Adsense

Sabtu, 7 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bersikap optimis, pasrah

Posted: 06 Apr 2012 07:15 AM PDT

MEMANDANGKAN tidak mudah bagi menyatukan dua wajah popular ini dalam satu sesi fotografi, peluang bertemu mereka pada Siri Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Pasir Gudang, Johor Bahru, kira-kira dua minggu lalu, tidak dibiarkan begitu saja.

Bukan sekadar ingin berkongsi cerita dan perkembangan, namun melihatkan populariti mahupun pencapaian kedua-duanya sepanjang tahun lalu, tidak mustahil salah seorang dari mereka bakal membawa pulang trofi Bintang Paling Popular, ABPBH2011, malam esok.

Baik Aaron Aziz mahupun pemegang trofi itu tahun lalu, Shaheizy Sam, masing-masing punya pandangan dan perspektif sendiri.

Trofi adalah satu bentuk penghargaan yang akan hanya menyuntik semangat dinamik buat seseorang anak seni untuk memberikan yang lebih baik. Hebatnya, ABPBH adalah anugerah pilihan pembaca atau peminat sendiri dalam membuktikan sokongan mereka terhadap kerjaya seseorang artis yang produktif.


Bagaimanapun jika tiada rezeki untuk memegang trofi kemenangan, ia bukanlah menjadi satu kudis yang mengundang rasa pedih atau putus asa, sebaliknya ia diterjemah menjadi pembakar semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi.


Aaron yang dianggap mencetus fenomena sepanjang tahun lalu sehingga ketika ini, disebut-sebut calon paling layak bagi merangkul gelaran Bintang Paling Popular.

Mengakui ia boleh mengundang 'beban' dan rasa gusar, aktor kacak berusia 36 tahun kelahiran Singapura ini akui rasa terharu apabila dicalonkan dalam anugerah tahunan yang kini mencecah edisi ke-25 itu.

"Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kerana saya terus diterima sebagai calon dalam anugerah besar ini. Bagi saya, pihak penganjur nampak akan kehadiran saya dalam bidang lakonan ini dan memberi ruang sama rata kepada calon-calon lain untuk dipertandingkan.

"Namun saya sedar harapan yang diletakkan ke bahu saya oleh banyak pihak untuk menang apa-apa trofi adalah sesuatu yang berat. Bagi saya, semuanya terletak kepada peminat di luar sana dan terserahlah kepada mereka untuk memilih siapa yang mereka suka.

"Tugas saya adalah untuk terus berlakon dan memberikan yang terbaik. Selama ini saya berhijrah ke Kuala Lumpur semata-mata ingin mencari rezeki dan menunjukkan bakat saya.

Pengiktirafan untuk artis akan datang dengan sendiri dan bukan hak saya untuk meminta.

"Kalah menang, ia tidak akan mengubah niat saya untuk terus berlakon namun saya tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memangkah nama saya," katanya yang sebelum ini membintangi filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah dan filem fenomena Ombak Rindu.

Drama Nora Elena lakonan Aaron tayangan TV3 juga mencatatkan jumlah penonton antara yang tertinggi bagi drama bersiri selain teater lakonannya, Badai Semalam. Teater itu mengukir sejarah tersendiri apabila Istana Budaya (IB) penuh sesak dengan peminat yang ingin menonton.

Kemuncak kerjaya Aaron setakat ini pastinya menerusi filem arahan Osman Ali, Ombak Rindu selain KL Gangster yang meraih kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta.

"Tidak adil memberikan kesemua kredit itu kepada saya sedangkan setiap filem, drama dan teater itu adalah hasil kerjasama ramai pihak di depan dan belakang tabir.

"Kalau bukan kerana skrip yang baik, arahan serta gandingan pelakon-pelakon handalan, belum tentu sesebuah karya itu akan menjadi kegilaan ramai," katanya.

Tambah Aaron, andai rezeki berpihak kepadanya malam esok, trofi itu adalah kemenangan untuk dikongsi bersama peminat.

"Saya rasa Shaheizy Sam ada potensi sangat besar untuk terus memegang trofi itu sekali lagi kerana peminatnya sangat ramai dan kesemua filem lakonannya yang masih membuatkan panggung wayang sesak," ujar Aaron ditemani isteri tersayang yang juga pengurus kerjayanya, Diana Halik.

Dalam suasana riuh-rendah di belakang pentas pada Siri Jelajah ABPBH itu, Shaheizy yang mesra disapa Sam, masih gigih berkongsi perasaannya yang begitu seronok bertemu peminat dalam kembara tahun ini.

Bayangkan, meskipun tahun lalu, dia tidak berkesempatan langsung mengunjungi mana-mana destinasi Siri Jelajah ABPBH kerana terikat dengan jadual penggambaran ketata, namanya dia masih menjadi Bintang Paling Popular.

Lantas jelasnya, tahun ini adalah peluang terbaik untuknya membalas tanda sokongan peminat dan tidak pernah tertekan untuk memikirkan soal menang buat kali kedua.

"Kalau boleh, saya ingin bertemu setiap seorang peminat untuk bersalaman dengan mereka kerana saya masih terharu dan seronok dengan kemenangan tahun lalu. Bayangkan, peminat masih mengundi saya walaupun tidak berpeluang bertemu mereka. Justeru kali ini saya curi peluang untuk hadir ke setiap destinasi siri jelajah ini untuk mendekati peminat dan mengucapkan terima kasih atas sokongan.

"Saya tak pernah langsung terfikir soal nak memancing undi kerana sejak kecil lagi saya sudah berlakon kerana minat dan kesungguhan. Lakonan dan mencuba menghidupkan sesebuah watak dengan sebaik mungkin. Namun setiap trofi itu adalah satu bonus yang membuatkan saya jadi lebih bersemangat.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya terima dengan penuh rasa syukur atas sokongan peminat yang memangkah! Saya sendiri ada gerak hati bahawa Aaron akan menjulang trofi terhebat itu," katanya merendah diri.

Sam mula muncul sebagai pelakon pada usia 13 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa dan kemudiannya membintangi drama popular yang melonjakkan namanya, Pa'e, tiga tahun kemudian.

ABPBH2011 dengan tema 'Larger Than Life' bakal menggegarkan Arena of Stars, Genting Highlands, mulai 9 malam esok, secara langsung melalui TV3 dan Hot FM.




Rosyam ambil tindakan drastik

Posted: 06 Apr 2012 07:04 AM PDT

TINGGAL dua minggu saja lagi, Pilih Kasih musim ketiga (PK3) akan sampai ke kemuncaknya iaitu pada 22 April nanti. Pastinya artis PK3 dalam debaran untuk menantikan keputusan siapakah peserta yang layak ke peringkat akhir program realiti TV itu.

Pengumuman yang mendebarkan itu akan dilakukan Rosyam Nor selaku perintis Pilih Kasih yang diwujudkan bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang lakonan.

Mengimbas dua episod terdahulu di mana tiada sebarang penyingkiran berlaku, namun seorang peserta terpaksa digugurkan dalam rancangan berkenaan iaitu Naqia Nasution ekoran tiada sebarang peningkatan ditunjukkan.

Meskipun pada pementasan minggu ke sembilan PK3, Ahad lalu, persembahan monolog Naqia mendapat pujian namun semua itu disifatkan Rosyam, sudah terlambat.


"Walaupun bukan Naqia yang mendapat undian terendah menerusi undian SMS penonton pada minggu ini tetapi saya terpaksa menyingkirkan Naqia dari PK3 kerana persembahannya tidak banyak menunjukkan peningkatan.


"Sudah dua kali saya memberi amaran kepadanya dan saya perlu bersikap adil kepada artis PK3 lain yang bersungguh-sungguh dalam tugasan mereka. Saya harap Naqia akan berjaya di luar sana," kata Rosyam.

Pada minggu-minggu sebelumnya, Nadia berada pada kedudukan selesa membuatkannya sama sekali tidak menyangka Rosyam akan mengambil tindakan drastik.

"Naqia sepatutnya mengambil berat atas setiap peringatan yang diberikan kepadanya atau pun mungkin dia terlupa yang dalam program realiti seperti itu, apa saja boleh berlaku," katanya.

Tidak hanya Rosyam malah pengkritik tetap PK3, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah sependapat mengatakan bahawa persembahan Naqia malas sehinggakan gadis jelita itu sering menjadi sasaran kemarahan beliau.

Meskipun terdapat sedikit peningkatan minggu lalu tetapi ia masih belum mencapai piawaian jika mahu dibandingkan dengan artis PK3 yang lain. Minggu lalu dua lagi artis PK3 yang menerima undian SMS paling rendah, Theera Alias dan Jalius Jaibin. Bagaimanapun, kedudukan mereka terselamat dengan penyingkiran Naqia.

Tambah Rosyam, jika Naqia menunjukkan peningkatan dalam persembahan pada minggu kedua atau ketiga, nescaya dia akan terus memberi peluang berada dalam PK3.

Theera sangat bernasib baik walaupun persembahan yang menghampakan dan kemerosotannya itu sangat mengejutkan Rosyam, Dr Abu Hassan serta Fauziah Nawi.

"Mereka seolah-olah tidak ada daya imaginasi tinggi dalam usaha untuk memberikan yang terbaik dalam persembahan masing-masing. Mereka tidak boleh hanya membaca skrip tanpa menganalisa jalan cerita dan watak masing-masing serta cuba membayangkan apa lagi yang mereka boleh lakukan untuk lebih menonjol," jelasnya.

Jalius juga terpaksa menerima komen pedas daripada Dr Abu Hassan mengkritik persembahannya malam itu.

Bagaimanapun, pemuda itu tidak patah semangat dan berazam untuk memanfaatkan masa yang singkat untuk memperbaiki mutu persembahannya.

Hatinya terubat dengan kemunculan pelakon pujaan hatinya, Rosnah Mat Aris yang muncul pada saat akhir pementasan teater. Kejutan itu membuatkan Jalius jadi teruja.

Kata Rosyam, mungkin apabila PK3 semakin hampir sampai ke penghujung, Theera dan Jalius berasa tertekan dan sukar untuk memberikan tumpuan.

"Sengaja kami mengadakan kejutan kerana kami faham perasaan artis PK3 yang berhadapan dengan tekanan dan apabila kami mengundang artis yang mereka minati sekurang-kurang dapat mengembalikan semula semangat juang mereka.

"Bukan niat kami untuk mendera atau menjatuhkan hukuman tetapi saya mahu mereka menjadi artis yang lasak dan bersedia berhadapan dengan apa jasa kemungkinan di luar sana," katanya.

Di sebalik kekalutan artis PK3 yang bagaikan hilang fokus, Fareth Agang dan Marina Jose pula menyerlah sehingga persembahan monolog dan teater mendapat pujian.

"Saya nampak kesungguhan dan kebolehan artis PK dalam drama dan juga teater.
Mereka pandai bermain dengan kamera dan membuatkan penonton percaya dengan lakonan mereka. Cuma mereka masih belum mahir menggunakan emosi mereka dalam monolog," kata Fauziah.

Minggu ini, PK3 tidak akan bersiaran untuk memberi laluan kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011). Pementasan PK3 akan ke udara semula pada 15 April sebelum kemuncaknya pada 22 April ini.