Adsense

Sabtu, 11 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Peluang ke depan

Posted: 09 Aug 2012 08:37 AM PDT

PERLAHAN namun sentiasa ada. Meskipun wajahnya terpampang hampir setiap malam di kaca televisyen, si empunya diri juga pemilik senyuman manis, Shah Iskandar akui namanya masih samar dan lambat untuk dikenali.

Itulah hakikat, walaupun bersandar pada wajah kacak dengan personaliti menarik, ia bukan lesen untuk terus menjadi popular.

Bagaimanapun untuk pelakon baru kelahiran Singapura ini mengalah, ia adalah mustahil kerana baginya, populariti itu akan datang juga perlahan-lahan, namun apa yang lebih penting bagaimana untuk terus mengekalkannya.

Bertemu dengan Shah Iskandar di lokasi penggambaran drama siri terbaru bagi menyerikan slot Zehra TV3, Runtun Qalbu di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini, lama juga dia bersembang menceritakan perjalanannya dalam membina nama sebagai anak seni.


Terpaksa berjauhan dengan keluarga dan berhijrah ke Kuala Lumpur, namun itu bukanlah alasan sebaliknya sejak awal melangkah keluar meninggalkan Singapura ingin mencari tapak di Kuala Lumpur, jejaka yang kini berusia 30 tahun nekad mencari kekuatan berdiri sebagai anak seni sebagaimana minat dan kesungguhannya.


"Alhamdulillah sudah hampir tiga tahun juga saya berada di Kuala Lumpur. Siapa sangka, walaupun tidak popular dan nama saya bukanlah sebutan ramai, namun tawaran itu sentiasa ada dan pihak produksi tidak henti memberikan kepercayaan. Itu yang membuatkan saya lebih kuat dan yakin dengan pilihan yang saya lakukannya ini.

"Pengalaman pertama dalam drama siri Gerak Khas bersama Skop Production banyak memberikan ilmu dan pengajaran. Saya bersyukur kerana Datuk Yusof Haslam menjaga kebajikan saya dengan baik ketika itu. Tempat tinggal, kereta dan segala keperluan saya dijaga dan membuatkan urusan seorang perantau seperti saya lebih mudah.

"Namun, selepas Gerak Khas diperbaharui yang mana watak saya dimatikan, saya bermula berjalan sendiri dan mula mencari peluang sendiri. Mujur segala pengalaman yang ada itu saya jadikan bekalan untuk bergerak sendiri. Sekarang saya sudah mula nampak arah tuju dan laluan seni yang saya impikan ini," katanya.

Wajah kacak Shah Iskandar kemudian muncul dalam drama 3 Janji bersama Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle, Atas Nama Cinta dan Lorong Cahaya dalam slot Cerekarama.

Terbaru, anak sulung daripada tiga beradik ini muncul menghidupkan watak Kelabu dalam drama siri Runtun Qalbu yang akan menyusur menemui penonton tidak lama lagi.

Mengakui bertuah berpeluang berlakon di samping aktres terkenal seperti Fasha Sandha dan pelakon versatil, Kamal Adli, Shah Iskandar percaya kali ini penonton akan melihat sesuatu yang berbeza dari dirinya.

"Saya memang sinonim dengan watak lelaki romeo, kisah cinta dan watak sederhana yang mencintai wanita, namun menerusi Runtun Qalbu, saya pertama kali diberi kepercayaan melakonkan watak gangster yang masih ada elemen dramanya. Saya fikirkan ia adalah berbeza dan sesuatu yang istimewa daripada saya.

"Namun, apa yang lebih menggembirakan apabila saya berpeluang bergandingan dengan Fasha dan Kamal yang sememangnya hebat dan berbakat besar. Itu lebih membuatkan saya bersemangat untuk tampil bersungguh setiap kali kami bertemu di lokasi penggambaran. Kami serasi dan mudah menghidupkan watak mengikut kehendak pengarah.

"Alhamdulillah semua orang memberi kerjasama dan menerima saya dengan baik," katanya tersenyum.

Sempena menyambut Aidilfitri ini, jejaka yang bijak menyusun kata ini bakal pulang ke kampung halamannya di Singapura seminggu lebih awal untuk membantu keluarga membuat persiapan.

Lain bagi Fasha yang juga pemenang enam kali trofi Pelakon TV dan Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian, soal menghidupkan sesebuah watak bermula dari pemahaman ketika membaca skripnya.

Walaupun terpaksa menolak lebih empat tawaran drama dan filem sebelum ini kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan sejak disahkan mengandung, Runtun Qalbu adalah naskhah yang sukar dinafikan kualitinya.

"Memang saya terpaksa menolak banyak tawaran kerana kesihatan dan nasihat suami serta doktor. Namun, kali ini, apabila saya meneliti skrip dan komitmen sebagai pelakon, watak Idayu adalah sesuatu yang berbeza buat saya dan tidak terlalu berat untuk dilakonkan secara fizikal. Namun, Idayu memerlukan saya bermain dengan emosi dan perasaan dalaman.

"Mujur Kamal dan Shah Iskandar mampu membantu menterjemahkan lakonan masing-masing membuatkan saya ringan dalam mencari keserasian. Runtun Qalbu akan menjadi fenomena sebagaimana banyak drama lakonan saya sebelum ini kerana plot ceritanya yang menarik serta lakonan bersahaja dari kesemua pelakonnya membuatkan drama ini menjadi siri yang tidak akan dilepaskan," katanya.

Menyentuh soal Ramadan, bintang terkenal berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru ini, jelas berkali-kali, tiada apa yang lebih indah daripada berbuka bersama suami, Rizal Ashram Ramli dan bersolat sama jika kelapangan.

"Ini adalah impian saya dan suami sejak awal bercinta dulu. Kami ingin meluangkan masa bersama dan memanfaatkan Ramadan dengan sebaiknya. Namun, masing-masing terikat dengan kerja dan tanggungjawab yang mana suami sekarang sibuk dengan perniagaannya dan latihan untuk perlumbaan kereta bersama pasukan Lamborghini Malaysia.

"Namun Alhamdulillah, saya berjaya juga meluangkan masa bersama suami setiap kali berbuka dan bersahur. Itu bagai satu kewajipan buat kami berdua yang mana masing-masing akan cuba juga untuk mencari jalan pulang ke rumah atau bertemu di mana-mana untuk berbuka. Malah, saya dan suami seronok apabila sempat juga meluangkan masa berbuka bersama keluarga walaupun masing-masing sibuk.

"Maklumlah, ini adalah pengalaman pertama kami berdua dan kerana itu juga kami inginkan yang terbaik," katanya yang berpeluang berbuka puasa bersama keluarga mentuanya minggu lalu.

Fasha dan suaminya akan menyambut Aidilfitri jauh di Ordos, China kerana Rizal terbabit dengan jadual perlumbaan Lamboghini di sana. Meskipun, sedih kerana pertama kali berjauhan dari keluarga, namun jelas Fasha lagi, itu sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab untuknya setia di sisi suami tersayang.

Kamal pula begitu bersemangat bercerita mengenai wataknya sebagai Qalbu dalam drama arahan Ahmad Khalid Ahmad Nadzri yang juga adik bongsu kepada sutradara Ahmad Idham. Katanya, Qalbu membuatkannya tertekan kerana watak itu terlalu misteri dan penuh ekspresi.

Menyifatkan ini adalah peluang terbaik untuknya membuktikan sesuatu kepada peminat, Runtun Qalbu pastinya membuka mata banyak pihak yang Kamal Adli seorang pelakon yang versatil.

Menyentuh soal persiapan rayanya kali ini, pelakon teater Gerimis Mengundang ini meluangkan masa dua hari di kampung halamannya di Pekan, Pahang sebelum membawa kesemua keluarga bercuti ke Terengganu.

"Alhamdulillah saya diberikan rezeki lebih tahun ini dan saya berhasrat ingin membawa kesemua keluarga pergi bercuti. Saya sengaja mencari waktu beraya seperti ini memandangkan semuanya ada dan bercuti," katanya.

Sinopsis: Runtun Qalbu

RUNTUN QALBU menceritakan Qalbu yang melalui satu penghijrahan dalam hidupnya dari hitam kepada seorang hamba yang taat. Namun, sejauh mana dia berubah dan lari dari kehidupan lamanya, semakin itu juga dia dekat dengan hakikat dan sejarah yang pernah dilaluinya sebelum itu.

Namun pada itu, Qalbu sentiasa menjadi perhatian jirannya, Idayu yang menyimpan perasaan terhadapnya. Tanpa memikirkan soal kerja Qalbu seorang penjaga bilik mayat dan personalitinya yang pelik, diam dan tidak mudah memandang mata orang, Idayu yang juga anak kepada pemandu teksi itu tetap menyukainya.

Qalbu tidak punya hobi lain selain berada di sebuah masjid yang akhirnya menemukannya dengan seorang gadis yang kerjanya mengajar kanak-kanak mengaji, Ustazah Fatihah.

Itulah minat Qalbu, namun tidak pernah mereka berbicara hinggalah takdir menemukan Qalbu kepada Kelabu lakonan pelakon muda, Shah Iskandar yang terbabit dalam kemalangan dan akhirnya dijaganya seperti keluarga sendiri.

Kronologi perkenalan Qalbu dan Ustazah Fatihah bermula di situ di mana Kelabu yang sering menjadi orang perantara. Sayangnya, Fatihah bukannya menaruh cinta kepada Qalbu, tapi Kelabu dan membuatkan keadaan itu sangat janggal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09


budaya Islam terbaik

Posted: 09 Aug 2012 08:15 AM PDT

BERSANDARKAN gelaran juara dalam program realiti berbentuk kerohanian, Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, ia men cerminkan perkembangan baik untuk membawa elemen agama dan ketuhanan di fasa moden.

Bukan lagi terpinggir, tiada pendedahan dan begitu sukar menembusi banyak golongan muda, sebaliknya usaha pihak Astro Oasis dalam menganjurkan program realiti ini dilihat alternatif terbaik untuk membuktikan aspek dakwah juga mampu diterjemah dalam sebuah konsep program realiti.

Buktinya, anak muda berusia 27 tahun kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang ini yang kini sedikit sebanyak sudah mengubah banyak persepsi lapuk yang kononnya pendidikan agama ketinggalan zaman.

Memiliki lebih seratus ribu pengikut di laman sosial twitternya, Asyraf graduan Syariah dari Universiti Malaya adalah selebriti yang relevan walaupun kekal mengenakan jubah dan kopiah.


Menurutnya, itulah keindahan dan keunikan Malaysia yang begitu terbuka dan menerima dengan baik terhadap apa saja perubahan dan anjakan.


"Setiap negara yang komuniti Islamnya besar, pasti punya perkembangan dan budaya agamanya. Namun bezanya di Malaysia, semua agama dan bangsa boleh hidup bersatu padu.

"Bayangkan, jika berada di luar negara sendiri, saya terlalu rindu untuk pulang ke Malaysia kerana semuanya indah dan harmoni. Saya sendiri dapat berjubah dan berjalan menuju ke masjid sambil menyapa mereka yang berbangsa Cina dan India. Itulah keindahan berada di Malaysia.

"Lihat saja dakwah dan usaha yang saya lakukan. Semuanya tiada sekatan dan tidak pernah dihalang oleh sesiapa kerana apa yang jelas mengenai Malaysia, masyarakatnya menghormati antara satu sama lain," katanya lagi.

Tambah Asyraf, masyarakat Malaysia yang kebanyakannya bijak dan menerima pendedahan awal membuatkan segala persepsi yang awalnya menentang dan mempertikaikan penganjuran Imam Muda akhirnya berubah selepas dibuktikan objektif dan asasnya.

Selain mengakui pihak kerajaan mentadbir negara dengan cara yang baik dan harmoni, suami kepada Nur Husna Yusoff ini turut berkongsi kisahnya yang menarik mengenai perubahan persepsi masyarakat luar terhadap program Imam Muda.

"Apa yang lebih menariknya, Imam Muda ditonton oleh ramai wartawan dan wakil media dari luar negara. Mereka datang dengan penuh kekeliruan dan rasa ingin tahu mengenai penganjuran sebuah program berunsur ketuhanan seperti Imam Muda. Itulah hakikat yang saya lihat terutamanya ketika mereka mendekati dan bertanyakan soalan.

"Selama ini mereka menganggap orang Islam konservatif dan ganas sebagaimana propaganda Barat yang tersebar. Namun selepas mendekati saya dan ruang itu digunakan untuk saya berkongsi cerita, terus pandangan mereka berubah dan mula nampak erti sebenar agama Islam yang begitu bertentangan dengan apa yang didengar.

"Mana tidaknya, ramai di antara mereka yang menyangka Islam menggalakkan keganasan dan pendakwah Islam digambarkan seperti Osama Bin Laden. untuk melawan mentaliti moden.

"Sebaliknya semua itu adalah tidak benar sama sekali. Mereka terkejut apabila sebuah program realiti boleh mengangkat konsep keagamaan yang mencari pelapis baru dalam terus menyebarkan dakwah Islam," kata ayah kepada Muhammad Aisy Raihan yang kini berusia lapan bulan

Asyraf yang bakal pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut Aidilfitri berkali-kali mengucap rasa syukur kerana dilahirkan di Malaysia, bumi Islam yang penuh keharmonian dan warna.

Sementara itu, sempena kempen #MYsyg (My Sayang), orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa kebangsaan, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my.

Lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori layak memenangi hadiah menarik.

Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit, manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09