Adsense

Isnin, 12 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Cinta pada lakonan mengatasi segalanya

Posted: 11 Dec 2011 06:43 AM PST

MUTAKHIR ini banyak cerita kurang enak dikaitkan dengan dramatis yang sedang mencipta nama, Izreen Azminda Aznam. Ia termasuk kisah putus cintanya dengan pelakon Johan Ariff Asa'ri (Botak) serta merampas tunang orang. Sedikit sebanyak perkara itu membuatkan reputasinya terguris.

Dalam berhadapan dengan kemelut itu, ada sedikit sinar dalam hati pelakon yang mula diminati ramai menerusi drama bersiri Juvana itu apabila bakat lakonannya lebih dinilai orang.

Satu lagi berita gembira apabila timbul cerita mengatakan pemenang tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 ini bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati.

Lelaki yang berjaya bertakhta di hati Izreen itu dikatakan seorang pengarah fotografi drama dan mereka mula berkenalan sewaktu bekerja dalam produksi sama.

Ditemui pada satu sesi fotografi bersama Rap, baru-baru ini, pelakon kelahiran Kangar itu bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.

Waktu sama, dia mengharapkan tidak ada lagi pihak cuba mengaitkan atau bertanya mengenai isu kontroversi yang cuba digembar-gemburkan membabitkan isu putus cinta bersama Johan dan dikatakan merampas tunangan orang.

"Tunang? saya tidak pernah memikirkan mengenainya buat masa ini. Apa yang penting saya mahu berlakon sepuas-puasnya dulu. Apabila tiba waktunya, saya diikat bersama lelaki pilihan saya, saya tidak akan menyembunyikannya dan berkongsi berita itu bersama rakan media," katanya.

Kata pelakon drama Tentang Dhia di TV3 ini lagi, buat masa sekarang, dia masih lagi solo. Begitupun tegas Izreen, sebagai seorang wanita sejati, sudah tentu dia juga ingin berumah tangga satu hari nanti.

"Saya mahu berumah tangga dan memiliki cahaya mata. Saya memang sayangkan budak-budak dan mahu anak sendiri selepas berkahwin. Itu impian saya. Bagaimanapun, selagi perkara itu belum terjadi, saya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dunia lakonan," ujarnya.

Berdepan dengan pelbagai kontroversi selepas hampir lima tahun berjuang dalam industri seni jelas Izreen, dia masih kuat dan mampu menghadapinya kerana cintanya pada dunia lakonan mengatasi segala-gala minat lain.

"Bayangkan sepanjang empat tahun saya berlakon, tidak ada satu pun kontroversi dikaitkan dengan diri saya tapi apabila Juvana mendapat perhatian, saya mula diperhatikan. Tidak dinafikan saya tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan situasi yang berlaku.

"Saya akui kontroversi yang terjadi membabitkan Johan dan saya timbul atas kelemahan diri. Saya terlalu mengikut emosi. Bagaimanapun, saya banyak belajar daripadanya. Saya mengharapkan ini adalah kenyataan terakhir saya mengenainya dan jangan ada lagi pihak bertanya," katanya.

Tambah Izreen lagi, dia mahupun Johan sendiri sudah mula melupakan apa yang sudah berlaku dan membawa haluan masing-masing. Paling penting, mereka mahu memastikan kerjaya lakonan yang dibina bertahun-tahun tidak dirosakkan hanya kerana sedikit kesilapan.

"Mengenai kisah rampas tunangan orang itu juga tidak benar. Saya tidak tahu bagaimana perkara itu boleh timbul. Saya tidak pernah merampas mana-mana lelaki daripada mana-mana wanita kerana saya tahu akibat dan kesannya. Saya juga tidak mahu perkara sama berlaku kepada diri saya. Itu adalah perkara pertama paling saya mahu jauhkan.

"Bagaimanapun, saya pernah memberikan kenyataan kepada pihak yang mengatakan saya merampas tunangnya, tunjukkan bukti sekiranya benar. Mana gambar majlis pertunangannya kalau benar. Sehingga sekarang, ia tidak pernah timbul dan orang yang menjaja cerita itu juga berdiam diri," katanya.

Jelas Izreen yang memegang watak Melly dalam Tentang Dhia mengisi slot Akasia, dia gembira kerana kerja kerasnya selama ini untuk menampilkan bakat sudah mula mendapat perhatian penerbit mahupun stesen televisyen apabila pelbagai watak diberikan kepadanya untuk dilakonkan.

"Sebelum ini sewaktu mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan, pengarah mahupun produser selalu memberikan saya watak perempuan jahat. Begitupun, sekarang ini saya sudah diberikan kepercayaan untuk melakonkan pelbagai watak termasuk wanita baik, teraniaya mahupun watak emak.

"Bayangkan ada pelakon yang tidak mahu melakonkan watak emak kerana kata mereka tidak sesuai dengan usia. Pada saya perkara itu bukan halangan, malah ia mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon. Sudah dua kali saya melakonkan watak ibu dan ia mendapat pujian peminat.

"Saya berlakon bukan kerana mahu nampak cantik selalu dan saya tak kisah untuk mencuba pelbagai watak. Diharapkan selepas ini, saya turut diberikan lagi watak lebih mencabar," katanya.

PROFIL

Nama Penuh: Izreen Azminda Aznam
Tarikh lahir: 30 Ogos 1985
Usia: 26 Tahun
Asal: Kangar, Perlis
Kerjaya: Pelakon
Drama: Sesuci Cinta Sofia, CID 3278, Gerak Khas, Atiqah Najwa 2, Dilema Wanita, Air Mata Maria, Pasrah, Pria, Bella, Gila Auto Cinta, Apa Kata Cinta, Sedetik Aku Berpaling, Nenek Kebaya, Puteri Arora Beradu, Ragam Menantu, Gelora Di Hati Sara, Pasukan Gerakan Marin, Isabella, Juvana, Mendongak Ke Langit, Tentang Dhia, Penjara
Filem: Nana Tanjung 2, Otai
Program: Seekers (Musim 6) & In Trend
Pendidikan: Diploma Kewartawanan Integratif, Institut Media Integratif
Malaysia (MIIM).
Pencapaian: Tempat Ketiga, Dewi Remaja 2005/2006

Full content generated by Get Full RSS.

Forum baiki kelemahan AIM

Posted: 11 Dec 2011 06:34 AM PST

SESUDAH berdepan dengan kontroversi penarikan balik trofi anugerah Lagu Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM18), baru-baru ini, Persatuan Industri Muzik Malaysia (RIM) berusaha untuk membersihkan kembali nama mereka serta meraih kepercayaan penggiat dengan mengadakan satu forum khas.

Pelbagai perkara dibangkitkan penyanyi tempatan dalam majlis yang berlangsung hampir tiga jam di hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Antara yang kelihatan Joe Flizzow, Altimate, Atilia, Dior, Rozita Rohaizad, Ali XPDC dan Hunny Madu.

Paling penting forum itu diadakan bagi membolehkan penganjuran anugerah berprestij itu berjalan dengan lancar apabila diadakan lagi tahun hadapan.

Menurut Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim, selain itu beberapa pindaan membabitkan syarat penyertaan sedia ada dan pindaan yang dimahukan ahli turut dibuat pada sesi itu.


Segala cadangan dibawa kepada ahli RIM untuk dibincangkan, sekali gus penetapan mengenainya akan diputuskan kelak.


Turut sama dalam forum diadakan, Naib Pengerusi RIM dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Adrian Lim serta Timbalan Ketua Pegawai Operasi RIM, R Ramani Ramalingam.

Empat elemen penting dibincangkan sepanjang forum berlangsung iaitu berkenaan kriteria ditetapkan, memaklumkan pindaan dalam setiap kriteria, penganjuran AIM akan datang, pemilihan artis sebagai penyampai, persembahan dan paling penting, menjawab segala persoalan yang berbangkit dalam majlis pada 12 November lalu.

Jelas Rosmin, berdasarkan maklum balas diberikan kebanyakan ahli terutama beberapa kontroversi dibangkitkan membabitkan kerakyatan artis bertanding di AIM yang dibangkitkan sebelum ini, pihaknya mahu menetapkan syarat bahawa pada masa akan datang, setiap penyanyi mestilah rakyat Malaysia.

"Sebelum ini, kita hanya menetapkan syarat bahawa komposer dan pencipta lirik lagu yang dipertandingkan harus 100 peratus rakyat Malaysia, namun kali ini kita mahu menetapkan bahawa penyanyi juga harus rakyat tempatan. Perkara ini kami lakukan demi menjaga kepentingan ahli RIM mahupun penggiat industri muzik tempatan itu sendiri," jelasnya.

Tambahnya lagi, sekiranya penyertaan turut dibuka kepada penggiat luar, ia kelihatan janggal apatah lagi penganjuran AIM dibuat untuk mengangkat dan mengiktiraf karya dihasilkan penggiat tempatan.

"Bayangkan kalau kita benarkan komposer luar bertanding dengan penggiat tempatan. Mengambil contoh Edrie Hashim bersaing dengan Ahmad Dhani dan Ahmad Dhani menang untuk kategori besar seperti Lagu Terbaik, bukankah ia nampak janggal?" katanya.

Tambahnya lagi, RIM menganjurkan AIM berlandaskan apa yang dilakukan di Amerika, Britain mahupun Australia menerusi American Music Awards, Brit's Awards dan Aria Awards yang mengangkat karya dihasilkan rakyat negara terbabit saja.

Pada majlis itu juga, RIM turut ditanya mengenai pembabitan artis tempatan yang mencipta nama di negara luar seperti Zee Avi yang menghasilkan album di luar negara mahupun Yuna yang akan melancarkan albumnya di Amerika Syarikat, sama ada boleh atau tidak menyertai AIM.

Katanya, syarat menentukan bahawa setiap artis atau pemuzik bertanding harus menjadi ahli kepada RIM, sedangkan album dihasilkan Zee Avi di bawah label Amerika Brushfire Records yang bukan bernaung di bawah RIM.

"Pada saya, album Zee Avi itu peluangnya lebih besar untuk dipertandingkan pada majlis seperti Anugerah Grammy. Bagaimanapun, kami menerima cadangan dibuat ahli agar satu kategori khas diwujudkan bagi mempertandingkan mereka yang mencipta nama di luar negara ini agar album mereka juga dipertandingkan.
Bukan untuk Anugerah Wirama, sebaliknya anugerah khas dan ia turut dibuka kepada artis kita yang turut mencipta di negara seperti China, Hong Kong mahupun India," katanya.

Selain itu cadangan dibuat agar AIM tidak dipecahkan mengikut bahasa juga akan dibawa kepada ahli jawatankuasa untuk menentukannya sama ada ia perlu atau tidak.

"Sebelum ini, kita mencada–ngkan agar empat anugerah AIM dibuat iaitu bagi lagu Melayu, Cina, India dan Inggeris. Rakan karyawan India dalam industri seni juga rasanya perlunya ada anugerah untuk mengiktiraf karya seni mereka yang sedang berkembang pesat," katanya

Sementara itu, usaha RIM yang mahu memperbaiki kesilapan dengan menarik kembali anugerah yang diserahkan kepada Yuna bagi kategori Lagu Terbaik dan diberikan kepada Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim dan nyanyian Anuar Zain, turut mendapat pujian daripada ahli yang hadir pada petang itu.

Kata Rosmin mengenai perkara itu, pihaknya sudah mengambil langkah lebih tegas agar perkara sama tidak berulang ini termasuk tidak lagi menggunakan khidmat Ernst & Young sebagai juruaudit pada masa depan.

Selain itu, mereka juga bersetuju dengan cadangan pihak di luar sana yang mahukan penjurian diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan faham dengan perkembangan muzik di Malaysia.

Full content generated by Get Full RSS.