Adsense

Isnin, 12 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Perjuangan sedekad

Posted: 11 Mar 2012 06:32 AM PDT

LUARANNYA, popular dan megah dalam gelanggang nyanyian Indonesia. Namun, hakikat sebenar tiada siapa tahu perihal enam kepala dalam sebuah kumpulan muzik.

Selepas puas membina nama dan empayar muzik sepanjang sedekad, tidak saja yang manis datang menghimpit, sebaliknya sarat juga episod pahit yang ada kalanya tidak terfikir orang yang memerhati.

Bertemu Giring Ganesha bersama lima lagi temannya, Rama (Muhammad Ramadista Akbar) dan Ariel (Andi Ariel Harsya) di posisi gitar, pemain dramnya, Adrie (Muhammad Adri Prakarsa), Andro atau nama sebenarnya, Muhammad Andro Regantoro (bass) dan si kurus tinggi lampai, Randy (Randy Danistha) juga pemain keyboard, baru-baru ini, nyata membuka ruang membongkar seribu satu peristiwa masam manis yang pernah berlaku di sebalik kemegahan yang ada.

Giring berkata, apa yang istimewanya, perjalanan mereka selama 10 tahun bersama adalah simbolik persahabatan dan kekuatan rasa percaya antara satu sama lain.


Akuinya terbuka, Nidji pernah dilanda kemelut 'Star Syndrome' apabila mereka lupa dunia realiti yang hidup berlandasan populariti yang datang bergolek.


"Awalnya kami hanya ada 50,000 rupiah (RM18) saja dalam poket, namun, sebaik album pertama kami dipasarkan, semuanya berubah. Kami menjadi kaya dan popular dalam sekelip mata. Memang bergoyang iman dan jati diri ketika itu kerana siapa sangka populariti yang ada membuka jalan mudah buat kami semua bagi menikmati erti sebuah kehidupan dengan mudah.

"Bayangkan, semuanya berdepan dugaan masing-masing hingga membuatkan kami lalai dan meletakkan nilai persahabatan itu di belakang. Wanita, alkohol dan bermacam-macam kenakalan seorang lelaki hanya berada di hujung jari. Mujur tidak sekali kami terbabit dalam gejala dadah. Namun, apa yang diinginkan dapat terbentang di depan mata seminit kemudian.

"Lantas semua yang terhidang itu tidak kami sedar yang ia mengundang pergolakan dalam persahabatan kami," katanya yang dipersetujui lima teman yang lain.

Detik penyudah yang hampir menemui jalan buntu, Nidji hampir dibubarkan kerana ketika itu akui Giring, masing-masing hanya membenci dan kekal profesional di depan peminat semata-mata.

"Tatkala mengembara seluruh Indonesia bagi mempromosikan album, tidak siapa sedar yang kami ketika itu sudah berada di fasa putus asa dan hanya ingin menamatkan perjuangan yang kami mulakan bersama. Mana tidaknya, sebulan lebih kami merantau menjelajah lebih tujuh kota, kami tidak langsung bercakap atau berbincang, sebaliknya masing-masing diam dan membenci antara satu sama lain.

"Sibuk menyalahkan orang lain dan menuding jari antara satu sama lain, kami ketika itu tidak lagi punya persefahaman dan lupa akan janji awal ketika mula-mula membina nama Nidji dulu. Mujur ketika salah seorang kami ke depan dan bersuara ingin menarik diri, yang lain cepat membantah dan mula mengingatkan kembali persahabatan yang sudah mula pudar.

"Kami duduk semula, berbincang dan meluahkan apa yang terpendam. Lirik dan melodi lagu Arti Sahabat juga dicipta bagi menceritakan keadaan yang kami lalui sepanjang mempertaruhkan persahabatan semata-mata demi kemewahan yang kami miliki ketika itu. Itulah 'star sindrom' yang kami alami hingga Nidji hampir hanyut hilang," katanya yang mengusik, Randy menangis ketika diperdengarkan lagu Arti Sahabat pada awalnya.

Kumpulan yang mengangkat genre moden rock dengan sentuhan brit-pop, alternatif dan progresif eksperimen pelbagai jalur melodi ini mencari jalan untuk kembali mengikat tali persahabatan yang ada antara mereka.

Janjinya, Nidji adalah mereka enam sahabat yang kreatif dan pemuzik yang inginkan perjuangan berterusan. Jika ada yang mengalah dan ingin mengundurkan diri, maka terhentilah nama Nidji itu.

Sedekad berdiri, Nidji sudahpun menghasilkan tiga album studio, Breakthru' pada 2006 yang ketika itu popular dengan lagu Sudah, Hapus Aku, Heaven dan Disco Lazy Time. Setahun kemudian, album Top Up menyusur dengan mempertaruhkan Biarlah, Shadow, Pulang dan Arti Sahabat.

Album ketiga Nidji adalah Let's Play yang diterbitkan pada 2009 dengan menampilkan lagu popular termasuk Sang Mantan, KuTakkan Bisa, Dosakah Aku dan Let's Play.

Kini bagi meraikan sedekad dalam industri, Nidji sedia melancarkan dua album terbarunya, Liberty juga album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu dan album Victory bagi pasaran antarabangsa.

Kata Giring, album Breakthru' adalah semangat Nidji, Top Up adalah pembuktian Nidji, Let's Play adalah cubaan Nidji dan Liberty serta Victory adalah tujuan Nidji.

"Liberty dan Victory adalah satu projek luar biasa kami yang proses rakamannya mengambil masa sembilan bulan dan setiap satu aspek pembikinannya kami lakukan bersama dengan teliti. Proses pembikinannya kami lakukan menerusi proses kuarantin iaitu kami menyewa sebuah villa di kawasan Cisarua Puncak, Bandung selama seminggu.

"Objektifnya adalah kami ingin lebih fokus, jauh daripada keramaian, tidak ada gangguan dan dapat menghasilkan karya yang berbeza. Syukur usaha itu memberikan kami idea dan kreativiti yang jauh lebih kemas apabila berjaya menghasilkan 17 lagu selain merapatkan lagi hubungan sedia ada," kata Giring.

Selain itu, kata Giring lagi, mereka juga berusaha memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat sempena menghargai sokongan mereka selama ini.

"Kami bertuah kerana punya peminat yang tidak henti-henti menyokong.
Nidjiholic umpamanya begitu komited dalam memberikan kami semangat tanpa henti.

"Kami merancang ingin mengadakan konsert besar di Indonesia, Singapura, Malaysia dan brunei jika ada kesempatan dan pihak yang ingin menaja," katanya yang menghiburkan peminat malam tadi di Konsert Rock & Stars 2012 anjuran Universal Music Malaysia bersama 3 lagi kumpulan iaitu Geisha, D'Masiv dan Astrid.

Giring lekas rindu

MELIHAT pada karakter dan personaliti si pemilik wajah kacak ini, tiada siapa menduga Giring sebenarnya seorang bapa yang cepat rindu dan sering dilanda rasa sunyi jika tiada anak-anak kesayangan dan isterinya di sisi.

Namun, akur akan tanggungjawab dan tuntutan kerja, vokalis berusia 28 tahun yang dilahirkan di kota Jakarta ini terpaksa menahan perasaannya dan mencari alternatif lain bagi melepaskan rasa rindunya itu.

Berkahwin dengan wanita bertuah, Cynthia Riza yang sudahpun mempunyai seorang anak ketika itu, Zidane yang kini berusia tujuh tahun, Oktober dua tahun lalu, Giring dikurniakan anak kandungnya sendiri, Aisyah yang sudahpun berusia setahun tiga bulan.

Katanya, kedua-dua anak kesayangannya itu adalah inspirasi yang terus menyuntik semangat dan ilham buatnya.

"Percaya atau tidak, saya sentiasa rindu pada mereka. Walaupun keluar untuk bekerja sebentar, perasaan itu akan datang untuk duduk bermain dengan mereka.
Aisyah umpamanya begitu akrab dengan saya dan Zidane pula adalah teman saya untuk bermain permainan video.

"Mungkin ini dikatakan pengalaman baru buat saya. Benarlah kata teman-teman dulu, status sebagai seorang ayah memang akan membuka satu perspektif yang berlainan dalam diri. Justeru, saya merasai apa yang dikatakan sebelum ini.

"Bayangkan, baru saja tiga hari di Malaysia, saya tidak lupa untuk menghubungi mereka dan membuat panggilan video untuk melihat wajah mereka berdua. Walaupun sibuk dengan kerja dan tanggungjawab bersama Nidji, saya tetap tidak lupa dengan komitmen sebagai bapa," katanya.

Ditanya perancangan dan percaturan masa depannya bersama keluarga dan anak-anak, kata Giring yang menyifatkan Cynthia seorang wanita yang penuh sifat sabar dan penyayang, dia hanya ingin meletakkan sepenuh fokus dalam membahagiakan mereka.

"Saya belum terfikir soal menambah cahaya mata lagi kerana tidak mahu terlalu terburu-buru hingga apa yang ada sekarang tercicir. Cukuplah dua anak setakat ini dan saya ingin sekali melihat mereka membesar depan mata. Ada kalanya, memang saya bimbang dengan jadual kerja yang terlalu padat kerana risau tidak berpeluang melihat mereka membesar.

"Namun, mujur Nidji adalah sahabat yang sentiasa faham dengan situasi
saya. Saya tetap punya masa untuk berlari ke rumah bertemu anak-anak dan meluangkan masa untuk membawa mereka berjalan seperti kanak-kanak lain," katanya.

Giring turut mengabadikan sebuah lagu istimewa buat Aisyah berjudul Lagu Cinta.



Tak ikut format RL terdahulu

Posted: 11 Mar 2012 05:50 AM PDT

NAMPAK seakan-akan elemen kejutan apabila empat finalis yang berentap pada separuh akhir Raja Lawak 6 Jumaat lalu di Studio 1, Astro, berjaya melayakkan diri ke pentas akhir. Bagaimanapun, kata Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, ia sebenarnya format yang ditetapkan dalam Raja Lawak (RL) musim ini.

Dengan persaingan sengit dan kekuatan persembahan masing-masing bertemakan Zaman Kanak-Kanak dan Kalau Aku, 2Yol, Cuit, Shiro dan Zero akhirnya menarik nafas lega apabila terpilih untuk bersaing di pentas akhir pada 16 Mac ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi merebut gelaran Raja Lawak 6.

"Bukan gimik sebab kami memang nak ambil empat peserta untuk pentas akhir. Kami memang tak ikut format RL musim terdahulu. Dari awal lagi, kami sudah beritahu akan buat perubahan untuk menjadikan musim kali ini lebih menarik. Ia turut merangkumi set pentas yang lebih dekat dengan RL serta format penyingkiran yang berbeza.

"Kalau dilihat, musim sebelumnya hanya ada tiga finalis. Tapi, kali ini kami ada empat peserta dan perkara yang perlu dijaga ialah masa. Untuk itu, pentas akhir akan berlangsung selama dua jam manakala barisan jurinya masih dikekalkan. Ada beberapa elemen menarik bakal ditampilkan nanti.


"Mengenai hadiah pula, kami tetap akan berikan sejumlah wang tunai, namun jumlahnya belum boleh didedahkan kerana ada beberapa pihak yang sudi menaja, tapi belum ada kata putus," katanya selepas program berakhir.


Nizam juga mengakui berpuashati dengan kualiti lawak yang diperlihatkan peserta. Apatah lagi, gaya komedi masing-masing berbeza antara satu sama lain.
Bagaimanapun, dia akur sesetengah mereka ada cerita yang nak diketengahkan, malangnya tiada 'punchline' untuk menggeletek hati penonton.

"Mungkin mereka penat dengan situasi yang dihadapi sehinggakan ketandusan idea untuk berlawak. Untuk final, mereka tetap kena ikut tema yang ditetapkan termasuk muzikal yang boleh menghidupkan sesebuah persembahan. Tema muzikal dan silent komedi agak susah dibawakan dan di sinilah kemampuan peserta akan teruji," katanya yang gembira dengan kemampuan Zero memikat penonton malam itu.

Sememangnya, Shiro menjadi pilihan peminat untuk RL musim ini. Bagaimanapun, persembahan mereka agak sederhana pada malam itu sehinggakan teruk mereka ditegur pengkritik, Sheila Rusly. Bagaimanapun, persembahan konsisten sebelum ini berjaya meletakkan Shiro mengutip undian sebanyak 31.3 peratus, Zero (27.6), Cuit (21) dan 2Yol (20).

Konsep baru RL ternyata menyebelahi 2Yol yang sepatutnya sudah melupakan pentas akhir Raja Lawak 6 kerana memperoleh undian paling rendah. Kumpulan yang dianggotai Azlan Abdullah, 40 dan Rohaizat Samin, 35 ini mengakui bersyukur kerana tidak menyangka akan sampai ke final.

"Sebelum ini, kami tak terfikir langsung mampu bersaing hingga final.
Syukurlah akhirnya orang nampak juga bakat kami. Sebenarnya sejak Raja Lawak 2 lagi saya dah mencuba. Saya hanya jumpa Rohaizat pada Raja Lawak 4 sebelum bergabung dengannya. Saya tak pernah putus asa menyertai uji bakat di Johor Bahru, Pahang dan Kuala Lumpur," Kata Azlan yang menjadi peserta paling tua.

Menyifatkan tekanan yang dihadapi pada minggu pertama membuatkan mereka hampir menyerah kalah, 2Yol mengakui didikan daripada Chief Kecil dan Chief Besar banyak membantu mereka mendapatkan karakter sebenar dalam berlawak.

"Setiap minggu kami risau untuk berdepan dengan penonton. Macam tema minggu ini, nampak seperti senang, tetapi susah untuk dipentaskan. Alhamdulillah dengan ilmu yang diberikan mereka, kami dapat mementaskan tugasan dengan jaya," kata mereka yang berasal dari Johor.

Sementara itu, Ahmad Idham yang bertindak sebagai Chief Besar mengaku tidak mengetahui kejutan yang dilakukan. Dia juga tidak ingin ambil tahu apa strategi Astro kerana yang penting ialah ilmu yang diberikannya kepada peserta kerana apa yang dibawakan itu turut membawa imejnya sebagai pengajar.

"Saya tak kisah empat mereka terpilih ke final pun kerana ia lebih memberikan persaingan buat mereka. Ia dapat menimbulkan semangat berlawan sesama sendiri.

Kalau ada hanya tiga peserta, mereka tak bersungguh-sungguh sangat kerana anggap semuanya akan beroleh hadiah. Selepas sembilan minggu, saya nampak kekuatan mereka dan berharap mereka dapat tampilkan yang lebih baik pada final nanti," katanya.