlee cukup dekat dengan RTM. Kami banyak menonjolkan apa saja bentuk acara yang boleh mengetengahkan ikon seni tanah air itu. Jadi kami melihat idea ini sebagai satu kelainan yang perlu diketengahkan kepada penonton," katanya.

Tambah Rosyam lagi, setiap drama diberi kepada pengarah mengikut kesesuaian serta genre drama mahupun filem yang lazim dihasilkan mereka. Malah, setiap pengarah diberi kebebasan memilih lagu diminati. Menurutnya, pada mulanya sebanyak 30 pengarah disenaraikan untuk projek ini namun selepas disaring oleh RTM, jumlah itu dikurangkan kepada sepuluh.

Rosyam berkata, penonton bakal melihat kelainan dalam semua telefilem ditayangkan kerana dihasilkan mengikut sistem penerbitan lama di mana setiap pengarah diberikan tempoh sehingga 15 hari untuk menyiapkan sebuah telefilem.

"Dulu tempoh untuk menyiapkan sebuah telefilem lazimnya memakan berbelas hari. Tetapi sekarang dalam tempoh enam hingga lapan hari saja sebuah telefilem dapat disiapkan. Akibatnya kualiti sesebuah drama itu tidak begitu memuaskan kerana hendak cepat siap.

"Jadi kita memberi tempoh dan bajet yang mencukupi supaya kualiti drama yang dihasilkan memuaskan. Saya sudah melihat sendiri kebanyakan drama ini dan ternyata formula itu menjadi," katanya.

Pengarah mengambil bahagian:

Along Kamaruddin
Michael Ang
Bade Azmi
Osman Ali
Aziz M Osman
Ismail Yaacob
Rashid Sibir
Murali Abdullah
Amie Maziah
Erma Fatima

Judul telemovie:

Tunggu Sekejap
Getaran Jiwa
Miang Buloh Keladi Birah
Di Mana Kan Ku Cari Ganti
Siapa Tipu Siapa
Jodoh Kita
Titisan Kasih
Pelamin Di Pusara
Hanya Dikau
Selagi Cinta Berzikir.

Kategori dipertandingkan:

Pelakon Lelaki Terbaik
Pelakon Wanita Terbaik
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Videografi Terbaik
Pengarah Terbaik
Skrip Terbaik
Drama Terbaik
Anugerah Khas Tokoh P Ramlee