Adsense

Isnin, 25 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terharu kembali jadi nombor 1

Posted: 24 Jun 2012 08:31 AM PDT

DENGAN status kembali menjadi stesen radio nombor 1 negara dua penyampai yang petah dari Era FM, Dina Nadzir & Zarith Adzmira, tidak pernah mendabik dada sebaliknya bersyukur menikmati kejayaan mereka.

Bertemu dengan kedua-dua mereka, minggu lalu, masing-masing meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pendengar kerana usaha semua petugas di stesen terbabit mendapat pulangan berbaloi.

Menurut Dina yang sudah tiga tahun berada di konti Era FM, menjadi No: 1 bukanlah kayu ukuran bagi prestasi individu sebaliknya berkat usaha semua yang terbabit di depan mahupun belakang tabir.

"Ketika awal menyertai Era FM tiga tahun lalu, stesen radio ini memang pernah berada di tangga pertama daripada sudut 'rating' namun ia kemudiannya jatuh ke tangga kedua dan seterusnya, ketiga. Jadi terdetik juga dalam hati saya - adakah semua itu disebabkan penyertaan saya yang membuatkan pendengar Era FM lari?


"Namun alhamdulillah apabila Era FM diumumkan kembali menjadi stesen radio No: 1 di Malaysia, ia membuktikan usaha saya bersama rakan-rakan penyampai lain selama tiga tahun lalu di bawah pengawasan bos kami, Nazri Noran, bertukar menjadi sesuatu yang berbaloi dan meninggalkan impak.


"Semuanya berkat kami mengkaji kelemahan sendiri, memperbaiki mutu kandungan semua program serta mempertingkatkan corak penyampaian di konti.

"Apa yang pentingnya, kita semua kena ikhlas dan sentiasa bersikap jujur dalam kerja kita," katanya.

Dina berkata, status menjadi paling popular dan pilihan rakyat Malaysia bukanlah satu lesen untuk dia berasa selesa malah kerana terus bekerja keras agar lebih ramai pendengar mengikuti frekuensi Era FM.

Kata Dina yang sebelum ini finalis Malaysian Idol musim pertama pada 2004, bertugas selaku penyampai radio memberikan kepuasan dan sukar diterjemah dengan kata-kata kerana mereka berinteraksi secara langsung dengan pendengar.

"Memang pada awalnya janggal juga memikirkan lapangan kerjaya saya sudah tersasar. Maklumlah permulaannya ingin menjadi penyanyi namun rezeki itu lebih terdorong ke arah konti. Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan, selepas tiga tahun, saya mula nampak arah tuju saya dalam dunia hiburan.

"Pendengar kini sudah ibarat kawan yang melepak bersama saya di kedai mamak. Saya bersembang dan berinteraksi bersama mereka secara santai dan bersahaja kerana itu yang lebih mendekatkan saya dengan mereka. Saya ingin mereka menjadikan stesen radio bukan saja sebagai saluran untuk mendengar lagu, sebaliknya sebahagian daripada gaya hidup mereka.

"Dunia penyiaran khususnya radio sudah bergerak maju ke depan dan pendengar hari ini bukan lagi mengikuti kami untuk mendengar lagu semata-mata, sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada kami. Bukan lagi menelefon kami untuk meminta lagu malah mereka sekarang sudah boleh berinteraksi dengan kami melalui laman sosial twitter, facebook dan e-mel.

"Alhamdulillah kesemua warga kerja di Era FM dan pihak pengurusan sentiasa menyokong kerjaya saya tanpa memberikan tekanan. Saya sendiri dapat melihat peningkatan dalam kerjaya ini berbanding sejak awal membabitkan diri. Lebih menariknya, saya semakin yakin dan percaya dengan apa yang saya lakukan hari ini," katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu Selamat Tinggal bersama Zizan Razak.

Enggan meletak harapan besar atau sasaran tertentu dalam kerjayanya, Dina yang juga terkenal dengan vokalnya yang hebat dan tersendiri hanya ingin berusaha untuk memastikan pendengar dapat menerimanya dengan baik.

"Saya tidak memikirkan soal kajian jumlah pendengar kerana pada saya setiap hari adalah penting untuk berusaha dan memberikan yang terbaik. Apa yang lebih menjadi fokus adalah segmen saya sendiri. Saya inginkan jumlah pendengar pada setiap kali saya ke udara semakin bertambah," katanya.

Dina yang sebelum ini pernah membuka mata ramai pihak menerusi lakonan hebatnya dalam pementasan teater muzikal Dreamgirls bertugas di konti dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari kemudiannya diambil alih pula Ira yang sinonim dengan jenaka selambanya sehingga jam 4 petang di bawah waktu siaran yang sama, Muzik Erathon.

Ira yang menyifatkan Dina sebagai salah seorang inspirasi untuk dirinya menjadi lebih baik mengakui Era FM banyak memberikannya ruang pendedahan.

Selain berdepan tanggungjawab berat untuk melayan pendengar selain berpengetahuan dalam lapangan muzik dan lagu, Ira yang baru dua tahun bersama stesen radio di bawah naungan AMP Radio Network itu melihat Era FM sebuah institusi penyiaran terbaik.

"Lihat saja profil stesen radio ini sejak dulu lagi yang mana mereka pernah bertahan menjadi nombor 1 selama 12 tahun dan melahirkan barisan penyampai yang hebat dan berkaliber seperti Linda Onn, Halim Othman dan ramai lagi. Justeru apabila berpeluang menyertai Era FM dan dipilih menjadi penyampai, sudah pasti ia ibarat bulan jatuh ke riba.

"Kini selepas dua tahun di sini, saya belajar banyak benda terutamanya teknik komunikasi dan melayan pendengar dengan baik. Bayangkan, kami hanya diberi 30 saat saja untuk bercakap sebelum memainkan lagu seterusnya dan ketika itu juga saya perlu memberikan maklumat dan berceloteh bersama pendengar. Ia benar-benar mencabar dan alhamdulillah Era FM mengajar dengan sempurna.

"Bukan lagi sekadar memutarkan lagu namun untuk segmen saya setiap hari, ia menuntut untuk saya memberikan yang terkini kepada pendengar baik dari segi muzik mahupun perkembangan semasa. Ini penting agar pendengar sentiasa peka dengan apa yang terjadi setiap hari. Lantas ia bukanlah satu komitmen yang mudah kerana setiap hari kami perlu mengadakan persediaan agar penyampaian tidak nampak longgar.

"Bagaimanapun cabaran itulah yang mematangkan saya khususnya selaku orang baru dalam dunia penyampaian radio ini," katanya yang juga graduan jurusan Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menyentuh soal masa depan dan percaturan dalam kerjaya sebagai penyampai radio, Ira, 28, dan baru saja melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihannya, Shazril Ezani Razali pada Disember lalu, enggan memegang hasrat tinggi melangit.

"Apa yang saya harapkan adalah ingin menjadi sebagus penyampai senior lain. Saya tidak henti berusaha untuk menguatkan bakat dan kebolehan agar diterima baik pendengar. Insya-Allah kalau diberi peluang, saya juga berhasrat ingin mencuba lapangan seni lain seperti lakonan," katanya.


Erra sempurna untuk saya: Emran

Posted: 24 Jun 2012 08:20 AM PDT

DIA akui tiada siapa yang sempurna di muka bumi ini, tetapi baginya, Erra Fazira cukup lengkap dan sempurna di matanya sebagai seorang isteri, ibu kepada Engku Aleesya dan membahagiakannya sebagai seorang suami.

"Jadi buat apalah saya nak berkahwin seorang lagi, nak menduakan Erra? Demi Allah saya tidak pernah berkahwin dengan orang lain kecuali isteri saya sekarang, Erra Fazira. Sudah cukup bagi saya dan Aleesya," kata Engku Emran Engku Zainal Abidin yang mengulas gosip liar mendakwa dia sudah berkahwin dua.

Biarpun khabar angin yang menjuruskan kepada fitnah itu tersebar sejak tahun lalu, ketika itu Engku Emran lebih selesa mengambil tindakan berdiam diri daripada memberi penjelasan yang mungkin memudaratkan lagi keadaan yang sedia tidak betul.

Baginya, gosip begini adalah lumrah dunia hiburan dan menganggapnya suatu yang tidak serius. Malah Erra juga sering menjawab pertanyaan media mengenai hal ini dan menafikan pergolakan rumah tangga mereka yang dibina pada 10 Oktober 2007 itu.


Bagaimanapun kata Engku Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MalaysianDigest.Com, semakin dibiarkan, khabar angin itu semakin luar diperkatakan dan belum berhenti hingga saat ini.


"Terus terang saya katakan yang saya tidak berasa tertekan dengan gosip begini, namun perlu diingat kerana ia turut membabitkan nama keluarga walaupun mereka tahu perkara sebenar.

"Saya bersyukur mempunyai keluarga dan keluarga mentua yang memahami. Dan untuk pengetahuan semua, saya dan Erra masih tinggal sebumbung dan tidur sekatil.

"Tetapi saya perlu jelaskan sekarang sebab saya juga kasihankan Erra yang terpaksa berdepan dengan pihak media saban minggu dan diajukan soalan mengenai rumah tangga. Seperti yang Erra pernah katakan sebelum ini, doakan yang terbaik untuk rumah tangga kami," katanya.

Menurutnya, selama ini dia boleh sahaja membalas kenyataan yang benar daripada pihaknya menerusi blog dan akaun twitter miliknya @iamkumbre. Namun katanya, kenyataan itu pasti akan berpanjangan dengan cerita susulan serta bertambah spekulasi pihak tertentu dan perkara ini tidak akan berakhir.

"Memang saya ada banyak peluang untuk membuat penjelasan itu, tetapi sampai bila? Kerana orang akan bertanya itu bertanya ini dan ia berlanjutan.

"Bagaimanapun saya harapkan dengan penjelasan ini, tiada lagi yang meragui hubungan rumah tangga kami. Terima kasihlah kerana ambil berat mengenai kami sekeluarga.

"Saya bertahan berbulan-bulan untuk tidak membuat kenyataan, tetapi ini pun saya harapkan dapat mengurang beban Erra yang berdepan dengan media, peminat dan orang ramai.

"Saya menerima segala yang berlaku ini sebagai ujian Allah. Dia menguji kerana Dia sayangkan kita.

"Sebelum kami bernikah pun, Erra pernah tanya saya, sama ada sanggup berdepan dengan gosip artis. Tetapi bagi saya, inilah harga yang harus dibayar apabila jodoh saya dengan Erra," kata Emran.

Ditanya kemungkinan wujud orang ketiga atau pihak yang tidak senang dengan kebahagiaan mereka, Emran, 37, tidak menafikan perkara itu.

"Saya sedar yang tidak semua orang suka dengan perkahwinan kami. Cuma saya tidak faham mengapa ada orang begini, tidak faham dengan niat orang itu.

"Orang yang menyebar fitnah ini harus ingat, sedangkan jika mereka yang sengaja mengotorkan masjid pun sudah berdosa, apatah lagi kalau cuba meruntuhkan masjid itu. Saya tidak bayangkan betapa besarnya dosa orang itu," katanya.

Kata-kata itu dibiarkannya tergantung tanpa penjelasan lebih lanjut kerana tidak mahu disalahertikan.

"Saya maafkan orang itu, tetapi dia kena minta maaf dengan Allah di atas apa yang telah dilakukannya terhadap kami.

"Sekali lagi saya katakan yang saya tidak berkahwin dua. Di dalam keluarga saya pun tiada yang mengamalkan poligami dan saya melihat bapa saya sebagai idola, sehingga sekarang dia masih setia dengan ibu saya.

"Kalau benar sekali pun saya nak kahwin lagi, sudah semestinya saya akan mendapatkan izin daripada Erra, tetapi saya tahu yang saya tidak mampu untuk berlaku adil. Erra sudah lengkap dan melengkapi hidup saya. Tetapi saya tahu Erra juga tidak akan benarkan.

"Saya pun tidak tergamak untuk membuat begini kepada anak kami, Aleesya.

"Kepada peminat atau masyarakat di luar sana, cuba fikir, setiap hari saya keluar pergi kerja dan berdepan dengan orang ramai. Cuba bayangkan bagaimana pandangan sinis atau serong orang yang memandang saya impak daripada cerita-cerita begini?

"Saya serahkan semuanya kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui," katanya.
Engku Emran dan Erra Fazira bernikah pada 10.10.2007 dan dikurniakan seorang anak, Engku Aleesya, 3.