Adsense

Rabu, 6 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Nyawa Almy Nadia Nyaris Melayang Gara-Gara Apendiks

Posted: 06 Jun 2012 12:04 AM PDT


Almy Nadia
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia amat bernasib baik kerana nyawanya terselamat apabila sempat menjalani pembedahan bagi membuang apendiks yang sudah berada pada tahap kritikal.
Almy berkata, penyakit apendiksnya itu sudah bernanah dan jika tidak dirawat dalam masa yang cepat, ia akan menyebabkan jangkitan dan berkemungkinan besar boleh membawa maut.
Menceritakan pengalaman ngeri itu, Almy berkata dia mengalami kesakitan pada bahagian perut secara tiba-tiba pada tengah malam 23 Mei lalu sehingga menyebabkan dia ditahan di wad Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini, untuk pembedahan segera.
"Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Pada malam 23 Mei lalu saya alami sakit perut yang teruk sehingga memaksa saya mendapatkan rawatan di KJMC. Tak sangka pula selepas pemeriksaan, doktor kata apendiks saya sudah bernanah teruk.
"Saya juga sudah berada di ambang maut kerana apendiks itu hampir pecah jika saya lewat sehari ke hospital. Mujurlah semuanya sudah selamat dan kini keadaan beransur sembuh selepas hampir dua minggu pembedahan," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Bercerita lanjut, Almy yang sedang menjalani proses berpantang untuk tempoh tiga minggu berkata, selain menekankan aspek pemakanan dia juga perlu berhati-hati dalam pergerakannya.
"Doktor kata saya kena berpantang selama tiga minggu kerana luka pembedahan itu agak teruk. Tetapi ibu nasihatkan agar saya berpantang selama tiga bulan bagi memastikan luka dalam perut sembuh sepenuhnya.
"Sekarang, saya sangat menekankan pengambilan makanan yang tidak pedas selain memilih makanan berkhasiat. Paling penting saya kena kawal pergerakan agar tidak lasak sebab maklumlah saya ini tidak boleh duduk diam.
"Saya sangat trauma dan sakit akibat pembedahan itu tetapi keadaan beransur pulih. Walau sakit dan sukar mana sekalipun pergerakan saya, kerja kena diteruskan kerana saya anak sulung yang perlu menyara keluarga di kampung," katanya.
Ditanya mengenai satu demi satu musibah yang menimpa dirinya sejak tahun lalu antaranya sakit misteri, patah jari kaki, dugaan dalam percintaan dan apendiks, Almy menganggapnya sebagai dugaan Allah untuk menghapuskan dosa-dosa kecilnya selama ini.
"Saya percaya segala musibah yang datang kepada saya adalah dugaan daripada Allah untuk menghapuskan pelbagai dosa yang pernah saya lakukan," jelasnya.
Terbaru, Almy kini kembali bekerja dan baru saja memulakan penggambaran telefilem Hari Raya berjudul Sebelum Raya arahan Zulkifli M Said untuk tayangan di sebuah saluran televisyen.

- ---

Harga Bayaran Persembahan Shila Amzah Sudah Naik

Posted: 05 Jun 2012 11:52 PM PDT


Shila Amzah
PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui mula menaikkan harga bayaran untuk dia mengadakan persembahan bermula Februari lalu kerana merasakan sudah tiba masanya dia berbuat demikian.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata hal tersebut merupakan perkara biasa bagi seseorang penyanyi di mana harga yang ditetapkan dalam sesebuah persembahan haruslah mengikut pencapaian dalam karier seni masing-masing.
"Memang harga bayaran untuk saya mengadakan sesebuah persembahan dah naik sejak penyertaan saya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang berlangsung pada Februari lalu lagi.
"Dan ia merupakan perkara normal bagi setiap penyanyi yang menaikkan harga mereka. Harga petrol pun naik setiap tahun, takkan kami (penyanyi) tidak boleh naikkan harga sedikit?" katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Tambah Shila, dia kecewa apabila ada segelintir pihak menganggap dia tidak boleh berunding dengan harga bayaran yang diberi sedangkan dia sangat terbuka bergantung kepada kemampuan sesebuah syarikat yang ingin menjemputnya mengadakan persembahan.
Malah anak sulung penyanyi ND Lala ini juga sangat fleksibel apabila pihak stesen televisyen, majalah, akhbar atau mana-mana yang membabitkan penganjuran media mengundangnya untuk memenuhi acara yang diaturkan.
"Jika ada orang kata saya naikkan harga bagi acara-acara yang membabitkan stesen televisyen atau media-media lain, ia tidak benar sekali kerana saya terima sahaja apa-apa bayaran yang diberi.
"Dan ada juga persembahan yang saya buat percuma. Harga bayaran bukanlah satu isu, lebih-lebih lagi yang membabitkan untuk kebajikan amal. Saya harap dengan penjelasan ini, semua akan faham," ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Patah Seribu itu risau apabila banyak syarikat besar 'menjual' nama media bagi tujuan untuk mendapatkan harga murah daripada penyanyi-penyanyi yang diinginkan, termasuklah dirinya sendiri.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaru, dia bersyukur kerana sejak menyertai pertandingan Mania (saluran Astro), peminat-peminatnya semakin bertambah termasuklah daripada negara Indonesia.
"Walaupun tidak sampai ke peringkat akhir, saya bersyukur Mania telah memberi peluang besar untuk saya lebih-lebih lagi apabila Ahmad Dhani turut terbabit dalam pertandingan ini.
"Dia (Dhani) telah memberikan platform kepada saya untuk mengembangkan karier nyanyian di Indonesia dan setakat ini kami masih lagi dalam perbincangan sama ada saya akan menjadi artis di bawah naungannya iaitu, Republik Cinta Management (RCM) atau tidak," tuturnya.

- ---

Nurul Wahab selamat diijabkabul

Posted: 05 Jun 2012 11:38 PM PDT

Nurul Wedding Kahwin


Penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab, 35, (Nurul) sah bergelar isteri kepada perunding kesihatan warganegara Perancis, Eric Daniel Depp, 47, dengan sekali lafaz di Duchess Place di sini, Rabu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman kira-kira pada pukul 12.20 tengah hari bersaksikan abang Nurul, Mohamad Rizal Abdul Wahab.
Nurul ditemani anak perempuannya Ayu Nazirah, 14, manakala Eric hadir bersama kedua ibu bapanya Roland dan Germaine Depp.
Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.
Nurul yang menggalas status ibu tunggal selama lima tahun menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran EURO 5,000 (RM20,000).
Nurul turut menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang antaranya berupa produk kecantikan Skinz, minyak wangi Cartier, jam tangan Korloff dan rantai mutiara.
Pihak perempuan membalas tujuh dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Pedro, senaskhah Al Quran, sehelai songket, produk kecantikan dan manisan.
Pada majlis berkenaan, Nurul tampil anggun mengenakan gaun berona putih rekaan Riezman Ruzaini dan Eric pula segak mengenakan sut rekaan Bon Zainal. Kedua-dua mempelai dirias jurusolek Deq Sha.
Antara selebriti yang menyerikan majlis adalah Zahida Rafik, Ning Baizura, Amy Mastura dan suami, guru vokal Siti Hajar dan pelakon Jehan Miskin.
Majlis diacarakan oleh pelawak Eida Moin dan penulis lirik Shah Shamsiri.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat pasangan ini.
Sebelum ini, Nurul pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Mohd Faizal Maas (Ajai) pada 25 Disember 1996.
Hasil perkahwinan selama 11 tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah.

Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Nurul sah menjadi isteri kepada Eric Depp tepat jam 12.20 tengahari. Tahniah!

Nurul Wedding Kahwin
Nurul Wedding Kahwin
Nurul Wedding Kahwin
Nurul Wedding Kahwin
Nurul Wedding Kahwin
Nurul Wedding Kahwin

- ---