Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Zizan diarah berehat

Posted: 30 Apr 2012 02:55 PM PDT

Hip

Doktor sahkan Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH2011 keletihan melampau

PENGACARA TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Razizan Razak di masukkan ke wad sejak Ahad lalu di sebuah pusat perubatan di ibu negara kerana mengalami radang otot atau acute myositis yang menyebabkan tubuhnya lemah.

Ketika itu, Razizan atau Zizan sedang bersiap sedia untuk bertolak ke Ipoh bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengacara Melodi yang disiarkan secara langsung sempena Karnival Jom Heboh.

Di atas nasihat doktor, aktiviti seninya akan dihentikan buat masa ini dan bergantung kepada tahap kecergasan Zizan. - Marina Juki, Pengurus Zizan

Bagaimanapun, melihat kepada keadaannya yang kurang bermaya, Zizan dibawa menjalani ujian darah sebanyak dua kali dan doktor mengesahkan pengacara dan pelakon ini mengalami radang otot.

Susulan itu, dia diberikan protein, vitamin dan antibiotik bagi memulihkan tenaganya.

Pengurusnya, Marina Juki berkata, doktor yang merawat Zizan juga turut menasihat artis komedi ini berehat sementara waktu dari sebarang aktiviti seni sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi memastikan keadaan tenaganya benar-benar pulih.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital lagi, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat seperti batuk berpanjangan dan sakit-sakit badan.
"Dia memang tak duduk diam. Mungkin sebab itulah dia keletihan. Malahan pada Sabtu lalu (26 April), Zizan sempat memenuhi permintaan sebuah syarikat permotoran untuk melakukan acara promosi.

"Zizan dan Aaron Aziz adalah duta produk M7 milik syarikat itu. Pada hari itu, Zizan masih mampu memandu kereta drift. Bukan untuk sebarang penggambaran pun, tapi sekadar suka-suka.

"Hanya selepas itu, apabila kami hendak bersiap sedia bertolak ke Ipoh, Zizan mengadu sakit dada dan sakit belakang. Batuknya sejak lebih seminggu lalu tak juga sembuh. Ini membuatkan kami membuat keputusan untuk membawanya ke hospital," katanya kepada Hip.

Tambah Marina lagi, doktor mengakui antara faktor Zizan mengalami keradangan otot kerana masa rehat yang tidak mencukupi.

"Di atas nasihat doktor, aktiviti seninya akan dihentikan buat masa ini dan bergantung kepada tahap kecergasan Zizan sendiri. Dia juga amat berterima kasih kepada penyokong dan sahabat yang mendoakan kesihatannya menerusi laman sosial seperti facebook mahupun Twitter selepas mendapat khabar berita berkenaan tahap kesihatannya yang lemah.

"Zizan sendiri tidak menyangka akan ditahan wad selama beberapa hari dan akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya selepas ini. Bagaimanapun, keadaannya sekarang semakin baik. Raut wajahnya juga nampak lebih segar dan lebih bermaya," katanya.

Katanya lagi, Zizan yang sebelum ini sibuk menjalani penggambaran filem Tokan akan berehat selama beberapa hari sebelum menghabiskan baki penggambaran kira-kira 10 hari lagi manakala keputusan sama ada mahu membabitkan diri dalam program terbitan Astro, Superspontan hanya akan diketahui setelah menerima laporan kesihatan daripada pihak hospital yang dijangkakan dikeluarkan esok.

"Kalau boleh kami memang kami hendak memohon cuti daripada Astro supaya memberi peluang kepada Zizan untuk berehat secukupnya. Ini berdasarkan nasihat doktor yang mahu Zizan berehat terlebih dahulu sekurang-kurangnya seminggu.

"Bagaimanapun, itu terpulanglah kepada pihak pengurusan Astro untuk menentukannya," katanya.

Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani ketika dihubungi mengenai kedudukan pelawak itu dalam Superspontan memberitahu, segala keputusan sama ada Zizan akan meneruskan program itu atau tidak hanya dapat diketahui selepas menerima laporan kesihatan daripada doktor, esok.

"Apapun, kita tunggu keputusan kesihatan daripada doktor beberapa hari lagi dan pihak Astro masih menunggu laporan kesihatan penuh yang mengesahkan samada Zizan sudah stabil atau tidak.

"Kami juga sudah menjenguk Zizan dan setakat ini dia semakin pulih. Sebenarnya, Zizan perlukan rehat yang mencukupi dan dia sangat penat dengan tugasannya," katanya.

Nizam, berkata pihak Astro juga akan berbincang terus dengan Zizan berkenaan kedudukannya dalam Superspontan itu kerana apa yang paling penting dan diutamakan pihaknya adalah kesihatan Zizan.

"Kita akan bincang dengan Zizan sendiri dan setakat ini kita tidak boleh memberi sebarang jawapan dan perbincangan itu nanti akan turut membabitkan Afdlin Shauki. Keutamaan pihak kita adalah Zizan," katanya.

Tiada niat tipu pendengar

Posted: 30 Apr 2012 02:50 PM PDT

Hip

Yusry Abu Samah

Yusry Abu Samah

PELBAGAI pertandingan atau peraduan yang ditawarkan oleh stesen radio memang cukup menarik, lebih-lebih lagi dengan hadiah wang tunai yang agak menggiurkan.

Ini semua dilakukan untuk meraih jumlah pendengar seramai yang boleh. Matlamat setiap radio ini memang tidak salah. Cuma format pertandingan yang agak kabur dan mengelirukan menyebabkan berlaku salah faham pendengar sehingga mereka berasa tertipu.

Inilah yang berlaku ke atas peraduan Ketawa & Ceria anjuran radio Suria FM apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dan mendakwa peraduan itu mengelirukan sehingga dilihat seolah-olah cuba menipu pendengar.

Nilai wang yang kami letakkan memang berjumlah RM250,000. Namun pemenang utama hanya mampu mendapatkan wang tunai RM22,400. Sebagai hadiah tambahan, kami menambah RM10,000 lagi menjadi RM32,400. Tidak ada sebab untuk menipu pendengar kami. Mungkin apa yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham serta keliru dengan syarat yang diberikan. - Yusri Abu Samah, Ketua Operasi Suria FM

Menurut aduan yang dikirimkan menerusi ruangan Surat Pembaca itu, seorang pengirim yang mahu dikenali sebagai Pendengar Prihatin ini mendakwa stesen radio itu mengelirukan pendengar dengan prosedur peraduan itu.

Antara lain katanya, program yang berlangsung selama sebulan bermula 13 Mac itu tidak menawarkan hadiah seperti yang mereka dihebahkan sebelum ini apabila pemenang pertandingan akhir peraduan itu memenangi wang tunai berjumlah RM32,400, bukan RM250,000.

Pendengar Prihatin itu juga turut mempertikaikan stesen radio ini yang hanya menawarkan wang sagu hati RM100 kepada finalis sekali gus menganggap ia tidak berbaloi dengan tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan peserta berkenaan semata-mata untuk menyertai pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.

Ketua Operasi Suria FM, Yusri Abu Samah ketika ditemui Hip di pejabatnya di Petaling Jaya, menegaskan stesen radio itu tidak pernah sama sekali cuba menipu pendengarnya.
"Dalam terma dan syarat yang kami nyatakan, pemenang peraduan Ketawa & Ceria akan ditawarkan hadiah berjumlah sehingga RM250,000. untuk pertandingan akhir, yang mana pemenang diuji dari segi kemahiran iaitu ketangkasannya untuk mendapatkan seberapa banyak wang yang boleh diambilnya dalam tempoh masa ditetapkan.

"Dalam balang itu, nilai wang yang kami letakkan memang berjumlah RM250,000. Namun pemenang utama hanya mampu mendapatkan wang tunai RM22,400. Sebagai hadiah tambahan, kami menambah RM10,000 lagi menjadi RM32,400. Tidak ada sebab untuk menipu pendengar kami. Mungkin apa yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham serta keliru dengan syarat yang diberikan," jelasnya.

Sambil menyifatkan adalah perkara biasa jika ada yang tidak puas hati dalam mana-mana peraduan, Yusri bagaimanapun kecewa apabila ada pihak menganggap Suria FM begitu terdesak untuk mendapatkan jolokan nombor satu sehingga sanggup melakukan taktik kotor sebegitu.

"Untuk apa kami bertindak sedemikian? Peraduan yang kami jalankan ini memang telus. Kalau kami menipu, masakan ramai peserta akhir meminta kami mengadakan semula peraduan ini pada masa akan datang.

"Sebagai stesen radio yang mengutamakan kehendak pendengar, kami sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada mereka.

"Disebabkan itulah kami memberikan wang sagu hati kepada finalis. Pada awalnya, kami memang tidak ada perancangan untuk memberikan hadiah kepada finalis lain kecuali pemenang utama kerana itu memang tiada dalam syarat awal. Tapi kami bermurah hati untuk memberikan wang berjumlah RM100 seorang atas dasar komitmen yang mereka berikan," terangnya.

Meskipun sedikit ralat dengan dakwaan yang dilemparkan itu, Suria FM memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati atas apa yang berlaku.

"Insya-Allah pada masa akan datang, kami akan cuba memperbaiki mana-mana yang kurang demi untuk memuaskan hati pendengar stesen radio ini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan