Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Salma, Riz, Putri Mardiana terkait gosip

Posted:

Salma, Riz, Putri Mardiana terkait gosip

Salma, Riz, Putri Mardiana terkait gosip

BARANGKALI agak canggung untuk menggandingkan ketiga-tiga selebriti ini iaitu juara Mentor musim kelima, Salma, Riz Amin dan Putri Mardiana untuk satu sesi fotografi yang sama.

Namun, ada sebab mengapa Kosmo! memilih untuk menyatukan mereka pada pagi Isnin lalu. Matlamatnya ingin mendengar komen dan alasan berhubung dakwaan kononnya ketiga-tiga mereka sedang hangat bermain cinta tiga segi.

Tafsiran cinta itu dirujuk kepada keakraban yang terjalin antara pelakon yang terkenal dengan peranan kasanova, Riz Amin dengan pelakon Santau, Putri Mardiana dan juara Mentor 5, Salma.

Riz pernah dilihat keluar bersama Putri Mardiana dan Salma berasingan dalam keadaan yang sangat mesra.

Membidas spekulasi itu, Riz, Salma dan Putri Mardiana tampil menjawab persoalan yang bermain-main di minda peminat mereka.

Riz sudah ada Faz

Pelakon Astana Idaman 3, Riz Amin atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 27, mungkin belum cukup aura untuk dikenali ramai. Jika diteliti amat jarang namanya menjadi fokus biarpun sudah lapan tahun berada dalam industri hiburan.

"Saya mengaku kurang publisiti yang diberikan kepada saya sejak bergelar anak seni, bukan mahukan publisiti murahan apatah lagi kontroversi negatif tapi semahunya saya ingin dilihat.

"Insya-Allah selepas ini saya akan lebih fokus kepada karier dan perlu serius melihat masa depan saya," katanya yang kini baru selesai penggambaran telefilem Takdir Yang Tertunda bersama Fouziah Ghous, Ako Mustapha dan Tasha Shilla.

Pelakon dari Changlun, Kedah itu tertawa saat ditebak persoalan mengenai kisah cinta tiga seginya dengan Putri Mardiana dan Salma.

Katanya, karier mereka diuruskan bersama oleh seorang pengurus artis dan adakalanya mereka akan selalu bersama-sama walaupun hanya berdua sama ada dengan Salma mahupun Putri Mardiana.

"Kami berkawan rapat, apabila Nina (Putri Mardiana) sibuk saya akan lepak dengan Salma begitulah sebaliknya. Boleh kata kami bertiga teman tapi mesra.

"Tidak ada isu cinta sesama kami, malah saya juga sudah ada kekasih, namanya Sharifah Fazlina Syed Fuad atau saya panggil dia Faz," ceritanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai buah hatinya itu, ujar Riz, perkenalannya dengan Faz menerusi laman sosial Myspace sudah mencecah usia empat tahun dan kemungkinan besar akan melangsungkan pertunangan pada hujung tahun ini.

Biar pada mulanya Faz sukar menerimanya sebagai seorang selebriti yang sering dipandang orang bahkan selalu terkait gosip, perlahan-lahan hubungan mereka bersimpul rapi dan kian sempurna.


PUTRI MARDIANA, Riz dan Salma masing-masing kini berusaha bagi memahat dan memantapkan nama mereka dalam bidang seni.


"Dia suka buat kejutan untuk saya! Kriteria seorang wanita yang tegas dan berdikari membuatkan makin hari makin sayang saya padanya," ujar Riz.

Terkini, Riz sedang dalam proses penggambaran drama bersiri 26 episod, Skuad Metro dan akan memulakan penggambaran telefilem Hantu Susu 2 bersama Erra Fazira, Amy Mastura dan Marsha Milan Londoh.

Putri Mardiana membidik cinta

Ibu kepada tiga cahaya mata, Alia Wirdani, 9, Amir Firman, 7, dan Airell Zuhair, 6, ini sedang membina kariernya. Setelah mahligai perkahwinan yang dibina pemilik nama penuh Putri Mardiana Zainal Abidin, 31, sebelum ini runtuh, dia tekad untuk memberikan sepenuh tumpuan dalam lakonan.

"Saya akui agak perlahan perjalanan seni saya tapi kini saya akan lebih giat melobi diri, Alhamdulillah rezeki pun semakin bertambah.

"Bagi saya cantik bukan segalanya, yang penting bakat. Kalau orang luar sudah mengiktiraf pencapaian saya kenapa tidak tempat sendiri," kata Putri Mardiana atau lebih dikenali dengan panggilan Nina yang pernah bernaung di bawah payung Metrowealth Sdn. Bhd. sebelum ini.

Bakat yang mula bersinar sejak menjuarai pertandingan World Championship Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2009 itu tambah dikenali melalui peranannya dalam naskhah filem seram, Santau.

Baru usai penggambaran telefilem Perempuan Tanpa Rahim, dia dijadualkan terbang ke Bangkok, Thailand untuk penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Nikkalaya.

Malangnya, pada tahun itu jua rumah tangganya musnah dan setahun kemudian aktres itu berjumpa kembali dengan bekas sahabat karibnya yang terputus hubungan sejak berusia 19 tahun.

Hampir bertunang pada penghujung tahun lalu dengan usahawan itu namun cinta yang bersemi dan dijangka bakal mengikat tapi perkahwinan pada bulan Mei ini putus pada malam sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

"Kini saya dalam proses memulihkan luka lama. Benar saya sudah ada seseorang di hati tapi kami masih saling mengenali satu sama lain.

"Dia orang sini (Kuala Lumpur), pernah berkahwin sebelum ini dan lebih berusia daripada saya," katanya yang kini berjinak-jinak dalam bidang lumba kuda di Kelab Lumba Kuda Sungai Besi, Kuala Lumpur setiap hari Sabtu.

Pelakon yang berasal dari Sitiawan, Perak, itu pernah didakwa meninggalkan keluarga semata-mata ingin mengejar dunia glamor.

Permata di hati Salma

Ibu kepada Puteri Nurul Huda, 5, ini pernah dahulunya kecoh apabila cuba menyembunyikan statusnya sebagai janda ketika bersama program Mentor 5.

Menjelaskan dia lebih gemar mengunci mulut dan berbicara sekiranya ditanya, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 22, kini mengakui di hatinya sudah terukir sebaris nama jejaka yang membikinnya jatuh cinta.

"Dia merupakan insan pertama yang saya sangat cintai, cuma orang biasa dan dia sangat merendah diri serta pemalu.

"Biarpun dia lebih tua daripada saya tapi dia menerima saya seadanya dan itu membuatkan saya bertambah sayang," katanya yang berpegang pada prinsip untuk tidak memilih pasangan hidup yang sebaya atau lebih muda daripadanya lagi.

Mungkin serik dengan badai perkahwinannya yang terdahulu, pelantun lagu Aku Permata itu enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkan kerana bimbang diancam gosip yang tidak terduga.

"Sejak bercerai pada tahun 2008, saya serahkan persoalan siapa jodoh saya kepada Allah, insya-Allah andai jodoh kami kali ini berpanjangan saya akan maklumkan kepada semua," ujar penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah.

Sebelum ini dia pernah dituduh menghilangkan diri selepas keluar daripada rancangan Mentor 5, namun membidas kenyataan itu dengan menyatakan bahawa dia menderita sakit terkena buatan orang.

Memaklumkan perkembangan terkini, Salma sedang menunggu waktu yang sesuai untuk berbincang dengan sebuah syarikat rakaman bersama mentornya, Erra Fazira, untuk mengeluarkan album sulungnya.

Marsha belajar solat

Posted:

Marsha belajar solat

Marsha belajar solat

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


MARSHA memberitahu dia akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi pengacara lagi kerana mengaku dia tidak pandai mengacara sesebuah program.


PADA tahun lepas, pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh, 27, menjadi tumpuan kerana beberapa kontroversi, antaranya kisah dia dimasukkan ke hospital gara-gara menelan sehingga 30 biji pil pada September lalu.

Bagaimanapun, artis yang berasal dari Tamparuli, Sabah dan kini semakin dikenali sebagai seorang pengacara itu pada tahun ini semakin sunyi pula daripada sebarang cerita sensasi.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Datuk DJ Dave berjudul Nyawaku di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, Marsha memberitahu dia kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya seninya.

Menurut Marsha, dia tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi, sementelah ketika ini dia merupakan pengacara rancangan berbentuk gosip berjudul Propaganza yang disiarkan pada pukul 12 tengah hari setiap Ahad di saluran Astro Ria.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?

MARSHA: Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Pelangi I Love You dan bergandingan dengan pelakon Indonesia iaitu Aiman Ricky. Penggambaran dilakukan di Pulau Pangkor, Perak. Bagaimanapun, pada bulan lepas jadual saya memang terlalu padat apabila terpaksa menjalani penggambaran tiga buah filem dalam tempoh sebulan iaitu filem Qada, Pak Pong dan Dr. K Kahwin Lima.

Boleh ceritakan lebih lanjut tentang ketiga-tiga filem tersebut?

Dalam filem Pak Pong yang diarahkan oleh Fauzi Nawawi, saya cuma muncul secara cameo dan terlibat dalam beberapa babak sahaja, manakala dalam filem Dr. K Kahwin Lima pula, saya membawa watak sebagai isteri keempat kepada Usop Wilcha.

Cuma untuk filem Qada apa yang boleh saya katakan watak yang diberikan kepada saya memang sangat mencabar. Dalam filem tersebut, saya memegang watak sebagai seorang gadis mualaf yang telah berkahwin secara paksa dengan seorang lelaki.


MARSHA perlu memahami tentang solat lima waktu bagi mendalami wataknya dalam filem Qada.


Kenapa anda mengatakan watak yang dibawakan itu sangat mencabar?

Sebelum ini saya pernah juga membawa watak sebagai gadis beragama Islam, cuma dalam filem ini saya perlu tampil dengan gaya muslimah dan perlu memahami tentang solat lima waktu yang menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.

Namun, saya berasa lega kerana kebanyakan rakan-rakan saya memang beragama Islam, termasuk Sharifah Sakinah yang turut berlakon dalam filem itu dan dia memang banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan.

Kenapa anda sanggup menerima tawaran yang banyak dalam tempoh sebulan?

Saya menerimanya kerana ketiga-tiga tawaran tersebut agak menarik dan rasa sayang pula kalau saya tolak. Malah, saya akui sangat penat kerana jadual yang cukup padat, tetapi saya tidak kisah kerana pada tahun ini memang saya mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.

Menjadi pengacara untuk rancangan Propaganza, adakah anda kini sedang mencuba untuk bidang pengacaraan pula?

Selama ini tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pengacara. Semasa datang uji bakat dahulu, saya tidak sangka pula mempunyai keserasian dengan Reza dan akhirnya kami berdua telah terpilih. Sebenarnya saya masih lagi mempunyai perasaan takut dan tidak yakin walaupun sudah mengacarakan sebanyak lima episod. Selepas ini mungkin saya tidak akan menerima lagi sebarang tawaran mengacarakan rancangan lain kerana sedar pengacaraan bukan bidang saya.

Bila anda merancang untuk hasilkan album baru?

Sebenarnya saya agak kecewa kerana album saya yang dilancarkan pada tahun lepas berjudul Yang Pertama tidak mendapat sambutan yang baik. Jadi, perancangan untuk menghasilkan album itu belum ada dan saya lebih selesa menghasilkan single. Saya baru sahaja selesai merakamkan single berjudul Kepastian Cinta yang dihasilkan oleh Ajai. Berkemungkinan besar lagu tersebut akan menjadi lagu tema untuk filem Qada.

Nad Zainal tolak label gedik

Posted:

Nad Zainal tolak label gedik

Nad Zainal tolak label gedik


NAD ZAINAL tidak kisah peminat mahu menilai lakonannya, tetapi bukan menilai kehidupan peribadinya.


MASIH awal untuk melabelkan Farah Nadia Zainal Abidin atau nama komersialnya Nad Zainal sebagai seorang pelakon yang gedik atau mengada-ngada.

Lima tahun bergelar anak seni, namun dia mula serius berlakon pada tahun lalu. Nad, 22, sebelum ini pernah muncul dalam drama rantaian Buaian Kasih yang ditayangkan di TV1, Elly dan Epit di Astro, drama berbahasa Inggeris, Incredible Tales serta filem Jidin Sengal.

Menepis dakwaan bahawa dia seorang pelakon baharu yang gedik, katanya justifikasi itu terlampau luas untuk dia menilai diri sendiri.

"Terlampau ramai yang bercakap pasal saya, lebih-lebih lagi melabelkan saya gedik. Kalau anda tanya saya, tentu saya tidak akan mengatakan diri sendiri gedik.

"Terpulang kepada penonton untuk melabelkan bagaimana saya. Tapi saya harap biarlah mereka menilai saya hanya dalam lakonan, perkara peribadi saya jangan masuk campur," tegas Nad ketika ditemui selepas majlis pratonton media eksklusif Kotex Memberku Hawa di Cathay Cineleisure, e@Curve, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Katanya orang ramai mula menilai dia sebagai seorang pelakon gedik sejak membintangi filem Jidin Sengal selepas membawa watak seorang wanita yang menjengkelkan.

"Memang watak itu untuk dibenci tapi selama saya menjadi anak seni, saya belum dengar lagi orang mengutuk saya," katanya yang sebelum ini pernah menjadi kru produksi belakang tabir sebuah syarikat penerbitan.

Ujarnya, dia mula meminati bidang lakonan sejak di bangku sekolah namun niatnya terpaksa diperlahankan lantaran memasuki aliran sains sewaktu belajar.

Naif

Bagaimanapun selepas tamat sekolah menengah, dia mula mencorak masa hadapan sendiri. Memilih bidang seni, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang diploma teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) beberapa bulan lalu.

Anak tunggal dalam keluarga yang berasal dari Kajang, Selangor itu menambah, walaupun dia diberikan watak yang penting dalam drama Memberku Hawa, namun dia masih belum berasa puas sepenuhnya.


DRAMA Memberku Hawa mempertemukan pelakon Faezah Elai (kiri) dan Nad Zainal.


"Watak Kay seorang yang lurus dan sentiasa ceria tapi dia juga gadis yang naif. Dalam drama ini saya merupakan sahabat karib Hawa lakonan Faezah Elai dan kerjaya saya adalah seorang pengurus model dalam dunia fesyen.

"Sedikit sebanyak watak Kay ini tidak jauh daripada diri saya sebenar," ujarnya yang sudah disunting berlakon dalam beberapa buah drama dan filem selepas ini.

Wajah baharu

Selain Nad dan Faezah, Memberku Hawa yang diarahkan Umi Salwana Omar itu turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Christina Suzanne, Sharifah Sofia, Nadia Aqilah dan Mustapha Kamal.

Menyentuh mengenai gandingan pelakon baharu dan lama iaitu Nad dan Faezah, kata Umi: "Saya suka bekerja dengan pelakon baharu dan mereka sebenarnya senang dibentuk. Bukan memilih artis baharu kerana mereka kurang kontroversi, tapi kami dalam masa yang sama ingin membantu pelakon daripada pelbagai peringkat."

Pertama kali mengarah sebuah drama, Umi mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.

"Saya gementar untuk mengarah drama ini tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dan mungkin selepas ini masih banyak perkara yang boleh diperbaiki," katanya yang sebelum ini merupakan seorang pembantu pengarah.

Memberku Hawa turut membariskan Dazrin Kamarudin, Hanis Zalikha, Josiah Hogan, Zainal Alam Kadir, Susan Manen, Lash Mokhtar dan Rafidah Abdullah.

Drama 10 episod ini telah mula menemui penonton pada 15 April lalu dan akan ditayangkan pada setiap hari Ahad pukul 10 malam. - KHAIRUL AMRI HASSAN

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan