Adsense

Selasa, 24 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kikis label 'budak jahat'

Posted:

Kikis label 'budak jahat'

BUKAN sekadar menyanyi, Awi Rafael kini melebarkan sayap ke bidang lakonan.


JADUAL penggambaran pada pagi Rabu minggu lalu tertunda gara-gara hujan yang tumpah mencurah ke lantai pekarangan Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur.

Terpaksa jurufoto Amin Farij Hassan membidik sasaran pada ketika itu dari perspektif berbeza. Hasilnya, figura Awi Rafael segak bersama sebuah gitar koleksi istimewanya berjaya dirakam menggunakan teknik khas fish eye.

Kata Awi, ketika itu dia berbangga melihat hasilnya walaupun pergerakan terbatas. Dia juga menyifatkan hujan seperti muzik yang mengawal tingkahnya.

"Masa berlalu amat cepat, diam tak diam lebih setahun saya berada dalam industri seni dan dapat peluang untuk mencetuskan aliran muzik saya.

"Syukur Alhamdulillah saya diterima ramai dan saya gembira. Terbukti lagu itu adalah raja yang sifatnya memfokus dan menyatukan" kiasnya.

Ketika namanya sedang meningkat naik bermula dengan lagu Pulanglah diikuti Bila Aku Jatuh Cinta dan kini Asalkan Aku OK, Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan, 26, cenderung mengikuti arus muzik rakan seperjuangannya seperti Aizat dan Yuna.

Katanya, kedua-dua nama besar itu pandai membawa diri dan jujur dalam berkarya. Ujarnya: "Orang sekeliling akan mengiktiraf muzik kita jika kita ikhlas dan melakukan apa yang Allah kurniakan."

Mendalami makna di sebalik kata-kata itu, Awi menjelaskan setiap naskhah lagu yang dihasilkan tercetus daripada idea yang datang secara tiba-tiba dan ketika itu adakalanya dia perlu merakamkan setiap melodi melalui telefon jika berada di luar rumah.

Lirik rojak

Begitu juga lirik-lirik lagunya, ilham yang datang secara tiba-tiba perlu dicatatnya tanpa perlu ditangguh-tangguh. Lantaran itu ujarnya, ada sesetengah lirik lagunya mengandungi patah berbahasa Inggeris.

"Sekali ilham datang saya perlu tulis, hal yang sama terjadi jika lirik itu muncul dalam minda. Hakikatnya, lirik yang pertama kali muncul itu adalah lirik terindah yang jika digubah menjadi kurang enak," ujarnya ketika ditanya mengenai caranya mencampur-adukkan lirik bahasa Melayu dan Inggeris dalam beberapa buah lagunya.

Respons lain berhubung lagu itu kata Awi, dia tiada hak untuk memberikan komen lanjut terhadap lagu sendiri dan mengharapkan masyarakat menilai lagu-lagunya dengan lebih terbuka.

"Saya harap pendengar tidak mempertikaikan isu bahasa dalam lagu-lagu saya sebaliknya melihat mesej yang terkandung dalam setiap lagu.

"Lagipun, pendengar sudah kenal cara Awi Rafael mencipta lagu dan saya pun kini dalam proses mempelajari beberapa teknik lain," katanya yang bakal muncul dengan sebuah album baharu berjudul Siapa Yang Sempurna selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Hanez Suraya

Menyusur lebih mendalam, album yang mengandungi sembilan buah lagu itu merupakan album kedua Awi selepas album EP lima buah lagu Awi Rafael yang sebelum ini dikeluarkan sekitar tahun lalu.

Ujar Awi, album itu sifatnya lebih matang, sarat kisah-kisah romantis, kisah hatinya, berkisar masyarakat dan menyampaikan mesej-mesej ketuhanan.

"Album itu sudah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk dipasarkan tidak lama lagi. Tiga bulan lalu, saya mendapat peluang untuk membuat proses mastering di Abbey Road, London, tempat kumpulan The Beatles merakamkan album mereka suatu ketika dulu," tambahnya.

Memetik sebaris kata-katanya berkenaan album itu, ia sedikit sebanyak menceritakan perjalanan cinta Awi yang kini sedang hangat bersama pelakon Hanez Suraya.

Ditanya sejauh mana perhubungan dua jiwa itu memandangkan mereka tidak lagi segan bermain teka-teki akan hal status hubungan mereka, jawab Awi hubungan mereka di tahap "menggalakkan!"

"Kami tenang dan selesa. Menggalakkan dalam erti kata lain saya tidak mahu berjanji tapi perlu buktikan terlebih dahulu.

"Saya perlu kerja keras dan sekiranya jodoh kami berpanjangan, insya-Allah akan ke jinjang pelamin jua. Sasaran kahwin lagi cepat lagi bagus, tapi saya tidak mahu tergopoh-gapah. Kedua-dua keluarga sudah menerima hubungan kami dengan baik.

"Malah, raya tahun ini lebih seronok kerana dapat menyambutnya di kampung Hanez di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain kampung mama saya di Pontian, Johor," ceritanya teruja.

Berlakon

Sementara itu, umpama rezeki datang bergolek, Awi kini sedang mempersiapkan diri untuk berlakon dalam sebuah filem yang enggan didedahkan judulnya.

Menariknya, filem itu dijadualkan menjalani penggambaran di Gold Coast, Australia pada 1 hingga 15 Ogos ini. Tambah mengujakan, tahun ini sekali lagi Awi bakal berpuasa di perantauan biarpun hanya dua minggu.

"Saya akan membawakan watak seorang busker (penyanyi jalanan) seperti mana kehidupan saya sebelum ini di sana. Saya mengambil peluang ini kerana saya rasakan selesa biar pada mulanya agak segan.

"Berlakon bagi saya merupakan satu cabang untuk mengembangkan bakat, tapi saya tetap akan setia bersama bidang penulisan lagu yang membawa saya hingga ke tahap ini," tambahnya.

Tidak kekok katanya berpuasa di tempat sejuk seperti Australia, yang canggung apabila tidak ramai umat Islam di negara itu yang boleh meraikan bulan penuh berkat itu.

"Di sana tidak ramai orang Melayu, ketika di Melbourne pun hanya ada sebuah masjid kecil iaitu Masjid Al-Buqaraq untuk beribadat.

"Tapi tahun ini saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. Saya mengambil peluang kali ini untuk beribadat sebaik mungkin," janjinya.

Ariel tolak upacara 'buang sial'

Posted:

Ariel tolak upacara 'buang sial'

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

ARIEL dikawal ketat oleh pihak polis sebaik dibebaskan selepas dua tahun menjadi banduan.


NAMA Ariel Peterpan atau Nazriel Irham sudah lama meledak di Indonesia sejak dia menembusi pasaran muzik republik tersebut menerusi album Taman Langit pada tahun 2003. Berbekal wajah tampan, vokal tenang serta kreativitinya menghasilkan karya bermutu, Ariel sering menjadi tumpuan.

Kecemerlangan dalam lapangan hiburan turut mengheret penyanyi berusia 31 tahun itu dalam satu 'gaung' berbeza sehingga menjerat dirinya sendiri. Dia yang sering dikaitkan dengan banyak wanita, telah menggemparkan Indonesia apabila sebuah siri video lucah yang membabitkan dirinya bersama kekasihnya pada waktu itu, Luna Maya dan hos Cut Tari tersebar di internet sekitar tahun 2010.

Penyebaran video lucah tersebut telah membuat Ariel terperangkap. Dia ditangkap, lalu didakwa atas pertuduhan mengedar video lucah selama tiga tahun setengah oleh Mahkamah Daerah Bandùng pada 31 Januari tahun lalu.

Perlakuan baiknya selama dua tahun di penjara bagaimanapun berbaloi apabila beliau dibebaskan bersyarat pada bulan mulia, Ramadan, tepatnya pada hari ketiga seluruh umat Islam berbuka puasa. Dia juga perlu membayar denda sebanyak Rupiah 250 juta (RM84,000).

Disambut oleh ratusan peminatnya, Ariel yang menerima kawalan ketat daripada pihak polis melahirkan perasaan bersyukur kerana dibebaskan.

Malah sebaik dibebaskan, Ariel menegur para peminatnya di akaun Twitter miliknya dengan ucapan, "Hello", sebelum mengucapkan terima kasih kepada semua doa yang telah dikirim oleh penyokongnya.

Sementara itu, sidang akhbar pertama Ariel bersama media Indonesia sebaik dibebaskan, berlangsung hangat.

Upacara 'membuang sial' seperti yang disebut seorang wartawan tempatan pada Ariel pada sidang akhbar semalam selepas dia dibebaskan pada sebelah pagi, ditempelak oleh penyanyi itu.

Menurut vokalis tersebut yang dibebaskan dari penjara Kebon Waru, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengadakan ritual 'membuang sial' seperti amalan segelintir pihak.

Kepada Ariel, merehatkan fikiran dengan berada jauh daripada anggota masyarakat untuk satu tempoh waktu sudah memadai buatnya.

"Saya ada cara lain untuk dilakukan andai menyebut soal buang sial seperti yang kamu (wartawan) sebutkan. Tidak ada istilah buang sial itu," tegas Ariel.

Ariel berkata demikian pada sidang akhbar pertama kali buatnya selepas mula ditahan polis pada 26 Jun 2010 kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran video porno.

Masih mesra dan tampan seperti dahulu, kemunculan Ariel pada sidang akhbar itu menarik perhatian puluhan wartawan dan jurugambar yang penuh sesak.

Penyanyi kelahiran Bandung itu menjelaskan, sebaik dibebaskan, beliau mahu menenangkan fikiran.

Beban di fikiran serta tekanan hidup sebagai banduan bukan sesuatu yang mudah untuk dibuang dari kotak ingatan, akui Ariel tanpa berselindung.

Justeru, besar harapan yang diletakkan penyanyi itu kepada wartawan dan peminat-peminatnya agar memberikan beliau ruang untuk bersendirian pada masa ini.

"Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dahulu. Ke mana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya," kata Ariel penuh mengharap.

Pembebasan itu juga disambut Ariel dengan rasa syukur yang tidak terhingga.

Kata bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu, pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas melalui fasa yang menyulitkan sebagai banduan selama dua tahun.

Penyanyi itu bagaimanapun enggan menjelaskan panjang lebar hikmah yang diperoleh kerana enggan tersalah cakap.

"Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai belum tentu tidak bagus buat kamu.

"Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," kata Ariel lagi.

Ariel turut melahirkan perasaan tidak sabarnya untuk kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan.

Selepas dikaitkan dalam skandal penerbitan video lucah dengan Luna Maya dan Cut Tari, nama Ariel menjadi mangsa nista dan cacian masyarakat.

Gara-gara kritik bangunan UKM dalam TwitterNazim mohon maaf

Posted:


Nazim mohon maaf

Gara-gara kritik bangunan UKM dalam Twitter
Nazim mohon maaf

Oleh HARYATI KARIM


NAZIM menafikan dia sengaja mahu mencari publisiti murahan.


EMPAT tahun berkecimpung dalam industri lakonan, baru hari ini nama pelakon Nazim Othman, 28, meraih perhatian khalayak kerana kecemerlangan lakonannya dalam drama arahan Erma Fatima berjudul Deejavu di Kinabalu yang sedang hangat ditayangkan di TV3.

Namun, pada Rabu minggu lalu tiba-tiba nama Nazim hangat gara-gara status jujurnya di akaun Twitter berkenaan bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan usang ketika menjalani penggambaran sebuah drama di sana.

Kejujuran dalam meluahkan perasaan itu memakan dirinya sendiri apabila warga UKM serta peminatnya tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu. Menyedari kesilapannya, Nazim segera memohon maaf di Twitter.

Nazim yang bakal muncul dengan sebuah lagi drama arahan Erma Fatima berjudul Kau Yang Terindah pada mulanya enggan memperbesar-besarkan isu kerana menganggap ia memberi impak negatif kepada kerjayanya.

Bagaimanapun, apabila perkara itu menjadi topik hangat di internet, Nazim sedar status selebriti yang dipikulnya semakin berat seiring dengan perhatian yang diberikan oleh peminat kepadanya. Enggan dirinya disalah erti ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim baru-baru ini.

Kosmo!: Apabila Nazim menulis status di Twitter tentang bangunan usang UKM, sedar atau tidak status itu bakal mengundang kemarahan pihak lain?

Nazim: Kalau boleh saya enggan panjangkan isu ini kerana semakin saya beri komen, tidak memberi sebarang faedah. Cuma apa yang boleh saya katakan sebagai manusia, saya turut melakukan kesilapan dan memohon maaf, selepas itu saya bermuhasabah diri.

Ada pihak mendakwa anda sengaja menulis status tersebut untuk meraih publisiti murahan. Komen anda?

Sejujurnya saya tidak sengaja, saya tidak mahu meraih publisiti murahan kerana itu bukan prinsip yang saya pegang. Sejak saya menjadi pelakon saya tidak kejar populariti, sebaliknya saya mahu dikenali dengan bakat serta mutu produk yang melibatkan saya. Kalau saya jenis yang suka publisiti murahan, saya tidak perlu tunggu sekarang sebaliknya sudah lama saya berbuat demikian.

Terkejut dengan respons orang ramai?

Memang saya terkejut kerana selama ini tiada siapa yang kisah tentang apa yang saya lakukan. Saya sudah terbiasa begitu, tetapi kebelakangan ini saya sedar situasi itu sudah berubah kerana masyarakat sudah mula memandang setiap gerak-geri saya. Kejadian ini secara tidak langsung membuatkan saya terfikir siapa saya di mata masyarakat.

Maknanya kini anda semakin popular, rimas dengan perhatian diberikan peminat?

Alhamdulillah, popular atau tidak terletak di tangan peminat, saya percaya rezeki di tangan Allah. Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya sekarang ada hikmah di sebaliknya. Saya tidak rimas, sebaliknya bersyukur dengan perhatian yang diberikan.

Pengajaran yang anda perolehi selepas kejadian ini?

Saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan saya kerana saya sedar setiap apa yang dilakukan akan memberi implikasi negatif atau positif pada diri sendiri, peminat dan masyarakat. Jadi, saya memilih untuk memberi implikasi positif dan menjadi insan yang lebih baik.

Walaupun telah berlakon selama empat tahun tetapi nama Nazim hanya popular apabila berlakon drama Deejavu di Kinabalu arahan Erma Fatima.

Saya percaya setiap pelakon tidak akan menyerlah dengan sendirinya, sebaliknya dengan bantuan pengarah yang bagus, dan kru penggambaran yang sangat mementingkan kualiti kerja. Apabila bekerja dengan orang yang sentiasa ingin yang terbaik, secara tidak langsung lakonan saya menyerlah. Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan Erma Fatima.

Apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan?

Sama seperti tahun lalu, sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama Kau Yang Terindah bersama Neelofa. Tiada istilah rehat untuk saya, selagi saya diperlukan, selagi itu saya akan bekerja. Saya lebih suka sibuk daripada tidak melakukan sebarang pekerjaan. Bulan Ramadan juga tidak menghalang saya daripada bekerja seperti biasa.