Adsense

Jumaat, 2 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Impi konsert jelajah di luar negara

Posted: 01 Dec 2011 04:57 AM PST

SEPANJANG 16 tahun berkecimpung sebagai anak seni, apa yang tidak pernah dilalui Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, dalam mengharungi liku-liku menjadi penyanyi terkenal. Namun, semua itu dibiarkan saja dan menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus mengejar impian sucinya.

Kini, segala usaha gigih itu berhasil. Siti yang dulunya sekadar seorang gadis kampung biasa, sekarang adalah ikon muzik diminati ramai. Malah, pelbagai anugerah yang mengiktiraf bakatnya dari dalam dan luar negara sudah dimiliki Siti.

Bahkan, impian untuk membuat persembahan di dewan berprestij, Albert Hall, London juga sudah menjadi kenyataan malah melakar populariti yang tinggi di pasaran negara jiran, Indonesia.

Terbaru, Siti tampil berani dengan album sulung Inggeris, All Your Love untuk mencabar sejauh mana tahap kemampuan dirinya. Semakin popular dengan lagu Falling In Love, tetapi jualan album itu dikatakan agak sendu dan kurang mendapat sambutan.


Bagaimanapun, Siti yang ditemui selepas majlis ramah mesra sempena pembikinan dokumentari khasnya untuk tayangan History Channel, menafikan sambutan album itu kurang memberangsangkan.


Katanya, apa yang nyata, sejak berada di pasaran pada 26 September lalu, sambutannya memang baik dan jualannya mencatat puluhan ribu unit.

"Sekarang ini, kerja-kerja promosi masih diteruskan dan fokus sepenuhnya memang ditumpukan kepada penjualan album All About You. Saya gembira, ia diterima baik dan usaha ini boleh dianggap berjaya. Apapun, buat masa ini tiada perancangan untuk pembikinan album Inggeris seterusnya.

"Dalam soal pembikinan album, tidak boleh terburu-buru. Justeru, setakat ini saya masih belum terfikir untuk menghasilkan album lain. Biarlah, uruskan satu persatu dulu. Ia lebih mudah dan semua perancangan dibuat dengan teliti," katanya.

Menurut Siti, beliau sebenarnya menyimpan impian membuat konsert jelajah untuk pelajar di luar negara. Katanya, muzik tempatan juga boleh diterima dan akan mendapat tempat berikutan ramai pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Berbicara mengenai perjalanan kariernya, Siti berkata beliau bersyukur kerana hingga kini masih diteruskan. Ujarnya jika tiada aral dan mengikut apa yang dirancang, beliau akan menjayakan satu persembahan istimewa di ibu kota tidak lama lagi.

"Sebagai penyanyi, semestinya saya mahu menjayakan konsert sendiri. Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada rezeki dan jika peluang itu datang dulu, saya terima. Apapun, sekarang saya juga sibuk menguruskan perniagaan produk SimplySiti.

"Jika diizinkan Tuhan, saya ingin mengembangkan perniagaan produk kosmetik ini sehingga ke pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan lagi. Malah, saya mengikut apa saja prosedur ditetapkan untuk
tembusi pasaran luar," katanya.

Menurut Siti, beliau akan berangkat ke negara jiran, Indonesia untuk mengadakan perbincangan mengenai pemasaran produk keluaran syarikatnya. Kata anak jati Pahang ini, jadualnya nyata amat sibuk kerana perlu menguruskan banyak perkara.

Selain itu, Siti juga memaklumkan beliau juga merancang akan mengeluarkan biografi fotonya untuk peminat pada tahun depan. Namun, buat masa ini semuanya dalam proses lagi dan diuruskan kakak ipar merangkap pengurusnya, Rozi Abdul Razak.

Suami sokong pembikinan dokumentari khas

SELEPAS Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, nampaknya Siti menjadi penyanyi wanita pertama negara yang kisah perjalanan karier seninya sejak mula hingga berada di puncak kegemilangan akan ditayangkan di History Channel.

Diterbitkan produksi Red Communications Sdn Bhd selama satu jam untuk tatapan penonton dan peminat penghibur ternama itu, pelbagai kisah menarik, suka dan duka Siti akan dikongsi bersama. Tidak terkecuali, kisah percintaan dan rumah tangga.

Berbicara mengenai dokumentari ini, Siti berkata beliau sangat teruja dan menerima tawaran itu dengan hati terbuka. Malah, paling penting, Siti mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang sangat memahami.

"Kalau diikutkan, pembikinan dokumentari istimewa ini nyaris-nyaris tidak jadi kerana tuntutan jadual saya yang sangat sibuk. Namun, pihak produksi sanggup menunggu waktu kelapangan saya serta mereka berusaha mengumpulkan pelbagai maklumat.

"Tak dinafikan, gambar ketika saya kanak-kanak dan remaja tidak banyak berikutan tidak memiliki kamera ketika itu. Bagaimanapun, saya sendiri terkejut kerana pihak produksi berjaya mendapatkannya daripada jiran, rakan, kenalan dan wakil media.

"Apapun, saya amat berbesar hati dengan pembikinan dokumentari ini dan ia amat bermakna. Ini kerana, kisah perjalanan karier saya selama 16 tahun akan ditayangkan di saluran antarabangsa. Ini satu penghargaan sangat besar dan indah buat saya.

"Kisah dokumentari seperti ini selalunya dirakamkan untuk mengingati kejayaan pernah disumbangkan tokoh ternama lagenda atau individu yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia. Namun, saya mendapat peluang ini ketika masih hidup," katanya.

Menurut Siti, beliau melihat pembikinan dokumentari khas ini dari aspek positif yang mana ia mungkin boleh memberi inspirasi kepada orang lain. Katanya, tidak salah perkara baik yang membawa kepada kejayaan seseorang dirakam untuk dikongsi bersama.

Siti berharap dokumentari ini akan disaksikan peminatnya yang banyak memberi sokongan. Malah, barangkali ada perkara yang masih belum peminat tahu mengenai dirinya. Terutama, situasi beliau ketika berhadapan tekanan, gosip dan kontroversi. Dokumentari khas Siti ini akan disiarkan di History Channel (Astro 555) pada 11 Januari 2012.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Kami tak cari publisiti murah’

Posted: 01 Dec 2011 04:43 AM PST

SEBUT saja nama Jeffrydin, pasti ramai mengenalinya sebagai artis evergreen biarpun dibayangi kemunculan ramai artis baru.

Malah, artis 60-an yang popular dengan lagu seperti Siti Aida, Kenanganku, Seruling Anak gembala dan banyak lagi masih bertahan dan tidak ketinggalan mewarnai pentas seni tanah air ketika ini.

Namun bagi Datuk Jeffrydin atau nama sebenar, Jefrydeen Imbrom Soekaman, 64, zaman kegemilangannya seakan merundum berikutan kehadiran ratusan artis yang digilap dari rancangan hiburan berbentuk realiti dan juga kebanjiran terlalu ramai artis dari luar.

Beliau yang masih ligat di pentas, meluahkan isi hatinya yang masih terkilan dengan setiap bayaran yang diterima dari pihak penganjur untuk setiap persembahan disertainya.


Katanya, tiada perbezaan nyata antara artis lama dan baru yang mana setiap yang dilahirkan sebagai artis punya kelebihan masing-masing dan peminat yang tersendiri serta kebolehan yang mungkin tidak ada pada orang lain.


"Saya agak kesal bila melihat artis-artis baru diberi layanan kelas pertama dan terima bayaran jauh lebih tinggi untuk setiap persembahan mereka berbanding dengan bayaran yang sepatutnya diterima artis lama seperti saya.

"Jika lihat pada era 60-an dulu, setiap artis baru akan menerima bayaran paling rendah berbanding dengan artis lama memandangkan mereka tiada pengalaman dan masih baru dalam bidang hiburan yang disertai terutamanya nyanyian.

"Tapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, artis baru diberi layanan istimewa diusung ke sana sini dan disanjung begitu gah serta menerima bayaran RM6,000 hingga ke RM7,000 untuk setiap undangan pentas," katanya ketika ditemui membuat persembahan di Karnival Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Jeffrydin berkata, apabila perkara itu diusulkan kepada penganjur, mereka seperti 'kecut perut' bimbang populariti artis-artis 60-an tidak mampu meraih keuntungan sekiranya dibayar dengan satu jumlah yang begitu tinggi.

Beliau yang dalam proses merakamkan single kedua bersama syarikat Luncai Emas Sdn Bhd berkata, ramai artis baru sekarang tidak menghormati artis lama dengan mencari publisiti murahan untuk mempopularkan diri mereka.

"Kalau masa era 60-an dulu, kami berkawan dengan wartawan bukan untuk mencari publisiti murahan, tetapi kami berkawan bagi mempopularkan lagu-lagu yang didendangkan. Buktinya, hingga kini lagu-lagu kami masih kedengaran.

"Mereka (artis baru) kini mudah gunakan pegawai perhubungan awam atau pengurus artis untuk menguruskan aktiviti mereka sedangkan zaman saya dulu kena bergerak sendiri dan tiada istilah mencari publisiti murahan," katanya.

Menurut Jefrydin, permintaan yang tinggi menyebabkan artis yang masih baru mengambil pembantu untuk menguruskan aktiviti mereka dan pihak penganjur terpaksa membayar lebih biarpun sedar kurang meraih populariti.

"Artis sekarang sakit gigi pun nak masuk majalah. Sebenarnya, bukan itu cara kita nak publisiti, banyak cara lain lagi nak tarik perhatian peminat. Artis dulu tak tahu buat perkara sebegini.

"Alhamdullilah, sokongan peminat terhadap lagu-lagu 60-an masih mendapat sambutan dan undangan pentas pun adalah dua atau tiga untuk setiap bulan cuma masalahnya sekarang bayaran kurang memuaskan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.