Adsense

Sabtu, 23 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sebar mesej cinta

Posted:

Sebar mesej cinta

AURA yang tercetus ketika kelibat penyanyi kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu memasuki ruang temu ramah di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur pada petang Selasa lalu benar-benar mengujakan. Saat bertemu media, dia hanya memakai sehelai kemeja T, celana denim yang koyak pada bahagian lutut dan berkaki ayam.

Sambil leka mempamerkan bakatnya memetik alat muzik gitar, bibirnya lekas menguntum senyum. Dialah Jason Mraz, si dewa muzik cinta yang teguh bersama ideologinya.

"Saya bukan pencinta terbaik, lihat saja hubungan yang saya jalinkan semuanya musnah dan meremukkan hati saya!" getusnya dalam nada sebak.

Benar barangkali dia bukan insan yang handal bermain cinta, buktinya hubungan bersama kawan rapatnya yang juga seorang penyanyi dan penulis lirik, Tristan Prettyman berkecai pada bulan Julai tahun lalu.

L.O.V.E.

Mengubati hati yang lara, Mraz atau nama sebenarnya Jason Thomas Mra, 34, mencuba untuk lari daripada kebiasaan. Dia melibatkan diri dengan pelbagai pertubuhan, persatuan dan sukarelawan.

"Saya baru usai menjadi sukarelawan di California (Amerika Syarikat) sebagai salah seorang aktivis alam sekitar dan di situ saya mendalami ilmu cinta.

"Cinta bermakna perkongsian, membahagikan masa, harta dan tenaga untuk orang lain," ujarnya berfalsafah.

Mraz merencanakan album terbaharunya, Love Is A Four Letter Word bersama hati yang remuk. Katanya perjalanan untuk melahirkan album versi deluxe bersama dua keping cakera padat itu amat payah dan berbeza.

"Kecewa dalam percintaan membuatkan saya lebih kuat daripada sebelum ini dan album ini menceritakan segalanya tentang cinta dan perjalanan hidup saya.

"Beza album kali ini saya mengingatkan pendengar untuk mencintai keluarga kita dan sesama insan lain. Mencinta dan dicintai frasa yang bermakna bagi saya," jelas Mraz lagi.

Perjalanan lebih setahun untuk menyiapkan album itu katanya juga menyeronokkan dan satu peluang untuk dia menerokai perspektif muzik.

"Proses yang dilalui untuk menyiapkan album ini adalah mudah sekali. Saya bekerja dengan pemuzik, studio dan persekitaran yang terbaik.

"Sesetengah lagu yang termuat adalah sebahagian daripada diri ini. Medium ini merupakan kaedah terbaik dalam menyalurkan muzik saya," ceritanya.

Dalam pada itu, ujar Mraz dia lebih memfokuskan kerja seni untuk penghasilan kulit album yang terdiri daripada empat bentuk asas menghasilkan perkataan L.O.V.E.

"Saya menekankan hasil kerja seni kulit album kali ini, bentuk-bentuk yang saya pilih biasa dilihat dalam kehidupan kita dan cara termudah mempromosikan cinta," tambah Mraz.


PENGALAMAN banyak mendidik Jason Mraz dalam menentukan hala tuju muziknya.


Menerusi album itu, Mraz memilih lagu Everything Is Sound sebagai lagu utamanya. Katanya, selain melodi yang ringkas, cara nyanyian yang menggambarkan mood ceria, chorus lagu hit terbaharunya itu mudah diingati.

Selain itu, lagu 93 Million Miles antara karya yang bermakna baginya. Ujarnya:" Lagu itu menggambarkan kisah hidup kita yang umpama roller coaster, adakalanya kita di landasan betul, kadangkala boleh jadi tunggang-langgang."

Tekanan

Sepuluh tahun berada dalam industri hiburan yang menyaksikan namanya turun naik, Mraz tidak melihat tekanan yang hinggap padanya berpunca daripada populariti.

"Tidak ada tekanan yang dikaitkan dengan isu komersial dan populariti kerana saya rasa peminat sekarang sudah cukup matang untuk menilai artis pujaan mereka.

"Saya gemar berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dan apabila peminat turut sama menyanyi bersama, itu sudah cukup mengharukan dan mencetuskan inspirasi untuk menghasilkan lagu baharu," jelasnya.

Tambah Mraz, tekanan itu sentiasa ada cuma terpulang pada diri sendiri untuk menanganinya.

Berbicara bagaimana dia mencari ilham menulis lirik atau mencipta lagu, Mraz mengakui pengalaman mendidik dirinya dalam memandu arah muziknya.

"Setiap muka surat buku catatan lagu saya bermula dengan kosong dan hanya pengalaman serta ilmu dalam dada membantu saya menggubah karya baharu," katanya.

Irma terus aktif lepas nikah

Posted:

Irma terus aktif lepas nikah

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL


IRMA HASMIE bakal bergelar isteri pada 29 Jun ini.


NIATNYA cuma ingin mencari keberkatan dengan menziarah bumi suci Mekah, namun tidak disangka, kunjungan kali ketiganya Februari lalu bakal mengubah segalanya.

Bagi Irma Hasmie, mungkin sudah suratan Ilahi, sapaan mesra seorang wanita yang kelak bakal bergelar ibu mertuanya, Datin Azizah Osman, menjadi detik permulaan untuknya sebagai seorang isteri.

Di Mekah, dia diperkenalkan bakal mertuanya dengan anak lelakinya yang kemudian berjaya memikat hati Irma nya untuk bergelar isteri.

Kini, kurang lagi dua minggu sebelum menjadi permaisuri hati bakal suaminya, Reza Syah Azmeer Radzuan, Irma sedang sibuk menguruskan segala perancangan agar majlis perkahwinannya itu nanti berjalan seperti yang diimpikan.

Mensyukuri segala nikmat yang datang, dia berkata majlis perkahwinannya pada 29 Jun ini akan dilangsungkan dengan suasana sederhana tetapi diharap penuh keberkatan.

Kosmo!: Irma baru pulang dari mengerjakan umrah untuk kali keempat baru-baru ini, ada sebarang perkara menarik berlaku semasa anda di sana?

IRMA HASMIE: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berjaya menunaikan umrah dengan tenang. Selalunya bila pulang ke tanah air, kita akan berasa sedikit tidak sihat, namun kali ini semuanya berada dalam keadaan sempurna.

Adakah salah satu sebab anda mengerjakan umrah kali ini adalah untuk mendapat keberkatan untuk majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi?

Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mendapat keberkatan daripada-Nya. Jadi tidak dinafikan, jauh di sudut hati, saya berharap majlis itu nanti akan berjalan dengan lancar.

Bercakap mengenai majlis perkahwinan, bagaimana persiapan majlis tersebut setakat ini?

Boleh saya katakan bahawa semua perancangan sedang berjalan dengan lancar dan saya sangat bersyukur kerana pihak keluarga daripada kedua-dua belah pihak banyak membantu kami. Dari segi persiapan, apa yang patut diuruskan terlebih dahulu seperti pemilihan lokasi serta dekorasi telah lama saya selesaikan. Apa yang tinggal sekarang hanya beberapa persiapan terakhir.

Maksud persiapan terakhir? Adakah anda sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk majlis itu nanti?

Sudah pasti tidak. Majlis perkahwinan saya nanti sama seperti perkahwinan orang lain juga. Tiada sebarang gimik atau perancangan istimewa. Bagaimanapun, saya tetap berharap ia akan berlansung dengan meriah walaupun sederhana.

Adakah bakal suami anda turut terlibat dalam segala persiapan majlis ini atau menyerahkan segalanya mengikut cita rasa anda?

Syukur Alhamdulillah dia sentiasa menyokong dan berada di sisi saya sepanjang proses yang sungguh memeningkan kepala ini. Saya pasti dia pun sedar yang majlis tersebut bukanlah untuk saya seorang tetapi untuk kami berdua jadi dia sentiasa memberikan idea dan pandangan dalam segala keputusan yang diambil.

Adakah majlis perkahwinan anda nanti bakal menjadi Wedding of the Year?

Saya hanya mahukan perkahwinan yang sederhana dan mengikut kemampuan kami sekeluarga. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak menghulurkan bantuan bagi memeriahkan majlis kami nanti. Sebagai contoh, segala dekorasi di dalam dewan perkahwinan itu nanti ditaja oleh Decasa Flora manakala pakaian kami telah direka khas oleh Izwan dan Hatta Dolmat. Sekali lagi kami amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyumbang untuk memeriahkan majlis kami.

Dalam tempoh terdekat ini, kita akan menyambut bulan Ramadan. Apa perasaan anda menyambut Ramadan pertama sebagai seorang isteri?

Sejujurnya saya berasa amat gembira untuk menyambut Ramadhan kali ini. Jika sebelum ini saya berpuasa seorang diri, makan pun kadangkala hanya berbekalkan nasi bungkus, kali ini semuanya berbeza. Saya akan sentiasa berteman. Tidak sabar rasanya untuk menjalani ibadah puasa bersama bakal suami.

Bagaimana pula dengan kerjaya? Adakah anda akan kurangkan aktiviti berlakon semasa bulan puasa? Lebih-lebih lagi selepas baru bergelar isteri?

Bagi saya, bulan puasa sama seperti hari-hari biasa. Apa yang membezakan adalah keberkatannya. Jadi, jika ditanya mengenai kerjaya, saya akan bekerja seperti biasa tetapi jika boleh, saya akan akan cuba untuk mengurangkan aktiviti di sebelah malam. Pada waktu ini (malam), Insya-Allah saya akan menumpukan lebih banyak masa untuk beribadat dan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami dan keluarga.

Tidak bercadang untuk berehat sebentar bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga anda?

Seperti yang saya maklumkan tadi, walaupun sibuk, saya akan cuba mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga. Bagaimanapun, saya telah mengambil keputusan untuk berehat selama seminggu selepas majlis di rumah pihak lelaki pada 7 Julai nanti. Selepas itu, saya akan kembali bekerja seperti biasa.

Kata-kata akhir anda?

Saya hanya mampu berharap agar majlis perkahwinan kami nanti diberkati dan dirahmati oleh-Nya dan saya meminta agar para peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami.

Anuar henti dengar radio

Posted:

Anuar henti dengar radio

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL


ANUAR ZAIN nekad meluahkan pandangan
tentang senario terkini industri muzik tempatan.


WALAUPUN dirinya telah lama diangkat sebaris dengan artis-artis berstatus perdana tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir, keperibadian serta sifat rendah dirinya kekal seperti dahulu.

Mungkin kerana faktor itu, ditambah dengan kekuatan serta kebolehan vokalnya yang mantap, telah menjadikan nama Anuar Zain terus terpahat di hati peminat.

Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan album baharu, kini Anuar kembali membawa buah tangan terbaharu khusus buat para peminatnya. Ia adalah sebuah album berjudul Anuar Zain.

Namun, di sebalik kegigihan pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2011 ini mempromosikan album miliknya itu, terpalit sedikit duka pada raut wajahnya apabila bercerita mengenai industri muzik tanah air.

Wajah kacak yang tidak lekang dengan senyuman itu bertukar pahit apabila dia mengakui sudah lama tidak mendengar radio.

"Sejujurnya saya berasa sedikit kecewa dengan kebanyakan stesen-stesen radio tempatan yang seakan-akan telah lupa warna-warni dunia muzik kita.

"Hampir setiap hari, apabila saya membuka siaran radio, lagu yang sama dari genre yang serupa akan dimainkan berulang-ulang kali sehinggakan sebahagian daripada kita mula berasa jelak," jelasnya ketika ditanya alasannya berkata demikian.

Ketika ditemui sewaktu majlis An Afternoon With Anuar Zain di Bistro 42, Bangsar Village 2 baru-baru ini, Anuar dengan sedikit berat hati menjelaskan kekecewaannya apabila terdapat unsur 'pilih bulu' dalam pemilihan lagu yang dikeluarkan di corong-corong radio.

Menurutnya, stesen-stesen radio ini seoalah-olah mempunyai 'garis panduan' tersendiri dalam memilih lagu.

"Kadangkala ada lagu yang bagi saya tidaklah terlalu menarik tetapi sering diputarkan di radio sementara sebahagian lagu-lagu lain dibiarkan begitu sahaja.

"Saya berasa sedikit sedih apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang bersusah payah mengeluarkan duit sendiri untuk membuat album namun lagu-lagu mereka tidak dimainkan di radio," ujarnya yang tampil serba ringkas di majlis tersebut.

Bagaimanapun menurut Anuar, kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube telah memberikan sinar baharu kepada lagu-lagu yang sering di anak tirikan ini.

Katanya lagi, laman-laman sosial ini membolehkan peminat-peminat 'lari' daripada kebiasaan dan tidak perlu terikat dengan senarai lagu yang telah 'diprogramkan' oleh stesen-stesen radio.

"Menerusi laman-laman sosial seperti YouTube contohnya, peminat-peminat boleh mendengar lagu yang mereka gemar dan tidak dimainkan di radio dengan sesuka hati.

"Mereka kemudiannya akan berkongsi lagu tersebut dengan orang lain menerusi laman sosial yang lain seperti Facebook, Twitter dan sebagainya," ujarnya yang kini hanya bergantung kepada iPod miliknya untuk mendengar lagu.

Bagaimanapun dengan nada sedikit tegas, Anuar berkata, memang benar aktiviti perkongsian lagu di internet memberi platform untuk mempromosikan lagu-lagu mereka namun risiko untuk ia menjadi perkara yang negatif tetap ada.

"Terdapat peminat yang gemar merakam persembahan-persembahan artis dan kemudiannya memuat naik rakaman tersebut ke laman YouTube. Perkara ini bagus kerana dapat memberi publisiti percuma kepada penyanyi itu.

"Bagaimanapun, jika tujuan memuat naik rakaman tersebut adalah untuk memburuk-burukkan artis tersebut, ia haruslah dielakkan," ujarnya yang sempat menyanyikan tiga buah lagu daripada album terbaharunya yang sudah pun berada di pasaran pada penghujung tahun lepas.

Mengulas lebih lanjut mengenai album tersebut, Anuar memberitahu, kesemua lapan buah lagu, termasuklah Cinta Harus Memiliki dan Ku Berjanji Kerna Cinta digarap dengan begitu teliti agar melodinya melengkapi lenggok vokalnya.

"Saya terlibat secara langsung dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut supaya hasil akhirnya dapat memuaskan hati semua pihak, termasuklah peminat dan diri saya sendiri.

"Saya juga berharap agar lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini dapat menyuntik ketenangan ke dalam diri para pendengar," ujarnya yang turut mempertaruhkan dua lagi single iaitu Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dalam album tersebut.