Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Kejutan 8 April

Posted: 09 Apr 2012 07:08 AM PDT

BAGAI menepati ramalan ramai, Aaron Aziz adalah calon paling layak menerima pengiktirafan tertinggi, Bintang Paling Popular 2011 kerana fenomena yang dicetuskan menerusi setiap sentuhannya dalam lapangan seni lakon.

Meskipun sejak awal lagi anak seni berusia 36 tahun ini enggan terus terbuai dengan pandangan dan ramalan teman sekeliling, namun akhirnya tanggal 8 April lalu menjadi saat paling indah dalam kerjaya seninya.

Menyifatkan kemenangannya itu bagai bulan jatuh ke riba kerana mampu membawa mimpinya ke lantai realiti, pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz ini tidak henti mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang setia untuk terus meletakkannya tinggi ke atas tanpa memikirkan soal status mahupun warga negara.

"Alhamdulillah ini adalah hadiah atas kerja keras dan usaha saya selama ini.

Akhirnya keikhlasan saya dalam bekerja hingga menumpang di negara orang berbaloi apabila ia diiktiraf setinggi ini. Saya hanya mampu tersenyum kerana semuanya melangkaui imaginasi saya dan sukar diterima akal.

"Mana tidaknya, saya menerima anugerah tertinggi dan semuanya atas undian daripada peminat. Itu sudah cukup membahagiakan saya kerana punya rasa disayangi dan dihargai. Pastinya budi mereka yang tidak jemu memangkah nama saya akan saya bayar dengan mutu lakonan yang masih gigih diperbaiki dari masa ke semasa.

"Apapun saya tidak sekali terlintas soal popular dan tinggi kerana sepanjang menumpang rezeki di industri seni Malaysia, saya sedar akan saingan dan bakat luar biasa kebanyakan pelakon di sini. Mereka punya pesona dan sudah tentu senario itu menjentik semangat untuk saya semakin berusaha," katanya.

Bertemu dengannya di majlis sidang media sejurus tamat Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 bersama isteri juga pengurusnya, Diyana Halik yang tidak lekang di sisi jelas mencerminkan wajah seronok tidak terkata di sebalik raut wajah kacaknya.

Selama ini Diyana setia berdiri teguh di sisi aktor paling popular itu sepanjang waktu.

Selain dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular mendahului beberapa bintang lain di belakangnya termasuk Fasha Sandha, Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Tasha Shilla, Aaron turut menerima trofi Pelakon Filem Lelaki Popular menewaskan Sam, Remy Ishak, Bront Palarae dan Syamsul Yusof.

Menganggap Sam sebagai calon paling layak selain dirinya, Aaron yang sebelum ini popular menerusi drama siri Rahsia Hati, Cinta Gila, Nora Elena dan Stanza Cinta hanya bersyukur kerana masih ada ruang buatnya memperkenalkan bakat.

"Saya memang terkejut dengan segala kemenangan kerana sejak awal lagi, saya sudah cakap dengan isteri dan teman-teman yang trofi bukanlah satu kemestian atau perkara wajib yang perlu difokus sebaliknya saya hanya ingin meraikan teman-teman dan membantu memeriahkan lagi industri hiburan tempatan.

"Jika tiada rezeki sekalipun, saya akan tetap berlakon kerana memang itu saja yang menjadi sumber pendapatan saya bagi menyara keluarga. Lantas dengan trofi yang kini sudah pun menjadi milik saya adalah bonus untuk memberi kekuatan kepada saya.

"Insya-Allah saya akan terus memberikan yang terbaik dan moga pengiktirafan ini akan memudah saya mendapatkan taraf penduduk tetap untuk keluarga," katanya yang sudah pun menghantar borang permohonan hujung tahun lalu dan kini menanti panggilan mengenai keputusan.

Aaron bagaimanapun meluahkan rasa ralat kerana kemenangannya malam kelmarin tidak dapat disaksikan anak-anaknya.

"Anak semuanya terikat dengan komitmen sekolah dan saya tidak mahu mereka terbabit dalam majlis-majlis sebegini. Lantas saya sedikit terkilan kerana anak-anak tidak berpeluang melihat saya menjulang anugerah kerana mereka adalah pengkritik dan peminat setia saya selama ini," katanya yang sebelum ini pernah membintangi filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur dan KL Gangster.

Selain Aaron, ABPBH2011 turut memperlihatkan beberapa kejutan apabila aktor Fizz Fairuz dipilih Pelakon TV Lelaki Popular buat julung kalinya sekali gus mengenepikan Sam, Aaron, Adi Putra dan Fauzi Nawawi.

Bintang muda Johan Asa'ri dan Tasha Shilla pula dipilih menjadi pemenang bagi kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita selain Zizan Razak memecah monopoli Aznil Nawawi selama sembilan tahun menerusi Pengacara Lelaki Popular.

Pengacara dan pelakon, Didie Alias yang juga menjadi pengacara ABPBH2011 bersama Raja Azura, Sharifah Shahirah dan Zizan buat pertama kali untuk menerima trofi Pelakon Komedi Wanita Popular.

Farah Fauzana masih kekal bersama pengiktirafannya, Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular. Fasha Sandha turut berjaya mengekalkan rekod masing-masing apabila masih relevan memegang trofi Pelakon TV Wanita Popular.

Sempena 25 tahun penganjurannya, ABPBH2011 turut meraikan kategori Seri Perak yang menjadi milik Datuk Siti Nurhaliza.

Keseluruhannya, pentas ABPBH2011 penuh kejutan dan diwarnai wajah segar.




Dee kenali diri sendiri

Posted: 09 Apr 2012 06:57 AM PDT

BUKAN sekali dua dipandang serong tetapi dia tetap cuba bertahan dalam memperjuangkan bakat, mencari rezeki dan demi sebuah kehidupan yang bahagia dilaluinya. Segala kata nista ditelan sebagai sebahagian dugaan hidup seorang manusia bernama Syed Muradzi Syed Shamsul Baharun, 49.

Manusia mudah menjatuhkan hukum hanya melihat apa yang mereka nampak secara lahiriah. Kebetulan penampilan Syed Muradzi atau nama pentasnya, Dee ketika membuat persembahan sering mengenakan busana wanita, menderaskan lagi tafsiran yang menonton.

Bagaimanapun bagi mereka yang mengenali rapat anak kelahiran Perlis ini, Dee tidak seperti yang digambarkan oleh kebanyakan pemerhati seni.

"Orang memang suka membuat hukuman sendiri tetapi bagi saya, kenal diri sendiri terlebih dahulu dan paling penting, keimanan di dalam diri kita dan saya percaya, iman itu yang membuatkan saya insya-Allah mampu berdepan dengan orang ramai.


"Malah saya percaya dengan nawaitu setiap apa yang kita lakukan. Kalau tiada niat yang baik dan tiada keikhlasan, kita tidak akan ke mana, malah ia juga membentuk seseorang manusia sama ada untuk jadi baik atau sebaliknya.


"Saya percaya apa yang selalu mak (Allahyarhamah Sharifah Noor al-Hadi yang baru meninggal dunia 1 April lalu) cakap mengenai mengenali diri sendiri, keikhlasan dan niat yang betul dalam melakukan sebarang kerja demi mencari rezeki yang halal.

"Pernah jiran bertanyakan mak saya: 'Mak Pah tak malu ke anak Mak Pah pakai pompuan (perempuan) dalam televisyen? Bapa dia ulang alik pergi masjid, anak pula jadi lagu tu.' Tapi mak saya jawab: 'Dia pakai pompuan pun dapat duit," kata Dee yang ditemui selepas mengadakan persembahan Minggu Setiausaha Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Jelas Dee, penampilannya sebagai 'wanita' hanyalah sebahagian daripada persembahan dan kebetulan penghibur ini dikenali dengan pelbagai karakter wanita di atas pentas termasuk meniru gaya artis.

"Ia dilakukan secara profesional dan habis persembahan, saya tanggalkan solekan lalu pakai baju-T dan jeans macam lelaki lain.

"Sebab itulah saya katakan, tengok diri dulu, tahu siapa diri kita dan yang penting keluarga tahu apa yang kita lakukan. Jangan peduli sangat apa orang nak kata dan kalau kita goyang dengan kata-kata orang, sudah tentu kita tidak bertahan lama dalam apa kerja sekalipun.

"Secara jujurnya, kita tidak boleh memaksa diri kita membuat kerja yang kita tidak suka dan duit persembahan ini jugalah yang membawa saya ke Makkah dua kali untuk mengerjakan umrah," katanya.

Dalam pada itu, sebagai orang Islam, Dee sedar haram bagi seorang lelaki memakai pakaian wanita tetapi dia hanya tampil sedemikian untuk tempoh 2-3 jam sahaja.

Malah akuinya, hatinya pernah menangis dan rasa bersalah setiap kali menyarungkan busana wanita di badannya. Dia hanya mampu berishtifar sebanyak mungkin dan memohon maaf daripada Tuhan.

Katanya, Tuhan tidak menjatuhkan hukum ke atas makhluk-Nya sesuka hati tetapi menilai hati manusia ciptaan-Nya.

"Dia lebih faham dengan apa yang kita lakukan terutama mencari rezeki.

"Tengoklah sekeliling, kita boleh jadi tok imam, tahfiz, jutawan atau siapa sahaja tetapi untuk dipanggil ke Baitullah, belum tentu lagi. Saya bersyukur kerana Allah memberi peluang itu. Bukan mahu bongkak tetapi ini semua kuasa Allah yang kita tidak tercapai dek akal kita sebagai manusia.

"Sebab itu semua bergantung kepada hati budi. Takkan setiap kali solat, kita perlu memberitahu orang lain. Itu urusan peribadi kita dengan Allah dan saya hanya mampu berdoa kepada-Nya yang terbaik, memohon supaya Dia dijauhkan saya aib dunia akhirat dan kekal di jalan yang benar," katanya yang akan muncul di pentas Minggu Setiausaha Datuk Sheila Majid di Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan