Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


10 tahun di gelanggang dakwah

Posted: 10 May 2012 06:31 AM PDT

MEREKA agak tenggelam dek populariti dikecapi oleh penyanyi nasyid senior seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz. Bagaimanapun UNIC yang ditubuhkan sejak 2002 tetap mempunyai peminat tersendiri terutama di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan golongan remaja.

Buktinya, album mereka berjudul You & I See berkonsep pop nasyid berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit pada tahun yang sama. Namun memegang status kumpulan popular bukanlah mudah kerana pelbagai gelombang turut melanda UNIC.

Akhirnya, pada 2009 berlaku perubahan apabila dua anggota asal iaitu Hafiz Hamidun dan Fitri menarik diri menyaksikan UNIC kekal dianggotai oleh Ahmad Fadzli Ab. Aziz, Bazli Hazwan Che Osman dan Mohd Fakhrulradhi Khamaruddin.

"Sepanjang berada dalam industri seni, UNIC juga mengalami banyak halangan dan pasang surut sehingga menyaksikan pertukaran anggota. Bagaimanapun selepas itu kami melakukan penjenamaan semula dalam semua bidang termasuk lagu, lirik, kelab peminat dan sebagainya lagi.


"Bagi kami, UNIC bukan berdiri atas individu sebaliknya kerana lagu dan nama sendiri. Ini boleh dilihat apabila sokongan peminat menerusi laman fanpage facebook kami disukai oleh 227,000 peminat.


"Ini menjadi inspirasi untuk kami terus berkarya. Bahkan ia juga sebagai tanda aras kejayaan kami yang berdikari selepas meninggalkan Hijjaz Records pada 2008," kata Bazli.

Menyambung cerita, Bazli memberitahu pelbagai kejayaan lain turut diraih antaranya UNIC dijemput mengadakan persembahan di Afrika Selatan untuk Islamic Festival. Mereka juga turut mengadakan persembahan di Thailand dan berduet dengan penyanyi dari Perancis.

"Kami berbesar hati apabila penyanyi bernama Le Rappel yang terkenal sebagai penasyid solo Perancis sudi bekerjasama dengan UNIC. Lagu pilihannya ialah lagu UNIC sendiri iaitu Binnabil Huda yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Alhamdulillah lagu ini juga baru muncul pemenang kategori Nasyeed Selawat dalam Anugerah Nasyid yang berlangsung baru-baru ini. Ini terus memberikan kami semangat untuk terus berjuang dalam bidang seni khususnya dakwah.

"Kami turut gembira kerana artis nasyid popular Amerika Syarikat, Zain Bikha juga sudi berkolaborasi dengan UNIC menerusi lagu Gift Thanks To Allah. Ini adalah lagu asal beliau namun diberikan nafas baru.

"Proses rakamannya sedang berlangsung dan dibuat secara berasingan. Insya-Allah kami menjangkakan ia menemui peminat pada tahun ini juga," tambah Bazli lagi.

Diam tak diam, UNIC sudah 10 tahun berada di gelanggang dakwah dan bagi mereka konsep hiburan perlu diubah. Tampil dengan slogan Hiburan Berilmu Rohani Terpandu, tiga anak muda ini mahukan persembahan mereka meninggalkan input yang boleh dikongsi bersama peminat.

"Menerusi pengalaman dan ilmu yang ditimba dalam industri nasyid dan pelajaran, UNIC sedang menguruskan syarikat-syarikat sendiri di bawah bumbung UNICDOTMY PRO Sdn Bhd.

"Ia terdiri dari UNIC Records yang menjalankan bisnes penerbitan album nasyid, zikir, bacaan Al-Quran dan motivasi. UNIC Nasyeed & Training Consultants bagi mengurus jadual persembahan dan aktiviti UNIC dan khidmat perundingan motivasi di sekolah, IPT, sektor swasta dan kerajaan. Satu lagi ialah UNIC MySHOP bagi menyelia urus niaga secara atas talian (online).

"Kursus motivasi dan latihan bermula secara serius sejak Disember lalu. Kami beruntung kerana setiap anggota ada kelulusan dalam bidang masing-masing. Saya berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) dengan Kepujian Kelas Pertama Universiti Putra Malaysia dan turut memiliki anugerah kepujian lain.

"Bazli pula lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah Jabatan Tafsir Universiti Al Azhar dan kepujian lain. Manakala Fakhrul ialah lulusan ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah di samping memiliki anugerah kepujian lain. Dia juga juara musim ketiga Akademi Al-Quran TV9.

"Inspirasi untuk menceburi bidang ini terhasil selepas melihat pencapaian Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah. Dia bukan saja hebat sebagai bekas pensyarah tapi bakatnya merangkumi pelbagai bidang.

"Alhamdulillah kami mendapat kerjasama pelbagai pihak dari sekolah, jabatan kerajaan dan swasta serta pelajar IPT yang sering menggunakan khidmat kami. Selain kami bertiga, kami juga ada fasilitator yang dilantik khas dan panel penceramah undangan.

"Kami gunakan slogan Hiburan Berilmu Rohani Terpandu kerana inginkan dalam hiburan ada ilmu. Kami mendekati pelajar dan turun sehingga ke dasar dan setiap bulan ada program sebegini.

"Untung ada penganjur yang minta kami gabungkan konsert dan motivasi. Secara tak langsung, kami dapat guna modul kursus yang digarap sendiri berdasarkan kehendak penganjur. Kami berikan ikut modul yang ditetapkan dan menerima reaksi positif dari semua pihak," kata Fadzli.

Tumpuan terhadap bisnes baru langsung tidak menjejaskan komitmen UNIC sebagai penyanyi. Mereka baru saja tampil dengan album berjudul UNIC Special Edition dan album Selawat Relaksasi.

"UNIC Special Edition memuatkan lagu dan doa-doa. Ia mula dipasarkan sejak 12 Februari lalu dan jualannya kini sudah hampir 10,000 unit. Manakala Selawat Relaksasi pula dihasilkan sebagai satu cara untuk meredakan ketegangan fikiran.

"Selawat adalah subjek utama album ini dan penghasilannya mengambil masa lama kerana kami mengkaji secara terperinci mengenai elemen terapi diri. Susunan muziknya dibuat oleh Along Exist.

"Kami percaya alunan selawat dalam album ini mampu menurunkan gelombang di dalam diri kita dan meletakkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Itulah sebabnya kami tak galakkan pendengar memasang lagunya dengan kuat. Peminat boleh memiliki album ini di kedai muzik dan agama serta menerusi www.unic.my," kata Fakhrul pula.




Hak artis urus royalti

Posted: 10 May 2012 06:23 AM PDT

TINDAKAN Performers and Artistes Rights Malaysia (Prism) membayar kembali baki royalti melebihi RM3 juta kepada lebih 1,280 ahli mereka ketika ini dianggap wajar dalam menyelesaikan segala kemelut diluahkan artis terdiri penyanyi dan pemuzik.

Di sebalik berita gembira ini, ahli juga dimaklumkan mengenai pembubaran organisasi ini akan dilakukan selepas segala proses pembayaran ini selesai. Namun, apa yang menjadi persoalan pada segelintir ahli sekarang adalah mengenai masa depan mereka selepas ini.

Segelintir berpandangan Prism patut ditubuhkan semula dan majoriti ahli lain pun berasakan sudah tiba masanya mereka menyertai organisasi baru iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) diterajui Datuk Sheila Majid.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkongsi pandangan menyatakan masalah royalti ini masih belum selesai dan membelenggu perjalanan industri hiburan sejak Akta Hakcipta digubal hampir 12 tahun lalu iaitu memberi hak kepada artis mengutip royalti persembahan awam.


Mencari kesimpulan mengenai apa yang berlaku sehingga artis menjadi mangsa, Freddie menyatakan semua masalah ini bermula akibat ramai artis tidak puas hati dengan operasi Prism.


"Amat nyata bahawa badan ini tidak berjaya memikul tugas kutipan royalti dengan sempurna. Akibatnya beberapa bulan lalu, satu keputusan membubarkan badan ini dibuat majoriti artis hadir pada mesyuarat khas yang diadakan sebelum ini.

"Pada mesyuarat itu, segelintir artis membuat keputusan menyokong organisasi baru iaitu RPM. Kelebihan RPM ditubuhkan dengan restu dan sokongan bukan saja majoriti artis, tetapi hampir semua badan penting terbabit dalam industri muzik tanah air.

"Apa yang ditekankan, lembaga pengarah badan ini turut mencadangkan agar ahli terdiri daripada artis saja dan bukannya badan lama yang diterajui orang luar bukan artis," katanya dalam satu kenyataan.

Demi memperjuangkan nasib artis tempatan, Freddie mewakili Karyawan menyokong keputusan dibuat agar semua artis berdaftar bersama menyokong RPM. Bagi Karyawan, sokongan padu artis pada RPM memberikan keyakinan pada perjalanan organisasi baru ini demi masa depan ahli juga terbela.

"Sokongan ini penting agar hak artis dilindungi dan mereka yang menjadi ahli mendapat imbuhan sepatutnya daripada pihak yang menggunakan karya mereka di tempat awam.

"Adanya sokongan ini juga, ia membantu dalam mempercepat proses kutipan royalti yang sudah lama tidak ditangani selepas pembubaran Prism diumumkan.

"Walau bagaimanapun, ramai artis masih kabur dengan jumlah royalti yang diperoleh Prism dan sistem pengagihan royalti yang diguna pakai. Karyawan juga difahamkan beberapa artis mahu mengambil tindakan untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini," katanya.

Dalam menyelesaikan segera kemelut ini, Freddie menggesa artis berdaftar dengan RPM secepat mungkin agar tidak ketinggalan mengenai hal kutipan royalti. Borang RPM boleh dimuat turun menerusi laman sesawang badan itu, www.rpm.my.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan