Adsense

Selasa, 11 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bingbing tak lepas peluang

Posted: 10 Sep 2012 07:27 AM PDT

ADA Wong, watak srikandi yang cukup popular dalam permainan video Resident Evil, namun kehebatan dan kecekapannya dalam mengendalikan senjata api tidak pernah dipamerkan dalam filem.

Bagaimanapun, menerusi pembikinan Resident Evil - Retribution, Paul W S Anderson, selaku pengarah memunculkan Ada Wong serta beberapa karakter kegilaan peminat permainan video berkenaan seperti Leon Kennedy dan Barry Burton.

Namun seperkara yang menarik, pencarian untuk watak Ada Wong menggesa Anderson menjelajah hingga ke China dan akhirnya menemukan si jelita, Li Bingbing yang juga aktres terkenal di republik itu.

Khabarnya Anderson terpaut dengan kejelitaan wanita tinggi lampai yang mempunyai raut wajah seperti diukir selain 'filmography' pelakon berusia 39 tahun itu sendiri yang sememangnya tidak asing dengan deretan drama serta filem aksi.


Nyata pelawaan itu tidak ditolak Bingbing apatah lagi melihat ramai aktres dari Hong Kong, Taiwan dan China yang sudah pun melakar nama di peringkat antarabangsa.


"Saya berasa amat terharu dan bangga kerana terpilih untuk membintangi filem ini. Saya menerimanya kerana teringin untuk menimba pengalaman bekerja dengan produksi Barat yang mana umum di seluruh dunia tahu, mereka sering menghasilkan filem-filem hebat.

"Selain itu watak Ada Wong sendiri yang penuh tarikan kerana ia adalah karakter yang sangat popular dalam permainan video Resident Evil. Saya berbangga melakonkan watak ini yang mewakili karakter wanita China yang perkasa," katanya dalam temubual yang diadakan di Hotel Empire, Subang Jaya, Jumaat lalu.

Bingbing mengunjungi Malaysia, sempena menghadiri Tayangan Perdana Ekslusif Resident Evil - Retribution, yang berlangsung 7 September lalu di TGV Sunway Pyramid.

Tampak teruja saat berkongsi pengalamannya, peran Ada Wong itu berkata, untuk mendalami karakter yang diberi dia sempat menonton sendiri permainan video Resident Evil.

"Beberapa watak baru diketengahkan dalam filem ini melainkan Alice, yang dimainkan pelakon Hollywood, Milla Jovovich sejak Resident Evil pertama lagi.
Tidak seperti dia, saya pasti semua pelakon melakukan kajian untuk benar-benar memahami karakter yang diberi.

"Rujukan yang saya lakukan adalah dengan menyaksikan permainan video itu sendiri selain bermain permainan video dengan menguji ketangkasan Ada Wong untuk menghayati cara pergerakannya juga cara dia bertutur.

"Saya cuba mengingati kesemuanya sebaik mungkin supaya penonton yang terdiri daripada pencinta permainan video itu merasakan bahawa Ada Wong benar-benar hidup menerusi lakonan saya.

"Hampir kesemua babak aksi saya lakukan sendiri. Saya tidak tahu mengapa sejak dulu lagi orang menyangkakan saya pelakon aksi, walhal saya langsung tidak mendalami secara serius. Pun begitu, saya tetap suka untuk melakukan filem kung fu.

"Melalui filem ini, terdapat satu babak pertemuan dengan Milla di sebuah bilik kawalan, saya melakukan flip di udara. Ia hebat. Saya amat teruja melakukannya dan itulah juga kali pertama saya belajar menembak," katanya.

Ditanya, bagaimanakah pula pengalaman bekerja dengan Milla Jovovich, akui anak kelahiran The Forbidden Kingdom itu, wanita berkenaan sangat profesional selain seorang yang mesra.

"Di luar set kami berkongsi pelbagai cerita daripada lakonan, kerjaya, kisah keluarga hinggalah kecantikan. Dia juga banyak memberi 'input' kepada saya mengenai jalan cerita filem ini yang sudah pun dibintanginya sejak pertama kali difilemkan.

"Namun, sebaik memasuki penggambaran saya dapat merasakan bahawa dia adalah srikandi yang sebenar. Pergerakannya cukup sempurna dan tangkas.

"Ada satu hari, Milla membawa anak perempuannya ke set penggambaran lalu dia bertanya kepada anaknya itu, bila besar nanti mahu menjadi seperti apa? Lalu anaknya menjawab, mahu membesar sebagai gadis Cina seperti Ada Wong.

"Kata-kata anak kecil itu membuatkan saya amat terharu. Melihat Milla membuatkan saya kagum kerana dia bukan saja seorang pelakon yang hebat, tetapi juga mempesonakan sebagai seorang ibu. Dia membuatkan saya mula berfikir untuk mempunyai keluarga.

"Sepanjang beberapa bulan menjalani penggambaran filem itu, tiada seorang pun yang memperlekehkan pertuturan saya dalam bahasa Inggeris malah, mereka berkata, 'oh, bahasa Inggeris anda menakjubkan!.

"Semua orang memberikan galakan dan melayani saya dengan baik sekali hingga tidak terasa janggal langsung bahkan umpama bekerja dalam sebuah keluarga yang sangat selesa," katanya.

Sedikit gambaran mengenai plot konflik yang terjadi di sekuel ke-5 filem adaptasi francais permainan video terkenal itu, kewujudan T-Virus yang mematikan hasil ciptaan Umbrella Corporation terus menggugat bumi, merubah populasi global menjadi kumpulan mayat hidup pemakan daging.

Harapan terakhir dan satu-satunya manusia, Alice terbangun di tengah-tengah markas operasi Umbrella yang paling rahsia dan menemukan berbagai misteri masa lalunya.

Lewat aksinya kali ini, Alice terus memburu mereka yang bertanggungjawab atas musibah itu, dengan mengembara dari Tokyo ke New York, Washington dan Moscow, untuk menemukan sebuah pengungkapan yang memaksanya untuk memikirkan kembali semua perkara itu adalah benar.

Dibantu oleh teman baru dan lama, Alice harus bertarung untuk bertahan cukup lama untuk menyelamatkan diri dari dunia yang berada di hujung kehancuran.

Alice dibantu oleh teman-temannya seperti Ada Wong, Jill Valentina yang dilakonkan oleh Sienna Guillory, Luther West (Boris Kodjoe) dan James 'One' Shade (Colin Salmon). Sementara itu, Michelle Rodriguez kembali memerankan karakter Rain Ocampo, Shawn Roberts dengan karakter antagonis Albert Wesker yang pernah diketengahkan menerusi Resident Evil: Afterlife, turut ditampilkan kembali.

Kekaguman wanita persis perawan dari negara Siam itu tidak terbatas kepada Milla saja, bahkan juga cara kerja produksi Barat yang jauh lebih sistematik dan moden daripada negara Asia.

"Dulu saya mendengar cerita rakan-rakan artis mengenai kehebatan cara kerja pembikin filem di sana, kini saya sendiri mengalaminya. Bekerja dengan produksi Barat cukup teratur, teknologi yang digunakan mendahului industri perfileman lain.

"Semuanya yang termaktub dijelaskan secara hitam putih. Katakanlah masa bekerja dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan sekiranya terpaksa bekerja lebih masa katakan, pelakon termasuk semua yang terbabit akan menerima bayaran tambahan.

"Berbeza dengan produksi di China, jika baki penggambaran terpaksa ditambah atau bekerja sehingga lewat kami, tiada bayaran tambahan kerana ia lebih kepada konsep menjaga perhubungan," katanya.

Meskipun tidak putus memuji kehebatan produksi Barat, namun Bingbing mengakui, walaupun karier lakonannya sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, kecintaan masih tetap utuh buat industri perfileman di China.

Bukan saja selesa dari segi pertuturan, akan tetapi di negaranya sendiri dia memperoleh pelbagai watak yang memberikan Bingbing kepuasan berlakon.

"Sudah pasti, saya mahu kembali bekerja dengan produksi Barat namun, jika diberikan peluang saya memilih untuk membabitkan diri dalam pembikinan filem yang memerlukan saya bermain dengan emosi dalaman.

"Seperti Resident Evil ini, hampir kesemua babak adalah babak aksi jadi penonton hanya melihat saya dengan satu pandangan saja. Biar kini nama karier lakonan saya menembusi pasaran Hollywood, saya tetap akan berbakti pada industri perfileman di negara saya sendiri kerana di situlah saya bermula.

"Jika bukan kerana sokongan penggiat industri dan peminat, tidak mungkin saya memperoleh peluang sehebat ini," katanya.

Berbicara mengenai sesuatu di luar ruang lingkup kerjayanya, wanita sinonim dengan watak aksi itu yang menceburi bidang lakonan seawal usia 20 tahun, berkata, dia ingin melaksanakan impiannya iaitu memandu kapal terbang.

"Mungkin saya nampak seperti seorang wanita lembut secara luarannya namun, sebenarnya tidak pada dalaman saya. Sejak dulu, saya memang sukakan sesuatu yang mencabar. Impian, saya selepas acap kali berlakon filem aksi bilakah saya akan akan memandu kapal terbang pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Soseh Soseh: Kata dah insaf?

Posted: 10 Sep 2012 07:06 AM PDT

BUKANLAH nak jadi baik atau tiba-tiba nak berperangai seperti calon Imam Muda, tapi rasanya SS perlu menegur sedikit sikap seorang selebriti jelita yang rasanya tidak pernah serik.

Sebelum ini kecoh menceritakan sikapnya yang pernah ditangkap mabuk dan berkelakuan tidak senonoh dalam keadaan separuh sedar, namun selepas beberapa ketika, selebriti tadi muncul memberikan kenyataan dan memohon maaf.

Tapi masih menafikan tindakan dan perangainya yang suka mabuk dan parti itu.
SS rasa tidak mengapa kerana sebagai seorang wanita Islam, dia wajar untuk tidak mengaku bagi mengelakkan berlakunya rusuhan pula. Maklumlah, tidak mungkin dia sanggup berdepan hukuman sebat pula kalau mengaku yang dia mabuk.

Cukup sekadar alasannya untuk lebih berhati-hati dan tidak lagi mengunjungi tempat-tempat yang boleh memerangkap dirinya lagi. SS faham dan rasanya media lain juga begitu kerana percaya dia akan berubah.

Sayang seribu kali sayang, apa yang SS harapkan itu meleset sama sekali apabila hujung minggu lalu ada pula seorang pembaca akhbar ini yang menghubungi SS menceritakan pengalamannya yang berdepan dengan selebriti yang sama dalam keadaan lebih kronik.

Kebetulan SS seorang saja yang bekerja hujung minggu lalu, terus melekat telinga di telefon mendengar setiap inci cerita pemanggil itu tadi.

Khabarnya pemanggil yang kebetulan berada di sebuah kelab hiburan malam minggu lalu atas urusan membawa pelanggannya berhibur duduk berhampiran dengan
selebriti itu tadi.

Tiba-tiba kecoh saja di kawasan selebriti popular itu berparti. Mana tidaknya kecoh, rupa-rupanya selebriti tadi sudah terhuyung-hayang tidak sedarkan diri sambil ada seorang lelaki sudah berusia namun masih kacak dan tegap badannya yang cuba 'menyelamatkan' dirinya yang terkulai layu.

Bukan itu saja, ramai juga orang yang turut berada di dalam kelab itu yang menggelengkan kepala kerana keadaan selebriti tadi yang sudah mengganggu beberapa meja lain di sebelahnya.

SS terdiam juga mendengar cerita pemanggil itu tadi kerana rasanya Syawal belum lagi melabuhkan tirainya. Orang lain sibuk rindukan Ramadan dan selebriti ini pula sudah laju mengatur perancangannya untuk mabuk dan kembali berparti.

SS rasa selebriti ini tidak akan berubah dan hanya memberi alasan kononnya dia tidak lagi bersikap seperti itu sedangkan dia tidak pernah kisah kerana apa yang penting, itulah perangainya sejak sebelum menjadi selebriti lagi bersama kawan-kawan lamanya.

Tapi tidaklah SS hairan sangat kerana selebriti tadi memang sedang bahagia kerana dirinya ditaja seorang lelaki berpangkat tinggi dengan wang ringgit yang makan tidak habis.

Jadi walaupun kerja seninya tidak seberapa, wang ringgit yang masuk mengalahkan penyanyi terkenal negara.

SS: Kelakar mendengar alasan seorang pelakon yang katanya dihalau dari sebuah kelab hiburan di sebuah majlis baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10