Adsense

Ahad, 4 Disember 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Belum kibar bendera putih

Posted:

Belum kibar bendera putih

Belum kibar bendera putih

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.myMnr>Gambar FATAH SULAIMAN dan ihsan TAYANGAN UNGGUL


MESRA... Misteri Jalan Lama menyaksikan Hans Isaac kembali membintangi filem arahan Afdlin Shauki untuk kali kelima.


MELIHAT kesibukannya sebagai seorang penerbit, pasti membuatkan ramai menyangka pelakon kacak ini sudah mengibarkan bendera putih daripada dunia lakonan.

Apatah lagi wajahnya yang semakin jarang menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak.

Namun, kata Hans Isaac, dia tidak pernah bersara sebagai seorang pelakon. Sebaliknya, Hans memberitahu soal populariti bukan lagi menjadi agenda utamanya dalam dunia seni.

Sementelah sudah hampir dua dekad mengecapi kejayaan sebagai seorang anak seni, maka, Hans tidak mahu lagi semberono dalam soal lakonan.

Mengakui bahawa sebagai seorang pelakon Hans begitu sukar untuk mendapat kepuasan tetapi katanya, jika membintangi sesebuah karya itu, dia mahu ia meninggalkan impak baik kepada dirinya mahupun penonton.

"Populariti dan glamor sudah lama saya kecapi dan lalui. Atas alasan itu, saya mahu mencari sesuatu yang dapat memberikan kepuasan dalam kerjaya saya.

"Bukan bermakna saya sibuk sebagai seorang penerbit dan pengarah, saya sudah melupakan dunia lakonan. Saya masih lagi berlakon tetapi saya mahu mencari naskhah yang bagus dan berkualiti sekali gus dapat mencabar saya sebagai aktor.

"Saya harus akui, dalam soal lakonan, saya sudah menjadi semakin memilih dan hanya memilih watak serta skrip yang saya rasakan dapat mengubah dimensi lakonan saya," ujar Hans tanpa selindung sewaktu ditemui di pejabatnya, Tall Order Productions yang terletak di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Begitu juga dengan filem terbarunya, Misteri Jalan Lama (MJL) yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam di mana Hans memberitahu ia telah mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Diarahkan oleh sahabat karibnya, Afdlin Shauki, Hans menyifatkan MJL sebagai sebuah filem yang lari daripada norma filem arahan Afdlin yang sebelum ini cukup sinonim dengan genre komedi.

Emosi

Membawakan watak Indra, Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac menjelaskan watak tersebut memerlukannya bermain dengan emosi dalaman.

"Dari segi lahiriah, Indra seorang yang serius dan tegas. Tetapi, sepanjang perjalanan filem ini, penonton akan dapat melihat bagaimana Indra sebenarnya mempunyai jiwa yang sangat sensitif.

"Dia tidak akan menunjukkan apa yang dialaminya kepada sesiapa pun termasuk adiknya, Ilya (lakonan Que Haidar). Tetapi, apabila Ilya harus kembali ke dunia asalnya, ketika itulah, hati Indra terusik dan dia akan melakukan apa sahaja untuk Ilya.

"Kalau dari segi fizikal, sudah pasti ia juga ada cabaran sendiri dan soal itu, bukanlah satu masalah buat saya. Untuk menghidupkan watak Indra itu, saya sanggup tidak bercukur beberapa bulan untuk mendapatkan jambang walaupun pihak produksi mahu menggunakan yang palsu.

"Dalam masa yang sama juga, saya mengharapkan dengan kelahiran MJL ini juga dapat mengubat kerinduan peminat yang mungkin menunggu kemunculan saya di layar perak," jelas Hans yang kali terakhir muncul dengan filem Los dan Faun pada tahun 2008.

Selain Hans dan Que, MJL turut dibintangi Vanidah Imran, Marion Caunter, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Sabrina Hassan, Namron, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.

Bercerita lanjut tentang lakonannya bersama Que, Hans yang mula dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 1995 itu memberitahu dia tidak mempunyai masalah berlakon dengan aktor berbakat besar itu.

Malah, katanya sewaktu penggambaran, semuanya berjalan lancar dan baik dirinya mahupun Que, semuanya dapat memberikan lakonan yang terbaik seperti mana dimahukan Afdlin.

Berkawan dengan Neelofa

Bertemu dengan Hans, peluang itu juga diambil untuk bertanyakan sejauh manakah hubungannya dengan aktres baru yang semakin meningkat naik, Noor Neelofa Mohd. Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa.

Hans dan Neelofa dikatakan mempunyai hubungan istimewa lantaran kedua-dua membintangi filem Lemak Kampung Santan yang merupakan filem kedua arahan Hans selepas Cuci.

Adakah satu suratan atau kebetulan untuk Hans yang sering kali dikaitkan dengan aktres yang bergandingan dengannya dalam mana-mana filem mahupun drama sebelum ini.

Bercerita lanjut tentang Neelofa, Hans yang pernah memenangi trofi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) bagi filem Cuci ini mengakui dia kini sedang berkawan dengan aktres berusia 22 tahun itu walaupun sudah habis penggambaran.

"Saya selesa berkawan dengan dia. Bagi saya, Neelofa seorang yang bijak, berbudi bahasa dan pandai menjaga diri. Dia pun banyak bertanyakan kepada saya tentang selok-belok dunia seni.

"Sebagai kawan, tidak salah untuk saya membantu apa yang patut kerana dia masih lagi baru dalam dunia seni. Buat masa ini pun, saya tidak ada masa untuk memikirkan soal cinta.

"Mana-mana wanita yang mahu berpacaran dengan saya perlu faham dengan komitmen dan kesibukan saya.

"Seperti mana bekas teman wanita saya sebelum ini yang merungut kerana katanya, untuk bertemu dengan saya untuk makan malam selama dua jam pun, perlu membuat temu janji dua minggu lebih awal," cerita Hans dalam nada berseloroh.

Sibuk sehingga 2013

Dengan tirai 2011 akan berlabuh tidak lama lagi, Hans sudah mengatur pelbagai agenda seni sehingga tahun 2013.

Sebelum itu, Hans menjelaskan dia akan menghabiskan masa hampir seminggu di Bangkok, Thailand bersama ibunya bagi meraikan sambutan Krismas di rumah abangnya di sana.

Kemudian, Hans akan sibuk dengan penerbitan konsert Raja dan Ratu Rock yang menampilkan Awie dan Ella di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Januari depan.

"Untuk tahun 2012, saya akan kembali mementaskan musim terakhir Cuci the Musical dengan beberapa perubahan dan kejutan baru selain musim kedua Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal.

"Dalam masa yang sama juga, saya akan mengadaptasi kisah hidup Lat ke layar perak dan akan menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun depan.

"Bagi tahun 2013 pula, saya akan mementaskan Rajang the Musical yang boleh saya katakan memberi satu dimensi baru kepada pementasan teater muzikal di negara ini," jelas Hans penuh teruja.

Dalam masa yang sama Hans turut mengkhabarkan bahawa dia kini sudah mula sibuk memenuhi persembahan pentas bersama Afdlin, Nabil Ahmad dan Awie.

"Baru saya tahu bagaimana hendak mencari duit poket dengan mudah," katanya dalam derai tawa.

Full content generated by Get Full RSS.

Benarkah Adele ‘dirompak’?

Posted:

Benarkah Adele 'dirompak'?

Benarkah Adele 'dirompak'?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

SEDARI awal lagi, nama penyanyi yang berasal dari Tottenham, England ini disebut-sebut dan berpotensi besar untuk mendominasi senarai pencalonan akhir Anugerah Grammy Ke-54.

Apatah lagi dengan kejayaan album keduanya, 21 yang merupakan album terlaris dengan penjualan melebihi empat juta salinan di Amerika Syarikat.

Ternyata ramalan itu benar belaka apabila Adele menerima enam pencalonan termasuk tiga kategori utama iaitu Rakaman, Lagu dan Album Terbaik sewaktu pengumuman pada 30 November lalu.

Dengan tercalon dalam tiga kategori utama dalam Anugerah Grammy itu, Adele sememangnya kini merupakan calon utama untuk menang besar pada malam itu nanti.

Menerusi lagu popularnya, Rolling In The Deep, Adele dicalonkan untuk Rakaman dan Lagu Terbaik sementara album 21 pula bakal bersaing hebat dengan empat calon lain bagi merebut gelaran Album Terbaik.

Namun, persoalan yang timbul apabila ada pihak yang seolah-olah merasakan Adele bagaikan 'dirompak' apabila hanya menerima enam pencalonan walhal sebenarnya dia mampu meraih lebih banyak pencalonan.

Ini berbeza dengan penyanyi rap, Kanye West yang mengungguli senarai pencalonan kali ini apabila menerima tujuh pencalonan tetapi tidak untuk kategori Album dan Rakaman Terbaik.

Ada yang merasakan lagu-lagu di dalam album 21 tidak dipromosikan sebaiknya dan hanya menumpukan kepada Rolling In The Deep sebagai satu-satunya umpan untuk pencalonan Grammy kali ini.

"Jika diperhatikan, genre yang diketengahkan oleh Adele menerusi 21 hanyalah pop semata-mata. Ini amat berbeza dengan penyanyi yang mempertaruhkan genre hip hop atau R&B di mana mereka boleh bermain dengan pelbagai warna agar ia dapat dicalonkan dalam kategori lain.

"Dalam konteks ini, Justin Timberlake adalah contoh terbaik. Dia menghasilkan sebuah album pop tetapi dia menampilkan variasi menerusi setiap lagu di dalamnya seperti rock dan muzik dance misalnya.

"Jadi untuk Adele menerima enam pencalonan sudah dikira cukup baik dan satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan," jelas wartawan muzik berpengalaman, Phil Gallo kepada E! Online, baru-baru ini.

Selain tiga kategori utama, Adele turut dicalonkan dalam tiga kategori lain termasuk Persembahan Solo Pop Terbaik bagi lagu Someone Like You, Album Vokal Pop Terbaik (21) dan Muzik Video Pendek Terbaik (Rolling In The Deep).

Adele sebenarnya bukanlah nama asing dalam anugerah berprestij itu apabila dia pernah diiktiraf dengan dua trofi Grammy untuk Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Chasing Pavements, dua tahun lalu.

Mengekori rapat Adele juga dengan enam pencalonan ialah Bruno Mars dan Foo Fighters manakala penyanyi rap, Lil Wayne dan Skrillex masing-masing menerima lima pencalonan.

Penyanyi wanita seksi, Rihanna juga tidak kurang hebatnya apabila menerima empat pencalonan termasuk Album Terbaik bagi albumnya, Loud selain Lady Gaga untuk tiga kategori juga termasuk Album Terbaik untuk Born This Way.

Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood masih lagi menjadi pilihan juri apabila tersenarai dalam kategori Persembahan Solo Country Terbaik dan bakal berdepan dengan saingan hebat daripada Jason Aldean, Martina McBride, Blake Shelton dan Taylor Swift.

Semakin mencabar

Satu yang pasti dan realiti yang harus dihadapi apabila Grammy dilihat semakin mencabar ekoran perubahan syarat yang dilakukan oleh pihak akademi rakaman Amerika Syarikat.

Perubahan terbesar yang dilakukan bermula tahun ini apabila penstrukturan kategori yang dipertandingkan hanyalah sebanyak 78 kategori sahaja berbanding 109 tahun lalu.

Untuk setiap genre, tiada lagi pembahagian kategori seperti lazimnya di mana untuk persembahan solo misalnya, penyanyi lelaki dan wanita disatukan dalam satu kategori.

Sama juga dengan kolaborasi vokal dan persembahan vokal duo atau berkumpulan disekalikan menjadi Persembahan Duo/Berkumpulan Terbaik.

Begitu juga dengan empat cabang muzik lain yang turut mengalami perubahan dari segi pengkategorian iaitu teater muzikal kini menjadi persembahan muzikal selain filem, televisyen atau visual media lain ditukar kepada muzik untuk visual media).

Dua yang lain termasuklah gospel yang kini berubah kepada gospel atau muzik Kristian kontemporari dan kategori dance yang dahulunya berdiri sendiri kini digabungkan bersama muzik elektronika lalu menjadi kategori dance atau elektronika.

Terdapat juga beberapa kategori yang dimansuhkan dan kemudiannya disekalikan dalam genre yang sama. Dalam konteks ini, kategori Album R&B Terbaik misalnya, akan disatukan dengan genre kontemporari R&B.

Ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila Album Kontemporari R&B mempunyai kategori tersendiri. Perubahan ini juga melibatkan muzik sejagat (world music), kanak-kanak, folk dan latin.

Anugerah Grammy Ke-54 akan berlangsung di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 12 Februari depan.

Full content generated by Get Full RSS.