Adsense

Rabu, 21 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belum bertemu pengganti

Posted: 20 Dec 2011 04:59 AM PST

CERITA kontroversi dan imej seksi yang menjolok mata sering dikaitkan dengan dirinya. Ia bagaikan tidak berpenghujung, lebih-lebih lagi selepas pelakon Wan Sharmila memegang status solo sejak bercerai, dua tahun lalu. Bukan dia yang ingin dikenali dengan kontroversi dan imej seksi tapi itulah persepsi negatif orang terhadapnya.

Hakikatnya, pelakon bertubuh kecil molek, anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor dan pemilik nama sebenar, Wan Sharmila Wan Mohamed atau lebih mesra disapa Wan, 30, mengakui tidak ingin dikenali dengan imej sedemikian.

"Saya tidak menganggap penampilan saya sebagai seksi, sebaliknya orang yang melabel sedemikian. Siapalah saya untuk menutup mulut orang daripada bercerita mengenai diri saya? Saya juga ingin mengelak daripada publisiti murahan yang akhirnya menjerat diri.

"Terus terang, menjelang tahun baru 2012, saya ingin tinggalkan kontroversi dan imej terlalu seksi kerana fokus pada bidang lakonan. Saya lebih suka orang kenal saya bersandarkan bakat dalam bidang lakonan dan bukannya penampilan seksi mahupun kontroversi.


"Saya harap orang berhenti memperkatakan imej seksi kerana saya tidak mahu peminat terlupa dengan bakat saya dalam bidang lakonan," katanya.


Pada sesi fotografi dengan Rap yang berlangsung di Balai Berita, baru-baru ini, pelakon kecil molek yang mula dikenali melalui drama Tari Tirana, Riang Tirana, Sindarela dan Kisah Kaisara juga mengenakan baju dan jeans serta seluar panjang longgar untuk menutup tubuh seksinya kerana ingin tampil dengan imej yang lebih sopan.

"Bukan maksud saya ingin kurangkan imej seksi kerana saya pakai apapun orang tetap nampak seksi. Ia hanya secara kebetulan saja kerana dari segi imej, saya lebih suka menjadi diri sendiri.

"Saya akui pernah ditegur peminat yang menganggap saya berpakaian terlalu seksi dalam satu majlis. Pada masa sama, saya juga bersedia menerima teguran demi kebaikan dan masa depan dalam bidang seni," katanya.

Bukan saja cara berpakaian, Wan juga memotong rambutnya yang panjang dan berkepuk, sekali gus kini tampil dengan imej rambut baru.

"Ramai artis yang mempunyai imej sama iaitu rambut panjang dan berkepuk. Imej rambut baru saya yang diwarnakan ini memang sesuai dengan watak lakonan saya dalam drama Sijundai.

"Saya juga potong rambut kerana pengarah selalu menasihatkan pelakon supaya fokus pada watak dalam cerita dan bukannya rambut. Selain itu, saya juga tidak suka pakai rambut palsu sejak dulu lagi dan lebih suka rambut sendiri dalam menjiwai watak diserahkan," katanya.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan kehadiran artis baru, Wan lebih suka melihat persaingan dengan mereka dari sudut yang positif.

"Saya reda jika ramai produser lebih suka pilih bakat baru berbanding saya untuk beraksi dalam drama mereka. Sebagai pelakon, saya sudah buat yang terbaik dan hanya serahkan pada penilaian peminat selepas itu.

"Saya terjun dalam bidang seni bersandarkan bakat yang menjadi aset nombor satu. Paras rupa dan seksi pula jatuh nombor dua," katanya.

Sekalipun dilanda kontroversi, Wan terus mendapat kepercayaan pengarah dan produser drama dan filem sehingga hari ini.

Antaranya, Wan berlakon dalam telefilem sempena sambutan Maal Hijrah berjudul Meludah Ke Langit arahan Jamal Khan terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd. Dia bawa watak cikgu Intan yang bertudung dan bergandingan dengan pelakon Zahiril Adzim dan Kartina Aziz.

Selain itu, dia juga berlakon siri episod untuk TV3, slot Senda Pagi, Naik Lif Turun Tangga, bergandingan dengan Johan Asari dalam telefilem berjudul Insaf untuk RTM.

Dia juga pegang watak utama dalam drama berjudul Najwa Najiha untuk RTM. Saya bawa watak jahat, Najiha yang akhirnya meninggal dunia bergandingan dengan Sheera Iskandar.

Mengenai filem pula, selepas filem Raya Tak Jadi arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Wan berdebar menanti reaksi peminat terhadap lakonannya dalam genre seram, Syaitan Nirojim arahan Faizul terbitan Primeworks Studio.

Filem yang turut dibintangi Fizz Fairuz, Nabila Huda dan Azam Pit akan menjengah pawagam awal tahun depan.

PROFIL:

NAMA PENUH: Wan Sharmila Wan Mohamed
NAMA KOMERSIAL: Wan Sharmila
TARIKH LAHIR: 12 Oktober 1981
UMUR: 30 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Janda

TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Riang Tirana, Tari Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya, Teh O Ais Limau dan Aku, Kau dan Dia.

PROGRAM: Dokumentari Klik Klik Asean untuk RTM

Full content generated by Get Full RSS.

‘Belajarlah daripada mereka’

Posted: 20 Dec 2011 04:43 AM PST

SOKONGLAH artis tempatan yang menjayakan persembahan. Itulah kata-kata yang diluahkan Datuk Khadijah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Khaty sebelum menghiburkan penonton ketika menjadi artis jemputan untuk Konsert Ruth Sahanaya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC, Sabtu lalu, sempena ulangtahun ke-25 pembabitan penyanyi seberang itu dalam dunia seni.

Apakah sebenarnya yang tersirat di hati Khaty ketika mengucapkan kata-kata itu? Apakah timbul rasa terkilan di hatinya kerana artis luar seperti Ruth begitu mudah mengadakan konsert besar di negara kita sedangkan artis kita begitu sukar untuk merealisasikan impian mengadakan konsert kerana tidak mendapat tajaan.

Selain konsert Ruth, pada malam sama berlangsung Makan Malam Amal Tiga Sahabat bersama Datuk Sharifah Aini dan dua penyanyi Indonesia, Dewi Yull dan Grace Simon di Hotel Royale Chulan manakala malam sebelumnya, kumpulan jazz Indonesia, Maliq D'Essentials beraksi di KL Live Center, Kuala Lumpur.

Hakikatnya, kita mempunyai ramai penyanyi hebat dan turut memasang impian menjayakan konsert skala besar untuk menghiburkan peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka tetapi impian itu terpaksa disimpan dalam hati kerana masalah bajet dan sukar mendapat tajaan syarikat korporat.


Malah persembahan Khaty malam itu berjaya mencuri tumpuan penonton walaupun hanya melalui tiga lagu, Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka dan lagu rancak, Ku Gembira Di Sampingmu yang membuatkan suasana begitu hidup.

Khaty juga berduet dengan Ruth melalui lagu Getaran Jiwa.

Bintang kelahiran Singapura ini membuat penampilan dalam dunia seni ketika berusia 19 tahun menerusi album pertama, Sehari Dalam Cinta pada 1979 yang memuatkan lagu hit, Kusangka Siang Kiranya Malam. Sejak itu, suara gemersik Khaty masih terus menghiburkan peminat.

Apakah yang tersirat di sebalik ungkapan Khaty malam itu? Ikuti temu bual wartawan Rap, WAN ASRUDI WAN HASAN (wanasr@hmetro.com.my) bersama penyanyi yang mempunyai barisan lagu popular seperti Doa Buat Kekasih duet bersama Ramli Sarip, Ku Pendam Sebuah Duka, Ihsan Mulia, Joget Hilang Berganti dan Setinggi Gunung Sebuah Janji.

Khaty juga menjadi pilihan menyanyikan lagu khas hasil kolaborasi komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab menerusi lagu tema untuk Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Nam), Shall Lead The Way dan Malaysia Truly Asia.

RAP: Apa khabar Datuk? Apa perkembangan terbaru sekarang?

KHADIJAH: Khabar baik. Alhamdulillah saya masih aktif memenuhi undangan menjayakan beberapa persembahan korporat di ibu negara dan tidak terkecuali Singapura. Selepas konsert bersama Ruth, saya juga menjayakan beberapa persembahan korporat menerusi undangan daripada pihak Kementerian Pelancongan.

Saya juga membuat persediaan sempena Konsert Datuk Ahmad Nawab bersama saya dan Jamal Abdillah yang bermula di Melaka pada 26 Februari depan. Diikuti siri jelajah konsert berkenaan di beberapa lokasi pilihan di Malaysia seperti Pahang, Kuala Lumpur termasuk Singapura.

RAP: Apa sebenarnya yang tersirat di sebalik ungkapan 'Sokonglah artis tempatan yang menjayakan persembahan' ketika Konsert Ruth Sahanaya, Sabtu lalu?

KHADIJAH: Maksud saya sebenarnya, kita harus memberi sokongan penuh kepada semua artis yang menjayakan persembahan. Bukan saja artis tempatan malah artis luar yang menjayakan persembahan patut diberi galakan untuk mereka terus berkarya. Saya berada di atas pentas bukan saja mewakili artis tempatan, malah menjadi pendorong kepada semua artis untuk mengambil iktibar dan belajar daripada pengalaman artis luar atau antarabangsa yang menjayakan persembahan di sini.

Siapa saja di kalangan kelompok artis yang menyaksikan konsert itu pasti faham akan maksud saya. Kita perlu memberi sokongan kepada setiap artis yang membuat persembahan.

RAP: Apa pandangan Datuk mengenai lambakan konsert artis luar sejak kebelakangan ini?

KHADIJAH: Sebagai artis yang lebih dua dekad terbabit dalam dunia seni, saya berasa fenomena ini satu persaingan sihat dalam industri. Penganjuran konsert luar atau antarabangsa sebenarnya memberi pelbagai manfaat kepada semua. Dari sudut artis, kita dapat belajar dan memerhati bagaimana persembahan artis luar. Jika diberi peluang berkongsi pentas, ia lebih bagus kerana artis itu sendiri akan dapat menimba pengalaman dan kepakaran yang ada daripada kumpulan artis yang terbabit pada persembahan itu.

Saya harap artis tempatan menerima perkara ini dari sudut positif. Anggaplah ia sebagai pendedahan dan mencari peluang untuk beraksi bersama artis antarabangsa. Bukan mudah seseorang artis menjayakan persembahan di luar negara termasuk di Eropah. Justeru, ini kesempatan untuk kita belajar dan menimba pengalaman daripada artis luar yang berkunjung ke negara ini untuk menjayakan persembahan.

RAP: Ramai berpendapat kebanyakan artis tempatan yang popular dan berbakat sukar mendapat peluang untuk menjayakan konsert berskala besar. Apa pandangan Datuk?

KHADIJAH: Tidak dinafikan, untuk mendapatkan penajaan menjayakan sesebuah konsert sejak kebelakangan ini cukup sukar terutama membabitkan wang ringgit yang banyak. Sebagai artis, kita perlu bijak merancang untuk menjayakan sesebuah konsert terutama membabitkan skala besar. Artis juga tidak boleh terlalu bergantung kepada penajaan, sebaliknya perlu perancangan yang teliti untuk menjayakan sesuatu persembahan.

Kalau terpaksa jual kereta atau jual rumah untuk mengadakan konsert, saya rasa ia tindakan yang tidak betul. Jadi, artis perlu memikirkan jalan terbaik untuk mengatasinya.

RAP: Adakah benar masalah tajaan dan sokongan daripada pihak korporat atau swasta mendorong kepada kurangnya peluang buat artis tempatan menjayakan persembahan?

KHADIJAH: Memang sokongan daripada tajaan dapat meringankan beban artis yang mahu menjayakan persembahan. Begitupun, artis perlu bijak menarik perhatian syarikat korporat dalam usaha membantu mengatasi masalah yang dihadapi mereka.

Pada masa sama, artis juga perlu sokongan kuat daripada mereka yang merancang menjayakan persembahan.

Maksud saya, mereka yang tahu berkenaan perniagaan bukan membabitkan penganjur yang hanya tahu mengenai 'showbiz' (mengadakan persembahan) semata-mata. Secara tidak langsung, pembabitan pihak korporat juga dapat memberi pulangan sewajarnya.

RAP: Bagaimanakah cara yang paling sesuai untuk mengatasi masalah ini?

KHADIJAH: Setiap artis perlu bersatu bagi membendung masalah ini. Berjuang untuk hak masing-masing. Artis perlu ingat industri seni kita tidak sebesar mana dan semakin lupus dengan penjualan album yang tidak menentu dan cabaran daripada media baru seperti muat turun lagu menerusi Internet.

Artis juga perlu menjaga penampilan mereka dengan melakukan yang terbaik setiap kali memenuhi undangan menjayakan persembahan korporat atau terbuka.
Cara ini dapat menjaga reputasi mereka dalam industri. Penganjur sudah pasti berpuas hati dengan persembahan artis itu. Secara tidak langsung, ia mewujudkan tanda positif dan hubungan yang semakin baik dengan penganjur.

Semua artis perlu merancang sekurang-kurangnya setahun sebelum menjayakan persembahan besar. Ditambah pula dengan sokongan yang kuat daripada pengurus atau penganjur yang benar-benar komited untuk memastikan perancangan konsert berjalan lancar.

RAP: Ada perancangan mengadakan konsert solo?

KHADIJAH: Perancangan untuk menjayakan konsert berskala besar memang ada. Saya memikirkan untuk menjayakan persembahan di Singapura pada tahun depan.
Memang sudah ada tawaran daripada penganjur di Singapura sekitar Mei depan tetapi tempoh yang diberikan agak suntuk. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan kepada konsert bersama Datuk Ahmad Nawab terlebih dulu. Daripada konsert itu juga, saya mahu melihat maklum balas daripada peminat. Mungkin kami dapat merancang sesuatu selepas konsert itu nanti.

Full content generated by Get Full RSS.