Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Hafaz al-Quran selepas SPM

Posted: 19 Apr 2012 06:14 AM PDT

BERBULAN-BULAN usaha mengaturkan sesi fotografi dengan pemuda bernama Don Daniyal Don Biyajid, 28, atau mesra dengan panggilan Ustaz Don ini. Kesibukannya mengehadkan masa bersama media, namun pelawaan wakil TV AlHijrah ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, pada 15 April lalu membuahkan hasil.

Kebetulan ketika itu Ustaz Don terbabit dalam program Cinta Masjid yang bertujuan mengembalikan peranan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat.

Sekitar Asar, wakil Rap tiba di pekarangan masjid berkenaan dan apa yang mengagumkan, sepanjang jalan di luar pekarangan masjid di penuhi kenderaan seperti orang menghadiri konsert.

Situasi itu sudah cukup menjelaskan berita mengenai fenomena seorang penceramah agama iaitu Don adalah benar. Bukankah ini satu perkembangan baik? Anak muda mula berminat menonton program agama, mendengar ceramah dan tazkirah selain memilih untuk berada di masjid daripada membuang masa pada hujung minggu.


"Dalam berdakwah, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk golongan remaja saja kerana ilmu itu tidak mengenal batasan usia. Jika remaja suka mendengar dan menonton program agama dikendalikan saya, Alhamdulillah," kata pengendali program 30 Minit Ustaz Don yang bersiaran setiap Isnin sehingga Khamis, jam 10 malam di TV AlHijrah.


Kesukaran mendapatkan beliau selama ini ekoran komitmen Ustaz Don. Selain terbabit dengan 30 Minit Ustaz Don pada waktu malam, aktivitinya pada sebelah siang dipenuhi dengan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Bangi serta tugasnya sebagai penceramah bebas.

Pada masa sama, beliau juga sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam pengajian al-Quran dan Sunnah.

Berbicara mengenai fenomenanya, nyata Ustaz Don sedikit gelisah dengan pertanyaan itu kerana enggan dipuja kerana ikhlas berdakwah untuk Yang Maha Esa.

"Ikut Islam, patuh suruhan Allah s.w.t dan Rasul. Jangan puja saya kerana saya manusia biasa. Mati esok, syurga belum tentu buat kita lagi. Sebagai saudara sesama Islam, apa yang boleh kita lakukan adalah saling ingat mengingati.

"Saya berdakwah untuk berkongsi ilmu selain sebagai persiapan menjadi insan dan hamba-Nya yang lebih baik," katanya.

'Respons' mahupun reaksi yang masyarakat berikan kepada penceramah bebas kelahiran Bukit Mertajam itu membuatkan dia pernah berasa janggal pada awalnya.

Namun, Ustaz Don sering menjadikan kisah seorang ulama juga Tokoh Tafsir Mesir, Allahyarham Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya'rawi sebagai contoh dan inspirasi agar sentiasa menunduk ke bumi.

"Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya'rawi adalah ulama hebat dan murah hati. Betapa orang mengaguminya sehinggakan pernah sebaik keluar dari masjid, orang mengerumuninya untuk bersalaman dan memeluknya.

"Sampaikan keretanya turut diangkat. Apabila keadaan sudah reda, beliau minta pemandunya menghidupkan enjin lalu singgah di sebuah masjid. Kemudian beliau membuka baju dan mula mencuci tandas sebagai cara untuk beliau berasa rendah diri.
"Saya sering mengingatkan diri kepada peristiwa ini untuk saya sentiasa tunduk ke bumi," katanya.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir, itu menambah, semakin kuat iman seseorang itu, semakin galak syaitan cuba memesongkannya.

"Jangan kata orang kuat agama tidak boleh lemas dengan pujian. Puji-pujian boleh menimbulkan rasa bangga diri. Iblis pandai. Dalam hadis ada menyebut Talbis Iblis iaitu pengkaburan yang dilakukan iblis dan mempunyai pelbagai cara untuk menyesatkan orang.

"Satu contoh, jika ada perempuan seksi depan mata, memang langsunglah ustaz tak pandang. Jadi iblis kaburkan dengan mendatangkan wanita bertutup aurat tapi pandai mengurat.

"Saya paling takut menjadi orang yang munafik dan daripada pemerhatian saya, sifat munafik paling ditakuti golongan ulama," katanya.

Menyingkap pembabitan awal sebagai penceramah bebas, Ustaz Don yang pernah menjadi guru di sebuah tadika di Pulau Pinang, menyampaikan kuliah agama pertamanya di Selangor iaitu di Surau An Nur, Bangi, tiga tahun lalu.

Detik itu tidak mungkin dilupakan lantaran ia permulaan sebagai pendakwah bebas, tambahan pula beliau bertindak sebagai 'bidan terjun' menggantikan dua ulama tersohor - Ustaz Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus yang tidak dapat memberi kuliah pada hari berkenaan.

Penghujung 2010, sahabatnya, Kamarul Zaman, bekas kakitangan TV AlHijrah memperkenalkannya kepada seorang produser stesen itu yang kebetulan sedang mencari seorang ustaz untuk mengendalikan program baru.

Selepas uji bakat, beliau terpilih mengendalikan program Ihya Ramadan sebanyak 20 episod, yang menyaksikan pelbagai reaksi positif penonton.

Rentetan itu, katanya, lahirlah idea untuk menerbitkan 30 Minit Ustaz Don yang pada awalnya menggunakan judul Tazkirah Ustaz Don. Program berbentuk kuliah interaktif itu sebagai kesinambungan kejayaan Ihya Ramadan.

Menjadi wajah rebutan kebanyakan stesen TV sekarang, Ustaz Don mengakui selesa bersama TV AlHijrah, malah turut berkongsi idea untuk program akan datang.

Beralih kepada topik penampilan beliau yang sering kelihatan berjubah, berserban dan selendang di bahu kanan, tidak bererti beliau menolak pakaian kasual.

"Ulama terkenal, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa sangat menjaga penampilannya ketika berada di khalayak sehingga pernah menerima duta keterampilan. Ini bermakna, kebebasan bergaya sememangnya ada asalkan tidak keluar daripada landasan Islam. Saya pun bukanlah ke sana sini mengenakan jubah dan serban, ikut kesesuaian juga.

"Jika bermain boling misalnya, takkan hendak berjubah? Ada masa saya selesa memakai sut dan pakaian formal," katanya.

Zaman kanak-kanak

DETIK kejayaan hidup seseorang pasti ada kaitan dengan asuhan ketika kecil, cara mereka dibesarkan selain pergaulan sekeliling. Akui Ustaz Don, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana iaitu ibunya seorang kerani dan bapanya pula, pembantu makmal.

"Seingat saya, emak dan ayah mahukan anak pertama lelaki tetapi yang sulung perempuan. Jadi apabila lahirnya saya, emak pernah kata dia menyebut 'Fisabilillah'. Fisabilillah ini pernah disebut datuk Nabi Isa a.s. ketika kelahirannya. Ada kisah menarik di sebalik ungkapan ini.

"Kalau tidak silap saya, ketika berusia tiga hari, bapa membawa saya bertemu gurunya, juga Pengasas Pondok Bagan Lalang, Pulau Pinang, untuk mendapatkan keberkatan.

"Menyingkap cara saya dibesarkan sama seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun, baru-baru ini saya terbaca tulisan Profesor Dr Muhaya Mohamad yang menemu bual emak saya, apakah rahsia emak dalam mendidik saya dan adik-beradik yang lain. Saya pun tak tahu bila temu bual itu dibuat.

"Dalam temu bual itu, emak memaklumkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk menyusukan saya sehingga genap dua tahun.

"Jika saya menangis mahukan susu pada waktu malam, ayah saya akan turut sama bangun membancuh susu untuk emak sebelum emak menyusukan saya," katanya.

Dalam petikan temu bual itu turut menyebut, ayah Ustaz Don tidak membenarkan emaknya menyusu sambil berbaring. Sebaliknya, ayahnya akan menyediakan belakang badannya untuk emak bersandar menyusukan anak sambil duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu.

Akui mengagumi pengorbanan kedua-dua orang tuanya itu, Ustaz Don semasa kecil sering mengikuti bapanya ke masjid untuk menunaikan solat dan mendengar ceramah agama.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sewaktu di sekolah menengah, dia adalah pelajar aliran sains.

"Saya bukanlah pelajar cemerlang cuma setakat sedang-sedang saja. Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saya cuma memperoleh 4A saja. Sewaktu mengikuti pengajian peringkat Diploma di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulau Pinang, kemudian Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat di Mesir, saya antara pelajar yang selalu dapat tempat kedua atau ketiga terakhir (ketawa).

"Saya mula minat menghafaz al-Quran selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Al-Quran sangat istimewa dan hanya akan 'duduk' dengan siapa yang ia mahu. Ada orang belajar sedari umur empat tahun untuk menghafal al-Quran, tetapi masih tidak mampu melakukannya.

"Wallahualam... apa yang saya tahu mereka yang mendapat kelebihan adalah orang yang menyayangi al-Quran.

"Seperkara lagi, sejak dulu saya selalu patuh kepada kata-kata guru. Menghormati guru nescaya kita akan mendapat keberkatan dalam pelajaran.

"Saya masih ingat ketika bersekolah rendah, saya ada seorang guru, Ustaz Sheikh Redha Salim Ali yang kini sudah meninggal dunia. Setiap pagi saya berjalan ke rumahnya selama 30 minit dan apabila balik dari sekolah, kalau kawan-kawan mahu temankan ustaz pulang, dia akan kata: "Aku nak balik dengan Don." Ustaz saya itu buta, jadi saya pimpin tangannya setiap kali pergi dan balik sekolah," katanya.

TRIVIA

Surah yang sering atau dibaca... Surah Al-Kahfi.

Pendakwah dikagumi... ramai, salah seorangnya Datuk Dr Haron Din.

Jika menjadi bapa satu hari nanti... mahu mendidik anak seperti Rasulullah s.a.w. walaupun mustahil, tetapi berharap dapat menjadi ayah yang baik seperti ayah saya.

Jenama kacamata pilihan... Rayban.

Kumpulan muzik yang diminati... Linkin Park. Menurut Ustaz Don, sebahagian lirik lagu kumpulan itu yang dibacanya tidak keterlaluan dan ada yang berunsur kehidupan dan kemanusiaan.

Status... tunangan kepada Husna Mohd Zain, pelajar jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir.

Penuhi masa lapang... kerja grafik dan fotografi.




Cabaran reka set Upin & Ipin

Posted: 19 Apr 2012 05:57 AM PDT

REKAAN set memang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pementasan muzikal. Jika set tidak cantik dan kreatif, pasti pementasan itu tidak segah manapun seperti diuar-uarkan orang.

Bagi pereka set pementasan Upin & Ipin The Musical yang sedang dipentaskan di Istana Budaya (IB) sejak 14 April lalu, Mohammed Hanafi Abd Wahab, 43, dia berdepan dengan cabaran paling besar dalam merealisasikan pementasan karya yang pernah mencetuskan fenomena dan memiliki ramai pengikutnya di negara ini.

Upin & Ipin The Musical adalah terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd dan CTRA Production dengan kerjasama Akademi Seni Budaya & Warisan serta IB.

Bersandarkan pengalaman luas selama 14 tahun di belakang tabir, tidak hairanlah Hanafi diberi kepercayaan untuk mereka set pementasan yang hebat dan ramai peminat itu.


"Apabila ditawarkan buat Upin & Ipin, saya akui berasa takut kerana dapat tahu ia produksi yang hebat. Saya terima tawaran buat muzikal ini juga kerana ia diarahkan Zaifri Husin. Kami sudah kenal lama kerana tinggal berjiran di kuarters kerajaan di Jalan U-Thant.


"Apabila tinggal berjiran, ia memudahkan kami bekerjasama dan berbincang siang dan malam kerana saya perlu beri apa yang dia kehendaki, sekali gus untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini," katanya.

Selaku pereka set, Hanafi berdepan cabaran paling besar kerana menjayakan pementasan Upin & Ipin yang diterbitkan pihak yang cukup kreatif seperti penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi dan isterinya, Ainon Ariff.

"Saya akui bukan mudah untuk mengangkat siri TV dari televisyen ke pentas teater. Malah, saya terpaksa merombak beberapa kali rekaan yang dihasilkan sehingga penerbit teater ini berpuas hati.

"Bayangkan saya perlu buat set membabitkan 13 babak. Daripada 13 babak, saya kurangkan kepada 10 untuk menjadikannya lebih padat. Agak mencabar untuk letak props dan set di atas pentas. Pereka set juga bekerjasama rapat dengan bahagian penata cahaya. Saya juga perlu bertolak ansur dengan bahagian lain kerana kami bekerja dalam satu pasukan,

"Selain itu, pereka set bekerjasama rapat dengan pereka kostum kerana mereka akan melihat set yang saya hasilkan untuk sesuaikan dengan kostum, sekali gus menvisualkannya di atas pentas," katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk menghasilkan rekaan set untuk pementasan muzikal Upin & Ipin, kata Hanafi, dia memang tahu jalan cerita Upin & Ipin kerana meminati siri itu sejak ditayangkan di kaca televisyen.

"Anak saya juga peminat Upin & Ipin dan dia juga hafal dialog yang dipaparkan dalam siri animasi popular itu. Saya juga mendalami kandungan skrip kerana perlu memahami jalan cerita terlebih dulu untuk memudahkan saya mereka setnya.

"Walaupun ramai yang memberi maklum balas memberangsangkan mengenai rekaan set Upin & Ipin apabila ia dipentaskan 14 April lalu, saya tetap tidak pernah puas dengan setiap karya dihasilkan, sejak dulu.

"Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, tapi memang saya percaya mampu menghasilkan rekaan yang lebih baik lagi jika diberi masa yang panjang," katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, kata Hanafi yang pernah bekerja dengan produksi Cats, Miss Saigon dan Beauty & The Beast, dia ingin menimba lebih banyak pengalaman dengan produksi bertaraf antarabangsa.

"Saya akui pengalaman bekerja dengan produksi luar berbeza dengan di sini. Banyak ilmu yang kita belajar apabila bekerja dengan orang luar iaitu cara bagaimana mereka buat set yang hebat di pentas yang sempit," katanya.

Mengimbas latarnya, anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga pemegang jurusan Seni Bina dari Politeknik Sultan Ahmad Shah ini mula bekerja sebagai pereka set di IB sejak 1999. Antara pementasan yang dia pernah terbabit ialah Puteri Hang Li Po, Muzikal Tun Mahathir, Badai Semalam, Kembara Sinbad dan Mana Setangginya yang juga arahan Zaifri Husin.

Selain itu, dia juga menimba ilmu dengan produksi luar negara iaitu produksi Indonesia, Merentas Sayang (Malim Deman), bersama produksi Singapura untuk Tun Fatimah, Tauke Anak Wayang dan muzikal Bendahara yang mendapat liputan meluas di Singapura.

Muzikal Upin & Ipin mula dipentaskan jam 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Sari, IB sehingga 6 Mei nanti. Keterangan lanjut hubungi talian 03-61866592, 03-55118089/017- 8716060/012-2977220/017- 2004249.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan