Adsense

Jumaat, 2 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Manisnya bergelar paling popular

Posted: 01 Mar 2012 02:32 PM PST

Hip

KEMANISAN menjulang trofi Bintang Paling Popular masih segar dalam sanubari pemenangnya sehingga ke hari ini.

Meskipun detik itu sudah lama berlalu buat Datuk M Nasir yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular pada 1994, diikuti penyanyi Ziana Zain setahun kemudian, namun hingga kini kedua-duanya masih mengingati saat indah itu.

Bagi generasi baru seperti Nabil yang memenanginya pada ABPBH2008 iaitu hanya selepas lapan bulan melangkah ke dunia seni, dan Shaheizy Sam pada 2010, mereka menganggap detik terindah itu sukar berulang kembali. M Nasir berkata, saat namanya diumumkan Bintang Paling Popular, beliau tidak tahu apa yang harus dilakukan. Perasaannya bercampurbaur. Malam itu, saya turut menyanyi.

Tapi saat nama diumumkan, saya tidak mampu berkata-kata. Rasa seperti tidak percaya. Mungkin ketika itu peminat memilih saya kerana album Mentera Semerah Padi baru saja keluar. Tapi saya tak sangka orang suka lagu dalam album itu sehingga dijadikan sebagai rujukan, katanya.

Empat bintang ini ditemui ketika hadir ke majlis meraikan calon Anugerah Seri Perak sempena ABPBH ke-25, anjuran Rafflesia Mandalay, di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, malam kelmarin.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Pengarah Urusan Jewellery Circle, Winnie Sin; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan, Hanizam Abdullah; Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011, Zainuri Misfar dan Pengarang Bintang Popular Berita Minggu, Akmal Abdullah.
Ziana pula tidak menyangka pada malam kemuncak ABPBH1995, beliau menyapu bersih kategori membabitkan dirinya. Selepas menang dua kategori iaitu Penghibur TV Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, beliau tidak menaruh apa-apa harapan lagi.

Namun, Ziana terkejut apabila diumumkan Artis Paling Popular, lalu sebelum menaiki pentas, dia mencubitcubit pipi kanan dan kiri untuk memastikan ia bukan mimpi.

Saya memang tidak terfikir membolot semua kategori pada malam itu. Anugerah itu penghormatan besar buat saya. Saya memang sangat berterima kasih kepada peminat tegar yang terus menyokong saya sehingga kini.

Sementara itu, Nabil akui, kesilapan diri kerana terlalu leka dengan populariti menjerat dirinya sendiri. Kontroversi demi kontroversi dicetuskan hanya menjejaskan kerjaya yang sedang mekar ketika itu.

Siapa yang tidak bangga dan gembira walaupun baru beberapa bulan terjun ke dunia seni, sudah berpeluang menggenggam trofi idaman ramai itu. Perasaan pada waktu itu memang sukar digambarkan, tetapi ia datang bersama tekanan kerana peminat tentunya mengharap saya akan tampil dengan lawak lebih baik lagi, katanya yang turut memenangi kategori Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.

Sam pula yang hanya berjaya menyandang gelaran berkenaan setelah 17 tahun bergelumang dalam industri seni, tidak pernah terkilan mahupun meletak harapan untuk berada di tangga tertinggi seperti ini.

Katanya, jika meletakkan harapan, ia bermakna dirinya memang terlalu idamkan gelaran berkenaan sedangkan dia hadir ke dalam dunia lakonan didorong minat dan mahu mencari rezeki.

Kemenangan itu umpama hadiah hari jadi. Kalau orang beri, kita terima, tapi jika orang tak mahu lagi berikan kepada saya tahun ini, saya tidak boleh berkata apa.

Sebagai tanda terima kasih untuk peminat yang bersusah payah mengundi, membeli tiket wayang untuk melihat lakonan saya, saya sedaya upaya meluangkan masa mengikuti siri jelajah ABPBH untuk bertemu mereka, tahun ini," katanya.