Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Nanti saat lamar Marian

Posted: 29 Apr 2012 06:59 AM PDT

IMPAK lakonan ditunjukkan aktor Filipina, Dingdong Dantes nyata memberikan pencapaian membanggakan buat dirinya apabila mempunyai ramai peminat di rantau ini.

Menariknya, populariti yang dicipta menerusi telenovela MariMar (2007), Stairway to Heaven dan Endless Love (2009) begitu melonjak namanya dikenali termasuk di Malaysia.

Jika dirujuk kembali fenomena artis Filipina diminati penonton negara ini bukan perkara asing yang pernah berlaku dalam industri hiburan tempatan.

Seperti mana kehadiran Jericho Rosales yang membuatkan peminat wanita jatuh cinta menerusi Pangako Sa'Yo dan Sana'y Wala Nang Wakas , begitu juga giliran Dingdong yang semakin digilai di kalangan jutaan peminat di sini.


Bayangkan ketika aktor tegap tinggi ini hadir pada sesi ramah mesra diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini, ia bagaikan mengundang histeria dan 'angau' di kalangan kakitangan wanita Media Prima Berhad yang mengambil kesempatan bersalam dan bergambar.


Malah ada antara mereka tanpa segan silu melemparkan perkataan 'saya cinta awak!' ketika acara ini berlangsung.

Apapun, kehadiran Dingdong sebenarnya membantu mempromosi drama berkonsep telenovela, Endless Love yang kini masih hangat ke udara di TV3.

Dalam pertemuan lebih dekat peminat di sini, aktor ini turut turun padang menjayakan acara Jomheboh di Ipoh, Perak yang selesai dilangsungkan sejak Sabtu lalu.

Aktor berusia 32 tahun berasal dari Quezon City ini menyatakan pengalaman kali kedua berkunjung ke Malaysia selepas dua tahun lalu cukup berbeza. Paling membuatkan dia tersenyum lebar apabila bertemu peminat angau yang dianggap suatu kejutan.

Dia akui populariti membintangi drama genre romantik di kaca TV memberi kelebihan pada dirinya sehingga dikenali ramai.

"Karier seni saya bermula 10 tahun dulu. Saya percaya drama rantaian romantik boleh mengikat penonton dengan pelbagai cerita dan plot.

"Seperti Endless Love, pengalaman yang saya timba juga berbeza. Penggambaran mengambil masa panjang sehingga lima bulan dengan tiga bulan saja di Filipina.

"Saya percaya soal populariti drama sebegini sangat bergantung kepada sokongan penonton. Kalau penonton suka, kami juga gembira," katanya.

Di sebalik aksi romantik ditunjukkan dalam drama ini, Dingdong juga menjadi tumpuan peminat yang ingin tahu kesudahan hubungan cintanya bersama aktres Marian Rivera yang sama membintangi drama itu.

"Saya menantikan masa yang sesuai dan isyarat untuk melamarnya. Pertama kali saya berjumpa dengan Marian adalah ketika kami hadir pada uji bakat MariMar.
Bagi saya, Marian seorang yang sempurna dan sesuai berlakon dalam telenovela ini. Apabila penggambaran bermula hubungan kami menjadi lebih rapat.

"Dia seorang gadis yang kelakar dan kami mempunyai kegemaran sama menonton wayang serta melancong. Tiga minggu lalu, kami baru pulang bercuti di Kemboja.
Di sana, kami terkejut melihat peminat begitu ramai mengenali kami dan ia membuatkan kami rasa gembira," katanya.

Meneruskan karier lakon, Dingdong menyimpan impian bergelar pengarah dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, sesiapa saja boleh menjadi pengarah ketika ini tetapi jika mempunyai banyak pengalaman ditimba sebagai pelakon, seseorang itu mampu menjadi pengarah terbaik.

"Saya kini masih mengikuti pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan di West Negros University dan akan tamat pengajian tahun depan.

"Apa yang dapat saya katakan, ketika berkunjung ke Malaysia, saya berasakan seperti berada di negara sendiri.

"Dari segi kerjaya, saya bersyukur atas pencapaian setakat ini. Kalau diberi peluang, saya teringin membawa watak aksi lasak pada masa akan datang," katanya meminati adiwira terkenal, Batman.

Bekerja secara profesional, Dingdong lebih selesa untuk memberi fokus satu-satu kerja dalam satu masa. Katanya, komitmen terbabit dengan telenovela sendiri memakan masa penggambaran yang panjang. Jadi dia seharusnya memberikan sepenuh fokus agar lakonan tidak bercampur aduk dengan tawaran lain.

Dalam pada itu, Dingdong juga aktif dalam aktiviti kebajikan bersama Yayasan Yes! Pinoy. Dia terbabit sejak 2009 lagi bagi membantu organisasi itu memberi pertolongan kepada kanak-kanak miskin bersekolah.

"Saya tidak terkilan kerana tidak menggapai cita-cita menjadi juruterbang.
Sebaliknya saya gembira saya masih boleh 'jadi' juruterbang dan doktor dalam lakonan," katanya tertawa.


Soseh Soseh: Fenomena usung anak ikan

Posted: 29 Apr 2012 06:45 AM PDT

DALAM istilah dunia hiburan, anak ikan dirujuk sebagai 'toy boy' atau remaja lelaki yang dibela oleh seseorang artis tidak kira lelaki atau perempuan.

Memang sejak dulu, ada artis dikatakan suka membela anak ikan dengan motif tertentu. Konsepnya, anak ikan akan merebut kesempatan untuk menerima tempias glamour selain disara oleh artis, manakala artis itu sendiri akan mengambil kesempatan dalam pelbagai cara daripada anak ikan mereka.

Cerita yang SS dengar kali ini adalah mengenai seorang artis lelaki yang juga gemar mengusung anak ikan ke majlis-majlis keramaian. Yang melampaunya, bukan seorang dua tapi sampai empat lima orang!

Faham sajalah, selalunya untuk sebarang majlis keramaian, penganjur biasanya akan menyediakan tempat duduk termasuk makan dan minum hanya dua orang saja iaitu artis itu sendiri selain pengurus atau pun pembantu peribadi (PA).


Sama ada pengurus atau PA itu pun termasuk dalam kategori anak ikan, itu SS sendiri tak pasti kerana seperti penganjur pun, kita tak sempat kena selidik sampai ke akar umbi. Apa yang penting artis itu bawa seorang saja PA cukuplah.


Tapi ini tidak, artis itu suka bawa anak ikan bersusun-susun, sekali pandang macam anak ikan dalam akuarium. Ada pelbagai gaya dan rupa, ada yang tinggi, ada yang rendah.

Apabila dah bawa satu batalion budak suruhan, waktu persembahan tentulah jadi masalah kerana bukan seorang dua saja yang tolong angkat, malah yang lain juga menempel sama. Suruh sajalah duduk dalam bilik atau pandai-pandailah bawa diri.

Ini tidak, ke mana artis itu pergi, semua ikut sekali macam rombongan Cik Kiah.
Apabila waktu makan memanglah akan mengundang masalah kerana satu meja penuh dengan artis itu dan anak-anak ikannya saja. Jadi orang lain yang lebih penting dan sepatutnya duduk, terpaksa pula berlegar menjadi tempat lain.

SS nak tanya, adakah artis ini masuk dalam kategori otak dilekatkan pada kepala lutut?

Tak malukah pada keluarga dan masyarakat kerana tidak dapat berenggang dengan anak ikan? Kalau dah sanggup bawa sedozen anak ikan, keluarlah belanja sendiri.
Tak payahlah harapkan penganjur nak bagi mereka makan.

Yang seorang lagi artis ini pun suka mengangkut anak ikan tetapi seorang saja.
Bagaimanapun bezanya setiap kali pergi majlis maka anak ikannya akan bertukar-tukar. Agaknya artis ini jenis yang mudah jemu dan suka tukar menu ikan.

Walaupun dia cuma bawa seorang saja, ia akan tetap ada masalah apabila dia mengharapkan penganjur memberi layanan kelas pertama kepada anak ikannya itu.
Kelas ekonomi tak main OK? Tak melampau ke gitu?

SS: Suka makan ikan talang masin yang dibuat kari.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan