Adsense

Sabtu, 7 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Lonjakan baharu Spider-Man

Posted:

Lonjakan baharu Spider-Man

KEMUNCULANNYA buat pertama kali di pawagam seluruh Amerika Utara pada Selasa, 3 Julai lalu telah mencipta rekod baharu sebagai filem dengan kutipan minggu pembukaan tayangan hari Selasa tertinggi dalam sejarah perfileman Hollywood. Ia mengatasi filem Transformers yang sebelum ini menguasai kedudukan tersebut.

Meraih kutipan sebanyak AS$35 juta (RM112 juta) pada hari pertama tayangannya itu, pencapaian tersebut merupakan sesuatu yang amat diperlukan francais terbaharu filem Spider-Man yang berjudul The Amazing Spider-Man itu untuk membuat lonjakan yang jauh dalam meraih kutipan pecah panggung.

Cabaran dari segi kutipan pecah panggung itu amat mendesak dan menekan The Amazing Spider-Man yang mana francais filem ini sebelum ini sukses menerusi trilogi awalnya iaitu Spider-Man yang mengumpul kutipan tiket keseluruhan mencecah (RM2.6 bilion), Spider-Man 2 (RM2.5 bilion) dan Spider-Man 3 (RM2.9 bilion).

The Amazing Spider-Man bagaimanapun tidak boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada trilogi awal Spider-Man tersebut kerana ia hadir dalam versi serba baharu termasuk pengarah dan pelakon utamanya untuk karakter Spider-Man.

Inilah pencetus cabaran buat filem tersebut kerana ia tampil bukan dengan formula pecah panggung trilogi awal Spider-Man!

Berbanding trilogi awal francais Spider-Man yang diarahkan oleh Sam Raimi dan menampilkan aktor Tobey Maguire sebagai Spider-Man, kali ini, Marc Webb mengambil alih posisi pengarah untuk The Amazing Spider-Man yang memberi peluang buat aktor British, Andrew Garfield untuk memberi suntikan tenaga lakonan versi baharu buat karakter Spider-Man.

Jika tanggapan awal mengatakan The Amazing Spider-Man tidak akan menggapai sukses sebagaimana trilogi awalnya itu, nampaknya pencapaian kutipan tiket peringkat awal tayangannya itu membuktikan perkara yang sebaliknya.

Malah, impak kutipan terkumpul selepas dua hari tayangannya yang mencecah RM189 juta, ia dijangka mampu mengumpul kutipan mencecah RM416 juta dalam tempoh enam hari tayangannya iaitu menjelang esok, 8 Julai. Ini sesungguhnya permulaan yang baik untuk filem yang menelan kos mencecah RM736 juta itu.

ANDREW GARFIELD enggan dibandingkan dengan aktor Tobey Maguire yang melakonkan karakter Spider-Man dalam trilogi Spider-Man sebelum ini.


Merujuk kepada sambutan memberangsangkan terhadap The Amazing Spider-Man, penerbit bersamanya iaitu Sony dan Columbia Pictures telah mengumumkan projek trilogi The Amazing Spider-Man di masa hadapan - bermakna bakal muncul sekurang-kurangnya dua lagi siri The Amazing Spider-Man!

Tobey Maguire

Cukup dengan kisah pencapaian The Amazing Spider-Man dari segi bisnes, justeru bagaimana pula dari segi 'jiwa' filem ini yang sudah tentu merujuk kepada pelakon karakter utama Spider-Man iaitu Andrew Garfield?

Memilih seorang pelakon British untuk karakter popular di pawagam yang selama ini dibawa oleh pelakon Amerika Syarikat, Tobey Maguire sesungguhnya ia memiliki risiko yang tinggi. Namun apakah keistimewaan aktor berusia 28 tahun itu?

Memulakan karier menerusi drama remaja yang disiarkan di televisyen berjudul Sugar Rush pada tahun 2005, Garfield menonjolkan dirinya sebagai seorang aktor berbakat besar apabila dirinya meraih pengiktirafan Aktor Terbaik Bafta Televisyen Award hasil lakonan hebatnya menerusi drama Boy A.

Garfield kemudian menempatkan namanya sebagai pelakon pelapis berpotensi besar di Hollywood menerusi kemunculan sebagai Eduardo Severin dalam filem The Social Network (2010), yang mana dia meraih pelbagai pencalonan untuk kategori lakonan terbaik termasuk Golden Globe Award.

Bijak menjawab persoalan yang diajukan pihak media, dalam satu temu bual dengan media antarabangsa, Garfield menegaskan adalah tidak wajar dirinya dibandingkan dengan aktor Tobey Maguire yang selama ini menghidupkan karakter Spider-Man dan sisi manusia Spider-Man iaitu Peter Parker di pawagam.



"Saya menghormati Tobey Maguire dan saya mengagumi lakonannya sebagai Spider-Man/Peter Parker selama ini. Saya rasa tidak wajar untuk membandingkan diri saya dan Tobey atas dasar lakonan kami masing-masing untuk karakter antara adiwira tersohor di dunia itu," ungkapnya.

"Apa yang penting, saya dan Tobey sudah menyuntik keperibadian masing-masing untuk karakter Spider-Man/Peter Parker dan untuk The Amazing Spider-Man, ia merupakan suatu episod baharu dalam francais filem pecah panggung ini," tambah Garfield.

Sisi gelap

Namun, dia mengakui karakter Spider-Man/Peter Parker lakonannya itu menampilkan sisi yang lebih gelap berbanding Spider-Man/Peter Parker lakonan Maguire sebelum ini.

"Karakter Peter Parker mengandungi pelbagai elemen yang menarik. Dia seorang remaja yang dalam kehidupan realitinya menghadapi pelbagai tekanan - kehilangan ibu bapa yang telah mengabaikan dirinya, dan menjadi mangsa buli dalam kehidupannya.

"Ada elemen kemanusiaan, humor dan juga sisi gelap dalam karakter Peter Parker yang tiba-tiba meraih kuasa luar biasa sebagai Spider-Man kerana dengan itu, dia mampu untuk membalas dendam.

"Sangat seronok menjadi Spider-Man tetapi dalam masa yang sama ia sangat berbahaya. Elemen bahaya tersebut merupakan antara yang diterokai oleh saya dalam melakonkan karakter tersebut," ulasnya.

Menyentuh tentang dirinya yang lebih dikenali sebagai pelakon British tetapi melakonkan karakter yang selama ini merupakan ikon Amerika, ujar Garfiled: "Saya sebenarnya orang Amerika. Saya dilahirkan di Amerika, cuma dibesarkan di England. Saya tidak berasa diri ini orang luar kepada ikon Amerika ini. Saya berhubung dengan karakter Peter Parker/Spider-Man.

"Ini kerana dalam banyak hal saya merasakan diri saya orang Amerika. Namun, dalam masa yang sama, saya juga merasakan diri ini orang British."

Garfield juga mengakui dia telah menjalani latihan yang keras dan menuntut pengorbanan yang besar untuk membentuk dirinya untuk karakter Spider-Man/Peter Parker baik secara mental mahupun fizikal.

"Saya menjalani latihan fizikal dengan mereka yang pakar dan genius dalam bidang tersebut. Memang pada mulanya agak sukar bagi saya untuk mengikuti program latihan yang telah diaturkan oleh mereka.

MENJALANI latihan fizikal yang keras untuk mendapatkan sosok tubuh kekar versi Spider-Man, Andrew mengakui ia hanya sekadar untuk lakonan dalam filem The Amazing Spider-Man.


"Namun, mereka tidak mendesak dan membiarkan diri saya menyesuaikan diri terlebih dulu, sebelum mula menjalani latihan. Pada akhirnya, kami bersepakat dan bergabung untuk kebaikan bersama," beritahunya.

Mengakui terpaksa mengamalkan diet pemakanan khas untuk mendapatkan sosok tubuh kekar Spider-Man, ujar Grafield selepas penggambaran The Amazing Spider-Man tamat, dia menyedari akan suatu hakikat.

"Saya harus mengakui bahawa sosok tubuh gagah saya untuk melakonkan Spider-Man itu bukan milik saya. Ia adalah Spider-Man, bukan saya! Saya tidak boleh mengaitkan kehidupan peribadi dalam rutin seharian dan realiti dengan tubuh sebegitu.

"Apa yang penting, saya tetap menjadi diri saya, pemuda kurus yang bertubuh kekar semata-mata untuk melakonkan karakter Spider-Man," tegasnya.

Hubungan selesa Pinkan-Febry

Posted:

Hubungan selesa Pinkan-Febry

PINKAN RATNASARI MAMBO


BEKAS duo kumpulan Ratu, Pinkan Ratnasari Mambo atau nama pentasnya Pinkan Mambo, 31, lebih selesa berbicara perihal kerjaya, album dan matlamat hidup berbanding sisi peribadi.

Namun, saat ditanya mengenai kisah cintanya bersama pemain bola sepak Medan Chief, Febrianto Wijaya, Pinkan tidak menolak.

Malah katanya mereka kini bahagia bersama biarpun belum merancang untuk menoktahkan percintaan mereka ke titik pernikahan.

"Kami sudah bersama lebih setahun dan saya selesa bersamanya. Dia pun selalu meluangkan masa bersama saya dan mengajar anak lelaki saya bermain bola sepak," ujar ibu kepada Mohd Alfa Razel, 7 dan Michelle Ashley Razel, 6.

Soal kahwin, ujar Pinkan: "Kami ada merancang cuma belum tegaskan lagi saat yang sesuai. Buat masa sekarang berdoa saja."

Pinkan dan Febrianto mula berpacaran sejak penyanyi itu membuat persembahan di sebuah pulau persendirian di Indonesia lebih kurang setahun lalu untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Febrianto. Mereka mulai serius selepas sebulan perkenalan.

Sebelum itu, Pinkan pernah menjalinkan hubungan dengan Sandy Sanjaya dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Namun, berpisah sekitar tahun 2009.

Menguruskan kerjaya dan dua orang anak yang sedang membesar bukan tugas mudah bagi Pinkan. Katanya, dia perlu lebih pintar memanipulasi waktu untuk keluarga dan karier.

"Tugas seorang ibu tunggal bukan mudah dan saya perlu pintar menguruskan masa. Kadangkala terpaksa mencuri waktu untuk berlibur dengan anak-anak," ceritanya yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran album ketiganya, Tentang Cinta di pejabat Sony Music Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menghurai dengan lebih lanjut album Tentang Cinta yang mencerminkan kematangan imej dan muzik penyanyi kelahiran Jakarta Indonesia itu, kata Pinkan ia lebih mengetengahkan unsur cinta.

"Cinta menjadi tema menarik untuk diangkat ke dalam album ini dan antara lagu yang benar-benar menyentuh perasaan saya adalah lagu Tentang Cinta ciptaan Ade Govinda," katanya.

Selain itu, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album 13 lagu itu adalah Cintaku Dimutilasi, Jangan Pergi, Menunggu, Diam, Memaafkanmu, Rindu Menggila dan lagu duet bersama Titiek Puspa berjudul Si Hitam.

Pinkan menyifatkan kedatangannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini membuka peluang baru untuk lebih serius berkarier di Malaysia.

Malah, dia berhasrat untuk merakamkan sebuah lagu bersama Awi Rafael yang dikatakan mempunyai gaya luar biasa ketika beraksi di atas pentas.

Buah hati Lufya orang Sweden

Posted:

Buah hati Lufya orang Sweden

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

LUFYA terkejut apabila ditebak dengan persoalan tentang teman lelaki terbaharunya.


BINTANG Akademi Fantasia musim keenam, Lutfyah Sheikh Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Lufya timbul tenggelam dalam persada industri hiburan tempatan.

Selepas terbabit dalam kontroversi perselisihan faham dengan pelakon siri TV Anak Pontianak, Zarina Anjoulie Lavocah, nama Lufya kembali mendapat perhatian sehinggalah membuatkan Lufya terpanggil untuk 'menujukan' single terbaharunya, Doaku, khusus Zarina.

Kini ada cerita terbaharu tentang figura berusia 27 tahun itu. Dia yang ditemui pada pelancaran outlet baharu Ayamazzz Roti Impit di Wisma KFC, Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan, dia kini sedang dalam proses mengenali seorang jejaka yang menetap di Sweden.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan gadis kelahiran Johor Bahru, Johor itu mengenai pintu hatinya yang kembali terbuka untuk menerima insan yang dianggap istimewa itu selepas kali terakhir bercinta dua tahun lepas dengan seorang jejaka yang enggan didedahkannya.

Kosmo!: Ada dakwaan mengatakan Lufya kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki dari luar negara. Boleh komen?

LUFYA: (terkejut) Dia berdarah campuran Melayu, Arab dan Sweden yang kini menetap di Sweden. Dia sebenarnya membesar di sana sejak kecil dan memang warganegara sana. Tapi ada sebahagian keluarganya yang masih menetap di sini (Malaysia). Kami berkenalan kurang daripada setahun lalu.

Jadi, bagaimana Lufya sifatkan status perhubungan anda dan lelaki itu?

Kami dalam proses mengenali hati budi satu sama lain dan hubungan kami pada tahap biasa saja.

Bagaimana detik pertemuan Lufya dan jejaka itu?

Dia menjalankan perniagaan dan ada bisnes di Kuala Lumpur. Perkenalan kami tidak dirancang dan akhirnya semakin akrab. Hubungan bertambah erat apabila kami selalu berhubung melalui skype. Dia pun selalu datang ke Kuala Lumpur dan sekarang berada di sini untuk urusan keluarga dan bisnes.

Apa yang membuatkan Lufya terpikat untuk mengenalinya dengan lebih dekat?

Dia seorang yang sangat unik! Saya suka belajar budaya orang luar dan dia banyak menambah pengetahuan saya berhubung cara hidup di sana. Dia seorang yang romantik dan melayan saya dengan cara berbeza. Sebenarnya saya susah nak mencari cinta baharu kerana pernah disakiti. Jadi saya perlu berhati-hati. Saya terbuka hati untuk menerima dia pun kerana sudah bersendirian sejak dua tahun lalu. Dia membuatkan saya menjadi seorang yang lebih kuat dan berdikari.

Sejauh mana Lufya mengenali keluarganya?

Saya sudah berjumpa dengan keluarganya dan minggu lepas saya ada membuat persembahan (menyanyi) ketika majlis perkahwinan adiknya.

Memandangkan single Doaku telah mula dimainkan di corong-corong radio, apa perkembangan yang dapat Lufya lihat setelah kemunculan lagu tersebut?

Alhamdulillah, lagu Doaku telah mula dimainkan di radio tapi sebenarnya saya menjangkakan single itu mula dimainkan di radio pada bulan Ramadan pada mulanya. Harap lagu itu mampu menenangkan hati pendengar dan peminat memahami lirik-lirik yang terdapat dalam lagu itu. Saya dalam perancangan untuk mengeluarkan album tapi buat masa sekarang saya fikir adalah lebih baik untuk keluarkan single satu demi satu.

Perancangan Lufya sempena bulan Ramadan kelak?

Saya akan membuka gerai jualan nasik lemak kukus dan ayam goreng berempah di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Selain itu, saya akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak rumah tahfiz al-Quran di rumah saya seperti tahun-tahun sudah.

Bagaimana pula pembabitan Lufya dengan Ayamazzz Roti Impit yang kini sudah mempunyai beberapa cawangan sekitar Kuala Lumpur?

Sebenarnya Ayamazzz menyediakan ruang perniagaan kepada saya kerana tidak lama lagi saya akan membuka sebuah satu kios di pusat beli-belah Curve, Damansara. Saya sudah lama terlibat dengan Ayamazzz dan sentiasa terlibat dengan promosi pembukaan outlet baharu. Saya paling menggemari roti impit keju dan minuman pearl honey dew.