Adsense

Isnin, 20 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Peranan anak sulung

Posted: 12 Aug 2012 07:38 AM PDT

HUBUNGAN kekeluargaan yang makin rapuh kini, mengundang kebimbangan di hatinya lantas membuatkan Siti Roziana Zain (Ziana) berazam untuk mengembalikan silaturahim yang erat bersama sanak-saudara seperti zaman kecilnya agar keakraban itu mampu diteruskan anak-anak.

Ini kerana, Ziana sedar hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan amat penting dalam kehidupan manusia tidak kira dalam zaman apa sekalipun.

"Segelintir orang mungkin berpendapat bukan masalah besar jika tidak kenal saudara, tetapi bagi saya ia adalah satu kebimbangan yang mengundang kepincangan dalam keluarga.

"Saya bukan orang yang layak untuk memperkatakan soal agama, namun saya tahu bahawa hubungan ini akan terputus di akhirat sekiranya terputus hubungan akidah di antara mereka.


"Sebagai anak sulung, menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan hubungan erat kedua-dua orang tua saya bersama keluarga masing-masing.


"Saya mahu adik-beradik saya termasuk anak-anak saya terus mengamalkan hubungan akrab dengan saudara-mara dan lebaran kali ini adalah peluang terbaik untuk menjalinkan hubungan yang tanpa sedar sedikit renggang ekoran kesibukan kerja serta keterbatasan waktu masing-masing.

"Kebetulan tahun ini kami sekeluarga, emak, ayah, adik-beradik dan keluarga akan pulang beraya di Merlimau, Melaka justeru ia adalah saat terbaik untuk mengenal saudara dekat dan jauh," katanya.

Ziana menambah, dia juga ingin manfaatkan saat itu dengan penuh gembira dan kasih sayang, tambahan pula hampir 20 tahun mereka sekeluarga tidak dapat menikmati lebaran yang panjang di Melaka.

"Bukan tidak pulang ke Merlimau langsung, cuma tidak pernah berpeluang membuat persiapan dan tidak berada di sana untuk jangka masa yang lama. Kali ini saya mahu lakukan semua itu. Selama 12 tahun pertama menjadi artis misalnya kami tidak sempat pulang sebab abah bertugas.

"Saya cintakan suasana kampung, kedamaiannya membuatkan saya terasa tenang.
Oleh kerana itu, saya mahu ajak anak-anak dan suami pulang lebih awal untuk berkemas rumah dan merancang habiskan masa di Merlimau sampai hari raya ketiga.

"Asyik beraya di kota, entah kenapa tahun ini ingin sangat menyambut lebaran pertama di kampung. Mungkin emak, abah pun sudah tua, sementara mereka masih ada eloklah sekeluarga berkumpul.

"Kalau sudah tiada nanti, pasti sunyi beraya tanpa orang tua. Mudah-mudahan mereka dipanjangkan umur. Kebelakangan ini saya juga sering dihambat perasaan rindu dan sering terkenang zaman kanak-kanak pergi beraya dengan saudara-mara," katanya.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, seperkara tidak mampu dilupakan saat menyiapkan pelita untuk persiapan bagi malam tujuh likur dan bermain meriam buluh bersama sepupunya.

"Bila diingat-ingatkan semula, berani betul saya masa zaman kanak-kanak.
Selain buat pelita buluh sendiri, saya pernah 'join' sepupu lelaki buat meriam buluh dan karbaid. Gigih saya dengan sepupu ramai-ramai pergi cari buluh dan buat di belakang rumah. Kalau buluh pecah, digantikan pula dengan paip.

"Ya Allah, masa itu tidak fikir langsung soal bahaya, tapi sekarang ini bila sudah ada anak-anak, baru saya sedar betapa bimbangnya hati orang tua bila anak-anak bermain mercun yang tersilap percaturan boleh membahayakan diri," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012


Turban masih relevan

Posted: 12 Aug 2012 07:29 AM PDT

PEMAKAIAN turban bukanlah asing kala ini, meskipun seawal kemunculan gaya yang dipopularkan 'singer-songwriter' Yunalis Zarai itu pernah mendapat kritikan segelintir pihak.

Isu tercetus, kononnya pemakaian turban tidak bersesuaian dengan wanita Muslim kerana ia menyamai pemakaian lelaki bagi kaum Sikh.

Namun, sentuhan luar biasa pereka fesyen dalam mempelbagaikan gayanya dengan menambah perincian, aksesori serta diperbuat daripada fabrik dengan nada mempesonakan, menjadikan fesyen turban ini relevan buat kaum wanita di samping tampak menarik, sopan dan paling utama masih menutup aurat.

Sempena lebaran ini, apa kata beranikan diri dengan mencuba fesyen turban.

Intai-intai juga cara pemakaian turban yang digayakan artis seperti Natasha Hudson, Rozita Che Wan dan Noryn Aziz termasuk diperkenalkan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi diberi nama '4 Seasons Aidilfitri'.

4 Seasons Aidilfitri, menurut Melinda menterjemahkan warna musim. Diilhamkan oleh warna empat musim, Melinda meletakkan 'signature touch' dan warna ke dalam koleksi beliau untuk dipakai di Aidilfitri nanti.

Putih mengikut tafsiran Melinda sebagai musim sejuk, rona terang untuk musim bunga, hijau yang subur pula musim panas dan warna coklat, musim luruh.

Khabarnya, koleksi 'ready made' 4 Seasons Aidilfitri ini sangat laris terjual di Parkson Pavilion Kuala Lumpur memandangkan pereka fesyen itu menawarkan harga istimewa antara RM849-RM1,399 saja iaitu jauh lebih murah berbanding harga sebenar koleksi Melinda.

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012