Adsense

Isnin, 16 April 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Noh Hujan bakal jadi hero filem kedua Namawee

Posted: 16 Apr 2012 07:42 PM PDT

Buat pertama kali, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh bakal beraksi mempertaruhkan bakat lakonannya menerusi filem kedua pengarah sensasi, Namawee, berjudul Hantu Gangster.

Kata Namawee, dia begitu teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan vokalis tersebut dan menganggap ia satu penghargaan besar buat dirinya kerana sudi menerima tawaran menjayakan filem yang diterbitkan oleh Fred Chong itu.

"Saya selalu kagum dengan kehebatan karya muzik Hujan. Saya percaya, kemunculan Noh pasti ditunggu-tunggu ramai kerana filem ini merupakan penglibatannya yang pertama ke layar perak.

"Menarik lagi, Hujan juga akan tampil dengan sebuah lagu tema Hantu Gangster," katanya.

Filem komedi seram ini mengisahkan tentang tiga kumpulan gengster dari latar belakang budaya yang berbeza, berganding bahu dalam mempertahankan keluarga mereka, melalui bantuan seorang pencuri.

Selain Noh, filem tersebut turut dibintangi oleh Diana Danielle, Farid Kamil, Dato David Arumugam, Datuk Jalaluddin Hassan, Reshmonu, Amber Chia, Taijuddin Bakar, Dennis Lau dan beberapa pelakon tambahan.
----

Dira nafi sakit kerana minum bahan peluntur

Posted: 16 Apr 2012 06:52 PM PDT

KUALA LUMPUR – Satu demi satu kontroversi melanda pelakon dan juga pengacara rancangan hiburan Melodi terbitan stesen penyiaran TV3, Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira dengan yang terbaru, dia didakwa meminum bahan peluntur.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam untuk mengesahkan dakwaan tersebut, pengacara kontroversi itu menafikan bahawa dia kini terlantar di hospital kerana dipercayai meminum bahan berkenaan.
Menurut Dira, 28, dia dimasukkan ke hospital di ibu negara baru-baru ini disebabkan masalah tekanan darah rendah yang dialaminya sejak dari kecil.
"Saya memang dimasukkan ke hospital kelmarin tetapi tidak ada kena mengena dengan minum bahan peluntur sebaliknya disebabkan masalah tekanan darah rendah sejak kecil.
"Saya juga mengalami gastrik namun keadaan saya semakin baik sekarang," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

----

Khairul Fahmi Elak Jadi Artis Walaupun Dapat Tawaran Berlakon

Posted: 16 Apr 2012 06:34 PM PDT

Khairul Fahmi (Apek)
KUALA LUMPUR: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak mahu menyertai bidang hiburan sama ada sebagai pelakon mahupun pengacara walaupun pelbagai tawaran diterimanya.
Apek,23, berkata, dia tidak berminat untuk mendalami bidang tersebut namun tidak kisah seandainya diberi tawaran untuk menjadi model iklan.
"Saya bukannya artis dan tidak mahu jadi artis tetapi cukuplah sebagai seorang selebriti yang dikenali dalam bidang sukan.
"Lagipun ia bukanlah satu bidang yang saya minati melainkan jika saya diminta menjadi model iklan dan terlibat dengan aktiviti peragaan yang mana kerjanya hanya mengambil masa yang tidak terlalu lama," katanya sambil memberitahu pernah ditawarkan berlakon filem.
Tambah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dia tidak mahu gara-gara sibuk dengan kerja-kerja seni, fokusnya terhadap kerjaya sukan pula akan tersasar.
Apek (kiri) menjadi model bersama-sama dengan Liuney (dua dari kanan) bagi produk SimplySiti Eau De Parfum. Foto AZLINA ABDULLAH
Dalam pada itu, ditanya adakah keengganannya menyertai bidang seni hiburan itu disebabkan dia risau muncul pula pelbagai kontroversi lain seperti yang dilaluinya sebelum ini, Khairul Fahmi mengakui tentang hal itu.
"Saya tak mahu hal peribadi menjadi perhatian yang lebih berbanding kerjaya. Oleh itu biarlah fokus saya terhadap sukan sahaja.
"Dan selebihnya, cara untuk mengelakkan kontroversi ialah saya lebih suka duduk di rumah jika ada masa terluang," ujarnya yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan Liga Super.
Kontroversi Apek mula tercetus selepas beliau yang juga penjaga gol terbaik Asia itu putus tunang dengan seorang penulis blog, Aimie Harmelia, apabila dikatakan cintanya sudah beralih kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Dahlia Teck.
Tidak lama kemudian, muncul pula satu lagi khabar angin mengatakan Apek mempunyai cinta baru dengan seorang pemilik butik bernama Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey). Namun wanita itu tampil menafikan ada hubungannya dengan Apek.
Terbaru, Apek dan Leuniey muncul menjadi model bagi iklan produk SimplySiti iaitu Eau De Parfum (EDP) yang baru sahaja dilancarkan.

----

Lisa Surihani dan Yusry Jadi Cikgu Sekolah

Posted: 16 Apr 2012 06:32 PM PDT

Pengalaman sebagai guru sandaran mengajar aktres Lisa Surihani untuk mendidik para pelajar tingkatan 1 Usaha, SMK Pendamaran Jaya bersempena program "Teach for Malaysia" pada Isnin. - Foto oleh AZMAN GHANI
PELABUHAN KLANG: Pelakon Lisa Surihani mengakui kerjaya sebagai guru pada masa kini berdepan dengan cabaran berganda jika dibandingkan dengan pengalamannya yang pernah menjadi seorang guru sandaran, sembilan tahun lepas.
Beliau dan suaminya, penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim merupakan antara selebriti yang dipilih untuk menjayakan program 'Teach For Malaysia (TFM) Week' di mana mereka memainkan peranan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya di sini, Isnin.
Lisa berkata pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.
"Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar.
"Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam program TFM ini," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.
Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam berada di dua buah kelas tingkatan satu di mana Lisa mengajar subjek Geografi manakala Yusry mengajar subjek Bahasa Inggeris.
Lisa dan suaminya Yusry meluangkan masa bersama pelajar Tingkatan 1 Usaha SMK Pendamaran Jaya, Nurul Syafiqah Mohd Nizam (duduk, kanan) dan Kristy Ann.
Selain kedua-dua artis itu, mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM yang bermula hari ini sehingga 20 April ini mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.
Mereka dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan.
Sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo, menjadi pengajar di sekolah berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk kohort barunya bagi 2013. - BERNAMA

----