Adsense

Sabtu, 5 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Mahu lamar Marian Rivera

Posted:

Mahu lamar Marian Rivera

Mahu lamar Marian Rivera

Dyesebel, MariMar, Ang Babaeng Hinugot sa Aking Tadyang dan kini Endless Love antara naskhah drama yang menggandingkan pasangan merpati dua sejoli, Dingdong Dantes dan Marian Rivera.

Cinta mereka tidak hanya terikat dalam naskhah yang dimainkan, sebaliknya juga diulit kemas sehingga dalam dunia realiti.

Pertemuan pertama dengan Rivera menurut kata Dantes adalah ketika sesi uji bakat drama MariMar pada tahun 2007 di sebuah syarikat penerbitan di Quezon City, Filipina.

"Saat pertama kali melihat dia, (Rivera) hati saya kuat menyatakan bahawa dia adalah MariMar yang sempurna! Akhirnya dia berjaya memegang watak itu," laju bicara Dantes atau nama sebenarnya Jose Sixto Raphael Gonzales Dantes III mengenai kekasihnya, Rivera atau Marian Gracia Rivera.

Dantes yang ditemui ketika sesi ramah mesra di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini mengakui bahawa dia juga kini sedang menantikan detik yang tepat untuk melamar Rivera.

"Saya sedang menantikan waktu yang sesuai untuk melamar Rivera memandangkan dia juga sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaharunya.

"Memang, sejak mengenalinya dari drama MariMar, saya sudah jatuh hati dengannya. Buat masa sekarang kami lebih selesa untuk kekal dalam perhubungan sebegini," ujar Dantes yang menyifatkan Rivera seorang wanita yang sentiasa membuatnya ceria.

Dalam pada itu, Dantes turut memaklumkan bahawa Rivera ada membelikan dia sebuah motosikal berkuasa tinggi, Ducati berwarna hitam.

"Hadiah itu antara barangan paling berharga yang diberikan kepada saya, tapi malangnya motosikal itu hanya mempunyai sebuah tempat duduk. Barangkali perlu ada penambahbaikan untuk memuatkan dia bersama supaya saya boleh membonceng dia juga," tambah Dantes.

Hati siapa yang mampu bertahan melihat buah hati tercinta bermadu kasih bersama insan lain, biarpun sekadar bermain filem. Hal ini juga diakui sendiri oleh Dantes yang kadangkala cemburu melihat Rivera beraksi intim dengan aktor lain.

"Tipu kalau saya cakap tidak terdetik perasaan cemburu melihat dia di samping pelakon lelaki lain, tapi kepercayaan adalah tonggak sesebuah perhubungan," getus Dantes lagi.

Sepanjang tiga hari berada di Kuala Lumpur bermula 27 April hingga 29 April lalu untuk mempromosikan drama terbaharunya, Endless Love, dia ternyata sentiasa berhubungan bersama si jelitawan itu walaupun hanya menerusi Twitter.

Antara kata-kata romantis yang ditulis aktor tersebut menerusi Twitter @iamdongdantes miliknya:"Marian, saya amat merindui kamu ketika ini dan kamu harus melihat wajah-wajah gembira hasil sentuhan lakonan kita di sini. Kamu pemberian terbaik untuk saya!"


CINTA. Dantes sudah bersedia untuk melamar kekasihnya, Marian Rivera menjadi isterinya pada bila-bila masa.


Gay

Pemenang pelakon lelaki terbaik Festival Filem Metro Manila Ke-37 pada tahun lalu itu mempunyai tekad dan resipi sendiri untuk memacu kerjayanya dalam bidang lakonan.

Jika usia dalam industri belum cukup untuk mematangkannya bergelar seorang sutradara, masih ada baki lakonannya yang ingin digapai di samping faktor usia yang semakin bertambah.

"Saya belum pernah melakonkan watak gay dalam mana-mana filem atau drama sebelum ini, itu pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu," katanya mengenai matlamat kariernya sebagai pelakon.

Ibarat pepatah ikut resmi padi, makin menunduk makin menjadi, rukun yang sama dipandu oleh Dantes saat ditanya mengenai definisi populariti.

"Saya gemar bekerja dan sentiasa cuba memberikan nilai terhadap mutu lakonan saya, segala apa yang saya lakukan sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan adalah apa yang benar-benar saya inginkan," tutur Dantes merendah diri.

Malah, dia tidak sesekali meletakkan halangan untuk terus menuntut ilmu biar usia kini sudah menjengah angka 31 tahun.

Faktanya, tahun depan kata Dantes, dia akan menamatkan pengajian peringkat ijazahnya dalam bidang Pengurusan Tekno di Universiti West Negros, Bacolod, Filipina.

Katanya: "Seronok untuk bergelar pelajar lagi sekali, sememangnya pelajaran itu berkuasa!"

Romantik

Industri filem atau drama di Filipina secara puratanya menekankan elemen romantis sebagai sebuah eskapisme penduduknya dan hal itu diakui oleh Dantes.

Dia melihat industri seni di negaranya banyak menampilkan karya yang sarat elemen romantik dan cinta berbanding aksi atau seram.

"Mungkin kerana permintaan daripada penonton mendorong kebanyakan drama atau filem dibikin berformat romantik.

"Tapi kebanyakan karya diolah dengan gaya yang artistik atau berbeza jika disadur daripada negara-negara lain seperti Thailand dan Korea," jelas Dantes serius.

Berbicara mengenai drama terbaharunya, Endless Love, ujar Dantes, dia tidak perlu terlalu mencipta hubungan kimia bersama Rivera memandangkan cinta itu datang secara semulajadi.

"Kami sudah sedia mengenali satu sama lain, jadi sepanjang penggambaran selama empat bulan, tidak ada kesukaran untuk bermain dengan watak. Yang penting semua seronok!" cerita Dantes.

Endless Love sudah mula disiarkan pada 9 April 2012 setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 3 petang di slot Telenovela, TV3.


DANTES mengaku dia cemburu melihat kekasihnya, Rivera berlakon dengan pelakon lelaki lain.


Drama bersiri 38 episod terbitan GMA Network, Filipina itu merupakan adaptasi daripada drama bersiri Korea, Autumn In My Heart yang mengisahkan hubungan akrab Johnny (Dantes) dan Jenny (Rivera) yang membesar sebagai abang dan adik namun bertukar cinta selepas identiti Jenny terbongkar.

Berakhir derita Bob Kuman

Posted:

Berakhir derita Bob Kuman

Berakhir derita Bob Kuman

Oleh HARYATI KARIM


JENAZAH Bob dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sega Hulu, Kuala Sawah, Rantau Negeri Sembilan, semalam.


MASIH kekal dalam ingatan banyak pihak, pertengahan April lalu kecoh kononnya Bob Kuman telah meninggal dunia selepas berita masalah kesihatannya mendapat liputan meluas media massa. Walhal, ketika itu Allahyarham masih bernafas.

Namun, berita yang diterima pada petang Khamis lalu benar-benar mengejutkan apabila penyanyi, pelakon, pelawak dan pemilik gerai Bawal Power, Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, disahkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Kota Damansara pada pukul 4.38 petang.

Pemergiannya hanya disedari oleh isteri Allahyarham, Norma Othman, 29, yang cuba mengejutnya dari tidur.

Ya, Bob Kuman telah tiada. Selepas ini, tiada lagi gelak tawa mahupun lawak jenaka daripadanya. Aksi terakhirnya hanya boleh ditonton dalam program Maharaja Lawak Mega bersama sahabatnya Sobri.

Malah sewaktu menyertai program tersebut, kesihatannya sudah mula menurun apabila tidak sedarkan diri selepas terjatuh di bilik air dan ditahan di hospital kerana kepenatan.

Menurut adik Allahyarham, Syahrin Madzmin, abangnya meninggal dunia dalam tidur berikutan komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair yang dihidapinya.

Selain keluarga, teman rapat yang paling merasai kehilangan Allahyarham pastinya Saiful Apek atau Apek.

Allahyarham sering bergandingan dengan Apek dalam pelbagai program televisyen, antaranya sitkom Gitu Gitu Apek dan juga pernah muncul dalam album Apek pada tahun 2009 yang berjudul Saiful Apek & Famili.

Tidak hanya Apek, vokalis kumpulan Search, Amy yang turut rapat dengannya juga terkilan apabila tidak dapat menunaikan permintaan Allahyarham yang mahukan MP3 Search.

"Dia ada meminta MP3 Search tetapi sampai sekarang saya tidak berikan kepadanya, memang saya terkilan sangat. Saya juga ada menghubunginya waktu dia sedang sakit.

"Biasalah Bob, memang suka bergurau. Dia masih sempat bergurau mengatakan dia mahu pergi jauh sewaktu saya menghubunginya baru-baru ini. Saya tidak sangka itu petanda dia hendak meninggal dunia," ujar Amy yang ditemui di kediaman Allahyarham.

Sepanjang hayatnya Allahyarham telah berlakon dalam puluhan filem dan drama, antara filem lakonannya, Jangan Pandang Belakang Congkak 1 & 2, Kapoww!!, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Orang Minyak, Jutawan Fakir, Gemerlapan, Sama Tapi Tak Serupa dan Raja Melewar.

Tidak hanya berlakon, Allahyarham juga pernah muncul dengan beberapa buah album seperti Motivasi (1995), Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001) bersama rakan sekampungnya Khuzaimi Ismail atau Kumin, yang menggelarkan diri mereka dengan nama KU2.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kota Damansara Seksyen 5, sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Kampung Sega Hulu, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan pada pagi Jumaat. Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

The Legendary Concert 2012 serang Kota Kinabalu

Posted:

The Legendary Concert 2012 serang Kota Kinabalu

The Legendary Concert 2012 serang Kota Kinabalu

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


EMPAT LEGENDA. Dari kiri: Jamal Abdillah, Zainal Abidin, Amy Search dan Datuk Sheila Majid akan memulakan konsert mereka, The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya di Kota Kinabalu, Sabah pada malam ini.


HARI ini, masyarakat di Sabah akan menerima kehadiran empat orang legenda muzik tanah air untuk mengisi dahaga hiburan kepada penduduk di negeri tersebut, khususnya di Kota Kinabalu.

Mereka iaitu Datuk Sheila Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin akan menghiburkan peminat mereka dalam siri The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya di Kota Kinabalu bermula pukul 9 malam ini.

Menurut Pengarah Urusan Afro Inang Worldwide, Angelina Asmawi, The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya yang dianjurkan bersama Research Venture Lab itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

"Kalau melihat penjualan tiket untuk konsert di Kota Kinabalu, jualannya sangat memberangsangkan terutama menerusi tempahan. Walaupun konsert ini akan berlangsung di lima venue, tetapi kami lebih fokus kepada jualan tiket bagi konsert yang pertama.

"Boleh dikatakan peminat yang akan menonton konsert ini bukan dari Sabah sahaja, malah kami turut menerima tempahan dari Brunei. Apa yang kami tahu ada ejen di negara tersebut yang menjual tiket konsert beserta tiket kapal terbang menerusi pakej," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual dengan harga RM600, RM300, RM200 dan RM100. Ujarnya juga, tiket-tiket untuk semua venue konsert iaitu di Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bahru (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan Kuala Lumpur (30 Jun) sudah mula dijual dan promosi giat dijalankan di radio.

"Buat masa ini kami akan memberikan tumpuan terhadap konsert yang akan berlangsung di Kota Kinabalu terlebih dahulu. Saya yakin konsert ini mendapat sambutan hangat dan dinantikan ramai peminat kerana ia menampilkan empat orang penyanyi bertaraf legenda," ujarnya lagi.

Sementara itu, Amy Search yang berkesempatan hadir ke Kota Kinabalu dan Tawau, dua minggu lalu untuk mempromosikan konsert tersebut berharap konsert yang membariskan empat nama besar dalam industri hiburan itu akan mendapat sambutan baik.

Malah melalui respons yang diperoleh sewaktu beliau melakukan promosi, ramai peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan mereka beraksi memandangkan Amy, Sheila Majid, Zainal Abidin dan Jamal Abdillah tidak pernah bergabung dalam sebuah konsert sebelum ini.

"Kami mahu memberi hiburan yang terbaik buat peminat di Sabah," ujar Amy yang memberitahu setiap penyanyi akan tampil untuk durasi 40 minit dalam setiap slot persembahan mereka.