Adsense

Khamis, 5 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Reboot’ Spider-Man

Posted: 04 Jul 2012 06:29 AM PDT

PETER PARKER mahupun Spider-Man tidak pernah bersara. Tiga filem Spider-Man sebelum ini pernah memperlihatkan aktor Tobey Maguire beraksi sebagai manusia perkasa berkuasa labah-labah atau adiwira Marvel itu dalam cara yang tersendiri.

Tahun ini sesuatu yang lebih segar dan hebat sudah kembali. Spider-Man kini bersedia untuk berkhidmat semula kepada warga New York khususnya yang berada dalam kancah kesusahan. Namun tugas itu bukan lagi berada di bahu Maguire, sebaliknya dalam sawang Andrew Russell Garfield, pelakon kacak bertubuh langsing yang sebelum ini dikenali dengan filem The Social Network.

Pemilihan Garfield sebagai Peter Parker/Spider-Man dianggap tepat dan bersesuaian dengan imej baru filem itu yang mengalami proses 'reboot'. Bukan saja pelakon utamanya berbeza, The Amazing Spider-Man juga diarahkan oleh Marc Webb dalam versi 2D dan 3D.

Dalam pertemuan dengan wartawan antarabangsa termasuk Harian Metro di Cancun, Mexico, April lalu, Garfield, 28, yang muncul dalam gaya santai untuk diwawancara meluahkan rasa terharunya kerana dipilih menjadi Spider-Man oleh pengarah Marc Webb.


"Bagi saya ini umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan. Dulu saya menonton Spider-Man dan sekarang saya sendiri adalah Peter Parker. Siapa yang tidak minat dengan komik dan watak-watak Marvel?" katanya dalam menjawab satu soalan.


Berbicara dalam loghat British, Garfield berkata berlakon dalam filem itu adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan bak bermain di sebuah taman permainan.

"Banyak babak lasak saya buat sendiri namun saya dibantu oleh banyak pakar genius yang terbabit dalam produksi ini. Ada tiga lagi pakar lagak ngeri untuk membantu watak saya dan semuanya berjalan seperti mana yang dirancangkan," katanya.

Melihat kepada fizikalnya yang tinggi dan langsing itu, mungkin ramai beranggapan otot-ototnya tidak 'solid' seperti mana pelakon watak adiwira yang pernah kita lihat. Kata Garfield, pemilihannya mungkin kerana pihak produksi mahu menampakkan karakter ciri-ciri manusia biasa yang mendapat kuasa luar biasa daripada labah-labah ciptaan saintis.

"Pun begitu saya sendiri masih perlu membuat persiapan fizikal selama empat bulan sebelum penggambaran filem ini bermula dan latihan itu perlu dilakukan tujuh hari seminggu. Ia antara lain bagi menguatkan stamina saya dan mendapat bentuk tubuh badan yang lebih sesuai. Saya juga terpaksa mendalami gimnastik.

"Selepas penggambaran selesai saya kembali semula kepada diri saya yang sebenar, seperti yang anda lihat sekarang," katanya.

Bagi Garfield, dia tidak pernah terfikir atau tertekan untuk bersaing dengan lakonan Maguire dalam Spider-Man sebelumnya kerana dia hanya berlakon mengikut kehendak skrip dan arahan pengarah.

"Saya harap penonton akan suka dengan filem ini kerana ia mempunyai tarikan tersendiri. Saya sendiri teruja melihat versi 3D yang dihasilkan kerana kesannya sangat mengagumkan," katanya.

Filem kali ini menonjolkan watak jahat seorang saintis tangan kudung yang akhirnya disyaki bertukar menjadi seekor cicak besar digelar Lizard.

Kisah bermula apabila Parker terkena gigitan labah-labah di makmal Oscorp milik Dr Curt Connors (Rhys Ifans) dan terus bertukar menjadi Spider-Man. Konflik percintaan juga berlaku dalam hidup Parker bersama Gwen Stacy (Emma Stone). Selain itu, Parker juga ingin membongkar misteri kematian ayah dan ibunya. Sejak kecil dia dibela oleh Uncle Ben (Martin Sheen) yang kemudian terbunuh dalam satu insiden jenayah.

Garfield dilahirkan di Los Angeles pada 20 Ogos 1983. Ibunya adalah seorang guru yang berasal dari Essex, Britain manakala ayahnya pula seorang ketua juru latih renang dari California, Amerika Syarikat.

Mereka dulu pernah menetap di Britain dan ketika remaja Garfield mula menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon. Selepas menamatkan pengajiannya, Garfield mengikuti kursus di Central School of Speech and Drama di University of London serta kelas lakonan di Guildford, Surrey.

Ketika berusia 12 tahun, Garfield pernah muncul dalam pementasan kanak-kanak, Bugsy Malone. Seterusnya dia semakin aktif menjayakan banyak pementasan. Pada 2004, Garfield membolot trofi Bakat Baru terbaik dalam Manchester Evening News Theatre Award diikuti Evening Standard Theatre Awards pada 2006.

Garfield pertama kali muncul di kaca TV Britain pada 2005 melalui drama remaja, Sugar Rush. Pada 2007, dia membintangi siri Doctor Who dan pada tahun yang sama, dilabelkan sebagai 10 Pelakon Lelaki Yang Harus Ditonton oleh majalah Variety.

Melalui Drama Boy pula, Garfield menang gelaran Aktor Terbaik dalam British Academy Television Award 2008.

Dari situ, dia membintangi filem The Imaginarium of Doctor Parnassus, diikuti The Social Network arahan David Fincher bersama Brenda Song, Justin Timberlake dan Jesse Eisenberg. Untuk filem itu, Garfield menerima pencalonan Aktor Pembantu Terbaik bagi untuk serta Golden Globe Awards.

The Amazing Spider-Man dijadual memulakan tayangannya di Malaysia hari ini. Selain tayangan di pawagam biasa, penonton juga akan mampu melihat versi 3D yang cukup hebat di pawagam IMAX di Sunway Pyramid.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/04


M Nasir, MPO bakal bersatu

Posted: 04 Jul 2012 06:09 AM PDT

SEMALAM genap usianya 55 tahun. Masih tegap, segak dan sihat, perjuangan seninya selama 35 tahun juga terus bergerak aktif tanpa mengenal kalah.

Produktif menerbitkan lagu, biar bukan untuk dialunkan suara sendiri, namun karya beliau yang masih berbisa diamanahkan kepada pelapis seni yang berpotensi serta mampu menyempurnakan makna lagu itu dengan baik.

Nyata tokoh muzik kelahiran 4 Julai 1957, Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau lebih dikenali M Nasir, memang cukup istimewa.

Terbaru, atas acara bergelar M Nasir with The MPO, beliau akan mengadakan persembahan khas diiringi 100 pemuzik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 13 & 14 Julai ini, jam 8.30 malam.


M Nasir ketika ditemui berkata, persediaan menjayakan konsert itu dilakukan sejak tahun lalu dengan menyenarai pilihan lagu yang sesuai selain membuat susunan semula untuk disesuaikan dengan persembahan itu.


"Saya memang menantikan saat ini untuk memberikan sebuah konsert kepada peminat dan diiringi satu kumpulan yang besar iaitu orkestra simfoni. Apatah lagi persembahan saya kali ini dalam sebuah dewan yang baik untuk akustik dan cukup sesuai bagi sesiapa yang mahu mengalami pengalaman bunyi yang besar.

"Sebenarnya hasrat mahu membuat persembahan dengan MPO tercetus selepas menyaksikan persembahan Datuk SM Salim, kira-kira 11 tahun lalu. Dari situ, saya juga nampak ada beberapa elemen teknikal serta cara persembahan MPO yang tersendiri dan saya ingin sekali bersatu dengan mereka.

"Saya mahu mempersembahkan sesuatu yang berbeza buat peminat. Sekian lama tidak muncul dalam sebuah persembahan yang besar, saya kira konsert ini mampu membawa karier saya ke satu tahap yang berbeza dari segi 'bunyi'.

"Kebanyakan penonton belum pernah mengalami pengalaman serta mendengar bunyi yang bakal dipersembahkan nanti," katanya.

Membariskan lagu hit dan malar segar yang diinterpretasikan MPO, antaranya Kias Fansuri, Sahabat Gua, Apokalips, Juwita, Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Bonda, Kepadamu Kekasih, Sentuhan Listrikmu, Ada, Di Balik Cermin Mimpi, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Mustika, Raikan Cinta dan Suatu Masa.

Mempunyai ratusan himpunan lagu hit, bagaimanapun rangkaian lagu yang dipersembahkan untuk acara itu mempunyai kuasa tersendiri kepada beliau setiap kali beraksi di pentas.

"Dalam persembahan perlu ada cerita dan biasanya barisan lagu yang dipilih perlu ada kaitan dengan tujuan penganjuran. Misalnya persembahan bersama MPO, ia sebuah pementasan kembara muzik saya selama 35 tahun.

"Jadi, lagu yang akan disampaikan adalah lagu yang memperkenalkan nama saya pada awal kemunculan sehinggalah ke hari ini. Setiap kali membuat persembahan, saya amat teliti dalam menyenaraikan lagu," katanya.

Konsert pimpinan Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field itu adalah yang ketiga MPO meraikan muzik penyanyi legenda tempatan selepas Tan Sri SM Salim (2001) dan Datuk Sheila Majid (2010).

Ditubuhkan pada 1998, MPO dianggotai 100 pemuzik dan pernah membuat persembahan di Australia, Jepun, Korea, Taiwan, China dan Singapura.

Menyingkap keistimewaan M Nasir, tokoh muzik itu seorang insan seni yang serba boleh; penyanyi, pencipta lagu, penulis, penerbit, pelakon, pengarah filem, penyajak dan pelukis. Beliau menerima pendidikan Diploma Seni Lukis dan GCE 'O' Level di Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.

Sifu, gelaran diberikan penggiat seni kerana kemampuan luar biasa beliau dalam menghasilkan karya yang mampu menaikkan semangat dan merangsang minda masyarakat.

Beliau adalah insan yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan Alleycats, Search, Wings, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider dan Mawi.

Beliau dianugerahkan dengan pelbagai penghargaan seperti Anugerah Juara Lagu (1990, 1991, 1993, 1994, 1999, 2000 dan 2012), Festival Filem Malaysia (1984 dan 1990), Anugerah Skrin TV3 (1997), Anugerah Industri Muzik (2001 dan 2002), Anugerah Planet Muzik (2001), selain memenangi kategori Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1994).

M Nasir memulakan karier bersama Kembara dan melahirkan empat album pada awal 1980-an sebelum bergerak secara solo pada 1989 (melalui album Solo). Beliau kemudian menghasilkan tujuh lagi album solo.

Antara konsert beliau yang melakar sejarah adalah Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), persembahan akustik Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (1995) dan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya (2009).

Beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara pada 1996 dan Darjah Indera Mahkota Pahang pada 2011 yang membawa gelaran Datuk.

Dalam perkembangan lain, M Nasir dalam perancangan untuk mengadakan persembahan istimewa di Singapura tahun hadapan.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert M Nasir with The MPO, tiket dijual dengan harga Premium: RM358, A Reserve: RM258, B Reserve: RM158, C Reserve: RM98.

Tempahan Telefon: 03- 2051 7007 Tempahan faks: 03- 2051 7077.T Tempahan e-mel: dfp_boxoffice@petronas.com.my atau maklumat lanjut boleh layari www.dfp.com.my & www.mpo.com.my

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/04