Adsense

Jumaat, 14 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tiz, Remy bercinta di Eropah

Posted:

Tiz, Remy bercinta di Eropah


PERTAMA kali bersetuju menjadi duta produk kecantikan, kata Tiz, dia perlu memilih produk yang terbaik dan sesuai untuk ditonjolkan kepada masyarakat.


TAHU hakikat bercinta lama bersama Remy Ishak bakal mengundang 1001 masalah kepada hubungan mereka, akui Tiz Zaqyah, dia sanggup menghadapinya.

"Ya, saya boleh terima apa jua keadaan pada hubungan kami ini," jelasnya ringkas tatkala diajukan soalan tentang dia tidak gentar bercinta lama dengan Remy. Hubungan cinta mereka boleh dihitung melebihi usia dua tahun.

Tidak meletakkan sasaran bila mereka akan berkahwin, ulas Tiz, dia hanya berserah kepada jodoh.

Katanya, jika ditakdirkan mereka berkahwin dalam masa terdekat ini, dia tidak menolak ketentuan itu.

"Saya tidak merancang dan meletakkan sasaran bila akan berkahwin. Kalau ada jodoh saya kahwin. Kalau dalam masa terdekatpun saya terima. Namun begitu saya juga berharap ketika itu keadaan saya sudah stabil," ulasnya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta terkini produk kecantikan May di Flora Terrace, Kuala Lumpur.

Tiz sendiri enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama Remy kerana memang pendiriannya tidak mahu menjaja kisah peribadinya melebihi kisah kerjaya lakonan.

Bagaimanapun, pada hari itu, dia berkongsi cerita cintanya bersama media kerana ingin menutup spekulasi bahawa hubungannya dengan Remy dilanda masalah.

Ini kerana sebelum ini banyak spekulasi mengenai hubungan mereka timbul. Ada yang mengatakan hubungan mereka sudah putus selepas isu Remy tidak menerima layanan yang baik dari Tiz ketika pelakon filem Jiwa Taiko itu sakit.

Ada juga mendakwa Tiz tidak tahan lagi dengan sikap panas baran Remy, namun semuanya itu sekadar gosip yang mematangkan hubungan mereka.

Bercuti ke Eropah

Tiz juga berkongsi rasa terujanya apabila dia dan Remy bakal bercuti ke Eropah, seterusnya menjayakan penggambaran drama arahan Kabir Bhatia iaitu Cinta Jangan Pergi pada pertengahan bulan Oktober ini.

"Mungkin 15 atau 18 Oktober ini saya akan terbang ke Eropah untuk menjayakan penggambaran drama Cinta Jangan Pergi bersama Remy. Sesi penggambaran akan diadakan di beberapa lokasi seperti London, Paris dan New Zealand yang memerlukan kami berada di sana selama 20 hari," ulasnya yang sekali lagi akan menjayakan watak kekasih kepada Remy dalam drama 26 episod itu.

Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, ujar Tiz, dia membawakan watak Lea Soraya yang memerlukannya berambut pendek.

"Lea merupakan seorang wanita yang sangat teratur dalam menguruskan hidupnya. Cinta Jangan Pergi menceritakan kisah percintaan Lea Soraya dan Khalil (lakonan Remy) yang sama-sama menuntut di sebuah universiti di London," terang Tiz.

Menurut Tiz, dia sangat berbesar hati melakonkan watak Lea Soraya kerana penulis skrip tersebut iaitu Mira Mustaffa yang juga isteri kepada Kabir Bhatia, mengilhamkan watak tersebut khusus buat dirinya.

Ulas Tiz, drama bersiri tersebut akan ditayangkan di TV9 selepas tamat sesi penggambaran kelak.

Terang pelakon itu lagi, ketika ini hanya drama bersiri tersebut yang menjadi keutamaannya memandangkan dia tidak mengambil tawaran lain.

"Saya cuma fokus pada satu kerja sahaja. Saya tidak mampu buat banyak kerja dalam satu masa. Lagipun penggambaran drama ini akan mengambil masa selama tiga bulan. Jadi saya perlu fokus dan memberi komitmen kepada produk ini," jelasnya.

Tidak tercabar

Ditebak soalan adakah dia berasa tercabar dengan kehadiran artis-artis baharu di persada seni seperti Neelofa, Anzalna, Izara Aishah dan Tasha Shilla, ujar Tiz, dia tidak merasakan persaingan wujud di antara dia dengan artis-artis baharu.

Baginya, dia berlakon untuk memberi kepuasan kepada dirinya, dan menganggap ia merupakan satu pekerjaan.

"Bila berlakon, saya tidak terfikir untuk bersaing tetapi gembira dengan apa yang saya lakukan. Lainlah kalau saya berlakon untuk mendapatkan anugerah," jelasnya.

Mengulas lanjut, kata Tiz, apa yang penting baginya adalah sentiasa memperbaiki mutu lakonannya agar ia sentiasa mendapat tempat di hati penonton.

Tiz juga memberitahu, adalah penting bagi seorang pelakon itu memilih watak dan jalan cerita daripada menerima segala tawaran yang datang.

Era FM terima banyak soalan cinta

Posted:

Era FM terima banyak soalan cinta

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA dan KHAIRUL AMRI HASSAN


AARON AZIZ akan memulakan tugas sambilannya bersama radio ERA sebagai 'doktor cinta' menerusi segmen Doktor Cinta Aaron Aziz pada hari ini.


SETELAH mengesahkan untuk tampil dalam segmen Doktor Cinta dan menyelesaikan masalah cinta yang dihadapi oleh peminatnya, pelakon filem Ombak Rindu, Aaron Aziz dihujani dengan pelbagai soalan cinta walaupun rancangan itu masih belum ke udara.

Segmen Doktor Cinta Aaron Aziz mula ke udara di radio Era FM bermula Jumaat ini (hari ini) pukul 9 malam hingga 11 malam menerusi slot Meletop 40 Era bersama DJ Shac.

Melalui kiriman e-mel di aaronaziz@era.fm mahupun hashtag #DrCintaAaronAziz di laman sosial Twitter, Aaron kini ditebak dengan 1001 soalan yang berkisar masalah percintaan remaja mahu pun pergolakan rumah tangga.

Menurut Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran, pihaknya menerima terlalu banyak soalan yang ditujukan kepada Aaron mengenai masalah cinta dan rumah tangga walaupun segmen itu masih belum bermula.

"Di Twitter, Aaron sudah ditanya dengan pelbagai soalan, kami akan pilih soalan terbaik dahulu untuk disiarkan setiap minggu," ujarnya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Era FM baru-baru ini.

Mengulas mengenai segmen itu, Nazri berkata, setiap minggu Aaron akan menjawab 10 soalan sahaja berdasarkan e-mel, Twitter dan panggilan telefon.

Berdasarkan pengalaman Aaron sebagai selebriti yang sudah berkeluarga, beliau percaya pelakon itu mempunyai kredibiliti untuk menjawab persoalan mengenai kisah cinta dan masalah rumah tangga.

"Dia (Aaron) juga menjaga keluarganya dengan baik walaupun sibuk sebagai pelakon. Sudah tentu dia ada banyak pengalaman, jadi kami percaya dia boleh menjawab soalan cinta peminatnya," ujarnya.

Nazri turut menjelaskan, pemilihan Aaron sebagai doktor cinta juga adalah pilihan pelakon itu sendiri selepas pihaknya membuat perbincangan.

"Setelah berbincang untuk menempatkan Aaron dalam segmen yang mana satu, idea sebagai doktor cinta adalah daripada pelakon itu sendiri memandangkan dia sebelum ini banyak berinteraksi dengan peminat yang sering bertanya soalan cinta," jelasnya.

Nazri kemudian mengakui, pemilihan Aaron diharap dapat mengekalkan stesen radio itu sebagai radio utama di negara ini, berdasarkan reputasi dan populariti Aaron.

Segmen Doktor Cinta Aaron Aziz itu dikendalikan oleh DJ Shac bersama Aaron sebagai jemputan menyelesaikan masalah cinta pemanggil selama sebulan terlebih dahulu.

"Kita akan tengok sebulan ini kalau segmen itu berjaya, Era FM akan ikat kontrak dengan Aaron selama setahun," ujarnya.

Sementara itu, Aaron berkata tugasnya sepanjang slot tersebut cuma sebagai selebriti undangan yang berkongsi buah fikiran untuk menyelesaikan persoalan berkaitan masalah cinta.

"Saya bukan menjadi deejay pun, sekadar dijemput untuk memberikan pandangan terhadap sesuatu isu berkaitan cinta dan cuba menyelesaikan soalan yang diajukan pendengar," katanya yang ditemui ketika majlis amal selebriti dan Rafflesia di Great Eastern Mall, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Aaron akan memulakan penggambaran filem Lari arahan Ahmad Idham bersama Dira Abu Zahar pada 17 September ini selain menanti tarikh tayangan beberapa filem lakonannya yang lain antaranya Ngorat, Kerat 14, KL Gangster 2, Dampak dan Prince Of The City.

Bagi DJ Shac pula yang mengendalikan slot Meletop 40 Era dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, kehadiran Aaron bersamanya setiap Jumaat diharapkan dapat meningkatkan pendengar setia pada slot itu.

"Saya pernah bekerjasama dengan Aaron sebelum ini, jadi kami ada keserasian. Saya juga berharap kami tiada masalah untuk berinteraksi dengan pendengar apabila ke udara nanti," ujarnya.

Hudson maafkan pembunuh

Posted:

Hudson maafkan pembunuh


JENNIFER HUDSON tidak berdendam dengan abang iparnya yang telah membunuh tiga anggota keluarganya.


JENNIFER HUDSON telah memaafkan abang iparnya, William Balfour yang membunuh tiga anggota keluarganya, termasuk ibunya pada tahun 2008.

Kemaafan tersebut dilafaz Hudson sewaktu dia muncul dalam program bual bicara hos terkenal, Oprah Winfrey menerusi program Oprah Next Chapter.

Dalam temu bual tersebut, penyanyi berusia 30 tahun itu membuka mulut buat pertama kali tentang insiden penuh tragis itu selepas Balfour menjalani hukuman penjara seumur hidup di atas perbuatannya.

"Saya berasa bahawa apa yang dilakukannya itu bukan sepenuhnya kesalahan dia. Saya fikir, dia terpengaruh dengan gaya hidupnya sebelum ini dan bagaimana dia membesar tanpa kasih sayang.

"Kami cuba untuk menawarkan kasih sayang itu, tetapi dia tak dapat menerimanya," ujar Hudson dalam temu bual tersebut.

Pada 24 Oktober 2008, Balfour mengejutkan dunia apabila menembak mati ibu Hudson iaitu Darnell Donerson (57), abangnya, Jason Hudson (29), dan anak saudaranya, Julian King (7).

Sementara itu, Hudson yang sebelum ini belum bersedia untuk mengunjungi kubur anggota keluarganya yang mati memberitahu dia kini telah mendapat kekuatan untuk 'bertemu' mereka.