Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Sambut lebaran secara sederhana

Posted: 23 Aug 2012 07:40 AM PDT

LEBARAN tahun ini cukup bermakna buat Eja yang turut meraikan kemenangan bergandanya dengan trofi Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan juga Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem seram Janin sekali gus melakar sejarah dalam karier seni yang diceburi sejak 16 tahun lalu.

Kemenangan itu juga membuktikan anak kelahiran Kuala Lumpur ini mampu memberikan cabaran dan saingan sengit kepada barisan bintang muda sedia ada walaupun sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata. Namun ia bukan bermaksud pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin akan membazir ketika meraikan hari kemenangan buat umat islam itu pada tahun ini.

Kata Eja, 40, lebaran tahun ini diraikan dengan suami, Silahuddin Jamaludin, secara sederhana sama seperti tahun sebelumnya.

"Saya lebih mengutamakan persiapan untuk anak dan suami berbanding diri sendiri. Mungkin orang tak percaya, saya sudah tak boros ketika berbelanja sejak kehadiran Nur Eishal, dua tahun 10 bulan dalam hidup kami. Sudah dua tahun juga saya hanya beli baju kain kapas untuk digayakan pada hari raya kerana ia selesa buat saya dan anak.


"Tahun ini juga, saya hanya beli dua pasang baju kurung kain kapas yang sedondon dengan suami serta anak untuk digayakan pada hari raya. Cuma persiapan untuk Eishal lebih sikit iaitu selain dua pasang baju kurung kain kapas, saya juga beli dua gaun dan jeans untuknya.


"Begitu juga suami yang hanya beli satu pasang baju Melayu untuk digayakan pada pagi raya sekali gus untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri," katanya.

Pada sesi fotografi bersama Rap yang diatur di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Eja yang jelita dengan busana dari butik Cosry, memberitahu lebaran memang memberi pengertian yang cukup besar buatnya sekeluarga.

"Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta menjauhi perkara yang dilarang agama sudah pasti lebaran dinantikan seluruh umat islam. Bagi saya, lebaran adalah hari untuk kita berkumpul bersama sanak saudara jauh dan dekat sekali gus mengeratkan lagi tali persaudaraan sedia ada.

"Maklumlah, bukan mudah untuk kita berjumpa seluruh ahli keluarga kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan keluarga masing-masing.

"Justeru, hari rayalah masanya untuk kita berkumpul dan bertanya khabar masing-masing. Selalunya, sambutan hari raya kami sekeluarga terutama di rumah keluarga mentua cukup meriah kerana kami anak beranak berkumpul dan memasak beramai-ramai seperti kenduri," katanya.

Sudah menjadi tradisi, anak sulung dari lima beradik ini beraya di rumah keluarganya pada malam raya di Puchong, Selangor dan keluarga mentuanya di Ipoh, Perak pada hari raya pertama.

"Kami tiada masalah dengan sistem giliran beraya kerana membahagikannya secara adil. Selalunya, kami pulang beraya di rumah ibu saya lebih awal iaitu pada malam raya dan selepas membantu apa yang patut di rumah emak, kami akan terus bertolak ke Ipoh untuk beraya di rumah keluarga mentua pada pagi raya.

"Sejak berumah tangga, itulah sistem giliran beraya yang menjadi amalan kami suami isteri dan ternyata ia memuaskan hati keluarga kedua belah pihak," katanya.

Setiap kali tibanya hari raya, juadah wajib Eja pada pagi raya ialah Nasi Impit, Nasi Tomato, Kuah Kacang, Rendang ayam, rendang daging dan lemang yang disediakan ahli keluarga.

"Juadah kegemaran suami pula Nasi Tomato dan Daging Dendeng yang juga resepi turun temurun ibu mentua yang sudah berusia 83 tahun tetapi masih sihat. Biskut raya kegemaran saya pula ialah Tat Nenas dan popiah kecil," kata Eja.

Eja semakin cerewet?

BUKAN 'demand' sebaliknya, aktres hebat dan berpengalaman ini mengakui terpaksa lebih cerewet pilih watak selepas menggenggam dua trofi berturut-turut, tahun ini.

"Dari dulu lagi, saya memang cerewet pilih watak kerana sangat pentingkan kualiti dalam lakonan. Saya tidak mahu wajah kerap muncul dalam drama atau filem tapi pengisian jalan ceritanya kosong.

"Pada masa sama, saya juga tidak ada masalah bekerja dengan pengarah muda kerana pada pemerhatian saya ada beberapa pengarah muda yang sangat kreatif, memiliki idea segar dan berfikiran terbuka ketika berkarya," katanya yang baru selesai penggambaran dua telemovie raya iaitu Lelaki Yang Dicintai untuk stesen TV Al Hijrah dan turut menampilkan Datuk Eizlan Yusuf, Dira Abu Zahar dan Fida.

Manakala dalam telemovie untuk TV3, Takbir Along Untuk Angah pula turut dibintangi Aida Khalida dan Jue Aziz.

Diminta komen dirinya yang mendapat publisiti meluas dan kerap muncul sebagai muka depan penghias majalah fesyen dan keluarga kebelakangan ini, duta produk Bio Essence buat tahun ketiga ini mengakui perkara itu.

"Bukannya saya mengejar glamor dan publisiti murahan sebaliknya sebagai duta produk pastinya tanggung-jawab saya menjayakan sesi promosi diadakan. Sesi fotografi yang diadakan seiring dengan promosi untuk produk dan karier seni bergerak seiringan. Sebagai duta produk, saya hanya menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin," katanya.

Bagaimanapun, kata isteri kepada ahli perniagaan ini, dia baru saja kembali ke lokasi penggambaran drama selepas tujuh bulan berehat kerana masalah mendapatkan pembantu rumah baru selepas yang lama habis kontrak dan pulang ke Indonesia.

"Selepas kehadiran Eishal keutamaan hidup juga berubah kerana saya perlu utamakan anak dalam segala hal kerana dia masih kecil.

"Saya tidak mahu lepaskan tugas membesarkan Eishal pada pembantu rumah semata-mata kerana anak saya itu sangat perlukan perhatian saya sebagai ibunya. Kami juga sudah menghantar Eishal ke 'play school' bagi memastikan dia mula bersosial dengan rakan sebayanya dan tidak terlalu takut apabila berjumpa orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


Terkenang arwah Yasmin

Posted: 23 Aug 2012 07:22 AM PDT

SEJAK pemergian pengarah hebat Allahyarham Yasmin Ahmad tiga tahun lalu, sambutan hari raya Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19 (filem Gubra), Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dan keluarganya tidak lagi semeriah dulu.

Bagi anak didiknya yang lebih mesra di sapa Nani, pemergian pengarah kreatif itu adalah kehilangan yang sukar dicari ganti sampai sekarang.

"Walaupun arwah sudah tiada kenangan dengannya sentiasa kekal dalam ingatan. Arwah sentiasa hidup dalam hati saya sampai bila-bila pun. Hubungan kami cukup rapat dan saya juga panggil arwah 'mak' kerana dia juga menganggap saya seperti anaknya sendiri.

"Arwah juga rapat dengan mama dan ahli keluarga saya yang lain hingga kalau bercakap dengan mama, arwah akan membahasakan saya sebagai 'our daughter'," katanya.


Walaupun Yasmin sudah tiada, Nani tetap akan meneruskan legasinya termasuk perancangannya yang belum kesampaian dalam bidang perfileman.


"Kalau saya 'anaknya' tidak teruskan legasinya siapa lagi? Ketika hayatnya dulu, kami saling berhubung dan bertanya khabar antara satu sama lain. Saya masih ingat lagi, setiap kali ada kelapangan, kami pasti melepak bersama sambil minum kopi dan bercerita perkembangan dalam bidang perfileman tanah air.

"Jika saya putus asa dalam bidang seni, arwahlah yang banyak memberi nasihat dan menyuntik semangat untuk saya terus berkarya," katanya.

Berkongsi kenangan dengan Yasmin, kata Nani, dia terkenang saat manis ketika beraya dengan arwah di rumah ibunya, Mak Inom.

"Terlalu banyak kenangan manis yang dikongsi dengan arwah pada pagi raya. Pada pagi raya, selalunya arwah akan berkumpul di rumah ibunya, Mak Inom di sini. Juadah raya kegemaran arwah ialah lempeng dan Sambal Tumis Telur. Kalau bukan hari raya pun itulah juga juadah yang pasti ada di rumahnya.

Mengenai perkembangan karier seninya, kata Nani, dia terbabit dengan penggambaran telefilem Fatihah Untuk Abah arahan pengarah muda Isma Yusof untuk stesen TV3 yang sudah ditayangkan pada raya ketiga. Dalam cerita ini, dia bergandingan dengan aktor yang menjadi idolanya dalam bidang lakonan, Faizal
Hussein.

Pada masa sama, Nani akui sangat selektif dalam memilih skrip dan karakter ditawarkan kerana tidak mahu hasilnya nanti mengecewakan.

Berkongsi projek filem barunya pula, kata pengarah muda berbakat besar ini, dia juga terbabit dalam projek 'My Hometown Short Films' anjuran Astro sempena Hari Kemerdekaan.

"Saya mewakili Kuala Lumpur dan pilih karya berjudul Kampung Bangsar kerana saya sekeluarga memang dilahirkan di Bangsar. Selain mengarah dan menulis skrip, saya turut berlakon dalam filem ini. Ia projek filem pendek kedua saya selepas Sangkar sebelum ini. Keduanya juga projek filem pendek saya bersama produksi Redcomms," katanya.

Tidak lengkap jika tidak menyentuh cerita peribadinya, kata Nani, dia masih belum mempunyai pengganti selepas putus dengan kekasihnya yang juga pelakon dari Britain, Gavin Stenhouse, sebelum ini.

"Kami berpisah kerana ada perbezaan dari segi agama. Maklumlah, saya dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Apapun, kami berpisah cara baik dan masih berhubung sebagai kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan