Adsense

Rabu, 9 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sisi berbeza Remy

Posted:

Sisi berbeza Remy

Sisi berbeza Remy

BUDI merupakan seorang lelaki yang sangat unik dan berbeza dari manusia yang pernah ada di muka bumi. Dia lahir pada 29 Februari 1896 dan hanya meningkat usia setiap empat tahun sekali, serta perlu melalui fasa kehidupan dari era penjajahan Malaysia hingga melangkau era moden.

Itu merupakan antara sinopsis filem terbaharu lakonan aktor pujaan Malaya, Remy Ishak dalam filem terbitan KRU Studios yang berjudul 29 Februari. Istimewanya tentang filem yang digarap oleh Edry Abdul Halim ini, ia merupakan filem Melayu dengan format tiga dimensi (3D) yang pertama di Malaysia.

"Budi dianggap terkena sumpahan dan keadaan fizikalnya juga terbantut selain pemikirannya juga sedikit lembab. Saya tertarik dengan watak yang ditawarkan ini kerana saya perlu memegang watak yang melalui era zaman sebelum merdeka hingga era moden. Sejujurnya, ia merupakan satu konsep berbeza dengan apa yang dilakonkan saya sebelum ini.

"Filem ini juga bukan memaparkan patriotik semata-mata, namun ia sebenarnya mengenai hubungan cinta yang dijalinkan antara Budi dan seorang gadis Cina iaitu Lily yang dilakonkan oleh Jojo Goh," cerita Remy semasa ditemui baru-baru ini, pada majlis pratonton di TGV, Pavilion, Kuala Lumpur.

Akui Remy, berlakon dalam filem tersebut merupakan satu cabaran baharu buat dirinya kerana ia merupakan kali pertama dia bekerja dengan Edry. Baginya, setiap pengarah mempunyai kehendak dan persefahaman yang berlainan.

Tambah lelaki berkulit hitam manis itu lagi, apa yang diminta pengarah filem 29 Februari itu merupakan perkara yang belum pernah diberikan dan ia sememangnya sesuatu yang berbeza.

"Mungkin sebelum ini watak saya lebih kepada lelaki romantik. Tapi, kali ini, romantik pada mata Edry cukup berlainan, ia bukan tipikal romantik dan saya harus melunaskan permintaan tersebut dengan sebaik mungkin. Jadi memang semua babak dalam filem ini berat dan mencabar bagi saya," ujar Remy.

Sebagai contoh, kata Remy, secara luaran, dia membawa fizikal dirinya yang sekarang, namun harus mempunyai pemikiran seperti budak-budak dan perlu mendalami setiap era yang dipaparkan dengan sebaik mungkin.

"Lebih mencabar buat saya kerana ini adalah filem muzikal. Jadi zaman yang dipaparkan berubah berdasarkan muzik. Orang akan nampak dalam filem ini dan ia memerlukan saya banyak bermain dengan emosi," jelasnya panjang lebar.

Menyanyi

Filem dan pengalaman pertama bersama KRU Studios, ujar Remy, merupakan satu perjalanan yang berbeza buat dirinya. Remy berpendapat KRU merupakan sebuah produksi yang sentiasa melangkah ke hadapan.

Secara peribadi, dia juga berpendapat segala perkara yang dilakukan syarikat tersebut merupakan satu evolusi selain percubaan memecah tradisi industri perfileman Malaysia melalui penghasilan filem-filem mereka.

"Agenda mereka dalam industri filem negara sangat besar. Filem-filem yang dihasilkan pun bukan kosong. Saya memang hormat dengan usaha-usaha mereka itu," cerita Remy.

Bercakap mengenai cabaran paling besar yang perlu dihadapi dalam filem ini, secara terbuka dia memberitahu menghadapi kesukaran untuk menyanyi kerana dia bukan penyanyi.

Remy perlu menyanyi sebanyak tiga buah lagu. Jujur dia mengaku, perasaan gementar dan seram sejuk wujud dalam diri. Namun, sebagai pengarah dan juga penyanyi, Edry menasihati Remy agar lebih memberi fokus terhadap lakonan.

"Cabaran terbesar saya juga adalah menyanyi. Jadi saya berharap agar masyarakat yang menonton filem tersebut kelak tidak akan menilai nyanyian saya. Sebaliknya memberi fokus terhadap bakat lakonan saya, kerana saya merupakan seorang pelakon," ujarnya.

Ditebak pula soalan mengenai gandingannya, Jojo Goh yang merupakan seorang pendatang baharu dalam industri, jawab Remy, gadis berbangsa Cina itu mempunyai bakat besar.


PENGARAH Edry Abdul Halim (tengah) sedang memberi arahan kepada Remy dan Jojo sewaktu proses pembikinan filem tersebut.


"Saya tidak pernah berlakon atau mengenali dirinya. Namun semasa sesi uji bakat, saya dapat lihat, dia seorang gadis yang berbakat besar. Mengenai keserasian pula, kami bina ia ketika dalam set penggambaran. Setiap kali ada masa terluang, saya akan berbincang dan bercakap dengannya," jelas Remy memuji bakat yang dimiliki Jojo.

Tidak cukup bagus

Walaupun namanya telah dikenali di seluruh Malaysia, namun bagi Remy sendiri, dia belum mengecapi kepuasan dengan karier dalam bidang lakonan yang dibinanya ini. Katanya, dia masih banyak perlu dipelajari dan ditingkatkan daripada segi lakonan, kehidupan dan aspek-aspek lain.

"Menjadi seorang pelakon merupakan perkara yang sukar. Memilih watak yang dimahukan adalah perkara subjektif, namun saya sentiasa mahu memberi yang terbaik untuk apa jua watak yang saya bawa,"jelasnya yang memberitahu pelakon harus menjadi selektif.

Tambahnya menguatkan hujah: "Itu perlu (selektif) kerana secara tidak langsung ia dapat mengelakkan dari pelakon tersebut hanya melakonkan watak yang hampir serupa setiap kali muncul di layar perak mahupun kaca televisyen."

Impian Awal, Scha terlaksana

Posted:

Impian Awal, Scha terlaksana

Impian Awal, Scha terlaksana

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


AWAL dan Scha bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa jika diizinkan Tuhan.


Setelah hampir tiga tahun menyulam cinta bersama, tanggal 4 Mei 2012 pastinya menjadi hari paling bermakna buat pasangan popular Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal dan Scha atau lebih dikenali sebagai Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29.

Kedua-duanya kini sah menjadi pasangan suami isteri apabila diijabkabulkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik Alyahya dengan disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd. Salman Idrus dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside.

Pada majlis yang dihadiri seramai 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kedua-dua belah pihak, Scha kelihatan cukup anggun dengan busana baju kurung moden berwarna putih rekaan Syaiful Baharim manakala Awal yang segak mengenakan baju Melayu rekaan pereka sama.

Awal yang ditemui selepas berakhirnya acara berinai meluahkan rasa bersyukur apabila penantiannya untuk bergelar suami kepada wanita yang paling dicintai telah terlaksana.

"Alhamdulillah, saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Scha telah pun menjadi isteri saya yang sah. Sudah tentu hari ini merupakan detik bersejarah buat kami berdua.

"Pada mulanya saya berasa sangat berdebar ketika hendak akad nikah, namun perasaan itu hilang apabila saya dapat melakukannya dengan sekali lafaz sahaja," ujar Awal yang tidak dapat menahan sebak.

Pada majlis berkenaan, Scha menerima RM2050 sebagai mas kahwin serta tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada set barang kemas, sirih junjung, senaskhah al-Quran, kek, baju, kasut dan beg tangan.

Awal pula menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, senaskhah al-Quran, sebuah komputer riba, dompet, kasut, seutas jam tangan, sepasang baju Melayu, coklat dan kek.

Bagaimanapun, pasangan tersebut sepakat untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.

Menurut Awal, kehadiran Scha kini seolah-olah telah melengkapkan perjalanan hidupnya dan tidak menyangka wanita yang pernah menjadi pujaan suatu masa dahulu telah menjadi isterinya.

Sebagai pasangan yang sama-sama berkecimpung dalam bidang seni, Awal memberitahu dia tidak akan menyekat Scha untuk terus aktif dalam bidang seni, asalkan tahu menjaga batasan sebagai seorang isteri dan menjaga nama baik keluarga.


SCHA berharap peminat akan terus menyokong karier seninya. Awal pula tidak menghalang Scha untuk terus aktif berlakon.


"Sudah tentu kami akan melalui fasa kehidupan yang berbeza selepas berumah tangga dan tanggung jawab juga semakin bertambah. Namun, kami akan cuba untuk sentiasa bersabar dan bertolak ansur dalam sebarang perkara," ujarnya.

Sementara itu, Scha yang turut berada di samping suami tercinta sewaktu sidang akhbar mengakui sukar untuk menggambarkan perasaannya apabila kini dia sudah bertukar status kepada isteri.

Ujar Scha, biarpun sekarang dia dan Awal sudah bergelar pasangan suami isteri, namun dia tetap berharap agar terus mendapat sokongan dan doa daripada para peminat.

"Mengenai hasrat untuk memiliki anak pula kami memang tidak pernah merancang. Kami bersedia untuk menimang cahaya pada bila-bila masa dan semuanya terpulang pada rezeki," jelasnya.

Mohon maaf

Mengikut perancangan awal majlis akad nikah Awal dan Scha sepatutnya disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi dua saluran iaitu Astro Ria dan Astro Awani.

Bagaimanapun, penantian peminat yang sudah menunggu di hadapan kaca televisyen untuk menyaksikan acara tersebut hampa apabila ia tidak dapat disiarkan kerana masalah teknikal.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Awal sendiri langsung tidak menyangka masalah tersebut boleh berlaku dan memohon maaf kepada para penonton yang sudah menunggu majlis akad nikahnya itu.

"Saya tahu ramai penonton yang kecewa dan tidak sangka masalah ini akan berlaku kerana ia sudah diwar-warkan. Kalau boleh saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana semuanya sudah berusaha keras untuk menjayakannya," ujarnya.

Mengakui turut kecewa dengan masalah yang berlaku sehingga menghampakan penonton yang sudah menanti lama untuk menonton majlis tersebut, Awal berharap agar masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang.

Zahid mengaku sudah tak popular

Posted:

Zahid mengaku sudah tak popular

Zahid mengaku sudah tak popular

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

ZAHID berharap tahun 2012 memberi dia sinar yang lebih baik selepas kerjayanya agak suram sejak empat tahun lalu.


SELAMA empat tahun penyanyi bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF), Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid AF, 32, menyepikan diri dalam bidang seni. Cuma, baru-baru ini sahaja dia muncul sebagai penyampai radio Era menggantikan Reza dan program lawak di Astro Warna iaitu Super Spontan.

Begitupun, kehadirannya dalam kedua-dua platform tersebut tidak begitu menyerlah. Lebih-lebih lagi Super Spontan apabila dia menjadi mangsa pertama tersingkir dalam program lawak spontan tersebut.

Bertemu dengan juara Akademi Fantasia musim kedua itu ketika Minggu Setiausaha Zahid bersama pelakon Ady Putra yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zahid mengakui 'sejuk' dalam kerjaya seninya sekarang. Dia juga mengaku sudah tidak popular selain memberitahu dia sedar dulu dirinya mentah sehingga keliru terhadap jalur muzik sendiri. Ikuti perbualan Kosmo! bersama Zahid.

Kosmo!: Selama empat tahun anda menyepi dalam bidang seni. Ke mana anda menghilang?

ZAHID: Saya akui 'sejuk' dalam kerjaya sekarang. Puncanya sebab tiada lagu konsisten yang keluar. Malah, penglibatan saya dalam kaca televisyen pun agak terhad. Bukan tiada tawaran, cuma saya terikat sebagai penyampai radio Era. Alhamdulillah, saya masih dijemput untuk menjayakan majlis-majlis persembahan seperti Minggu Setiausaha.

Kalau diikutkan portfolio anda sebagai seorang penyanyi, anda pernah mempunyai album. Namun, kini anda hanya muncul menerusi single sahaja. Kenapa?

Dulu saya begitu muda dan tidak matang. Habis sahaja AF, sudah ada lagu yang tersedia, tetapi hakikatnya jiwa saya bukan ke arah muzik sebegitu. Insya-Allah, saya akan muncul dengan single terbaharu saya pada tahun ini.

Adakah diri anda dipergunakan pihak tertentu?

Bukan dipergunakan, cuma saya tak tahu menentukan lagi arah muzik saya. Sebabnya, saya tidak matang dan masih baharu lagi dalam industri ketika itu.

Genre muzik bagaimana yang anda suka? Adakah single terbaharu nanti boleh dikatakan comeback Zahid dalam bidang muzik?

Jiwa saya ke arah lagu-lagu balada seperti penyanyi seberang, Broery Marantika. Ya, boleh dikatakan single saya nanti merupakan comeback saya dalam bidang seni suara. Bahan sudah ada cuma sedang tunggu rekod saja. Mungkin pertengahan Jun ini keluar.

Beralih pada persembahan anda di Minggu Setiausaha, anda dilihat tidak begitu bersedia menyanyi malah dilihat tidak begitu serius di atas pentas, sedangkan ia adalah sebuah majlis korporat?

Saya mahu jadikan majlis sebegini santai dan tidak terlalu formal. Kalau boleh, saya mahu saja menyanyi di bawah bersama-sama peminat dan tidak perlu menyanyi di atas pentas. Saya juga suka menyelitkan sedikit humor dalam persembahan saya. Tapi, saya akan cuba bataskan jika majlis yang dihadiri adalah dari golongan VIP atau VVIP.

Kenapa anda menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain sewaktu mengadakan persembahan?

Saya rasa tidak sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu saya di majlis sebegini. Lagu-lagu saya kebanyakannya rancak. Lebih sesuai sekiranya saya menyanyikan lagu-lagu yang tengah hit sekarang.

Menyentuh mengenai peribadi pula, bila anda akan menamatkan zaman bujang anda? Khabarnya sudah mempunyai teman wanita baharu selepas putus dengan Nita dulu?

Saya masih belum mempunyai teman wanita. Tapi, memang saya kena cari sebab faktor usia. Usia saya pun sudah menjangkau 32 tahun dan selayaknya untuk berkahwin.

Apakah harapan anda dalam bidang seni?

Saya kecewa selama empat tahun kurang dengan tawaran. Mudah-mudahan tahun 2012 ini adalah tahun yang terbaik untuk saya muncul dan menyinar semula.