Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kilafairy tolak label gedik

Posted:

Kilafairy tolak label gedik

Kilafairy tolak label gedik

KILAFAIRY berasakan sudah tiba masanya untuk dia memilih watak yang memberi pengaruh positif kepada penampilan dirinya sebagai seorang selebriti.


NAMA Kilafairy tumbuh bersama sensasi. Satu demi satu terpalit dengan cerita yang menjengkelkan, pemilik nama penuh Syakila Nisha Jangir Khan, membidik pertanyaan ramai. Siapa Kilafairy, apa kerjanya dan kenapa dia begitu mendadak mendapat publisiti?

Semua itu dilayan anak sang penyanyi, Rohana Jalil itu penuh tenang. Dia baru berusia 19 tahun ketika bertubi-tubi ditembak peluru kontroversi. Ketika itu, dia masih terlalu rapuh dan hijau dengan permainan dunia hiburan. Mujurlah, ibunya seorang bintang, mungkin dari situ, dia mendapat pedoman untuk tidak pernah berasa patah semangat.

Hasilnya, Kilafairy sudah tidak lagi dihambat cerita hangat. Tiada lagi yang galak mengapi-apikan cerita suntikan botox pada wajah, bibir serta tubuhnya sehingga dia kelihatan seksi seperti hari ini.

"Ya, dahulu macam-macam orang tuduh saya. Lepas cerita botox dan pembedahan plastik, ada pula kata saya berimej matang, seksi tak padan usia, wajah nampak tua dan macam-macam.

"Saya sudah dianugerahkan bentuk rupa yang begini, apa boleh saya buat. Saya cuma mampu untuk mengelak daripada bersolek terlalu tebal. Sebab itulah saya akan guna khidmat jurusolek peribadi, Jepun setiap kali ada fotografi atau apa sahaja acara. Dia sudah enam tahun dengan saya dan mama, jadi dia faham macam-mana hendak beri sentuhan kepada saya untuk tidak kelihatan keterlaluan," katanya yang mengakui kepanasannya kini tidak sehebat setahun lalu.

Menyepi sedikit tidak mengapa, kerana baginya, suhu seperti hari ini memberikan banyak ruang untuk dia mengemaskini diri. Sekadar dibahasakan Kila, dia sedang berdikit mahu mengubah skeptikal ramai yang selama ini banyak melihat dirinya dari sudut kurang menyenangkan.

"Sekarang saya mahu bertegas dalam soal tawaran. Kalau boleh saya mahu tolak tawaran watak gedik, watak penggoda atau watak wanita yang kurang baik. Sudahlah selama ini, ramai yang bencikan lakonan saya yang selalu bawa watak gedik, saya tidak mahu skeptikal itu melekat dan mengekori saya sampai ke luar bidang kerja.

"Mama saya ada nasihatkan, supaya jangan terlalu memilih, ambil sahajalah tapi saya fikir, kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu ubah pandangan orang terhadap saya," katanya yang mencuri perhatian dengan watak gadis mengada-ngada dalam filem Karak dan drama bersiri, Hotel Mania.

Perasan cantik

Dalam hendak membuang watak mengada-ngada, manja dan geletis, akan datang dia bakal muncul dengan filem terbaharunya, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin yang bakal ditayangkan 24 Mei nanti. Ironinya, dalam filem berkenaan, Kila masih tampil dengan imej yang hampir sama dengan pandangan sesetengah orang terhadap dirinya.

"Dalam Hoore! Hoore!, saya bawa watak Rita, konon-kononnya gadis paling cantik dan paling popular di sekolah yang menaruh hati dengan Johari (Akim AF), tapi Akim pula menaruh hati dengan gadis lain sangat sederhana. Rita tak jahat, cuma kuat cemburu.

"Saya berlakon cerita itu pun sebab Teong Hin, dia sutradara yang pernah arahkan filem Puteri Gunung Ledang dulu. Lagipun ramai juga nama besar seperti Fauziah Nawi, Adibah Noor dan Harun Salim Bachik terlibat dalam filem berkenaan. Sebenarnya, itu lakonan saya yang terakhir setakat ini," katanya yang mahu kembali fokus kepada karier selepas berjaya menjadi graduan Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, dua minggu lalu.

Tambah Kila: "Saya baru sahaja selesai majlis konvokesyen. Jadi sekarang, saya tak perlu fikirkan soal jadual kuliah tapi itu tak bermakna saya goyang kaki. Saya kena uruskan bisnes saya juga, selain sibuk dengan perancangan promosi untuk single sulung tidak lama lagi."

Single sulung

Kila kini meletakkan dirinya sebagai pelakon dan penyanyi sepenuh masa.

"Orang sudah tahu saya pelakon, tapi bukanlah pelakon yang boleh digelar pelakon sebenar selagi tidak ada filem atau drama yang benar-benar angkat bakat saya. Saya mahu juga mahu berguru atau ambil kelas lakonan satu masa nanti. Dalam masa yang sama, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi. Alhamdulillah, single pertama saya kini sedang tunggu masa untuk dilancarkan. Judulnya masih belum diputuskan, setakat ini judulnya Pasti. Lagu itu berentak R&B," ujarnya yang percayakan sentuhan Amelia AF sebagai komposer serta penulis lirik single berkenaan.

Sanggup berhabis duit sendiri untuk menghantar single berkenaan untuk menjalani proses mixing di Australia, Kila mahu membuktikan bakat nyanyiannya bukan sekadar suka-suka.

"Kalau tidak berlakon, sekarang pun saya selalu dapat tawaran menyanyi untuk acara korporat. Rezeki saya dalam nyanyian pun ada. Jadi saya ada dua pilihan," katanya yang mampu menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak di sekolah rendah lagi.

Pernah digosipkan dengan Yusry KRU yang kini bergelar suami kepada Lisa Surihani, selepas itu Kila tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Entah dari mana angin bertiup, Kila tiba-tiba dikatakan ada hubungan istimewa dengan seorang pemuda dari seberang, Hardy Hartono.

Jejaka seberang

Ketawa saat menafikan gosip yang sengaja diperbesar-besarkan itu, kata Kila, hubungannya dengan Hardy tidak lebih sebagai kawan.

"Saya kenal Hardy ketika dia datang ke Kuala Lumpur berlakon drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Kami sekadar berkenalan dan hubungan itu hanyalah seperti kawan biasa sahaja. Sudah tentulah bila Hardy sudah kembali ke Jakarta kami ada berhubungan menerusi Twitter, tapi sekadar bertanya khabar sahaja," katanya berderai tawa.

Belum masa untuk memikirkan soal berkasih, kata Kila, perjalanannya sebagai seorang pelakon begitu juga dengan nyanyian masih terlalu baru. Masih terlalu banyak selok-belok yang harus dipelajari.

"Saya tidak boleh takbur bercakap tentang mana-mana lelaki sebab jodoh itu kerja Tuhan," katanya menutup perbualan.

Nikah bukan alasan bertudung - Natasha

Posted:

Nikah bukan alasan bertudung - Natasha

Nikah bukan alasan bertudung - Natasha


NATASHA dan Carleed bernikah hari ini di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.


"SAYA bertudung bukan kerana mahu berkahwin lagi," itu luah Natasha Hudson, 30, saat hatinya diketuk mengenai hijrahnya yang kini memilih untuk berhijab.

Pelakon popular itu baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 21 Mac lalu. Berada di Tanah Suci selama hampir dua minggu, sekembalinya ke tanah air pada 4 April baru-baru ini, pelakon drama bersiri Pulau itu membawa lebih daripada satu berita.

Mula-mula dengan pengumuman tarikh perkahwinannya dengan komposer muzik, Carleed Khaza, 33, pelakon yang mesra dibahasakan Tasha itu kemudian menutup akaun Twitter miliknya.

Hari ini, (15 April) Natasha kembali bergelar isteri kepada seorang suami setelah lebih dua tahun hidup menjanda. Dia dan Carleed atau nama penuhnya, Khalid Kamal bernikah di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.

Melihat imejnya yang kini tampil bertudung, Tasha diminta berkongsi perasaan. Dia menyifatkan setiap manusia ada cerita berbeza, namun selagi Tuhan itu ada, setiap insan pasti akan mendapat hidayah-Nya.

Kepada sesiapa juga, perjalanan ke Mekah adalah titik kembara spiritual yang sukar diterjemah secara konkrit.

Begitu juga dengan Natasha. Dia nekad untuk ke daerah yang diberi panggilan 'rumah Allah' itu dengan hati yang gementar. Bergagah dengan niat dan doa yang dipanjatkan untuk menjadi manusia yang lebih baik dalam kehidupan, karier dan keluarga, dia kembali dengan hati yang lebih tenang.

Sensasi Bintang: Boleh kongsikan sedikit mengenai penghijrahan drastik ini (bertudung).

NASTASHA: Persoalan begini sering buat saya sebak. Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan tapi ia berlaku tanpa dirancangkan. Saya tiada niat apabila balik umrah saya mahu bertudung, ia terjadi secara sendiri. Saya selalu dengar macam-macam pengalaman orang ke Mekah dan Tuhan bukakan hati saya untuk ke sana. Saya pergi dengan hati yang gementar, banyak berdoa untuk diberikan kehidupan yang lebih baik, dalam karier dan keluarga.

Di sana pun saya tak terfikir sama ada balik nanti mahu bertudung atau tidak, tapi bila balik ke rumah dan tiba masa untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan, saya rasa macam nak letak sesuatu atas kepala. Saya tak cakap pun bahawa saya nak bertudung.

Bila saya pakai tudung, ibu saya orang paling gembira, semua bagi sokongan dan Carleed sangat gembira lihat saya bertudung. Syukurlah, sampai hari ini hati saya kuat untuk terus bertudung.

Bertudung setelah selama ini orang tengok anda yang hidup sebagai selebriti popular yang agak banyak kisah sensasi, penghijrahan ini agak mengejutkan bukan?

Rasanya semua orang macam benih. Ia satu perjalanan spiritual yang bersifat epidemik. Wanita yang tak bertudung bukannya jahat. Bila sudah bertudung pula saya tidak akan sesekali buat penghakiman terhadap orang lain. Semua orang berhak untuk dapat hidayah. Saya pula kembali bergelar isteri tapi saya bertudung bukan kerana perkahwinan ini.

Bagaimana kalau ada yang pandang sebelah mata atau mengata, konon-kononnya awak nak tunjuk insaf dengan bertudung?

Hanya orang yang berfikiran cetek sahaja yang cakap begitu. Tapi sekarang, saya elakkan diri daripada ambil tahu hal-hal begitu. Dahulu kalau ada yang mengeji saya, saya akan sedih, menangis dan tertekan tapi sekarang, saya boleh ketawa dan tergelak sendiri. Biarlah apa orang nak kata, saya tak hidup atas duit mereka, sekarang saya cuma berikan terbaik untuk keluarga dan suami saya sahaja.

Pengajaran paling besar daripada Tanah Suci?

Islam itu mudah, cuma kita sahaja yang menjadikan ia susah.

Anda seorang yang berfesyen, jadi bila berpenampilan baru begini, pasti banyak macam idea fesyen bertudung bagaimana yang hendak digayakan, komen sikit.

Saya seorang sederhana sahaja, sebelum ini pun, saya bukannya seksi sangat. Dalam bab tudung juga, sebenarnya dah lama saya ada koleksi tudung untuk pakai ke majlis tertentu. Cuma lakonan sahaja, saya tak pernah dapat watak bertudung. Jadi tak sukar untuk saya menggayakan fesyen bertudung, bertudung pun boleh berfesyen asalkan menutup aurat. Sekarang pun sudah ada beberapa orang kawan yang menawarkan diri untuk bantu saya untuk pilih fesyen yang sesuai dengan imej baru.

Apa jadi dengan pakaian-pakaian lama?

Ada yang masih disimpan sebab macam singlet pun, ada yang boleh disuai-padankan dengan cardigan atau jaket berlengan panjang. Sebenarnya, masa sebelum pergi umrah, saya sudah berikan baju-baju lama kepada sepupu-sepupu saya. Tak sangka itu petanda awal.

Dayang kerap tertinggal telefon

Posted:

Dayang kerap tertinggal telefon

Dayang kerap tertinggal telefon

SAMA ada sedar atau tidak, nama Dayang Nurfaizah kini tidak sehangat dahulu. Biarpun begitu, ada nilai eksklusif terpancar setiap kali kelibatnya melintas depan mata.

Popular menerusi lagu-lagu hit seperti Dayang Sayang Kamu, Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, Dayang sebenarnya tidak menyepi. Dia sebaliknya masih ligat.

"Jika ada yang kata saya mendiamkan diri, mungkin saya hanya diam dengan pihak media sahaja. Tetapi kerjaya seni masih berjalan seperti biasa. Lagipun rancangan hiburan (nyanyian) di televisyen kini semakin berkurangan. Jadi sedikit sukar untuk nampak saya di televisyen," ujarnya yang tampil bergaya elegan menghiburkan peminat menerusi Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

Seperti kata pepatah yang menyebut, diam-diam ubi berisi, Dayang juga begitu. Tanpa banyak bunyi, Dayang bakal tampil dengan single keempat berjudul Perlukan Cinta tidak lama lagi. Single itu sebenarnya dipetik daripada album Sayang & Cahaya yang memuatkan 12 buah lagu. Itu pertaruhan terbaharu Dayang setelah empat tahun tidak menghasilkan sebarang album.

"Insya-Allah pada minggu hadapan saya akan melancarkan lagu single keempat berjudul Perlukan Cinta.

"Selain itu permintaan mengadakan persembahan di seluruh negara tidak pernah putus. Mei nanti saya akan mengadakan persembahan di Dewan Orkestra Philharmonik bersama Anuar Zain," ujar wanita berusia 30 tahun itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan