Adsense

Isnin, 20 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kak Engku temui kekuatan

Posted: 19 Feb 2012 06:37 AM PST

TIADA lagi air mata yang tumpah apabila dirinya diasak cerita perceraian yang memeritkan dengan bekas suaminya yang sudah pun menjadi sejarah. Bukan saja tenang dan matang menyusun kata-kata, setiap pertanyaan diajukan pihak media dijawab pengacara popular dan penyampai Sinar FM, Raja Azura tanpa berselindung.

Ternyata, pemilik nama sebenar, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin, 40 dan ibu kepada tiga anak yang lebih mesra disapa Kak Engku ini sudah bangkit semula untuk membina kehidupan baru bersama anak-anaknya yang semakin membesar itu. Di mana agaknya Raja Azura mendapat kekuatan itu?

"Bukan melarikan diri atau bersembunyi dari pihak media, sebaliknya saya menyepi selama setahun empat bulan dari sebarang publisiti kerana ingin muhasabah diri dan mencari kekuatan untuk berdepan dengan semua ini.

"Saya mendapat kekuatan ini kerana cinta saya pada anak-anak. Saya reda dengan ujian ini kerana percaya Allah beri ujian yang berat itu kerana dia sayangkan hamba-Nya yang lemah ini," katanya.


Secara peribadi, Raja Azura mengakui dia sudah dapat menerima hakikat perceraian yang berlaku itu.


"Sampai masanya, saya lupakan kisah silam itu untuk memberi fokus pada karier dan anak-anak. Saya ingin pastikan, mereka mendapat pendidikan sempurna dan kasih sayang secukupnya daripada saya sebagai ibu mereka. Saya tidak mahu anak-anak berasa terabai bila kami bercerai dan menjadi mangsa dengan apa yang berlaku," katanya.

Bagaimanapun, kata Raja Azura, dia dan bekas suaminya, Adzmin Osman tetap berkawan baik sampai sekarang.

"Mungkin orang tak percaya, kerana rapatnya hubungan kami, kalau kami keluar bersama anak-anak, ada kalanya dia terpegang tangan saya dan terlupa kami sudah bercerai. Maklumlah, ketika kami masih suami isteri dulu, kami memang selalu keluar sambil berpegangan tangan depan anak-anak.

"Terus terang, tiada siapa pun yang dapat memisahkan kasih sayang sejati kami yang ikhlas daripada hati itu. Datanglah ujian sebanyak manapun, kasih sayang itu tidak pernah pudar sampai bila-bila pun.

"Sampai sekarang, saya masih solo dan tiada lagi pengganti. Bekas suami pula saya tak tahu sama ada dia sudah berkahwin lagi atau sebaliknya," katanya.

Raja Azura juga bersyukur kerana sebagai bapa, Adzmin seorang yang bertanggungjawab dan tidak mengabaikan nafkah anak-anaknya.

"Hubungan Adzmin dengan anak-anaknya cukup rapat. Selepas bercerai, kami buat hak penjagaan anak-anak bersama dan dia memang berjumpa dengan anak-anaknya dua minggu sekali.

"Saya bertuah kerana Adzmin adalah bapa yang baik dan bertanggungjawab, dia juga pastikan keperluan anak-anaknya mencukupi dari segi pendidikan dan keperluan lain. Malah, saya masih merahsiakan perceraian kami dari anak-anak kerana tidak mahu emosi mereka terganggu," katanya.

Ditanya sama ada dia merancang untuk rujuk semula dengan bekas suami, Raja Azura yang tampil langsing dengan berat badan 50 kilogram hanya menyerahkan pada ketentuan Tuhan.

"Memang, bekas suami ingin rujuk tetapi saya pula yang belum bersedia lagi. Bagi saya, kalau nak rujuk balik, saya pastikan sejarah hitam itu tidak ada lagi. Hari ini, kami berdua dalam proses untuk betulkan kesilapan masing-masing.

"Kalau mula-mula kami bercerai dulu, memang saya ada menaruh harapan untuk rujuk tapi sekarang, kalau ada jodoh, adalah. Saya juga bahagia dengan kehidupan solo bersama anak-anak," kata duta Keep Slim ini.

Hasil perkongsian hidup dengan anak bekas Menteri Besar Kedah, Adzmin Tan Sri Osman Arof, 39, pada Mac 2001, pasangan ini dikurniakan tiga anak - Megat Muhammad Raziq, 10, Megat Luqman Hakim, 9, dan Puteri Mia Maizurah, 7. Mereka bercerai talak satu tanggal 29 September 2010.

Raja Azura nak bersara dari ABPBH?

SEPANJANG berkecimpung dalam bidang seni, Raja Azura sudah dicalon dalam kategori Penyampai TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular untuk tahun kelapan, sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak 1993.

"Saya bersyukur dengan pencalonan tahun ini kerana ia memang rezeki anak-anak kami. ABPBH juga sudah menjadi darah daging saya, sejak dulu.

"Pencalonan di ABPBH 2011 kali ini juga membuktikan saya masih dihargai peminat dan mereka masih menyokong sampai hari ini. Saya juga bersyukur kerana dilahirkan dengan bakat luar biasa yang ada.

"Selain itu, saya pernah dicalonkan dalam pelbagai kategori sama ada artis, pengacara TV dan penyampai radio di ABPBH sebelum ini. Justeru, saya merancang nak bersara dari pencalonan tahun ke 11, ABPBH pada masa akan datang," katanya.

Lebih memberangsangkan, Raja Azura, masih diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara ABPBH sampailah sekarang.

"Saya seronok menjadi pengacara di ABPBH saban tahun kerana dapat berjumpa dengan rakan artis seperjuangan. Hanya saya yang masih bertahan sebagai pengacara ABPBH berbanding rakan seangkatan lain.

"Apapun, saya akan mengendalikan ABPBH 2011 mengikut cara sendiri," katanya yang bakal bergandingan dengan Sharifah Shahira, Didie Alias dan Zizan Razak pada malam gilang gemilang itu nanti.

Tidak ketinggalan, dia juga menjadi pengacara program Tiada Lama Tiada Baru dan Kilauan Emas untuk saluran RTM.



Sejarah 26 tahun

Posted: 19 Feb 2012 06:25 AM PST

KEJAYAAN acara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) mencatat rating 6.5 juta memberi kebanggaan pada pihak produksi TV3 yang bertungkus-lumus memastikan perjalanannya sempurna.

Penonton lazim melihat persembahan penyanyi yang bertanding tetapi cerita belakang tabir pula, ramai kru memerah keringat siang dan malam membuat persiapan acara ini menampilkan tema air memenuhi matlamat dirancang.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, mengakui kejayaan AJL26 mencatat rating paling tinggi dalam sejarah penganjuran pertandingan nyanyian itu menjadi pencapaian terbaik produksi TV3. Sepanjang 26 kali dianjurkan, pencapaian tertinggi yang pernah diperoleh sebelum ini ialah dua tahun lalu sebanyak 4.9 juta.

"Mungkin faktor lagu yang bagus dan penyanyi yang bertanding menjadikan AJL26 ditonton ramai. Apa yang jelas, kualiti program ini turut meningkat berbanding tahun lalu.


"Kehadiran bakat baru seperti Najwa Latiff juga menyaksikan ramai peminatnya hadir. Seharusnya, pencapaian terbaik ini memberi cabaran pada produksi TV3 untuk melakukan perkara yang lebih baik pada masa akan datang.


"Saya sendiri puas hati dengan perjalanan acara ini dan tidak kira mana-mana program stesen TV sekalipun, apa yang penting acara seperti ini menjadi platform untuk artis kita bertanding," katanya ketika ditemui pada acara Penghargaan dan Penyampaian Cek Pemenang AJL26 di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Di sebalik kemeriahan AJL26 yang diraikan, acara pada petang itu pula suram apabila ketiadaan majoriti artis yang menang sepatutnya hadir menerima habuan masing-masing.

Hanya kelihatan, pencipta lagu Awan Nano nyanyian Hafiz yang dijulang Juara AJL26, Datuk M Nasir bersama penulis lirik Buddhi Hekayat, Datuk Ramli MS yang bertindak pengarah muzik dan pemenang Persembahan Terbaik, Alyah.

Ahmad Izham menjelaskan, ramai pemenang tidak hadir kerana terbabit dengan komitmen seperti persembahan. Walaupun acara itu sudah dimaklumkan awal tetapi situasi itu jarang berlaku pada acara tahun sebelumnya.

Bagi Alyah, dia merancang berkongsi wang kemenangan yang diterima bersama peminat pada majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan di Gelang Patah, Johor pada 27 Februari ini.

"Majlis ini untuk peminat yang banyak menyokong saya selama ini. Saya sebenarnya suka mencuba untuk memberi peningkatan pada karier tetapi melihat pada respon peminat, mereka suka saya menyanyikan lagu berkonsepkan balada.

"AJL26 memberikan impak pada diri saya untuk kumpul duit dan mencari peluang menghasilkan album baru. Mungkin selepas Aidilfitri, saya akan tampil dengan album penuh.

"Album ini diberi judul Kisah Alyah yang menggambarkan kisah perjalanan hidup saya selama ini. Beberapa 'single' yang sudah dinyanyikan akan dimuatkan dalam album ini termasuk lagu Kau Bisu dan Realiti diberi susunan muzik baru," katanya.

Merujuk album memuatkan 10 lagu ini, Alyah bekerjasama dengan Yassin, Azlan Abu Hassan, Manusia Putih, Awi Rafael dan Tam Spider. Memberi tarikan, Alyah juga akan menyelitkan lagu bahasa Inggeris yang pernah dinyanyikannya, Happiness Eve.

Mengenai pemilihan lagu, Alyah akui dia cerewet dalam mencari lagu yang memberi kepuasan pada diri. Seperti lagu popular Tak Mungkin Kerna Sayang, dia merakam sebanyak enam kali untuk puas hati.

"Saya potretkan kehidupan saya dalam penerbitan album baru kali ini. Merujuk AJL26, ia menjadi platform untuk saya tunjuk sesuatu dalam diri saya sebagai penyanyi. Alhamdulillah, permintaan dan tawaran mengadakan persembahan pentas untuk saya bertambah sejak menang AJL26.

"Buat masa ini, saya juga masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk persembahan Minggu Setiausaha," katanya sambil menyimpan impian menjemput Ramli MS bekerjasama penerbitan album barunya.