Adsense

Sabtu, 30 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cinta Laura intai ruang di Hollywood

Posted: 29 Jun 2012 03:18 PM PDT

Hip

Penyanyi, pelakon popular Indonesia lupa dirinya pernah bergelar selebriti kerana teruja jadi pelajar di New York

SETAHUN meninggalkan Jakarta kerana menuntut ilmu di Amerika Syarikat (AS), kepulangan Cinta Laura Kiehl pada pertengahan Jun lalu mengumpan perhatian media untuk mendekatinya.

Baru menyelesaikan dua semester pengajian dalam bidang psikologi, Cinta yang ditemui media ketika penggambaran klip video single terbarunya, Tulalit di sekitar Sentul, Bogor begitu menikmati kehidupannya di rantau orang.

Segala tertekan hilang kerana saya tidak perlu lagi fikir untuk sentiasa tampil menarik di depan ramai. Itu membuatkan saya terlalu gembira. - Cinta Laura Kiehl

Tidak seperti di Jakarta apabila dirinya sentiasa menjadi perhatian media dan peminat, Cinta berkata, dia menghargai nilai kebebasan yang diperoleh selepas sekian lama keseronokan itu pergi dari hidupnya.

"Sejak ke AS pada Ogos 2011, saya belum pernah pulang ke Indonesia. Hampir setahun baru saya berpeluang untuk pulang bercuti. Tiada yang kurang kerana saya menyenangi kehidupan baru di New York.

"Saya bebas di sana, malah mahu ke mana-mana saya lebih selesa menggunakan kereta api bawah tanah. Tiada siapa mengenali saya di New York, justeru bebas melakukan apa yang saya inginkan.

"Segala stres hilang kerana saya tidak perlu lagi fikir untuk sentiasa tampil menarik di depan ramai. Itu membuatkan saya terlalu gembira," kata gadis kelahiran Quakenbruck, Jerman yang menyelinap ke industri hiburan Indonesia apabila bergelar finalis Top Model 2006.
Popular dengan sinetron seperti Cinderella dan Upik Abu & Laura, Cinta berkata, dia tidak janggal biarpun terpaksa menetap di asrama.

Sendirian di bumi asing membuatkan Cinta betah menguruskan hal peribadinya termasuk membersih kamar, mencuci pakaian dan memasak.

"Semuanya saya lakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Jika mahu menghadiri uji bakat, saya akan menempah tiket dan terbang seorang diri ke Los Angeles," katanya.

Akui Cinta, sendirian di negara asing banyak membawa perubahan dalam dirinya. Dia semakin sabar dalam menghadapi masalah, malah matang menangani apa saja dugaan yang datang.

"Dulu saya cepat melenting tetapi sekarang tidak lagi. Saya jadi lebih sabar dan apa saja dugaan, saya rasional menanganinya. Itu perubahan besar yang saya lihat dalam diri ini.

"Berbeza dulu ketika saya memulakan karier pada usia 15 tahun, hari ini saya mahu dilihat berbeza. Mungkin dulu saya menyerahkan semua hal kepada pengurusan dan label, tetapi kini saya sudah punya suara untuk memberikan pendapat," katanya.

Menolak imej terbarunya cenderung kepada gaya seksi, Cinta berkata, dia berharap peminat dapat melihat kematangan dan kedewasaannya selepas lima tahun memasuki industri hiburan.

Selepas menghasilkan album sulung, Cinta Laura pada 2010, gadis yang pernah tampil bersama duo, Maia membawakan lagu Pengkhianat Cinta semakin yakin menekuni dunia seni suara.

"Saya bangga kerana diberi kebebasan memilih lagu bagaimana mahu dimuatkan dalam album terbaru ini. Saya diberi hak untuk menentukan dalam semua aspek, bermula imej hingga muzik.

"Saya tidak tertarik untuk muncul seksi, sebaliknya ingin memberitahu peminat saya lebih dewasa berbanding dulu," katanya.

Meskipun dunianya kini berkisar kepada pengajian dan nyanyian namun lakonan tidak pernah dilupakannya. Ketika di New York, dia sempat mengikuti kelas lakonan di samping menyertai sesi uji bakat untuk menembusi pasaran Hollywood.

"Di sana saya menyertai kelas lakonan, malah sering ke Los Angeles untuk uji bakat filem. Pernah ditawarkan untuk membintangi siri televisyen tetapi terpaksa dilepaskan kerana menuntut terlalu banyak waktu," katanya sedikit terkilan.

Berbanding di Indonesia apabila dia memilih untuk menumpukan lebih perhatian kepada nyanyian, Cinta mempunyai alasan sendiri mengapa menolak tawaran membintangi drama berantai.

"Saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil cuti. Polisi universiti menetapkan seseorang pelajar boleh menangguhkan pengajian sama ada satu atau dua semester.

"Kebiasaannya, berlakon filem memerlukan lima bulan atau bersamaan satu semester. Jadi ia tidak menimbulkan masalah jika saya menerima tawaran," katanya.

Zip mulut perihal teman lelaki

AGAK tertutup terutama apabila disentuh soalan mengenai teman lelaki, Cinta berkata, biarpun bertemu ramai jejaka yang mencuri perhatiannya ketika di New York namun semua itu belum memberinya keyakinan untuk memilih siapa yang terbaik.

Tidak terlalu memilih, terutama soal bangsa, Cinta berkata, dia cuma berharap dipertemukan dengan lelaki yang bijak dan bebas berkongsi apa saja cerita bersama.

"Saya tidak kisah dia dari mana, asalkan pintar, baik hati dan senang berbicara, itu sudah memadai buat saya. Mungkin kerana sudah terbiasa hidup berpindah randah kerana mengikut bapa bertugas di pelbagai negara, jadi saya tidak terlalu kisah soal bangsa," katanya.

Pernah menetap di Dubai, Singapura, Malaysia dan Jerman kerana mengikut bapanya yang bertugas sebagai Pengurus Besar hotel lima bintang, Cinta berkata, dia pantas menyesuaikan diri setiap kali berada di tempat baru.

"Dari kecil saya sudah terbiasa dengan gaya hidup seperti ini, malah akan datang juga saya mempunyai keinginan untuk meneroka negara baru.

"Saya ingin sekali ke Afrika Selatan. Pantainya menarik, malah saya tertarik dengan panorama yang sering saya saksikan di kaca televisyen.

"Eropah bukan lagi destinasi pilihan kerana bapa berasal dari Jerman. Saya sudah biasa mengelilingi Eropah kerana mempunyai ramai saudara yang menetap di sana. Jadi Afrika Selatan adalah pilihan terbaik untuk saya mengenali sisi berbeza kehidupan," katanya.


Mesti Tonton: Drift cara Shawn Yue

Posted: 29 Jun 2012 02:55 PM PDT

Hip

Motorway filem ringkas namun sarat babak aksi

>b>Info:

Filem: Motorway Arahan: Soi Cheang Pelakon: Shawn Yue, Anthony Wong, Barbie Hsu dan Lam Ka Tung Genre: Drama aksi
Durasi: 90 minit
Tarikh tayangan: 28 Jun 2012

MESKIPUN skripnya longgar dan dikira begitu ringkas, namun idea pengarah, Soi Cheang, menonjolkan aksi drift dalam filem berjudul Motorway berjaya menarik perhatian penonton.

Secara ringkas, filem ini berkisar pada seorang anggota polis peronda Hong Kong yang meminati aksi drift. Dialah tunjang kepada penceritaan kepada filem yang boleh dikatakan sarat dengan babak mencemaskan ini.
Tidak dinafikan, filem Hong Kong banyak menampilkan anggota polis beruniform, tetapi dengan garapan berbeza daripada pengarahnya, Motorway tampil sedikit berbeza apabila lebih menjurus kepada aksi lumba lasak kereta.

Penampilan Shawn Yue dalam filem ini menghidupkan lagi jalan ceritanya. Wataknya tampak meyakinkan dan meninggalkan kesan kepada penonton apabila aktor ini bijak bermain dengan emosi.

Begitupun, lakonannya tidak sehebat persembahan yang pernah ditonjolkan dalam filem Internal Affairs, yang banyak menampilkan babak ketangkasan serta kematangannya dalam lakonan.

Pernah membintangi filem Initial D yang diterajui Jay Chou, lakonan Yue dalam Motorway tidaklah sehebat wataknya dalam filem arahan Andrew Lau dan Alan Mak itu.

Sikap degil Sean (Yue) yang tidak mahu mengalah serta ingin menumpaskan Jensen, seorang penjenayah yang terlepas daripada tahanan yang juga bekas pelumba kereta, membuatkan lelaki itu berusaha keras mempelajari teknik drift daripada rakan sejawatnya, Lo (Anthony Wong).

Lo yang dianggap legenda kepada pasukan polis Hong Kong kerana berjaya menahan Jensen dengan kemahirannya dalam kawalan kenderaan, akhirnya terbunuh dalam usahanya menahan semula penjenayah terbabit.

Kematian Lo membuatkan Sean bertambah marah dan mempraktikkan teknik yang diajar Lo kepadanya dalam usaha menumpaskan Jensen, yang melarikan berlian milik seorang ahli perniagaan.

Walaupun masih boleh dianggap persembahan yang menghiburkan, namun olahan ceritanya kurang melekat di jiwa khalayak. Mungkin pendekatan pengarah yang lebih menonjolkan babak aksi mengurangkan darjah keberkesanan filem ini.

Jika elemen drama disuntik dengan lebih banyak lagi, Motorway mampu muncul sebagai filem yang seimbang dan lebih menarik lagi.